Background

KAMPUNG DELEK MINI SERAMBI MEKAH


Dinsman (Artikel 335, 13/8)
Kampung Delek mini Serambi Mekah

Ada sebuah kampung di negeri Selangor, dalam daerah Kelang, arah ke Pelabuhan, di bawah DUN Selat Kelang, telah diisytiharkan sebagai “Mini Serambi Mekah”. Kampung itu namanya Kampung Delek. Siapa mengisytiharkannya saya pun tak pasti. Yang saya tahu ini ialah projek Dr Halimah Ali, Adun kawasan tersebut merangkap Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Saya telah beberapa kali ke kampung tersebut, termasuk mengadakan persembahan teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” (MKDT) di dalam masjidnya, Masjid Nurul Amin, pada 9 Jun, (lakonan Bob Lokman); dan yang terakhir pada 5 Ogos minggu lalu, bersama SN A Samad Said, membaca puisi dalam majlis perasmian “Ramadhanku Yang Bermakna”.

“Ramadhanku Yang Bermakna” ialah satu program Ihya’ Ramadhan hasil idea Dr Halimah, yang akan dijalankan di Kg Delek dan berpusat di Masjid Nurul Amin selama seminggu, bermula 5 Ogos dan akan berakhir pada 12 Ogos (23 Ramadhan). Program ini juga adalah sebagai pengisian projek Mini Serambi Mekah.

“Ramadhanku Yang Bermakna” (RYB) melibatkan ramai pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), UiTM dan Inpens, yang hadir berkampung di situ bersama-sama dengan pelajar-pelajar beberapa IPT dan sekolah yang terdapat di Kg Delek sendiri, seperti Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmu Selangor (KITTIS), Kompleks Tahfiz Sofiyudin (Komtas), Sekolah Islam Al-Farabi, dan Kelas Agama Menengah Arab (KAMA).

Pelbagai program ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan telah disediakan oleh pihak Urusetia RYB, untuk dijalani oleh para pelajar tersebut, dengan matlamat menjadikan Ramadahan ini sebagai Ramadhan “yang bermakna” bagi mereka. Bahawa Ramadhan bukan sekadar berpuasa, tetapi ada pelbagai ibadah lagi yang dijanjikan Allah dengan fadhilat berlipat ganda untuk dilakukan sepanjang Ramadhan.

Saya tertarik dengan idea Dr Halimah menjadikan sebuah kampung dalam kawasan DUN Selat Kelang itu sebagai Mini Serambi Mekah. Kita selalu mendengar adanya Serambi Mekah sahaja, iaitu yang digelarkan pada Kelantan disebabkan terdapat banyak ciri-ciri keilmuan Islam termasuk pengajian cara pondok di sana. Sekarang ada pula “mini” kepada Serambi Mekah, di Selangor.

Beberapa buah pusat pengajian Islam sudahpun didirikan di Kg Delek, seperti KITTIS, Komtas, KAMA dan Al-Farabi, sebagai usaha bagi merealisasikan Mini Serambi Mekah itu, di samping Sekolah Rendah Agama (JAIS) yang sedia wujud, dengan pelajarnya sekarang lebih 2,000 orang.

Sebuah taman istimewa berkonsepkan tanaman-tanaman yang namanya disebut dalam al-Quran, telah diwujudkan di sekolah tersebut, iaitu Quranic Botanical Garden. Tok Guru Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan) sempat dibawa melawat taman istimewa ini, sewaktu beliau hadir memberi tazkirah Zuhur di masjid Nurul Amin, awal Jun lalu.

Mengikut Hj Azmi, Ajk Masjid Nurul Amin dan pembantu khas Exco Dr Halimah, kini ada banyak program keagamaan yang sedang dijalankan di Kg Delek. Di Masjid Nurul Amin sendiri, katanya, selain tazkirah Maghrib yang diadakan pada setiap lepas solat Maghrib (ditukar kepada lepas solat Terawih pada bulan Ramadhan), kuliah Subuh dan kuliah Dhuha juga diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad, manakala untuk Muslimat pula diadakan kuliah khas Muslimat sebanyak tiga kali pada setiap minggu. 

Pada 10 Ogos ini berlangsung pula suatu Bengkel Sumbangsaran Konsep Mini Serambi Mekah, bertempat di KITTIS. Ramai mereka yang berkenaan dijemput hadir untuk memberi idea dan pandangan mengenai bagaimanakah sepatutnya Mini Serambi Mekah itu; apakah yang perlu dibuat dan diadakan lagi di Kampung Delek bagi menepati gelarannya sebagai Mini Serambi Mekah.

Dalam ucapannya merasmikan “Ramadhanku Yang Bermakna”, Dr Halimah beberapa kali merujuk ayat al-Quran Baldatun Thoiyibah wa-Rabbun Ghafuur. “Negara yang baik yang mendapat keampunan Tuhan.” Itulah idealnya sebuah negeri atau negara atau sebuah daerah mengikut pandangan Islam. Sebuah masyarakat yang kehidupannya mematuhi syariat dan hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah, seperti terdapat dalam al-Quran dan Sunnah.

Mereka berdebat di peringkat negara bagaimanakah sebenarnya ciri-ciri sebuah Negara Islam. Apakah ia mesti dipanggil Negara Islam atau boleh juga disebut Negara Berkebajikan dan sebagainya. Sebahagian ahli dan pemimpin PAS bertegas mahukan sebutan Negara Islam, tanpa mempedulikan bantahan keras yang dinyatakan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh itu. Manakala Tok Guru Nik Aziz sudah lama mengambil jalan damainya sendiri dengan diam-diam melaksanakan syariat Islam sedaya yang termungkin oleh kemampuannya di Kelantan.

Alhamdulillah, Kelantan sudah menghampiri konsep negara yang dikehendaki oleh Al-Quran dan Sunnah itu, tanpa perlu terlibat dan terperangkap dengan perdebatan politik negara Islam vs negara sekular itu. Yang pentingnya ialah penghayatan dan pelaksanaan ajaran Islam, bukannya penjenamaannya mengikut fahaman pihak-pihak tertentu hari ini.

Dan di peringkat yang lebih kecil, seorang Adun dan Exco di negeri Selangor pula seperti mengikut jejak langkah yang diambil oleh Tok Guru Nik Aziz itu – cuba menerapkan ajaran Islam ke dalam kehidupan harian sebuah masyarakat di sebuah kampung yang sederhana besarnya. Alhamdulillah! Syabas dan tahniah Dr Halimah Ali.

Suatu langkah yang sungguh bijak. Melaksanakan dan menghayati ajaran Islam itu dalam daerah kemampuan dan kekuasaan kita sendiri.

Banyak perkara yang boleh dilakukan sebenarnya, walaupun daerah kekuasannya tidaklah sebesar mana. Tetapi cukuplah, untuk ruang pelaksanaan syariat seperti yang dikehendaki oleh Allah. Laksanakanlah, praktislah dan terapkanlah ajaran Islam yang murni dan penuh hikmah itu, secara bijaksana, dalam ruang yang tersedia di hadapan kita, tanpa perlu berkonfrantasi dengan mana-mana pihak pun.

Marilah kita sama-sama menyaksikan keindahan dan kesyumulan Islam itu, di Kampung Delek! Semoga Allah mempermudahkan!

Categories: Share

Leave a Reply