Dinsman
(Artikel 310, 30/4)
Mari tulis puisi “duduk
bantah”
Puisi
“duduk bantah”? Atau puisi “Bersih 3.0”? Mana satu yang betul? Atau
kedua-duanya betul? Pokoknya puisi mengenai bantahan rakyat terhadap kerajaan
Umno-BN yang nampaknya sengaja mengotorkan daftar pengundi untuk pilihanraya di
negara ini, dengan tujuan memastikan kemenangan kepada Umno-BN dan mengekalkan
kuasa mereka untuk terus memerintah dan menipu rakyat.
(Sasterawan
Negara A Samad Said menggunakan istilah golongan ‘bangsawan’ terhadap pimpinan
kerajaan Umno-BN yang memerintah Malaysia sejak 1957 hingga kini. Kita
sepatutnya membebaskan diri daripada cengkaman puak bangsawan tersebut,
katanya. Memang mereka tidak pernah berjuang untuk rakyat pun. Mereka hanya
mahu mengekalkan kuasa bangsawan mereka sahaja, dengan berselindung di sebalik
konon-kononnya berjuang untuk rakyat.)
Sempena
dengan bermulanya kempen Bersih 3.0 hari itu, kami beberapa orang AJK Seniman
Paksi Rakyat (Paksi) kebetulan sedang berbincang sesuatu dengan Ketua Pengarang
Harakah. Maka tiba-tiba muncul idea untuk berbuat sesuatu sebagai menyokong dan
memeriahkan peristiwa demo Bersih 3.0 yang menjelang tiba itu. Apa yang boleh dan
sesuai untuk dibuat? Kami berbincang, dan akhirnya timbul cadangan untuk
menganjurkan pertandingan menulis puisi sempena dengan kempen Bersih 3.0 itu.
Pada
mulanya ada yang cadang supaya keputusan pertandingan menulis puisi itu
diumumkan dalam perhimpunan 28 April, dan pemenangnya dikehendaki membaca
puisinya itu dalam perhimpunan tersebut. Tujuannya untuk memeriahkan lagi
perhimpunan itu.
Tapi
masa agak terlalu suntuk. Hanya beberapa hari sahaja lagi, waktu itu. Nak buat
pengumuman, nak keluarkan iklan dalam akhbar dan sebagainya, semua mengambil
waktu. Maka kami bersetuju untuk lanjutkan tarikhnya hingga selepas peristiwa
penting 28 April, dan bolehlah peristiwa 28 April itu sendiri pun dijadikan
bahan atau inspirasi untuk tulis puisi tersebut.
Pengalaman
menyertai perhimpunan atau demonstrassi Bersih 3.0 itu. Tak kiralah di mana
pun. Di Dataran Merdeka, atau di tempat-tempat lain, malah di luar negara juga
– pengalaman itu diungkapkan semula dalam puisi. Tentulah ada berbagai
pengalaman.
Ketika
artikel ini ditulis, peristiwa 28 April itu belum berlaku, maka kita belum tahu
lagi apa dan bagaimana peristiwa itu akan terjadi. Apakah ia akan dibenarkan
oleh pihak polis, dan ia akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang,
dan rakyat akan membanjiri Dataran Merdeka, hingga melimpah-limpah sampai ke
Masjid Negara dan sampai ke Pasar Seni dan sampai ke Sogo dan sampai ke PWTC.
Kita belum tahu.
Kalaulah
pihak polis tidak menghalangnya, tidak ada sekatan di jalan-jalan raya,
kenderaan awam seperti LRT, keretapi dan komuter pun tidak diganggu, maka
bagaimanakah jadinya? Ini yang kita ingin sangat nak tahu. Belum pernah lagi
terjadi begitu.
Bayangkanlah
suasana perhimpunan yang aman dan damai. Kuala
Lumpur bertukar menjadi suatu tempat perkelahan yang
dibanjiri oleh ratusan ribu manusia dari seluruh pelosok negara. Hah, siapa
kata para peniaga akan mengalami kerugian berjuta ringgit dan siapa kata para
pemandu teksi juga akan mengalami kerugian? Malah mereka sebaliknya akan
mengalami keuntungan yang berlipat ganda daripada hari-hari biasa. Cubalah!
Tidak
ada sebab pun untuk golongan tersebut mengalami kerugian. Itu satu pembohongan
di siang bolong tu! Budak tadika pun boleh fikir. Maka inilah yang kita
mengharapkan sangat supaya pihak kerajaan pimpinan Najib Razak bersama Rosmah
Mansor itu mencuba strategi baru – membenarkan rakyat berhimpun dengan aman
pada 28 April ini.
Yang
lepas-lepas semuanya diganggu oleh pihak polis, bermula dari sekatan di
jalanraya dan berakhir dengan tembakan gas pemedih mata dan kita bertempiaran
lari kerana tidak tahan dengan mata pedih dan sesak nafas, dan ditambah pula
dengan semburan air gatal, malah ada yang kena belasah hingga berdarah-darah
kepala dan sebagainya.
Makanya
sehingga sekarang semua orang sudah tahu – setiap kali ada perhimpunan samada
kecil atau besar, kenapakah berlakunya kekacauan atau rusuhan? Tak perlu saya
cakap lagi. Kita semua sudah tahu siapa yang menyebabkannya dan siapa yang
memulakannya. Rakyat awam di Malaysia
semuanya cintakan keamanan. Hanya pihak yang berkepentingan dan merasakan
kedudukan mereka tergugat sahaja yang curiga kepada sesama sendiri dan
menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memburuk-burukkan pihak lain. Ini
semua orang sudah tahu.
Namun
walau apa pun, seperti saya sebut tadi, ketika artikel ini ditulis tarikh
temasya yang dinanti-nantikan itu belum lagi tiba. Jadi kita belum tahu lagi
apakah yang sebenarnya akan terjadi. Pengalaman bagaimanakah yang sebenarnya
yang akan kita lalui. Inilah yang kita tunggu-tunggu, bagi membolehkan kita
mencipta puisi yang sesuai untuk menyertai pertandingan menulis puisi Bersih
3.0 itu.
Tapi
pun tidak semestinya puisi Bersih 3.0 itu hanya puisi-puisi yang menceritakan
pengalaman menyertai perhimpunan Duduk Bantah itu sahaja. Tidak semestinya.
Boleh tulis apa sahaja sebenarnya. Setiap orang ada idea, ilham, imaginasi dan
pemikiran sendiri mengenai Bersih 3.0 itu. Tulislah! Saya pun tak tahu apa lagi
yang boleh dipuisikan. Ruang dan skopnya terlalu luas sebenarnya. Anda sekalian
lebih tahu apa yang ada dengan diri anda. Asalkan ia menyentuh perjuangan
Bersih 3.0 itu.
Kita
mengharapkan ramailah yang akan menyertai pertandingan ini. Hadiah yang
ditawarkan pun agak lumayan juga. RM1,000 untuk sebuah puisi yang terpilih
sebagai puisi terbaik. Yang kedua terbaik RM750, dan seterusnya yang ketiga,
dan sagu hati dan hadiah penghargaan lagi. Ada banyak juga hadiah yang disediakan.
Dan
kita mengharapkan dapat pula menerbitkan buku antologi puisi-puisi tersebut.
Pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan
Pembangunan Modal Insannya yang bekerjasama menganjurkan pertandingan ini
tentulah tidak mahu melihat puisi-puisi itu dilupakan begitu sahaja tanpa
diabadikan dalam sebuah buku.