PERLU NASIONALISME DILUNTURKAN?
Dinsman
(Artikel 381, 24/5)
PERLU NASIONALISME
DILUNTURKAN?
Nasionalisme
ialah semangat kebangsaan. Ia berhubungan dengan bangsa. Yakni semangat cinta
kepada bangsa sendiri. Manakala patriotisme pula ialah semangat cintakan
tanahair, iaitu berhubungan dengan tanahair (negara).
Dalam
pelajaran sejarah di sekolah kita belajar mengenai sejarah kebangkitan semangat
nasionalisme (atau semangat kebangsaan), yang kita anggap sebagai bermulanya
perjuangan kita menuntut kemerdekaan negara kita daripada cengkaman penjajah.
Jadinya
terdapat nilai yang kita sanjung tinggi dan kita muliakan di dalam istilah
nasionalisme atau semangat kebangsaan itu. Sering juga kita menghubungkan
istilah nasionalisme dengan istilah jatidiri. Seseorang yang tidak mempunyai
semangat nasionalisme biasanya dia juga tidak mempunyai jatidiri; atau
sebaliknya seseorang yang tidak mempunyai jatidiri itu dikatakan dia juga tidak
mempunyai semangat nasionalisme.
Demikianlah
nasionalisme atau semangat kebangsaan itu sudah tertanam di dalam jiwa dan
minda kita sebagai sesuatu yang bernilai mulia dan disanjung tinggi. Maka tidak
hairanlah apabila dikatakan bahawa kebanyakan orang Melayu yang masih percaya
atau menyokong Umno adalah disebabkan oleh semangat nasionalisme dan percayakan
bahawa jatidiri mereka adalah berhubungkait dengan nasionalisme itu; yang
tanpanya mereka akan kehilangan nilai yang mulia dan disanjung tinggi.
Itulah
juga sebabnya maka kebanyakan golongan penulis, sasterawan, budayawan dan
cendekiawan kita masih berpihak kepada Umno-BN dan tidak menyokong Pakatan
Rakyat (PR). Inilah rumusan beberapa orang ahli Gatera (Gerakan Intelektual
Rakyat) secara tidak rasmi sewaktu kami bercakap-cakap di malam ceramah
‘Gerakan Intelektual Rakyat’ di Sungai Merab Luar, Sepang, 3 Mei lalu. Antara
yang menimbulkan pandangan ini ialah Prof Shaharir Mohd Zain.
Memang,
apabila difikirkan dan direnungkan pandangan tersebut, ternyata ada
kebenarannya. Itulah yang menyebabkan ramai kawan-kawan kita ‘di sebelah sana ’ itu masih kukuh
dengan pegangan dan pendirian mereka.
Kita
bertanya apakah mereka tidak nampak kejahatan dan kezaliman para penguasa
Umno-BN, sepertimana yang kita nampak. Yang sebenarnya bukan mereka tidak
nampak. Yang sebenarnya mereka ada faktor lain yang lebih penting, iaitulah
faktor nasionalisme dan jatidiri, yang dihubungkan pula dengan ‘ketuanan Melayu’.
Faham yang membentuk sikap ini begitu kuat di kalangan mereka, hingga kejahatan
dan kezaliman para penguasa Umno itupun menjadi kecil pada pandangan mereka.
Memang
nasionalisme dan faham atau semangat kebangsaan itu sudah kuat tertanam dalam
jiwa dan minda orang Melayu. Saya sendiri pun pernah mengalaminya, hingga
pernah saya menganggap Tok Guru Nik Aziz tidak faham makna
nasionalisme/kebangsaan apabila beliau berkata Umno menolak Islam apabila Umno
berpegang dengan faham nasionalisme/ kebangsaan. (Rujuk artikel “Nik Aziz tak
faham makna ‘kebangsaan’?” dalam buku Kelantan
22 Tahun Bukti Kejayaan, hal.93-96).
Apabila
Prof Shaharir dan kawan-kawan seolah-olah membuat rumusan seperti disebut di
atas, saya pun teringat kepada hujah TG Nik Aziz yang menolak faham kebangsaan/
nasionalisme itu. Dan setahu saya hanya TG Nik Aziz sahaja yang pernah bercakap
dan berhujah begitu. Dan dia mengulangi hujah tersebut berkali-kali, hingga dia
pernah juga mengatakan Umno sebagai ajaran sesat (bagi memahamkan orang akan
maksudnya itu).
Sekarang
siapakah yang mampu berhujah kepada orang Melayu yang masih kuat berpegang
kepada faham kebangsaan/nasionalisme (juga faham jatidiri dan ketuanan Melayu)
hingga tidak nampak kejahatan dan kezaliman para penguasa Umno itu, termasuk
kebanyakan golongan penulis, sasterawan, budayawan dan cendekiawan kita ‘di
sebelah sana’ itu? Atau apakah kita masih bergantung harap pada Tok Guru Nik
Aziz juga untuk melakukannya?
Saya
timbulkan soalan ini bukannya kerana apa, kerana memikirkan bahawa perkara ini
adalah suatu perkara yang besar, berat dan rumit untuk dilakukan. Anda
fikirkanlah! Seperti saya sebut tadi, perkara nasionalisme dan faham kebangsaan
ini telah tertanam kuat di dalam jiwa dan minda orang Melayu sebagai sesuatu
yang bernilai mulia dan di sanjung tinggi. Tiba-tiba kita hendak minta supaya
perkara ini dikesampingkan, dengan hujah bahawa ia tidak sesuai dengan ajaran
Islam.
Bukankah
selama ini kita beranggapan bahawa Islam dan faham kebangsaan (nasionalisme)
itu tidak bercanggah, dan boleh wujud bergandingan dalam diri seseorang? Apa
salahnya seorang Islam mempunyai semangat cintakan bangsanya?
Memang
rumit untuk menghujahkan hal tersebut. Seseorang harus terlebih dahulu dapat
menghayati dan mencintai Islam lebih daripada segalanya, maka barulah dia boleh
berhujah seperti yang dihujahkan TG Nik Aziz itu.
Tidak
hairanlah, sekian lama kita mendengar TG Nik Aziz berhujah supaya orang Melayu
meninggalkan nasionalisme/kebangsaan dan mengambil Islam sepenuhnya sebagai addeen atau cara hidup yang sempurna; tetapi
kita tidak pernah mendengar tokoh pimpinan lain berhujah demikian.
Memang
tidak mudah untuk menolak sesuatu yang sekian lama tertanam di jiwa dan minda
sebagai bernilai mulia dan disanjung tinggi dalam masyarakat. Tetapi itulah
yang diusahakan oleh TG Nik Aziz sekian lama. Mungkin tidak ramai orang
menyedarinya.
Saya
berharap para pimpinan PAS yang lainnya – ambillah perjuangan Tok Guru Nik Aziz
ini, dan teruskanlah berjuang mengikut jejak langkahnya itu. Hujahkanlah supaya
faham kebangsaan (nasionalisme) tidak lagi menjadi halangan kepada kita untuk
meletakkan Islam di tempatnya yang tinggi dan mulia!