CERITA KONSPIRASI TERHADAP NIK AZIZ
Dinsman
(Artikel 382, 27/5)
Cerita konspirasi
terhadap Nik Aziz
Telah
lebih dua minggu berlalu setelah Datuk Ahmad Yaakob mengangkat sumpah sebagai
Menteri Besar Kelantan pada 6 Mei 2013, dan Datuk Husam Musa tidak terlantik ke
dalam saf Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang baru itu; di Kuala Lumpur masih
terdengar cerita-cerita yang kurang menyenangkan – kononnya ada konspirasi
meminggirkan Tok Guru Nik Aziz dari jawatan Menteri Besar yang telah
disandangnya selama 23 tahun itu.
Sewaktu
saya berkunjung ke pejabat Harakah pun cerita konspirasi itu masih kedengaran
di situ. Di kalangan kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat pun ada yang mempersoalkan
cadangan Paksi bekerjasama (menganjurkan satu program) dengan kerajaan Kelantan
pimpinan Ahmad Yaakob, dengan alasan tidak mahu bersyubhat dengan konspirasi.
Hingga
saya pun menjadi hairan sendiri, mengapa pula saya yang dilihat (di kalangan
kawan-kawan) lebih ‘hampir’ dengan TG Nik Aziz ini tidak pula berfikir atau
terasa demikian? Padahal saya mengikuti (dari jauh) setiap perkembangan dan
pergerakan TG Nik Aziz khasnya di hari bersejarah 5 Mei itu.
(Zali
kawan saya merakam video pergerakan TG Nik Aziz sepanjang hari 5 Mei itu, dari
pagi hingga ke malam, yang sepatutnya TG Nik Aziz mengumumkan keputusan di
pejabat PAS Negeri di Bangunan Zulkifli Muhamad, Kota Bharu, malam itu tetapi
beliau tidak hadir. Saya menonton keseluruhan rakaman video tiga jam itu.)
Keterkejutan
orang menerima berita pengunduran TG Nik Aziz itu memang kita faham, walaupun
saya tidaklah terkejut sangat, kerana berdasarkan apa yang saya selalu ikuti
perkembangan hidup dan tugas Tok Guru (telah masuk tahun ke-23 menjadi Menteri
Besar) yang telah mencapai usia 83 tahun, dan persoalan siapakah bakal
penggantinya pun telah beberapa kali dibincangkan, maka soal kemungkinan Tok
Guru akan berundur pada bila-bila masa sahaja itu memang sudah ada dalam
fikiran saya. Jadi berita bahawa bukan TG Nik Aziz yang angkat sumpah pada
petang Isnin 6 Mei itu tidaklah memeranjatkan sangat.
Dan
mengapa harus fikirkan ada konspirasi? Kerana yang mengambil tempat Menteri
Besar itu rupa-rupanya seorang tokoh yang kurang dikenali ramai di luar
Kelantan. Itulah sebabnya barangkali. Apa sebab lain lagi?
Saya
sering ke Kelantan dan acapkali berbincang dengan kawan-kawan di sana mengenai siapa bakal
mengambil tempat MB apabila dikosongkan TG Nik Aziz (kerana faktor tertentu).
Maka saya pun tak berasa pelik apa-apa dengan berita petang Isnin itu. Memang
Ahmad Yaakoblah, siapa lagi?
Memang
dia tidak sehebat atau setokoh TG Nik Aziz. Tetapi dialah yang paling layak di
antara yang ada, dan dia pun sudah 10 tahun membantu TG Nik Aziz, sebagai
Timbalan Menteri Besar, sejak 2004.
Lalu
bagaimana timbulnya cerita konspirasi itu? Inilah peliknya. Mengenali TG Nik
Aziz secara dekat, dan orang-orang di sekelilingnya, saya tak dapat melihat di
mana wujudnya jalur yang boleh mencetuskan kita berfikir adanya konspirasi itu.
Tak mungkin. Dan hal ini berbeza sangat dengan cerita yang cuba
mensabitkan TG Nik Aziz dengan perbuatan rasuah dulu itu (yang kemudiannya
disahkan karut oleh pihak SPRM sendiri). Itu digerakkan oleh pihak yang memang
bermusuh dengan PAS.
Di
kalangan pimpinan PAS Kelantan sendiri wujud tokoh yang boleh menggerakkan
konspirasi bagi menyingkirkan TG Nik Aziz, dan TG Nik Aziz pun berjaya
disingkirkan secara konspirasi itu? (Eh, biar betul!..) Ada kemungkinkah begitu? Saya tak percaya ada
kemungkinan itu.
Namun
disebabkan agak meluas cerita itu tersebar di Kuala Lumpur , termasuk di kalangan
kawan-kawan sendiri, saya pun terasa perlu mengesahkan keyakinan, lalu
menghubungi beberapa sumber yang layak dipercayai di Kota Bharu, termasuk di
kalangan keluarga di Pulau Melaka sendiri.
Memang,
sumber-sumber yang mengetahui secara langsung dalam cerita ini pun mengakui –
memang wujud cerita-cerita tak betul di sekitar peralihan Menteri Besar
daripada TG Nik Aziz kepada Ahmad Yaakob itu. Sebab apa terjadi begitu –
biarlah. Yang pentingnya tulisan ini ingin menjelaskan hal yang sebenar.
TG
Nik Aziz sudahpun menyatakan hasratnya untuk berundur itu, kepada orang
terdekat dengannya, sebelum hari mengundi lagi. Dan di hari mengundi itu
selepas membuang undi dan melawat beberapa tempat mengundi, tengah harinya selepas
solat Zuhur di masjid Cabang Empat (sempat tazkirah sekejap), Tok Guru pulang
ke rumah dan tidak keluar lagi, kerana tidak sihat. Doktor datang ke rumahnya
petang itu.
Malam
itu semua orang menunggu kehadirannya di Pejabat PAS Negeri untuk membuat
pengumuman keputusan, seperti kebiasaan setiap kali PRU. Tok Guru tidak hadir. Bukan
dia sengaja tidak hadir sebab dia hendak berundur. “Bukan,” kata anak menantu di
Pulau Melaka. “Esoknya saya sendiri tanya Tok Guru mengapa tak datang. Dia kata
sebab tak sihat, badan jadi tak larat sangat.”
Namun
malam itu TG Nik Aziz memanggil mesyuarat Dewan Harian ke rumahnya pagi-pagi
esoknya, pukul 7 pagi. Setiausaha Kerja Dewan Harian yang buat panggilan,
melalui SMS, seperti biasa.
Dalam
mesyuarat itulah Tok Guru mencadangkan Datuk Ahmad Yaakob untuk mengisi jawatan
Menteri Besar, dan mendapat persetujuan semua yang hadir. Selepas mesyuarat itu
Tok Guru masuk hospital. Dia bercadang hendak hadir majlis angkat sumpah di
istana petang itu, sebab itu dia memesan supaya pakaian khas untuk itu turut
dibawa ke hospital. Tetapi keadaan kesihatannya petang itu tidak mengizinkan
dia hadir.
Saya
meninjau juga pandangan beberapa pihak di Kelantan terhadap tindakan TG Nik
Aziz membuat cadangan pelantikan Datuk Ahmad Yaakob itu. Rata-rata mereka
bersetuju, “untuk mengelak daripada berlaku perselisihan yang serius dan
keadaan yang lebih rumit,” akui seorang YB.