Background
Dinsman (Artikel 268, 25/11)
Mengalu-alukan seorang ‘pejuang bahasa’ yang baru

Ada dua tiga tajuk sudah siap beratur menunggu giliran untuk ditulis, sesuai dengan dua tiga peristiwa budaya yang penting. Tapi tiba-tiba kawan-kawan pula kecoh hal seorang pensyarah dari universiti di sebuah pulau di utara Malaysia yang menulis lagi pasal bahasa dan masalah PPSMI, yang caranya menulis itu agak pelik sedikitlah. Maka saya pun bacalah tulisan beliau itu dan muta’idlah keinginan untuk menjawabnya, lalu terpaksalah diketepikan dulu tajuk-tajuk yang sudah beratur itu untuk didahulukan maudhuk ini.

Arkian, ada pun pensyarah ini nampaknya seperti orang yang baru saja bangun dari tidur yang di dalam tidurnya itu dia telah mendapat satu mimpi yang menyuruh dia menulis mengenai soal bahasa dan masalah PPSMI, seolah-olah dialah seorang yang sangat arif mengenai perkara tersebut dan dialah seorang yang bersemangat waja untuk berjuang mendaulatkan bahasa Melayu, lalu dengan berpakaian seperti Hang Lekiu pahlawan zaman kesultanan Melaka itu dia pun tampil dengan keris terhunus di tengah-tengah khalayak, membuka pencak silatnya dan teruslah dia menghamburkan kata-kata dari dalam mimpinya itu tanpa peduli lagi untuk mengenali terlebih dahulu siapakah yang berada di kanan dan di kirinya dan siapakah yang berada di depan dan di belakangnya.

Aduhai, maka beberapa orang yang berada di kiri dan di kanan itu pun pedihlah juga cuping telinga mereka mendengar tutur kata yang sangat sumbang dan kecundang itu, bukan layaknya seorang pujangga yang tahu menghormati sahabat dan handai. Aduh, dia mengata-ngata pejuang bahasa yang pro-PPSMI telah tidak bertindak bijak kerana terpukau dengan janji manis Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, padahal dia tidak kenal pun siapakah yang dimaksudkannya pejuang bahasa itu.

Ha ha, dia nampaknya tidak tahu pun apa yang telah dan sedang berlaku dalam padang dan gelanggang serta medan perjuangan bahasa selama ini. Ha ha, inilah yang membuatkan kawan-kawan menjadi mashghul, kerana sepatutnya beliau itu menjelmakan dirinya terlebih dahulu di halaman GMP – Gerakan Mansuhkan PPSMI, dan bertanya khabar mengenai duduknya perkara yang sebenar, kerana gerakan memperjuangkan supaya dihapuskan PPSMI ini sudahpun lama diwujudkan dan telahpun bertempur di medan perang dengan ratusan ribu para pejuangnya yang hadir dari seluruh pelosok negeri.

Di manakah beliau itu pada ketika A Samad Said sedang kelemasan dek semburan gas pemedih mata dari soldadu ganas Umno-BN itu? Apakah beliau masih diulet mimpi-mimpi manis bersama para profesor kangkung di menara-menara ilmu yang sesat itu ataupun beliau juga hadir bersama dalam pertempuran yang dipimpin oleh Datuk Hassan Ahmad (semoga Allah merahmati rohnya) dan A Samad Said serta Prof Shaharir Mohd Zain itu?

Tidak mengapalah beliau hadir ataupun tidak dalam peristiwa yang bersejarah itu. Mungkin beliau ada penjelasannya sendiri. Tetapi berdasarkan tulisannya itu nampaknya beliau yang baru bangun dari tidurnya yang panjang ini tidak membuat usul periksa terlebih dahulu, melainkan meluru dengan membuta tuli sahaja. Tidak pasti siapakah yang dimarahinya dan siapakah yang dimusuhinya dan siapakah yang disimpatinya, atau apakah tujuan dan matlamatnya yang sebenanrnya?

Sewaktu kali pertama dia membuat kemunculannya dulu, saya berhujah kepada kawan-kawan supaya kita menyambutnya dengan ramah dan baik walaupun dia tidak memberi salam pun kepada kita.

