Background

EROPAH LEBIH ISLAMIK DARIPADA MALAYSIA

Dinsman (Artikel 387, 28/6)
Eropah lebih Islamik daripada Malaysia

Kami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shah Alam. Dr Muhaimin, Kassim dan saya dalam sebuah kereta. Tujuannya, ada perjumpaan dengan seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor. Bagi pihak Lajnah Kebudayaan PAS, Dr Muhaimin menjemput kami bersama beberapa orang lagi, termasuk Aishah dan Ito, bersama-sama menemui Exco tersebut, bagi membincangkan hal-hal kesenian dan kebudayaan.

Ketika dalam kereta dalam perjalanan itu Muhaimin timbulkan soal teater, kerana ia menjadi salah satu topik yang akan dibincangkan nanti. Dia ingin mendapatkan gambaran bagaimana aktiviti teater yang sedang wujud dalam negara kita sekarang, khasnya mengenai bajet atau perbelanjaan bagi mementaskan sesebuah teater.

Saya pun menjelaskan sedikit sebanyak mana yang saya tahu, berdasarkan pengalaman. Penjelasan saya itu menyebabkan dia membuat kesimpulan dan bertanya: “Kalau begitu, pementasan teater memang tidak boleh membuat untung dari segi kewangan?”

Kecuali mereka yang mempunyai pengaruh kuat dalam politik, dan boleh menggunakan pengaruh itu untuk menyebabkan ada pihak yang sanggup membeli pementasannya sehingga RM1 juta untuk satu malam. Yang itu boleh buat untung – kata saya.

Bagaimana di luar negeri?

Di luar negeri pun sama, kecuali Broadway musical di Amerika yang dibuat secara komersil. Di Eropah sendiri pun yang terkenal dengan tradisi teaternya yang hebat itu, teaternya hidup dengan subsidi dan grant daripada kerajaan. Orang seperti Tone Brulin yang sepanjang hidupnya selama 60 tahun berteater tak henti-henti di serata dunia itu (kini berusia lebih 85 tahun), adalah kerana grant yang diberikan oleh kerajaannya – Belgium.

“Ini yang sukar hendak kita jelaskan dan yakinkan kepada pemimpin-pemimpin politik kita. Kalau tak boleh untung, kenapa kerajaan mesti keluarkan peruntukan untuk buat teater? Macamana kita nak berhujah dengan pihak kerajaan?”

Mungkin Muhaimin pun tahu bagaimana hendak berhujah itu. Cuma dia hendak dengar pandangan saya. Tetapi Kassim lebih dulu menjawab: “Kami selalu berhujah dengan membandingkan antara ‘landskap tanah dan pokok’ dengan ‘lanskap minda dan jiwa’. Kerajaan kita hanya beri perhatian kepada ‘landskap tanah dan pokok’; sedangkan ‘landskap minda dan jiwa’ itu lebih penting. Teater termasuk dalam ‘landskap minda dan jiwa’.”

Sementara Kassim menjelaskan itu, saya terfikirkan hal lain, yang saya ungkapkan selepas itu: “Cuba kita bandingkan masyarakat Eropah dengan masyarakat kita. Apa yang kita faham sebagai “nilai-nilai Islam” yang bersifat universal itu, lebih banyak diamalkan dalam masyarakat Eropah daripada masyarakat kita, walaupun masyarakat Eropah itu kebanyakannya bukan Islam.

“Gejala sosial dalam masyarakat mereka tidak seteruk seperti dalam masyarakat Islam di negara kita. Itu antara untung yang mereka dapat daripada peruntukan yang mereka belanjakan kepada seni-budaya, termasuk teater.”

Dan saya melanjutkan lagi: “Sebab itu saya sangat tertarik dengan cerita Dr Abu Hasan Hasbullah. Dia menceritakan dia pernah kehilangan dompet duitnya di Austria (Eropah), dua kali, dan kedua-dua kali itu dia mendapat semula dompetnya itu. Ada orang jumpa dan mengembalikannya kepada dia.

“Begitu juga dia pernah tertinggal jaketnya di sebuah hotel di Vienna. Balik di Kuala Lumpur baru dia sedar, dan dia telefon hotel tersebut, pihak hotel itu sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk menghantar jaket itu kepada dia. Bayangkan itu!”

Cuba kalau di Malaysia – bukan dompet yang dijumpai tercicir, dompet yang di dalam beg tangan yang dipegang erat oleh orang pun diragut. Dan diragut dengan kasar dan ganas hingga pernah menyebabkan orang kehilangan nyawa.

Sedangkan masyarakat Malaysia ini majoritinya Islam. Dan bukan setakat itu sahaja. Dalam masyarakat kita sekarang ini penuh dengan dakwah di sana sini. Orang-orang agama bercakap lantang di televisyen, di radio, dijemput berceramah dan mendapat sambutan hebat.

“Ah, saya dah meluat dengar orang-orang agama yang bercakap hebat tetapi hanya bercakap saja dan tak pernah buat apapun selain daripada bercakap. Saya lebih hormat kepada Kak Intan di Alor Setar yang sanggup pelihara 800 ekor anjing terbiar itu…”

Ada sahabat saya yang sudah sampai ke tahap itu marahnya kepada orang-orang agama kita yang semakin pandai bercakap di waktu gejala sosial dalam masyarakat kita semakin menjadi-jadi dan mereka semakin ghairah bercakap, kerana ada orang yang ghairah juga meminta dan membayar mereka untuk bercakap.

Sedangkan masyarakat di Eropah itu? Mereka bukan masyarakat Islam pun! Tetapi sifat dan sikap mereka sebahagiannya lebih menghayati sifat dan sikap yang dituntut oleh Islam. Mengapa terjadi begitu, sedangkan di sana tidak ada dakwah Islam yang ghairah seperti di sini?

Saya tidak pasti apakah lintasan fikiran saya di tengahari ketika berbincang santai bersama Muhaimin dan Kassim itu betul atau tidak, tetapi itulah yang saya fikirkan. Dan fikiran itu saya lontarkan kepada mereka, dan mereka pun tidak menolaknya. Maka saya fikir betullah apa yang saya fikir itu.

Bahawa masyarakat Eropah itu lebih bersifat dan bersikap Islamik begitu kerana mereka juga menghargai dan menghayati seni-budaya, termasuk teater, (walaupun mereka bukan orang Islam); manakala masyarakat kita khasnya masyarakat Islam, tidak menghargai seni-budaya dan teater. Memang ada pengecualiannya, tetapi terlalu kecil.


Maka saya harap Dr Muhaimin Sulam sedang memulakan suatu gerakan kebudayaan yang baru di kalangan PAS, dan saya harap gerakan ini mendapat sokongan penuh daripada pimpinan PAS pelbagai peringkat, terutama peringkat atasannya. 

Categories: Share

Leave a Reply