Background

Sebuah peristiwa kecil tetapi besar


Dinsman (Artikel 308, 23/4)
Sebuah peristiwa kecil tetapi besar

Telah saya tulis seminggu lalu mengenai “seniman yang berani berdiri / berdiri di tengah-tengah rakyat / dengan kesenimanannya”, iaitu A Samad Said yang baru menyambut ulangtahun kelahirannya ke-77, yang “tidak ingin mati sia-sia” itu.

Isnin 16 April kami pula, kelompok Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama dengan kelompok Cikgu Ishak Surin di Madrasah Seni, Kg Banda Dalam, secara kecil-kecilan dalam sebuah keluarga seni, meraikan harijadi ke-77 seniman besar kita.

Hanya suatu pertemuan sebuah keluarga seni. Bermula dengan solat hajat dan doa, kemudian jamuan ringan yang seperti biasa, majlisnya pun seperti biasa juga – diisi dengan ucapan-ucapan penghargaan kawan-kawan secara ringkas, ada bacaan puisi, ada petikan gitar dan gesekan biola dan lagu, dan ada hadiah buku (yang tanpa dibalut dan direben) untuk seorang yang mungkin sudahpun memiliki buku-buku itu (kerana dia paling banyak membaca buku). Namun ada suatu yang sangat istimewa.

Istimewanya ialah peristiwa itu sendiri. Bersama seorang seniman, pengarang novel yang kini menjadi negarawan ulung memimpin rakyat pada ketika suasana politik sedang kacau, untuk membuat perubahan yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat – meraikan harijadinya yang ke-77, dalam suatu kelompok kecil kawan-kawan seperjuangan yang terdekat, sekitar 15 orang sahaja. (Termasuk HMS Abu Bakar dari Ipoh). Ini adalah suatu peristiwa besar. Suatu peristiwa yang cukup bersejarah.

Tidak ramai seniman yang mencapai umur sehingga 77 tahun, dan masih sihat, bergerak dan berjuang di tengah-tengah rakyat, memimpin untuk perubahan sebuah negara. Samad sendiri pun menyedarinya dan mengungkapkannya di hadapan kami.

Kawan-kawan seangkatannya A.S.Amin, Noor S.I dan M Ghazali, juga yang lain seperti Jimy Asmara, Masuri SN, Usman Awang, Keris Mas, A Samad Ismail dan lain-lain telahpun tiada lagi di dunia ini. Tetapi Allah masih memanjangkan umurnya. Mengapa? Tentulah ada sebabnya. Maka dia menceritakan hal itu kepada kami – mengenai erti hidup ketika umur mencapai 77 tahun, mengenai hubungannya dengan Tuhan yang semakin diakrabkannya melalui solat tahajud, bacaan al-Quran setiap subuh, dan sebagainya.   

Malam itu ucapannya pun bukan sekadar ucapan biasa. Ada kawan-kawan yang terkejut dengan keterbukaan Samad menceritakan hal-hal yang agak bersifat peribadi dalam kehidupannya. Diucapkannya begitu bersahaja, seperti seorang ayah atau abang sedang berbicara dengan anak-anak dan adik-adik, yang hadir dalam suatu pertemuan keluarga. (Hanya seorang yang berusia lebih daripadanya – Cikgu Ishak Surin, 78 tahun).

Ada cerita yang hanya dimengerti oleh Shukur Harun dan Siti Zainon sahaja, barangkali.

Dan malam itu rupa-rupanya Samad Said tidak bercakap langsung mengenai Bersih 3.0 dan ‘Duduk Bantah’ yang sedang diperkatakan di mana-mana itu, walaupun dia adalah Pengerusi Bersama gerakan itu. Ternyatalah malam itu adalah malam untuk keluarga – sebuah keluarga seni yang Samad Said adalah ketua keluarganya.

Dan kami pula menampilkan seorang anak paling bongsu di antara kami bagi mengemudi majlis yang santai bersahaja itu. Biasanya Kassim yang melakukan itu. Saya pun biasa, Hasni pun biasa, Razali pun biasa. (Tapi malam itu Razali tak dapat hadir kerana harus berada di IJN, untuk angioplasty esoknya). Maka saya mencadangkan diserahkan kepada anak muda. Memang dia terkejut – Benz Ali, tanpa persiapan. Belum pernah. Tak mengapa.

Memang dia masih baru. Tapi keberaniannya tak diragui. Sewaktu mula tampil membaca puisi buat pertama kali di hadapan khalayak, di Labu NS, dia sudah memperlihatkan bakatnya. Kemudian dia membuat aktiviti baca puisi secara terjah di pasar malam bersama Rozan Azen, Ahnaf dan kumpulan kompang pimpinan Soleh, di pasar malam Taman Koperasi Polis, Batu Caves. Kemudian dia terlibat sama dalam peristiwa UPSI berdarah di malam tahun baru di Tanjung Malim itu. Dan beberapa lagi.

Memang dia nampak seperti gementar, apabila tampil untuk memulakan tugas pengacara majlis itu. Tetapi menariknya dia berterus-terang menyatakan perasaannya. Dan dia sentiasa ketawakan keadaan dirinya yang serba kekurangan pengalaman itu, menyebabkan rakan-rakan semua pun ikut ketawa. Maka meriahlah jadinya majlis itu pada setiap kali dia muncul. Dan di akhir majlis dia meminta pula untuk menyanyi, sambil mengaku yang dia memang tak pandai menyanyi, kerana bukan penyanyi.

Mungkin ada orang kurang senang dengan cara penampilan dan persembahan Benz Ali itu. Tetapi saya senang melihatnya. Ada keberanian, ada kejujuran, dan ada seninya. Dan saya mempunyai harapan dengannya. Saya mengharapkan dia memberi komitmen yang lebih terhadap aktiviti seni-budaya, dan saya mengharapkan lebih ramai anak muda akan bersama dengannya menghidupkan Paksi Anak Mudanya (PAM!).

Ya demikianlah malam itu sebenarnya adalah malam kekeluargaan seni. Yeoh dari Jalan Sultan juga hadir. Rahmat Harun kali ini tampil dengan gitar, menyanyikan puisi Samad Said dari kumpulan Rindu Ibu itu. Manakala Siti Zainon membacakan puisi yang ditulisnya di tanah suci merakamkan imej Samad Said yang hadir di antara pandangannya.

Barangkali bukanlah sambutan harijadi itu sebenarnya yang kita ra’ikan. Yang kita ra’ikan ialah sumbangannya, terutama pada umurnya 77 itu, bahawa dia masih lagi mahu mengambil risiko perjuangan yang sebegitu besar dan boleh membahayakan diri. Maka kita menyatakan penghargaan dan hormat kita kepadanya. Malah rasa terhutang budi dan rasa kasih kita di kalangan seniman.

Sebuah peristiwa kecil – tetapi saya percaya sebenarnya ia suatu peristiwa besar. 

Categories: Share

Leave a Reply