Background

Mengangkat pantun menjadi genre penting


Dinsman (Artikel 307, 20/4)
Mengangkat pantun menjadi genre penting

Barangkali kerana otaknya masih terkesan dengan wacana hari sebelumnya – wacana ilmu mengenai Metafora Melayu hasil kajian Hassan Ahmad yang dibicarakan oleh tiga orang sarjana dalam kebudayaan Melayu, di perpustakaan PPAS, Shah Alam itu – Kassim memulakan bengkel penulisan terbaru Paksi di Rawang, 15 April, dengan meminta peserta memberikan pembayang maksud kepada maksud yang ditulisnya di papan putih di depan; iaitu selepas dia memperkenalkan beberapa buah buku yang sengaja dibawanya.

Menarik. Sangat menarik. Saya tak menduga ia akan jadi menarik sebegitu. Para peserta terus memberi respons secara aktif. Dan menarik juga pesertanya terdiri daripada beberapa orang cikgu sekolah rendah, cikgu tadika, pelajar yang baru lepas SPM dan pelajar tingkatan empat. Pantun rupa-rupanya memang masih sangat akrab dengan jiwa dan minda orang Melayu.

Tetapi rupa-rupanya sudah ada sedikit kekeliruan dalam amalan berpantun di kalangan generasi hari ini. Antara pembayang maksud dengan maksud sudah jadi bercampur aduk. Apabila kita minta mereka berikan pembayang maksud kepada maksud yang sudah kita tetapkan, mereka pun membuat ayat yang di hujung dua barisnya ada persamaan bunyi dengan dua baris maksud yang ditetapkan; tanpa mereka sedar yang dua ayat ciptaan mereka itu sebenarnya adalah juga maksud, bukannya pembayang maksud.

Apa beza ayat pembayang maksud dengan ayat maksud? Ayat maksud memang jelaslah ia membawa maksud. Ayat pembayang maksud pula tidak membawa maksud, ia sekadar menjadi pembayang sahaja kepada maksud; dan pembayang itu hendaklah diambil atau dipetik daripada unsur-unsur keindahan alam di sekeliling kita. Yang satu dari alam luas di luar diri (pembayang), dan yang satu lagi dari dalam diri kita (maksud). Di situlah indahnya pantun, dan di situlah indahnya metafora Melayu.

Tak mengapalah kekeliruan yang sedikit itu. Tidak susah pun untuk kita memperbaikinya. Namun ada satu perkara yang sangat menarik perhatian saya. Seorang peserta yang baru lepas SPM itu telah mengemukakan ayat-ayat pantunnya yang kelihatan dan terasa agak berbeza. Cuba anda perhatikan dua pantunnya ini:

Pokok meranti megah seia / Daun berjurai menyembah tunduk; Hidup ini sesuatu yang bahagia / Jangan ditunggu kucing bertanduk.

Berkilau emas setara baiduri / molek tersemat pakaian nyonya; Kehidupan tiba beronak duri / Kelak bersabar ada hikmahnya.

Terasa kelainan pada pemilihan kata atau diksinya, dan juga pada pembinaan ayatnya. Ia bukan pantun biasa. Ia mengingatkan saya kepada syair Hamzah Fansuri dan pantun Syed Naquib Alattas. Itu kesan spontan saya. Pemilihan kata dan pembinaan ayatnya itu seperti ada nilai-nilai falsafah di sebaliknya, yang rasa saya tidak disedari pun oleh penulisnya sendiri. Itulah bakat alamiah (semula jadi) yang ada pada anak muda itu.

Saya timbulkan misalnya kenapa dia memilih kata ‘berkilau’ dan tidak ‘kilauan’. Kata ‘setara’ juga bukan kata yang selalu kita pilih. ‘Kehidupan tiba’ – kita tak kata kehidupan ‘tiba’ kerana kita fikir kehidupan memang sudah ada, bukan ‘tiba’. Tetapi kenapa pelajar ini memilih frasa ‘kehidupan tiba’? Demikian juga ‘kelak bersabar’ – kenapa ‘kelak’? Dan seterusnya.

Itulah maka saya berbincang dengan Kassim – apakah mungkin pantun boleh diangkat menjadi satu genre yang sepenting sajak, cerpen dan esei, yang boleh menjadi wahana menyalurkan idea, ilmu, pemikiran dan mesej, dalam masyarakat moden kita hari ini?

Apa pun, ia sangat bergantung kepada Mohd Najib Selamat – pelajar lepasan SPM yang akan melanjutkan pelajarannya ke IPT, samada dia akan meneruskan penyertaannya dalam bengkel penulisan di Masjid Nuruliman, Rawang, itu ataupun tidak. Bergantung kepada IPT mana yang akan dimasukinya.

Itupun hanya sekadar melihat kilatan bakatnya dalam satu sesi bengkel itu sahaja. Mungkin kesan spontan saya itu betul dan mungkin tidak.

Dan demikianlah perkembangan aktiviti Seniman Paksi Rakyat (Paksi) akhir-akhir ini. Agak banyak terlibat dengan aktiviti bengkel penulisan, bicara atau telaah buku, dan wacana ilmu. Agak kurang atau menjadi berkurangan dalam aktiviti persembahan seni seperti baca puisi dan sebagainya.

Namun sehari sebelum Wacana Ilmu di PPAS (anjuran bersama dengan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor - PPTPMI) pada 14 April itu, malam 13 Aprilnya Paksi bersama dengan NGO Bangkit di Jempol, menganjurkan persembahan puisi yang dinamakan “Malam Derita Bangsa”, di Felda Raja Alias, Jempol, Negeri Sembilan. Saya bersama Pak Salleh, Amni Jagat, Benz Ali dan Hasni Abas mengambil bahagian.

Ya, kerana sebab-sebab tertentu, (tak pasti saya pernah menjelaskannya dalam kolum WB sebelum ini atau tidak), Paksi sekarang memberi tumpuan lebih sedikit kepada bengkel penulisan. Bermula dengan bengkel penulisan enam hari di Titi Hayun, Kedah, pada Mei 2011 yang lalu. Terima kasih Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Allahyarham Azizi Hj Abdullah, juga Cikgu Azmi Ab Hamid, kerana inisiatif mereka itu telah membuka pemikiran Paksi untuk memberi perhatian kepada bengkel penulisan.

Sejak itu Paksi telah terlibat dan menganjurkan beberapa bengkel. Yang terpenting antaranya ialah di Madrasah Tarbiyah Kg Banda Dalam, (terletak di tengah-tengah antara Gombak, Setapak dan Sentul). Ia penting kerana dibuat secara bersiri, pada hari Ahad keempat setiap bulan, mulai Januari 2012 (yang kemudiannya telah berkembang menjadi Madrasah Seni).

Atas galakan beberapa pihak, khususnya sokongan yang diberikan oleh Sasterawan Negara A Samad Said, dan terbaru pula sokongan daripada Dr Halimah Ali (Exco PPTPMI Selangor), kini Paksi sedang merancangkan beberapa siri bengkel tersebut, yang akan diadakan di beberapa tempat di Selangor. Mereka yang berminat bolehlah hubungi kami (019-9592408).

Categories: Share

Leave a Reply