Background


Dinsman (Artikel 304, 9/4)
Metafora dan Pemikiran Melayu

Salah satu sumbangan besar Datuk Dr Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ialah hasil kajiannya mengenai ‘Metafora Melayu’ seperti yang terakam dalam monograf terbitan Akademi Kajian Ketamadunan, 2003, “Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk Epistemologinya”.

Sumbangan besarnya yang lain ialah memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris), dan menggembleng rakyat yang sedar jatidiri dan cintakan bahasa Melayu turun ke jalanraya Kuala Lumpur, sekitar 100 ribu orang, kerana membantah dasar itu, pada 7 Mac 2009.

Manakala sumbangannya sewaktu mengemudikan bahtera bahasa dan sastera Melayu selama 12 tahun sebagai Ketua Pengarah DBP itu tidaklah dapat disebutkan di ruang yang terhad ini, kerana banyaknya, (sebelum ia dirosakkan sedikit demi sedikit oleh para penggantinya sejak 1988, hinggalah Februari tahun ini apabila Dr Awang Sariyan cuba membangunkan semula harapan yang telah rebah itu).

Pada 6 Mac lalu Persatuan Penulis Budiman Malaysia bersama Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI, telah menganjurkan Wacana Pemikiran Datuk Hassan Ahmad, bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, bagi mengungkapkan sumbangan-sumbangan beliau (Hassan Ahmad) dalam pelbagai bidang.

Enam orang sarjana dan seorang bekas pegawai DBP telah mengemukakan pandangan dan hasil kajian mereka. Antaranya ialah Datuk Zainal Abidin Borhan (Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan dan mantan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya) yang berbicara mengenai ‘Metafora Melayu’, berdasarkan monograf yang disebut tadi.

Seniman Paksi Rakyat (Paksi) yang memang sejak pemergian Hassan Ahmad ke alam baqa pada 31 Ogos 2011 bercadang untuk menganjurkan majlis ilmu sempena mengingati sumbangannya, berpendapat bahawa pemikiran mengenai Metafora Melayu ini wajar terus diangkat, supaya lebih ramai lagi orang dapat menyedarinya dan membuat penilaian semula terhadap pemikiran Melayu, dan seterusnya penilaian semula terhadap tamadun Melayu.

Secara kebetulan Paksi baru sahaja mencapai persetujuan dengan Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, untuk menganjurkan satu siri majlis Wacana Ilmu secara sederhana, di Shah Alam, dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi tradisi apresiasi ilmu di kalangan masyarakat. Maka inilah program yang akan memulakan siri tersebut.

Wacana Ilmu bertajuk “Metafora Melayu – Pemikiran Hassan Ahmad”, berdasarkan monografnya ‘Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk Epistemologinya’, akan diadakan di Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS), Shah Alam, pada 14 April 2012 (Sabtu), bermula 9.00 pagi dan berakhir sekitar 1.00 tengahari.

Tiga orang sarjana yang akan membicarakan subjek ini ialah Zainal Abidin Borhan, Siti Zainon Ismail dan Dr Nurdeng Durasheh. Kalau di UPSI pada 6 Mac lalu hanya Zainal Abidin Borhan seorang yang membicarakan subjek Metafora Melayu (sebagai sebahagian daripada kandungan ucaptamanya berjudul “Datuk Hassan Ahmad: Lubuk Akal, Gedung Bicara, Lautan Budi”), maka kali ini beliau akan berkongsi dengan dua orang sarjana lagi membicarakan mauduk yang sama.

Tentulah mereka akan memilih pendekatan yang sesuai dan serasi dengan bidang kepakaran masing-masing. Siti Zainon Ismail misalnya adalah seorang profesor dan pengkaji seni dan budaya Melayu di rantau Nusantara. (Dia juga seorang pelukis, penulis puisi, novel, cerpen dan esei budaya). Walaupun minatnya lebih cenderung kepada seni tampak, namun meneliti hasil kajian Hassan Ahmad itu tentulah akan membuahkan beberapa pandangannya yang dijangka akan cukup menarik.

Nurdeng Durasheh ialah pensyarah falsafah sains dan ketamadunan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Lulusan dari ISTAC yang berasal dari Patani ini tentulah mempunyai sisi-sisi keistimewaannya tersendiri apabila berbicara mengenai pemikiran Melayu yang metaforik, mengikut pendapat Hassan Ahmad itu.

Apakah makna metafora? Kata Hassan Ahmad, “Saya menggunakan istilah yang lebih luas daripada istilah intelektual, iaitu ‘akal budi’ atau ‘kehalusan akal’, untuk menilai isi dan corak pemikiran Melayu. Nilai ini akan kita nampak melalui metafora Melayu yang dibentuk melalui peribahasa dan pepatah Melayu, melalui pantun, melalui cerita rakyat atau lipur lara, melalui hikayat dan melalui karangan bercorak metafizik, seperti yang terdapat misalnya dalam puisi (syair) penyair tasawuf agung Melayu, Hamzah Fansuri.” (ms 3-4)

Malah mengikut Hassan Ahmad, teks yang besar seperti Hikayat Hang Tuah itu pun dapat dianggap sebagai “wacana metafora naratif yang besar”.

Hassan Ahmad merumuskan tiga fakta atau proses penting dalam pembentukan pemikiran Melayu melalui metafora, iaitu: “(a) metafora dan hasilnya pemikiran Melayu, terbentuk melalui proses pengalaman, akliah, dan renungan, dan intuisi atau ‘rasa hati’ sekaligus; (b) metafora Melayu dibentuk oleh manusia Melayu yang bijak dan pantas fikirannya; dan (c) metafora Melayu menghasilkan suatu sistem pendangan hidup bersama bangsa Melayu atau sistem rangkaian sosial pemikiran Melayu melalui evolusi sosial.” (ms 13)

Antara yang menarik diperhatikan hasil kajian Hassan Ahmad ini ialah bahawa pemikiran Melayu tidak sampai ke tahap membuat kesimpulan berdasarkan premis yang tidak benar (seperti dalam silogisme Aristotle, misalnya), kerana pemikiran Melayu adalah berdasarkan dua kaedah asas, iaitu:

“(a) menguji ‘konsep’ atau pemikirannya melalui pengalaman sebelum konsep itu dapat diterima kebenarannya; (b) berdasarkan kepercayaan yang merentas keterbatasan alam fizik untuk memikirkan hal-hal yang ‘ghaib’ sesuai dengan firman Allah dalam kitab al-Quran, dengan menggunakan kaedah atau hujah tamsil ibarat… yakni melalui metafora” (ms 35)

Maka seeloknya datanglah pada 14 Februari ini, dan seeloknya hubungi kami terlebih dahulu untuk pastikan ada tempat untuk anda. (SMS 012-2787558)

Categories: Share

Leave a Reply