“Apa salahnya kita menyambut dia dengan baik, kerana dia nampaknya hendak menyokong kita juga walaupun cara dan pendekatannya itu agak kasar, sombong dan kurang beradab sikit. Tak mengapalah, kita pun barangkali dilihat orang begitu juga,” hujah saya kepada kawan-kawan yang sedanag gusar.

Saya memilih untuk melihatnya sebagai seorang penyokong baru kita. Dan kehadiran seorang penyokong baru yang seperti beliau itu amatlah berfaedah untuk perjuangan kita, samada perjuangan dalam medan bahasa dan sastera mahupun perjuangan dalam “berani berkata benar” di medan umum masyarakat kita hari ini yang semakin tidak faham dengan maksud ‘kebenaran’ itu sendiri pun.

Memang, bukannya mudah untuk mendapat seorang penyokong baru dalam suasana yang tidak menentu hari ini. Mungkin tutur katanya itu agak bercelaru dan tersilap tuju di sana sini. Tidak mengapalah. Yang pentingnya niat di dalam hatinya itu, atau ‘kesedaran’ di dalam dirinya (seperti kata yang diungkapkan Arbak Othman dalam analisa puisi di Melaka itu, dan mungkin akan diungkapkannya lagi 26 Nevember ini di surau KBD jalan Gombak).

Memang dia seperti tidak menyedari pun akan kewujudan dan peranan yang dimainkan oleh GMP selama ini. Maknanya, dia juga mungkin tak pernah membaca pun akhbar Harakah dan kolum Wacana  Budaya ini. Kalau dia membaca Harakah tidak mungkinlah dia tidak menge-tahui dan menyedari akan kerja-kerja yang dibuat oleh GMP dan juga Paksi selama ini. ‘Kan?

“Tetapi dia menulis dalam Harakah. Tak mungkin dia tak baca Harakah?” bidas kawan saya.

“Apa nak hairankan?” jawab saya. “Beberapa orang kawan kita daripada Asasi Kedah itu, yang puisi dan cerpen mereka dihantar dan disiarkan dalam Harakah, mereka masih lagi bersikap seperti orang Gapena yang Umno-BN itu, yang masih takut untuk ‘berani berkata benar’. Karya saja mereka hantar ke Harakah. Baca Harakah belum pasti.”

“Jadi, yang ini pun macam itu juga?” bingkas seorang kawan. “Mereka ini takut untuk ‘berani berkata benar’, atau memang tidak ada kesedaran?”

Tak mengapalah, walau apa pun. Kita jangan bermusuh dengan mereka.

Tetapi apabila dia muncul lagi dengan cara dan gaya yang tidak berubah seperti dulu juga, masih dengan bodoh-sombongnya itu walaupun berpakaian seorang cerdik pandai dan mahaguru di menara gading, dan kawan-kawan saya pun jadi masyghul lagi, maka saya pun terusik jugalah untuk membuat sedikit usikan kepadanya.

Arkian, maka tulisan ini pun mohon mengundur diri. Salam!

Dinsman (Artikel 267, 18/11)
Bicara Antologi Puisi 56 Penyair oleh Arbak

Sabtu 12 November lalu saya bersama Kassim dan Nasser (kakisakat) ke Ayer Keroh, Melaka, menghadiri program Bicara Buku Sastera anjuran Ikatan Persuratan Melaka (IPM), yang Razali Endun menjadi Ketua Duanya. (Ketua Satunya Hj Mokhtar Yassin).

Ada tiga buah buku dibicarakan. Ombak & Pantai, antologi cerpen dan puisi penulis-penulis IPM; Pada Bumi Permata, kumpulan puisi Aladin Mohamad; dan Gelora Belantara, novel karya Razali Endun. Para pembicaranya ialah Siti Aisah Murad, Zaen Kasturi, Arbak Othman dan Hamzah Hamdani. Majlis dirasmikan oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.

Alhamdulillah, walaupun program menghadapi beberapa masalah ketika dalam proses penyediaannya, (seperti diceritakan Razali Endun), namun pelaksanaannya ternyata berjalan dengan baik sekali. Tahniah kepada Ikatan Persuratan Melaka, yang menyambut ulang tahunnya ke-61 tahun ini. IPM merupakan badan penulis tertua di negara kita.

