Menghayati dan mendeklamasi puisi
Dinsman
(Artikel 302, 30/3)
Menghayati dan
mendeklamasi puisi
Sabtu
24 Mac saya bersama Kassim Muhammad dijemput menjadi hakim pertandingan
mendeklamasi sajak, anjuran Muzium Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Petaling
Jaya. Turut bersama menjadi hakim ialah Norhisham.
Seramai
36 orang peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori – sekolah rendah,
sekolah menengah dan dewasa. Masing-masing 12 orang bagi setiap kategori. Sajak
bertemakan Petaling Jaya.
Satu
peristiwa yang menarik. Pertamanya kerana lokasinya di tempat terbuka di
tengah-tengah Taman Tasik Petaling Jaya. Memang lokasi dan suasana yang cantik
dan indah, di pagi Sabtu yang segar itu. Maka saya pun membayangkan sesuatu
yang lain pula, yang sangat sesuai dan sangat cantik kalau dibuat di situ – tak
lain tak bukan tentulah persembahan puisi dan lagu-lagu puisi. Alangkah
berseni-budayanya Petaling Jaya!
Tetapi
itu cerita lain. Yang nak saya bincangkan di sini ialah mengenai menghayati dan
mendeklamasi puisi, sempena peristiwa pertandingan mendeklamasi sajak oleh
Muzium Petaling Jaya itu. Khabarnya itu kali yang ke enam dan tahun yang ke
enam mereka menganjurkannya. Maka persiapannya pun nampak teratur dan rapi.
Semuanya
menghafal. Semua peserta dari semua kategori. Hanya seorang dua yang membawa
kertas kecil di tapak tangan untuk dilihat sesekali. Ada yang terlupa dan Norhisham perlu
mengingatkan. Tak mengapalah hal itu.
Secara
keseluruhannya saya perhatikan ada satu perkara yang seperti diabaikan oleh
cikgu-cikgu yang mengajar deklamasi berkenaan, iaitu perkara penghayatan. Dalam
borang pemarkahan memang terdapat perkara penghayatan, yang dibahagi pula
kepada dua bahagian. Peratusan markahnya pun kecil. Padahal inilah perkara yang
utama dalam pembacaan atau deklamasi puisi/sajak.
Bagi
kategori sekolah rendah terutamanya, saya tak fikir peserta-peserta itu dapat
menghayati sajak-sajak yang dibaca. Cara pengucapan dan intonasi suara (irama) serta
gerak tangan mereka menunjukkan demikian. Dan sajak-sajak yang dibaca itu
adakah sesuai dengan mereka? Daripada manakah sajak-sajak itu diambil, atau
dipilih?
Sepatutnya
inilah perkara pertama yang perlu diperhatikan. Sajak-sajak yang dideklamasi
itu biarlah sajak-sajak yang baik dan sesuai. Kalau boleh biarlah karya
penyair-penyair ternama. Biarlah para pelajar/peserta itu tahu dan dapat
mengenali puisi-puisi yang baik. Dan itu adalah asas kepada deklamasi atau
pembacaan yang baik.
Yakni
asasnya ialah pemilihan puisi. Bukan semua puisi sesuai untuk dideklamasi,
walaupun puisi yang baik. Maka untuk ini ia mestilah puisi yang baik dan sesuai
untuk dideklamasi oleh pendeklamator tertentu. Bagi kategori sekolah rendah,
mestilah puisi yang sesuai dengan peringkat umur dan tahap pemikiran mereka. SN
A Samad Said misalnya, mempunyai buku kumpulan puisi yang khas, sesuai dengan
peringkat ini, iaitu kumpulan Rindu Ibu.
Penghayatan
ialah perkara yang kedua, iaitu setelah puisi telah dipilih. Menghayati sebuah
puisi ialah memahami maknanya, menyelami maksudnya dan menikmati keindahannya
sebagai sebuah karya seni. Berdasarkan penghayatan itulah maka lahirnya
persembahan, dalam bentuk dan gaya
yang sesuai dengan maksud dan semangat puisi itu sendiri.
Tidak
semua puisi memerlukan lontaran suara yang lantang dan nyaring (yang nampaknya
menjadi kegemaran hampir semua peserta). Ada
puisi yang memerlukan bacaan yang bersahaja. Ada puisi yang memerlukan aksi atau gerak
badan dan ada puisi yang memerlukan pendeklamatornya berdiri diam sahaja.
Semuanya
bermula dan bertolak daripada penghayatan terhadap puisi yang hendak dibaca
itu. Dan ini sebenarnya bukanlah masalah dalam pertandingan deklamasi yang
dianjurkan oleh Muzium Petaling Jaya ini sahaja. Apa yang saya bincangkan ini
adalah masalah dalam keseluruhan pertandingan deklamasi puisi yang selalu
diadakan di negara ini.
Mereka
mempunyai gaya baca (atau deklamasi) yang
tersendiri, yang berbeza daripada gaya
baca penyair-penyair dalam majlis-majlis baca puisi yang bukan pertandingan
deklamasi. Agak menghairankan juga bagaimana hal ini boleh terjadi. Dari
manakah asalnya lahir gaya
deklamasi istimewa di kalangan peserta-peserta pertandingan mendeklamasi puisi
itu?
Hendak
dikatakan gaya itu adalah hasil peniruan
terhadap gaya
pemenang-pemenang dalam pertandingan mendeklamasi puisi yang sering dianjurkan
di negara kita – rasanya tidak juga. Sebab setahu saya di kalangan penyair
sendiri ada beberapa orang yang pernah memenangi pertandingan mendeklamasi
puisi peringkat kebangsaan, seperti Puzi Hadi dan Shukri Abdullah.
Tidak
seorang pun di kalangan peserta yang mendeklamasi pada pagi Sabtu di Taman
Tasik Petaling Jaya itu membawa gaya
persembahan Shukri Abdullah mahupun Puzi Hadi. Jadi, bagaimanakah gaya khas dengan irama
khas itu boleh tercipta dan tersebar?
Tak
mengapalah, walau bagaimanapun asal mula terjadinya gaya persembahan itu. Namun ada juga beberapa
peserta dalam kategori sekolah menengah dan dewasa yang membawa kelainan dalam gaya persembahan. Paling
menariknya ialah dua orang pelajar berketurunan Cina yang terpilih sebagai
pemenang nombor satu dan nombor dua itu. Mereka memper-lihatkan penghayatan
yang baik, dan menyampaikannya sesuai dengan penghayatan itu.
Walau
apapun, ucapan tahniah patut diberikan kepada pihak Muzium Petaling Jaya. Hanya
kita mengharapkan Puan Ainul Farhiah (Pustakawan 1) yang bertanggungjawab
menganjurkan program itu, mahu pula menganjurkan sesuatu seperti yang saya
bayangkan di atas tadi – persembahan puisi dan lagu-lagu puisi – sesuai dengan
suasana indah taman tasik di hadapan Muzium Petaling Jaya itu!