Background

Bicara kebenaran bersama anak muda


Dinsman (Artikel 305, 13/4)
Bicara kebenaran bersama anak muda

Mulanya saya bercakap mengenai “Mengapa perlu menulis”, berdasarkan pengalaman sendiri, dengan tujuan untuk membuka minda anak-anak muda yang menghadiri bengkel penulisan itu, supaya mereka mendapat gambaran mengenai proses menulis atau kreativiti, dan supaya mereka jadi terangsang untuk menulis.

Kemudian disambung oleh Kassim Muhamad, yang diminta oleh pihak penganjur untuk bercakap mengenai “Menulis untuk kebenaran”. Agak menarik apabila Kassim, setelah menyampaikan kuliahnya, lalu meminta para peserta memilih satu perkataan yang boleh mewakili pandangan dan fikiran mereka mengenai subjek yang diperkatakan, iaitu kebenaran.

Peserta bengkel itu terdiri daripada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri-negeri di utara, seramai 30 orang, lelaki dan perempuan, tahun 1, 2 dan 3, kebanyakannya di tahun 2, pelbagai jurusan.

Saya jadi teruja apabila melihat perkataan-perkataan yang mereka pilih. Antaranya seperti subjektif, enquiri, keadilan, perjuangan, takut, sistem, makna, prihatin, hipokrit, dan yang paling menggugah ialah perkataan ‘palsu’. Bagaimanakah kata ‘palsu’ boleh mewakili pandangan seseorang terhadap ‘kebenaran’?

Maka saya bertanya kepada pelajar tersebut, bagaimana ‘palsu’ boleh mewakili pandangannya terhadap kebenaran? Maka dia pun mengemukakan hujah-hujahnya. Memang dia mempunyai hujah yang agak bernas bagi mempertahankan pemilihan perkataannya itu. Demikian juga dengan yang memilih kata ‘hipokrit’, ‘takut’ dan sebagainya.

Di peringkat tersebut, memang itulah yang lebih penting. Boleh berhujah. Biar apa pun hujah mereka, apabila berhujah, mereka memperlihatkan kewajaran pandangan mereka itu, atau mereka menunjukkan jalur pemikiran mereka. Dan ternyata pelajar-pelajar IPT seramai 30 orang yang mengikuti bengkel penulisan itu masing-masing mempunyai minda yang bebas dan terbuka, dan berani meneroka.

Misalnya Mohd Adam Abu Bakar yang memilih perkataan hipokrit. Apabila diminta menuliskan hujahnya, dia menulis begini: “Hipokrit – itulah apa yang terlintas di benak fikiran saya sewaktu pertama kali ditanya mengenai kebenaran. Pada fahaman saya, manusia apabila ditanya mengenai kebenaran mereka akan mengikut apa sahaja yang dikatakan oleh pihak atasan. Tidak bisa menyampaikan kebenaran yang ada. Sebabnya, mereka hipokrit.

“Sudah hilang dalam diri manusia untuk mengatakan bahawa sesuatu yang benar itu adalah benar, dan yang salah itu adalah salah. Sebabnya, mereka hipokrit. Tidak bisa menjadi diri sendiri. Manusia itu takutkan kelainan, kerana yang dicari adalah persamaan sahaja. Oleh itu apa yang tinggal adalah keserataan dalam hubungan, kehidupan dan lain-lain. Sebabnya, mereka hipokrit.”

Bengkel tiga hari yang dibuat di Pendang Lake Resort (Kedah), anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu, turut diisi juga oleh Hasni Abas dan Herry Nurdi (dari Indonesia). Hasni bercakap mengenai aspek bahasa dalam penulisan; Herry Nurdi pula menceritakan pengalaman bacaannya yang begitu banyak dan luas (koleksi buku di rumahnya 60,000 buah), hingga memungkinkan dia menghasilkan 25 buah buku setakat ini, pada usia 34 tahun.

Sebelum itu Cikgu Azmi Ab Hamid selaku tuan rumah, memulakan bengkel itu dengan bicara mengenai realiti sebenar dan realiti rekaan manusia, yang menyebabkan masyarakat hari ini banyak tertipu olehnya.

Demikianlah, pada hari ketiga, apabila sekali lagi diminta memilih perkataan yang boleh mewakili pemahaman mereka terhadap kebenaran, kebanyakan peserta telah memilih perkataan yang lain pula, akibat perubahan dalam pemikiran mereka, hasil perbincangan selama dua hari.

Mohd Adam yang kelmarin memilih kata ‘hipokrit’, kini memilih pula kata ‘kosong’, dengan hujah: “Kosong – itulah apa yang saya fikirkan mengenai kebenaran. Hal ini kerana persepsi saya berubah. Saya beranggapan bahawa kebenaran itu akan menjadi kosong kalau kita tak mencari; kebenaran akan menjadi kosong kalau kita tidak ada ilmu; kebenaran akan menjadi kosong, dan tetap kosong, kalau kita biarkan; kebenaran tak akan terbukti, jika sifat kosong itu ada dalam diri. Kekosongan itu boleh dipenuhi jika kita sendiri mahu penuhinya. Terpulang pada diri kita. Semuanya kita.”

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama kami dari Seniman Paksi Rakyat (Paksi) terlibat dalam diskusi mengenai ‘kebenaran’. Ini kali yang entah ke berapa. Sudah banyak kali. Tetapi inilah pertama kali berdiskusi mengenai kebenaran bersama dengan anak-anak muda dari IPT. Terasa kelainannya, berbanding dengan diskusi bersama orang-orang dewasa sebelum ini, termasuk dengan golongan penulis.

Apa kelainannya? Pertama ialah pendekatan mereka, atau bagaimana mereka melihat subjek yang dibincangkan. Cukup menarik apabila didapati tidak ada seorang pun di kalangan pelajar itu yang cuba memberi tafsiran politik kepartian semasa, terhadap makna kebenaran itu, sedangkan itulah tumpuan pemikiran dan tafsiran pihak penulis, budayawan dan intelektual yang pernah kami berdiskusi sebelum ini.

Bahkan begitu sukar sekali untuk mengajak mereka dari golongan penulis, budayawan dan intelektual itu membicarakan kebenaran yang tidak dikaitkan dengan tafsiran politik kepartian semasa. Sudah beberapa kali diskusi dan forum diadakan, termasuk yang pihak Paksi tidak terlibat pun, apabila berbicara mengenai kebenaran maka kebenaran itupun dikaitkan dengan fahaman politik semasa, hingga kelihatan bercambahlah prasangka terhadap politik dan juga terhadap kebenaran, padahal mereka sendiri yang memilih untuk berfikiran demikian, dan pada waktu yang sama mereka mendakwa pula bahawa mereka tidak berpihak ke mana-mana. Alangkah anehnya!

Maka saya teringat pada dialog seorang Profesor dengan seorang Sasterawan Negara yang bertanyakan pendiriannya dalam penulisannya. Kata Profesor itu, “daripada silap tempat berdiri, baiklah duduk-duduk atau tidur di rumah!” Seperti dia begitu yakin bahawa duduk dan tidur di rumah itu tidak silap. Barangkali para pelajar itu lebih arif akan kesilapannya.

Categories: Share

Leave a Reply