Sempatlah saya bertemu dengan ramai kawan-kawan yang sudah lama tak bertemu, di samping kawan-kawan baru. Dan sempatlah juga mendengar bicara sastera yang kira-kira seratus peratus sastera begitu; tanpa ada kecondongan kepada hal-hal lain selain sastera. Seolah-olah sebuah dunia yang mutlak atau utopia begitu!

Tetapi ada sesuatu yang menarik pada bicara Arbak Othman. Tajuk bicaranya “Kesedaran sebagai Strategi Kreativiti Puisi Aladin Mohamad dalam antologi Pada Bumi Permata”. Saya tertarik pada kata “kesedaran” yang dipilih oleh Profesor Madya dari Universiti Putra Malaysia ini. Maka kembali ke rumah, saya membaca semula makalahnya itu. Memang menarik.

‘Kesedaran’ sebagai strategi kreativiti puisi. Melihat unsur-unsur ‘kesedaran’ dalam puisi-puisi yang dibicarakannya. Anda tentulah faham apabila disebut ‘kesedaran’ itu apakah makna dan maksudnya. Tentulah kesedaran ke arah kebaikan, ke arah kebenaran, ke arah keadilan, ke arah menentang kemungkaran, menentang kezaliman dan menentang penyelewengan.

Bukan sekadar berbicara mengenai keindahan bahasa dan imaginasi seni yang tidak mencecah persoalan kehidupan kemanusiaan. Tetapi berbicara langsung mengenai persoalan dalaman manusia, yang terhasil dari pergolakan dalam kehidupan masyarakatnya.

Memang Arbak Othman seorang sarjana di bidang linguistik. Tetapi ternyata kepekaannya dan ‘kesedaran’nya sendiri adalah melampaui hal-hal teknik berbahasa dan teknik berimaginasi serta menyusun kata-kata indah semata.

Kawan-kawan pun bersetuju. Maka Arbak kami undang untuk mengisi acara Himpunan Seniman-Budayawan yang menyambut ulangtahunnya berhimpun di surau Madrasah Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, kerana menyokong ‘kesedaran’ penduduk-penduduk kampung berkenaan memperjuangkan hak mereka mempertahankan warisan kampung laman mereka.

Sempena himpunan kali pertama dulu yang diadakan pada 1 Muharam 1431, diterbitkan sebuah “Antologi Puisi 56 Penyair (Kampung Warisan Kuala Lumpur)”, maka puisi-puisi ‘kesedaran’ itulah yang akan dianalisa dan diperkatakan oleh Arbak pada 26 November ini.

Soleh, Ketua Pemuda surau, yang memimpin anak-anak muda menyelenggarakan himpinan ini memberitahu, pada pagi 26 November itu orang-orang kampung akan menumbangkan seekor lembu, untuk memeriahkan acara aulangtahun himpunan. “Petangnya bolehlah kita makan sup,” katanya.

Mereka yang hadir dalam himpunan tahun lalu tentu masih ingat betapa meriahnya orang-orang kampung menyediakan berbagai hidangan yang tak putus-putus bagi meraikan para seniman dan budayawan yang mulai berhimpun pada petang itu.

Tahun lalu kita mulakan acara muzik dan puisi sejak petang lagi. Itupun tatkala ditamatkan acara sebelum 12 malam, ada beberapa orang tidak sempat menzahirkan pernyataan atau pengucapannya. Maka untuk kali ini sudah ada kawan yang mencadangkan supaya kita mulakan acara lebih awal.

Walau bagaimanapun, sehingga saat ini pihak kami belum dapat kepastian siapa-siapakah dan berapa ramaikah yang akan hadir nanti. Pyanhabib setakat ini hanya menjanjikan akan mengajak kawan-kawan lama yang hadir dulu dan juga kawan-kawan baru, melalui blog dan FBnya. Kalau kita mendapat makluman awal siapa-siapa yang akan hadir, insya Allah bolehlah kita mengatur programnya lebih awal.

