Background

CERPEN - FAIL MERAH


FAIL MERAH
karya AH Karim

TUK Nyok mengamuk. Mukanya merah padam. Seribu garis kedut di mukanya yang terlalu tua itu bertambah nyata.
Tetapi Piemlani,  yang tidak lagi terlalu muda itu, sekadar tunduk. Dia duduk di sisi sebelah kiri Tuk Nyok. Mujurlah dia memilih tempat duduk yang tidak bertentangan, jika tidak mungkin tenungan geram lagi tajam Tuk Nyok membunuh hasratnya. Dia terpaksa menyatakan juga,“Saya tidak berdaya menyekat, Tuk. Ini kehendak majoriti rakyat..”
“Ciss!!” belum lagi habis Piemlani berhujah Tuk Nyok sudah menyembur, “Bodoh! Rakyat tau apa? Aku dulu tak ambil pusing dengan kehendak rakyat. Aku lebih tahu apa yang patut diberi kepada rakyat. Kau tahu tak, rakyat hanya pentingkan semangat. Buat apa dengan semangat? Boleh hidup dengan  semangat? Bangsa kamu..mm…bangsa kita, bangsa Melayu hanya pentingkan semangat Melayu, bangsa Melayu, bahasa Melayu. Ah, sudah…sudah. Semua itu tak boleh memajukan rakyat dan Negara!”
 Dia terlalu marah. Dan apabila dia terlalu marah lidahnya fasih mengungkap kata makian dalam bahasa Inggeris. Dadanya terasa ketat. Hidungnya yang terlalu mancung itu diuli-ulinya buat melegakan laluan pernafasan. Matanya dibeliak-beliakkan agar kekelabuan dan kerabunan terasa sedikit cerah. Dia mengelak dari memandang muka Piemlani kerana terasa amat benci yang meluap-luap. `Berani  dia merombak dasar yang aku buat..bangsat! @#&%!` dia menyumpah dan mencarut dalam hati—dalam bahasa Inggeris.
“Tapi Tuk, kita tidak ada pilihan. Kuasa rakyat terlalu mendesak. Masa depan parti kita amat tergugat. Kita kini nyawa-nyawa ikan. Kita sudah hilang suara dua pertiga. Suara dari dalam parti sendiripun saya tak dapat bendung, Tuk.” Piem menjawab balas dalam bahasa Inggeris yang sempurna. Sebenarnya bahasa Inggeris Piemlani lebih baik dari Tuk Nyok, maklum sajalah dia terdidik di England  sepanjang persekolahannya hingga mendapat ijazah, walhal Tuk Nyok bersekolah dan universiti tempatan saja.
“Diam!” Tuk Nyok menengking, “Aku tak mahu mendengar alasan bodoh seperti itu. Sepanjang 20 tahun lebih aku memerintah siapapun tak berani mencabar aku. Itulah, bila aku lantik orang lembik mengganti aku begini jadinya. Ah, persetan itu semua, apa yang aku mahu kau rombak semula. Kembalikan bahasa Inggeris sebagai bahasa matematik dan sains…” belum sempat Tuk Nyok habis Piemlani terus memotong, satu perbuatan yang tak pernah berlaku sebelum ini.
                “Tuk, tolonglah. Biar kita lebih berhemah. Serahkan kepada saya. Sebenarnya kami ada formula dan strategi yang baik. Sebenarnya saya amat komited untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa dan pengantar utama. Percayalah Tuk, saya akan…”
                “Apa, berhemah? Menatang apa tu?” terkeluar kepekatan telor dan pelat utaranya yang sememangnya lidah Tuk Nyok. “Dengar sini. Dalam mentadbir sebuah Negara mundur seperti kita ni, tak boleh berhikmah-hikmah, faham tak? Dengar sini betul-betul, dari dulu lagi aku dah kata, model kita ialah Atartuk, pemerintah Turki dulu tu. Kau ingat Turki boleh maju seperti sekarang kalau Kamal Atartuk tak keluarkan rakyat Turki dari belenggu budaya dan agama?”
Piemlani tidak menjawab, tidak juga mengangguk. Bukan dia tidak bersetuju keseluruhan dengan apa yang dikatakan oleh Tuk  tetapi dia sudah tidak yakin dengan strategi dan fahaman yang pernah dibawa oleh Tuk  dahulu. Dia juga kini faham dengan sikap Tuk Nyok  yang bukan berapa Melayu itu yang sanggup mengorbankan jatidiri dan asas budaya Melayu demi kelansungan kuasanya. Dia tidak sanggup berbuat demikian, kerana walau fikiran nya juga terkehadapan seperti Tuk Nyok namun hambatan keMelayuannya masih mengawal dirinya.
                Entah kuasa apa yang tiba-tiba menguasai dirinya membuat dia mahu bertegas. Lalu dia bangun berdiri dan berhadapan dengan Tuk Nyok. Tuk Nyok terasa ada sesuatu yang tak kena. Diapun cuba bangun tetapi sisa kudrat sudah berkurangan. Dia kembali bersandar terperonok ke sofa empuk, sekadar mengangkat kelopak mata mengerutkan dahi merenung Piemlani yang tiba-tiba kelihatan tinggi sepuluh kali ganda dari biasa.
