Background

Seniman yang berdiri di tengah-tengah rakyat


Dinsman (Artikel 306, 16/4)
Seniman yang berdiri di tengah-tengah rakyat

Entah betul entah tidak, kata mereka demam pilihanraya ke-13 sudah bermula. Di sana-sini orang sibuk bercakap dan bertanya pasal pilihanraya. Ada jiran yang bekerja dengan MAS sudah awal-awal mengambil cuti pada bulan Jun, sebab dia yakin PRU-13 akan diadakan pada bulan Jun ini.

Tapi bila ingat-ingatkan semula, suasana demam pilihanraya ini bukanlah sekarang baru bermula. Sudah lama pun bermulanya, dan tarikh jangkaannya pun sudah beberapa kali asyik diubah dan diubah. Pilihanraya tidak juga menjelma. Perdana Menteri dikatakan masih takut untuk membubarkan Parlimen, kerana dia belum yakin yang Umno/BN akan menang.

Itulah istimewanya negara Malaysia kita ini. Tarikh pilihanraya ditentukan apabila Perdana Menteri yakin yang partinya akan menang. Itulah demokrasi ala-Malaysia. Hampir semua media massa tolong berkempen untuk parti Perdana Menteri. Dan para intelektual dan budayawan pun hampir semuanya begitu juga. Majlis Profesor Negara pun! Membutakan matahati dan mataminda terhadap segala kemungkaran dan kezaliman pemerintah, semuanya akur.

Seorang sahabat saya yang kebetulan hadir dalam suatu majlis sambutan harijadi A Samad Said anjuran sebuah penerbitan, Sabtu lalu, mengirim SMS kepada saya mengatakan rasa jengkelnya melihat para penulis di situ yang memperlihatkan seolah-olah mereka begitu menghormati Sasterawan Negara itu, padahal sebelum itu merekalah juga yang telah mencebik dan mencemuh sikap dan perjuangan Samad Said memimpin gerakan bantah PPSMI, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.

Saya pun kadang-kadang terasa bosan dan malas hendak memikirkan soal politik di negara kita ini. Tetapi apabila melihat A Samad Said yang sudah berusia 77 tahun itu masih lagi bersemangat dan tidak mengenal penat menerima jemputan ke seluruh pelosok negara, berceramah dan membaca puisi, menggesa rakyat supaya menamatkan era pemerintahan Umno/BN itu, saya pun terangsang semula untuk bersama-sama dengannya.


Hujahnya yang selalu diulanginya itu mudah sahaja. Selama lebih 50 tahun negara kita ini, yang menjadi Perdana Menterinya siapa? Orang Melayu Umno. Yang memegang kuasa selama ini siapa? Orang Melayu Umno. Yang berkuasa menentukan ekonomi orang Melayu, menentukan tanah milik Melayu, menentukan pendidikan orang Melayu – semuanya siapa? Semuanya pemimpin Melayu daripada Umno. Mengapa pula sekarang mereka mengatakan kedudukan orang Melayu sedang terancam? Selama 50 tahun lebih mereka berkuasa itu apa yang mereka buat?

Itu hanya satu daripada sekian banyak hujah-hujahnya, yang bagi saya adalah sangat jelas dan mudah dimengerti. Tetapi yang sangat menghairankannya, mengapa para penulis, budayawan dan intelektual kita, yang sebahgiannya turut mera’ikan ulangtahunnya Sabtu lalu di KLCC itu, bahkan menghasilkan buku untuk menyatakan penghargaan mereka terhadap sumbangan seni Samad Said itu – mengapa mereka itu tidak pula mahu menghargai pemikiran dan hujahnya ini?

Memang semua orang mempunyai kebebasan berfikir. Itu tidak dinafikan oleh sesiapa pun. Tetapi apabila penulis-budayawan-intelektual membutakan matahati dan matafikir mereka terhadap kebenaran dan kemungkaran; dan kemudian dicelarukan pula oleh sebahagian pimpinan politik Pakatan Rakyat sendiri yang menyokong golongan penulis-budayawan yang mungkar dan hipokrit itu – nah, itu yang menyebabkan saya pun kadang-kadang jadi bosan dan malas hendak ikut campar dalam hal politik kita ini.

Namun syukurlah, kita masih ada seniman seperti yang selalu saya ungkapkan dalam puisi yang sering saya bacakan di mana-mana akhir-akhir ini – iaitu: “aku mencari pemberani yang lama hilang /aku mencari jebat yang sanggup mengamok /aku mencari syahid yang kenal hakikat jihad /aku mencari seniman yang berani berdiri… /berdiri di tengah-tengah rakyat /dengan kesenimanannya.”

Tidak pernah saya fikirkan sebelum ini bahawa yang sering saya ungkapkan dalam puisi itu adalah seniman yang bernama A Samad Said. Hanya hari ini apabila melihat muka depan Suara Keadilan (61), dengan gambar A Samad Said di penjuru atas sebelah kanan, dengan petikan kata-katanya yang sangat sakral dan berunsur jihad itu, saya seperti tersedar bahawa itulah dia senimannya.

Perhatikan dan renunglah kata-katanya ini: “Saya tak mahu mati sia-sia. Saya mahu gunakan sisa usia yang ada ini untuk perjuangan bangsa dan anak cucu.”

Memang itu bukan pertama kali dia mengucapkan demikian. Saya pernah mendengarnya, dia berkata demikian, tapi tak ingat lagi di mana. Pengakuan seorang sasterawan yang berani dan mempunyai matahati dan matafikir yang cerah – seorang sasterawan dan negarawan yang cintakan umatnya, dan cintakan kebenaran Islaminya. Syabas bung! Kami Seniman Paksi Rakyat sentiasa bersamamu!

Sekali hidup, biar bererti!

Mari kita buktikan kepada masyarakat kita yang selama ini kurang kesedaran budaya mereka – mari kita buktikan bahawa seni-budaya itu tidak kurang pentingnya dibandingkan dengan politik pun. Bahawa tekad budaya (cultural will) itu sama pentingnya dengan tekad politik (political will).

Lihatlah – pada waktu politik seperti menemui jalan buntunya, pada waktu politik sedang jadi kacau-bilau seperti di negara kita sekarang ini, hingga orang hampir hilang kepercayaan kepada institusi-institusi dan nilai-nilai penting sesebuah tamadun – seorang seniman-budayawan muncul “dengan kesenimanannya” – memimpin suatu gerakan ke arah pencerahan, ke arah kehidupan yang lebih bermaruah, ke arah keadilan, keharmonian dan kesejahteraan. 

Categories: Share

Leave a Reply