Apa pun, yang pastinya bicara karya 56 penyair itu akan disampaikan oleh Arbak Othman sekitar pukul 4.45 petang, selepas solat Asar, bertempat di ruang perpustakaan surau. Mereka yang puisinya mengisi antologi tersebut eloklah jangan lepaskan peluang berharga ini. Pasti ada mutiara yang akan dikeluarkan oleh Arbak dari celah-celah karangan puisi kita itu.

Mereka yang tidak ada puisinya di dalam antologi itu pun dialu-alukan hadir. Manakala mereka yang bercadang untuk menampilkan apa-apa persembahan, yang mungkin seunik persembahan Rahmat Harun dan Farid Ayam pada tahun lalu itu: “Sudi-sudilah memaklumkan pihak kita lebih awal,” ujar Cikgu Ishak Surin, imam dan ketua kampung yang menjadi ‘penghulu’ himpunan kita ini.

“Bukan apa, supaya dapatlah kita menyusun sedikit aturcara kita tu!” katanya.

Demikianlah, dan oleh kerana himpunan ini mula dulu diadakan bagi menyokong perjuangan orang-orang kampung mempertahankan kampung warisan kita di Kuala Lumpur, tentulah kita ingin mengetahui bagaimana perkembangannya setelah setahun itu.

Dan sementara itu dengarnya ada pula kampung-kampung Felda seluas 360,000 hektar yang sedang terancam. Maka selepas ini kita pun bercadang untuk ke Felda pula, berpuisi di sana, di Felda Sg Tengi, Hulu Selangor, pada 23 Disember. Apa pun, kita cerita di Kampung Bandar Dalam nanti.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)
Dinsman (Artikel 266, 14/11)
Wacana Azizi dan TGNA di Utara

Minggu ini Seniman Paksi Rakyat (Paksi) akan berada di utara, untuk aktiviti mengenang Sasterawan Rakyat Azizi Hj Abdullah, baca puisi 10 tahun Perbandaran Kulim, dan bicara buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…”.

Acara pertamanya mengenang SR Azizi Hj Abdullah, sasterawan yang banyak menghasilkan novel dan cerpen kisah rakyat. Novel terbarunya ialah ‘Mandala Dunia Kedua’, yang beliau sendiri tidak sempat melihatnya kerana ia diterbitkan setelah beliau meninggal dunia.

Acara “Azizi Dalam Kenangan” ini akan berlangsung pada 18 November, selepas solat maghrib, di Masjid Batu, Permatang Pauh – sebuah masjid yang menyimpan banyak kenangan mengenai Azizi. Bukan sahaja dia selalu menjadi pengacara bagi majlis-majlis budaya yang dianjurkan masjid ini, tetapi mengikut Cikgu Khairuddin, Azizi juga pernah beberapa kali membaca khutbah Jumaat di masjid ini.

Cikgu Khairuddin ialah Pengerusi Masjid Batu. Dialah orangnya yang buat pertama kali berani menganjurkan pementasan teater di dalam ruang solat di masjid (pada tahun 2009). Dan keberanian itu dikongsinya bersama Azizi, kerana Azizilah yang membuat pengenalan terhadap seni dan teater kepada jemaah masjid. Teater yang dimaksudkan ialah “Menunggu Kata Dari Tuhan” (MKDT) lakonan Sabri Yunus dan muzik oleh Sani Sudin.

Malam 18 November ini beberapa orang sahabat Azizi akan berucap mengungkapkan episod-episod tertentu mengenai Azizi. Episod dengan Masjid Batu tentulah akan diungkapkan oleh Cikgu Khairuddin, manakala episod Azizi dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan diungkapkan oleh Cikgu Azmi Ab Hamid, yang mempunyai pengalaman secara langsung mengenainya.

Episod Azizi dengan Seniman Paksi Rakyat akan diungkapkan oleh Kassim Muhamad (Barajiwa), yang juga akan memperkenalkan novel terbaru Azizi. Beberapa orang sahabat dari Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP) akan membaca puisi, manakala Ketua Satu 2PNP, Anuar Asmadi, sebagai sahabat karib Azizi tentunya mempunyai episod tertentu untuk diungkapkan.

Esok paginya, 19 November, acara bicara buku, dianjurkan oleh PAS Cawangan Taman Kuala Muda, Kepala Batas, bersama dengan parti KeAdilan Kuala Muda. Tempatnya di Dewan Ismail Che’ Chik Bakau Tua, Penaga. Buku yang dibicarakan ialah “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengeikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman” karangan Dr Shaharir Mohd Zain.  