                “Tuk, saya ingin menyatakan sesuatu yang pasti Tuk tak suka dengar, tetapi sampai masa Tuk mendengar. Begini, gelanggang Tuk dahulu berlainan dengan gelanggang saya sekarang. Cara sepak-terajang, kilas-mengilas, menggadas-menyiku, tepis-menepis semuanya sudah berlainan. Gelanggang Tuk dah usang, dah buruk, dah tak boleh dipakai lagi! Dunia dah berubah, Tuk. Pemimpin autokratik, kuku-besi dah punah-ranah.  Demokrasi ala Tuk dulu dah ranap. Kini slogan kita ialah `reformasi`..oops `transformasi`! semua undang-undang yang mengongkong rakyat terpaksa kita  nyahkan, kita terpaksa pinda.” Sebaik Piemlani berhenti untuk menarik nafas Tuk Nyok cuba mencelah, namun Piemlani yang seolah-olah dikuasai oleh entah semangat jin apa terus menyergah, juga dalam bahasa Inggeris
                “Diam dan duduk! Mulai sekarang Tuk jangan campur tangan lagi. Saya Piem! Piemlani! Saya tidak mahu diganggu lagi. Mulai  sekarang media hanya akan menyiarkan suara Tuk yang disalur melalui pejabat saya. Malah blog Tukpun akan ditulis oleh pegawai saya. Tuk akan menjadi..” Piemlani tidak dapat meneruskan kerana tiba-tiba pintu bilik diketuk dan penasihat@pemikir Tuk Nyok melangkah masuk. Dia terus menuju kearah Tuk Nyok dan menyerahkan sebuah fail berwarna merah yang tertulis “Highly Confidential” di kulit.
                Piemlani, yang tadi merasa begitu besar dan gagah, tiba-tiba terasa kecil dan koro. Bola matanya liar berbolak-balik melihat sekejap kearah fail di tangan Tuk Nyok dan sekejap menjeling liar ke arah renungan tajam Vincent Legam Polock, penasihat@pemikir Tuk Nyok yang berketurunan campuran Yahudi.
                Tuk Nyok pula tiba-tiba mendapat kembali kekuatannya. Dia bangun dengan agak mudah dan berdiri sambil mengibas fail di tangan kanan. Selepas itu dia membuka kulit fail dan menyelak helaian-helaian dalam fail. Senyum sumbing terukir di bibirnya dan matanya bersinar-sinar. Vincent Ligam Polock merapatinya dan menunjuk kandungan dalam fail yang sudah ditandanya dengan sekeping kertas kuning. Tertera dua-belas perlakuan di bawah nama Piemlani semasa dia menjadi Embi dan  Menteri dahulu di bawah Tuk Nyok. Terpamer nama-nama jantan-betina dan projek-projek yang dikaitkan dengan nama Piemlani.
                Tuk Nyok menjegil matanya kearah Piemlani yang duduk terperonyok di kerusi di hadapannya. Tiba-tiba dia kerising. Berseringai seolah-olah dia mempunyai taring macam drakula. Kemudian dia ketawa yang bertukar menjadi dekahan berkahak. “Mampus kau kali ini…” dia mengumam.
                Piemlani bingkas bangun dengan sedikit terhoyong. Fikirannya celaru. Matanya terasa berbinar. Tiba-tiba saja Tuk Nyok sudah berdiri di hadapannya dengan fail yang terbuka di tangan. Tuk Nyok menunjuk-nunjuk keras dan mengetuk-ngetuk dengan jari kedutnya ke tulisan di kertas di dalam fail itu.
                Mata Piemlani yang terasa bersergai berbinar itu masih dapat membaca ayat yang ditulis besar bertanda penyerlah kuning. Dia terasa pening bagai hendak pitam. Mujur Vincent Ligam Polock berada disisinya dan segera memegang lengannya dan menghenyak dia supaya duduk semula.
 Apabila dia terasa sedikit lega dia segera bangun dan menuju ke arah Tuk Nyok yang sudah kembali duduk di sofa. Piemlani terus menerkam dan melutut serta menyambar tangan Tuk Nyok dan menciumnya bertalu-talu. Melihat keadaan yang pelik lagi menjijikkan itu Vincent Ligam Polock segera memegang kedua-dua bahu Piemlani, mengangkatnya dan menyonsongnya keluar dari pejabat Tuk Nyok.
Dan Tuk Nyok  tersandar sambil tergelak terbahak-bahak bercampur batuk dan kahak. Fail Merah di tangan kanannya dikibas-kibas lega.

ahkarim, as-syajarah…031211

Categories: Share

1 ulasan:

  1. Episod melutut, peluk dan cium segala tangan ini biasalah - lumrahnya alam pecacai. Demikianlah makna sebenar kemerdekaan diri, semasa dalam perkhidmatan, sibuk mengejar anak-anak tangga bernama pangkat dan gelar dan pabila sudah wajib bersara wajib, kena fikir pula institusi mana yang boleh dimasuki untuk dijadikan pengerusi dan kerusinya. Habis, bila lagi mahu merdeka? Elok edarkan naskhah "Jiwa Hamba" oleh almarhum Azizi Abdullah, banyak-banyak. Biar merdeka jiwa dan raganya seluruh mereka yang bersekolah tinggi-tinggi (macam-macam universiti, dengan segala macam degree) tapi tak pernah juga merdeka.

    Wallahuaklam. (ps: Bila nak buat program di Kuala Nerang?)

    BalasPadam