Dinsman
(Artikel 323, 25/6)
Nik Aziz lengkapkan Bicara
Rasuah 26 Jun
Ini
siri Wacana Ilmu bulanan anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama dengan
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor
(Dr Halimah Ali), yang bermula April lalu. Ini wacana yang ketiga.
Wacana
yang pertama (April) mengenai metafora Melayu berdasarkan buku Dr Hassan Ahmad
(almarhum), “Metafora Melayu: Bagaimana
Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk Epistemologinya”; dan yang
kedua (Mei) mengenai seni-budaya di Malaysia berdasarkan buku Dinsman “Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya”.
Kedua-duanya dibuat di Perpustakaan Raja Tun Uda (Perbadanan Perpustakaan Awam
Selangor – PPAS), Shah Alam, dengan kerjasama PPAS.
Wacana
yang ketiga dalam siri ini dibuat berdasarkan buku Syed Hussein Alatas
(almarhum), “Rasuah: Sifat, Sebab dan
Fungsi”. Buku yang asalnya
diterbitkan dalam bahasa Inggeris (Corruption:
Its Nature, Causes and Functions) pada tahun 1990 dipilih untuk dibicarakan
pada hari ini adalah kerana isi kandungan atau perbicaraannya mengenai rasuah
itu masih relevan (sangat relevan) dengan situasi masyarakat dan negara kita
hari ini.
Sebenarnya
ada sebuah lagi buku karangan Syed Hussein Alatas mengenai rasuah, yang lebih
terkenal, iaitu The Sociology of
Corruption, terbit tahun 1968. Selain itu, tokoh akademik yang lama mengajar
di Universiti Nasional Singapura ini juga terkenal dengan buku-bukunya ‘Mitos
Peribumi Malas’ (The Myth of The Lazy
Native) dan ‘Intelektual Masyarakat Membangun’ (Intellectuals in Developing Societies).
Kerana
sangat relevannya isu rasuah itulah maka wacana ilmu yang biasanya dibuat di
PPAS itu, kali ini, kata Dr Halimah: “Kita mesti buat di tempat yang lebih
besar, supaya lebih ramai orang dapat mengikuti perbincangannya. Persoalan
rasuah ini walaupun dibincang oleh Syed Hussein AlAtas lebih 20 tahun lalu
tetapi isunya masih sangat relevan dengan masyarakat dan negara kita hari ini.”
Sesuai
dengan persoalan rasuah itu maka panel pembicara yang dipilih ialah Dr Syed
Husin Ali, seorang ahli akademik yang banyak menghasilkan buku kajian mengenai
masyarakat di Malaysia.
Pernah aktif politik – menjadi Pengerusi Parti Rakyat Malaysia dan kemudian Timbalan
Presiden KeAdilan, dan sekarang tidak aktif lagi. Membaca bukunya “Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali”
kita dapat merumuskan betapa Syed Husin adalah seorang yang sangat peka dengan
soal rasuah dan integriti.
Seorang
lagi panel ialah Tan Sri Robert Phang, aktivis sosial dan pejuang anti rasuah
yang terkenal. Pernah menjadi exco Trsanspency International, Malaysia; dan pernah meletak
jawatan suatu panel perundingan di SPRM. Beliau dikatakan sangat sesuai untuk bercakap
mengenai persoalan rasuah di negara ini. Manakala bekas Presdien kesatuan
sekerja MTUC yang baru dilantik Senator, Syed Shahir Mahmud, akan bertindak
sebagai moderator perbincangan.
Mendahului
wacana dua tokoh tersebut ialah ucaptama yang akan disampaikan oleh seorang
ketua pentadbir sebuah kerajaan negeri yang telah membuktikan pentadbiran di
bawah pimpinannya telah berjalan selama 22 tahun tanpa sebarang perbuatan
rasuah oleh kakitangannya. Ini beberapa kali terbukti apabila percubaan
pihak-pihak tertentu untuk mensabitkan rasuah dalam pentadbiran tersebut,
mengalami kegagalan.
Ketua
pentadbir yang dimaksudkan ialah Tok Guru Nik Aziz atau gelaran rasminya Dato’
Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan
Darulnaim.
Barangkali
inilah pertama kali beliau secara rasminya akan bercakap menceritakan
pengalamannya mentadbir negeri Kelantan, dari segi perspektif pentadbiran yang
berkesan dalam menghindari rasuah. Bukan secara teori, tetapi secara praktikal,
sebagai amalan yang telah terbukti keberkesanannya.
Menyedari
hal ini, Dr Halimah selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan
Modal Insan Negeri Selangor menjemput seluruh kakitangan Kerajaan Negeri
Selangor, khasnya yang berkaitan dengan pentadbiran, supaya hadir mengikuti
wacana ini.
Di
samping itu orang ramai juga dijemput hadir. Wacana Ilmu ini akan diadakan pada
hari Selasa 26 Jun, mulai 9.00 pagi dan dijangka berakhir 12.30 tengahari. Ia
dibuat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, iaitu
pejabat kerajaan negeri Selangor atau SUK, Shah Alam.
Luas
tempatnya dewan itu. Boleh menampung kehadiran lebih seribu orang. Jangan
risau! Datanglah. Inilah peluang untuk mendengar dari mulut orangnya sendiri,
ulamak yang bertanggungjawab mentadbir negeri Kelantan yang selama ini
macam-macam diceritakan orang. Dan fokusnya kali ini istimewa mengenai
pentadbiran dan kepemimpinan yang bersih daripada rasuah.
Manakala
dari segi teorinya pula kita menjangka akan dibicarakan oleh dua orang panel
yang disebutkan tadi, iaitu Syed Husin Ali dan Robert Phang, yang masing-masing
memilikii ilmu dan pengalaman luas dalam pentadbiran dan juga kepemimpinan.
Peluang
seperti ini tentulah tidak selalu ada. Kita berbicara mengenai sesuatu yang
dianggap seperti mustahil hendak dihapuskan. Tanyalah tokoh-tokoh pimpinan Umno
dan BN – mengapa mereka gagal melaksanakan pentadbiran yang bersih daripada
rasuah? Dan bukankah segala kemelut penyelewengan dan ketirisan kewangan yang
mencacatkan pembangunan masyarakat dan negara kita selama ini adalah berpunca
daripada rasuah?
Siapa
kata rasuah tidak boleh dihindari dan dihapuskan? Nik Aziz telah membuktikan
walaupun dengan kuasa sebuah kerajaan negeri yang terhad, Kelantan boleh
melakukannya. Kenapa kerajaan pimpinan Najib tidak boleh?
Datanglah!
Forum ini terbuka dan percuma kepada semua orang, terutama mereka yang berminat
dengan pentadbiran yang baik, bersih dan berkesan. Dari jauh pun datang, dari
dekat pun datang.