Mengikut Musthafa Kamal, Setiausaha PAS Cawangan Taman Kuala Muda, hanya Cikgu Azmi Ab Hamid bersama saya sahaja, yang secara rasmi akan membicarakan buku tersebut dalam majlis yang akan bermula jam 9 pagi itu.

Saya bersetuju dengan Musthafa Kamal bahawa majlis bicara buku ini akan lebih berupa suatu diskusi. Yakni bukan dibicarakan oleh dua orang pembicara rasmi itu sahaja. Orang lain juga digalakkan untuk berbicara, berdiskusi, memberi pandangan. Makanya Musthafa Kamal pun telah membeli beberapa naskah buku tersebut untuk ditelaah oleh kawan-kawannya Pemuda PAS dari cawangan dan bahagian berkenaan, untuk nantinya mengambil bahagian dalam diskusi.

Biarlah ada Pemuda PAS di Lembah Kelang yang beranggapan mereka tidak perlu mengkaji buku mengenai kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz, dan tidak perlu menghadiri majlis bicara bukunya, dengan alasan-alasan tertentu, namun saya masih dan tetap berpendapat bahawa Pemuda PAS sepatutnya mempelajari dan mengkaji buku ini, khasnya sebagai salah satu persediaan untuk menjadi pemimpin yang baik.

Walaupun anda mengenali Tok Guru Nik Aziz dan selalu mendengar ceramahnya, tidak bermakna anda sudah tahu apa yang dibicarakan oleh Prof Shaharir di dalam buku ini. Misalnya apakah anda tahu ciri-ciri kepemimpinan yang baik mengikut pandangan sarjana-sarjana Islam seperti Al-Mawardi, Ibnu Khaldun, Al-Baqilani, Al-Qurtubi, Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali dan Bukhari Al-Jauhari? Bagaimana pula dengan pandangan sarjana bukan Islam seperti Machiavelli, Kirkeby dan Cakravantin?

Memang saya berpendapat buku ini patut dibaca oleh sesiapa sahaja yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin yang baik. Bukan kerana saya terlibat dalam penerbitannya, tetapi kerana ia memang sebuah bahan telaah dan rujukan yang baik. (Jangan marah!)

Okey, seterusnya pada 27 November, sempena dengan sambutan 10 tahun Perbandaran Kulim, Paksi bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kulim menganjurkan Wacana Azizi, yang dinamakan “Azizi Mutiara Sastera Bukit Meriam”. Wacana yang pengisian utamanya akan disampaikan oleh Sasterawan Negara A Samad Said ini dibuat di Dewan UNIKL, Kulim, bermula jam 10 pagi.

Bersempena dengan ini juga pihak Perpustakaan Awam Kulim akan mengadakan suatu pameran khas mengenai Azizi. Terima kasih kepada Anuar Asmadi (2PNP) yang mengambil inisiatif ke arah mengadakan pameran ini, dengan persetujuan YDP Majlis Perbandaran Kulim, Hj Mohd Zohdi Hj Saad.

Pada malamnya pula akan diadakan Malam Semarak Genta Puisi, di Taman Tasik Putera, Kulim. Sekali lagi SN Samad Said akan membuat persembahan bacaan puisinya, di samping beberapa orang penyair Kedah seperti Puzi Hadi, dan di samping persembahan Gurindam, lagu-lagu puisi dan sebagainya.

Dan sebelum itu pada 26 November, Paksi mempunyai suatu acara penting di Kampung Bandar Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, sempena dengan ulangtahun penerbitan “Antologi Puisi 56 Penyair: Kampung Warisan Kuala Lumpur”. Apa acara pentingnya? Tunggu! Akan dimaklumkan nanti. Insya Allah.

Dinsman (Artikel 264, 7/11)
Daulat bahasa Melayu dan jati diri bangsa

Kempen mendaulatkan Bahasa Kebangsaan terus dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka walaupun pada waktu yang sama pihak kerajaan sendiri menunjukkan tanda-tanda secara jelas yang mereka sama sekali tidak menghiraukan kempen tersebut, sebaliknya mereka lebih mendaulatkan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian mereka, baik dalam urusan rasmi mahupun urusan tidak rasmi.

Maka pada waktu itu apabila saya ternampak iklan-iklan kempen tersebut, termasuk melalui billboard yang boleh dilihat di tepi lebuhraya, saya terfikir betapa kelirunya, betapa bebalnya dan betapa bodohnya orang-orang (Melayu) di negeri ini. Apa gunanya kempen tersebut? Apa tujuannya dibuat? Apa maknanya kalau dalam masa yang sama para pemimpin negara sendiri (Melayu dan bukan Melayu) lebih suka menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan seharian mereka (rasmi dan tak rasmi)?  

Bahkan pelajar-pelajar yang tak pernah tahu bahasa Inggeris pun dipaksa supaya belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? (Entah logik fikiran apa yang diguna pun tak tahulah!) Dan peliknya, ramai pula para ilmuan, sarjana dan pendidik kita yang berusaha mencari alasan dan hujah serta rasional bagi menyokong tindakan para pemimpin politik yang keliru (dan tak ada jati diri) itu.

Maka demikian jugalah reaksi spontan saya apabila terpandang pada billboard iklan kempen tersebut yang baru, baru-baru ini. Aduh, mereka buat lagi kerja bodoh yang membazir itu – kata hati kecil saya. Tetapi kemudiannya saya teringat pada beberapa kenyataan yang baru oleh Menteri Pelajaran (yang juga Timbalan Perdana Menteri) yang seperti menegaskan keputusan untuk menghapuskan PPSMI.

Bahkan bukan sekadar kenyataan untuk menghapuskan PPSMI sahaja, tetapi saya juga pernah terbaca beberapa berita dan kenyataan lain yang menunjukkan seperti adanya suatu gerakan baru di pihak kerajaan Umno-BN (yang tertentu) dan juga media penyokong kerajaan itu, untuk mendaulatkan semula penggunaan bahasa Melayu, khasnya dalam urusan rasmi kerajaan.

Dan entah secara kebetulan atau memang dirancang (hingga terjadi pada waktu yang bersesuaian) tiba-tiba pihak Gapena dan DBP pula menganjurkan Kongres Bahasa. Maka reaksi spontan saya (yang fikirannya masih dalam mood seperti di atas tadi) masih agak sinikal. Untuk apa diadakan kongres? Apa yang nak dibincang dalam kongres itu?

Telah berjuta kanak-kanak Melayu diperbodohkan dengan dasar gila PPSMI itu. Manakala Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang dulunya sangat berperanan dalam memajukan bahasa dan sastera Melayu, kini sejak dilaksanakan PPSMI hampir sepuluh tahun lalu dan sejak diswastakan beberapa jabatannya, sudah jadi sangat tidak bermaya dalam menjalankan tugas dan peranannya.

Maka untuk apa lagi kongres bahasa itu, yang dianjurkan oleh dua buah badan dan institusi terpenting dalam memelihara dan memajukan bahasa dan sastera Melayu itu? Setelah mereka sendiri membiarkan bahasa Melayu itu dihina, direndah-rendahkan dan dipinggirkan dari arus pembangunan dan kemajuan negara, sekarang mereka pula mengajak orang berkongres bahasa. Untuk apa?

Kalau hendak mendaulatkan dan memajukan bahasa Melayu, agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan NGO seperti Gapena yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang diperlukan untuk maksud itu, tidak perlu lagi kepada kongres. Apa yang diperlukan hanya kembali kepada keadaan yang telah dicapai suatu waktu dulu, dimana bahasa Melayu sudahpun didaulatkan dan dilaksanakan penggunaannya dalam hampir semua sektor, dan sudahpun menjadi bahasa ilmu.

Malah suatu waktu dulu bahasa Melayu sudahpun menjadi bahasa perpaduan kaum di negara ini. Ia diterima dan digunakan oleh semua kaum. Tetapi kenapa kemudian keadaannya jadi mundur semula (kucar-kacir), dan sekarang kita menghadapi masalah perpaduan kaum yang semakin tidak sihat?

Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan kaum ini sudah tidak dipedulikan oleh para pemimpin Umno-BN yang semakin keliru disebabkan mereka semakin lemas dalam perlumbaan untuk mengumpul harta dan kekayaan.

Inilah penyakit dan musibah apabila suatu bangsa tidak lagi mempedulikan soal jati dirinya. Cubalah fikirkan: suatu bangsa yang tidak ada perasaan cinta dan sayang kepada bahasa dan budayanya sendiri. Disebabkan terpesona dengan bayangan dan impian menjadi maju dan kaya, (terpesona dengan kempen ketuanan budaya Inggeris yang pernah menjajahnya, dan masih menjajah minda dan jiwanya), suatu bangsa yang tidak ada jati diri ini sanggup membuang bahasa dan budayanya sendiri, sedangkan itulah dia jati diri dan akar budinya!

Bangsa ini juga suatu waktu dalam sejarahnya pernah membuang tulisan Jawi yang menjadi miliknya dan khazanah tamadunnya yang unik dan sangat berharga itu!

Maka demikianlah saya perhatikan bukan sahaja di pihak yang menyebelahi PPSMI, malah di pihak yang mahukan PPSMI dihapuskan pun, faktor jati diri tidak dilihat mereka sebagai faktor yang penting. Padahal saya melihat faktor ini adalah asasnya, atau puncanya.

Disebabkan faktor lemahnya jati diri para pemimpin kita inilah maka berlakunya pelbagai permasalahan dalam masyarakat kita hari ini. Orang Melayu hari ini berada dalam keadaan yang keliru. Mereka keliru dalam pelbagai perkara, termasuklah dalam soal bahasa dan pendidikan, juga dalam soal politik.

Manusia itu kejadiannya memang berbangsa-bangsa dan berpuak-puak. Al-Quran sendiri menegaskannya demikian. Islam pun tidak menafikan faktor ini. Apabila kita cuba menafikannya maka akibatnya ialah kekeliruan yang sedang kita alami sekarang.

Permasalahan bahasa Melayu dan PPSMI ini bukan sekadar permasalahan bahasa dan pendidikan. Ia adalah permasalahan jati diri suatu bangsa.

Kerana fahaman beragama kita yang berbeza?

Baru-baru ini saya bertemu seorang kawan lama, seorang budayawan, penulis, juga tokoh korporat, bergelar Datuk. Lama tak berjumpa. Dia baru terbitkan buku kumpulan eseinya, yang saya pun turut membantu penerbitan itu.

Maka lamalah kami berbual-bual. Dari petang hingga ke malam. Kami bertiga. Kawan yang seorang lagi pun penulis juga. Novelnya yang kedua baru dipasarkan di Sabah dan Sarawak. Kami mempunyai beberapa pemikiran yang sama, kecuali dalam hal politik dan fahaman beragama barangkali saya berbeza sedikit dengan mereka.

Saya sebut fahaman beragama bukanlah bermaksud kawan-kawan saya itu berbeza agama dengan saya. Tidak. Kita semua sama-sama beragama Islam. Tetapi fahaman beragama kita itu – ada yang memisahkan agama daripada politik, dan ada yang tidak memisahkannya. Itulah maksud saya. Ada orang nampak perbezaan itu sangat kecil dan ada orang nampak itu suatu perbezaan yang besar.

Saya kurang pasti, kerana belum pernah memikirkannya secara serius. Tetapi selepas pertemuan itu saya jadi terfikir, dan mulai melihat perkara itu agak menarik untuk difikirkan. Kami memang tidak bercakap pun hal itu. Kami banyak bercakap soal bahasa, soal budaya, soal rasuah dan soal generasi muda apakah mereka pedulikan masa depan bangsanya ataupun mereka tidak ambil tahu.

Sepanjang percakapan itu saya terasa dan tersedar bahawa pemikiran mereka agak berbeza dengan pemikiran saya. Maka saya banyak membiarkan saja mereka berbicara, dan saya lebih banyak mendengar.

Memang kami masing-masing tahu yang pemikiran dan pendirian politik kami berbeza, sejak peristiwa Anwar Ibrahim 1998 itu; dan kami cuba menghormati pendirian masing-masing, dengan mengelak daripada berbincang hal-hal yang menyentuh apakah mereka di pihak yang benar atau saya di pihak yang benar. Namun saya pun mendengar versi pandangan mereka dan mereka pun mendengar versi pandangan saya. Tak jadi masalah.

Misalnya kawan saya itu menceritakan dia kadang-kadang tak dapat tidur malam kerana memikirkan nasib masa depan bangsanya yang semakin kehilangan kuasa; dan dia sangat risau memikirkan generasi muda kini yang dilihatnya seperti tidak ambil kisah pun terhadap kuasa Melayu yang semakin terhakis itu.

Maka saya sambil mendengar bicaranya itu sambil saya merasakan perbezaannya dengan pemikiran dan sikap saya; dan sambil itu saya pun berfikir – apa sebenarnya yang membentuk perbezaan antara kami ini?

Saya kira kami tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dalam hal yang membezakan antara kami. Walaupun saya menyokong parti politik tertentu dan mereka pun menyokong parti politik tertentu, tetapi kami tidak ada apa-apa kepentingan peribadi di dalamnya. Jadi, kenapa kami tak boleh berbincang untuk mencapai titik persefahaman?

Demikianlah maka saya terfikir – mungkin disebabkan oleh fahaman beragama yang berbeza. Saya meletakkan agama sebagai perkara yang paling utama dalam hidup, manakala mereka mungkin tidak demikian. Saya tidak memisahkan agama dengan politik, manakala mereka memisahkannya.

Saya melihat kebenaran itu semuanya (mutlak) dari sudut pandangan al-Quran dan Sunnah, manakala mereka mungkin tidak demikian. Maka saya tidak diganggu dengan kerisauan memikirkan kuasa Melayu yang semakin terhakis, sebaliknya saya berfikir dan berusaha apa yang termampu bagi membantu pihak yang berjuang untuk menegakkan kuasa dan kebenaran Islam di negara ini.

Mereka mungkin melihat parti PAS memperalatkan agama Islam untuk mendapat kuasa memerintah negara. Tetapi saya tidak melihatnya demikian, kerana saya faham akan dasar dan prinsip agama dan politik itu bukan sesuatu yang dapat dipisahkan. Rasulullah tidak pernah memisahkan agama dengan politik dan pentadbiran negara.

Yang memisahkan politik dan pentadbiran negara dengan agama (Islam) itu ialah penjajah. Itu dasar yang dilaksanakan oleh Inggeris ketika mereka menjajah negara ini. Kenapa kita perlu pertahankan dasar penjajah itu? Kenapa kita tidak mahu fahami Islam itu sebagai satu cara hidup yang sempurna seperti yang disebut dan ditegaskan berulang-ulang kali di dalam al-Quran?

Maka ketika kawan-kawan saya itu menyatakan kerisauan mereka melihat generasi muda hari ini seperti tidak mempedulikan nasib bangsa mereka yang sedang kehilangan kuasa politik di negara ini, saya tidak memikirkannya demikian. Malah saya memikirkan yang sebaliknya, kerana saya baru saja bersama-sama dengan mereka, puluhan ribu anak-anak muda kita, memenuhi jalanraya ibukota kerana menuntut supaya pilihanraya dijalankan secara bersih (Bersih 2.0). Betapa pedulinya mereka – anak-anak muda hari ini!

Demikianlah maka saya fikir kita perlu berikan perhatian yang lebih kepada soal fahaman bergama ini. Kita mesti lebihkan usaha untuk menjelaskan faktor ini. Kita mesti perbetulkan fahaman beragama di kalangan orang Melayu. Kita mesti memikirkan cara dan strateginya.

Saya tidak menyentuh hal ini ketika berjumpa dan berbual panjang dengan kawan-kawan lama saya itu. Alasannya ialah kerana menghormati pendirian dan fikiran mereka, dan mereka pun menghormati pendirian dan fikiran saya. Jadinya?

Tidak mengapalah. Saya pun baru saja memikirkan hal ini. Mungkin orang lain sudah lama memikirkannya, saya tidak tahu. Tetapi saya tahu yang Tok Guru Nik Aziz sudah lama memikirkannya, dan dia pun sudah lama berusaha dan berjuang bagi memperbetulkan kesilapan tersebut.