Background

MERANCANG AKTIVITI SENI-BUDAYA PASCA PRU 13

Dinsman (Artikel 384, 10/6)
Merancang aktiviti seni-budaya pasca PRU13

Telah lebih sebulan berlalunya PRU13. Orang ramai masih bercakap mengenainya. Tak puas hati dengan keputusan dan sebagainya. Saya rasa tak usahlah saya pun terikut-ikut ke dalam arus itu. Biarlah saya meminggir sedikit dan bercakap mengenai seni-budaya (ya, seni-budaya!), mengenai perancangan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) seterusnya, yakni selepas PRU13.

Sebelum ini ada semacam teka-teki – apakah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan kekal atau tidak? Kalau kekal bolehlah diteruskan aktiviti seni-budaya yang telah dijalankan oleh Paksi bersama kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim selama ini; dan kalau tak kekal terpaksalah Paksi berfikir semula bagaimana hendak meneruskan aktiviti seni-budayanya.

Alhamdulillah, Selangor kekal, walaupun Barisan Nasional mengisytiharkan akan menumpukan ikhtiarnya untuk merampas negeri yang merupakan lubuk kekayaan ekonomi di negara ini; dan walaupun di Kedah kerajaan PAS Ustaz Azizan tak dapat dipertahankan.

Tetapi sebaik sahaja TS Khalid mengumumkan barisan exconya, beberapa orang kawan menghantar mesej kecewa kerana tidak ada potfolio kebudayaan (sekali lagi) dalam senarai exco baru di Selangor. Dan apabila saya menyentuh soal perancangan seni-budaya Paksi, seorang kawan dengan cepat melemparkan komen sinisnya: “Bukankah di Selangor tidak ada Exco Kebudayaan?”

Saya jawab: Tidak mengapa. Penggal lalu ada Exco Kebudayaan pun Paksi tak berurusan dengan Exco Kebudayaan untuk menjalankan aktiviti seni-budaya di Selangor. Paksi berurusan dengan Exco lain. Tak ada masalah. Siri Jelajah Budaya Selangor (JBS) pun kita tak buat dengan Exco Kebudayaan. Kita buat terus dengan Menteri Besarnya yang meminati seni-budaya.

Jadi tak mengapalah. Asalkan pemimpin dan ketua pentadbirnya (Menteri Besar) mahu mendengar suara seniman-budayawan-ilmuwan, dan berminat dengan hal-hal seni-budaya; kita boleh bercakap dengan dia dan kemukakan cadangan-cadangan.

Sekarang, terlebih dahulu mari kita lihat apakah aktiviti-aktiviti seni-budaya yang telah dibuat oleh Paksi di Selangor. Kenapa Selangor? Kerana walaupun Paksi keahliannya di seluruh Malaysia tetapi buat peringkat ini ia berumah di Selangor. Aktivitinya dibuat juga di Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Perak, Melaka, tetapi tumpuannya di Selangor. Kemudahan untuk bergiat juga banyak didapat di Selangor.

Okey, aktiviti lepas. Pertama tentulah wacana keilmuan, dalam bentuk bicara buku dan kuliah ilmu. Ini dibuat secara berterusan dari semasa ke semasa, bekerjasama dengan Exco Pendidi-kan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan; dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Juga kerjasama dengan beberapa buah masjid dan surau.

Program ini memang wajar diteruskan, dan dibuat dengan lebih terancang. Tiga tahun pengalaman telah memberi banyak maklumat berfaedah kepada Paksi – apa kelemahannya, di mana kurangnya dan sebagainya. Dan pengalaman juga menyatakan bahawa program ini memang diperlukan oleh masyarakat. Sangat diperlukan. Dan wajar dibuat lebih banyak lagi. Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan Majlis Bandaraya pun perlu dilibatkan dalam usaha untuk membangunkan budaya ilmu ini.

Kedua, persembahan teater. Sejak Janauari 2009 lagi Paksi sudah merancang dan memikirkan untuk menjadikan Shah Alam sebagai Pusat Teater Melayu, memandangkan Kuala Lumpur gagal dijadikan demikian. (Baca tulisan saya “Shah Alam sebagai Pusat Teater Kebangsaan” dalam buku Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, ms 63-66).

Dalam pertemuan bersejarah Paksi dengan MB Khalid Ibrahim pada malam Ramadhan 2012 itu pun perkara ini turut dibincang dan dipersetujui. Hanya pelaksanaannya sahaja sedikit bermasalah. Maka yang dapat dibuat oleh Paksi setakat ini hanyalah Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), yang telah dipentaskan lebih 60 kali di seluruh Semenanjung sejak awal 2009.

Makanya perancangan itu akan terus dibawa oleh Paksi, untuk direalisasikan pelaksanaannya, insya Allah sebelum akhir tahun ini.

Yang ketiga ialah siri Jelajah Budaya Selangor (JBS), yang dimulakan di Klang pada 10 November 2012, dan aktiviti terakhirnya di buat di Sg Merab Luar, Sepang pada 3 Mei, sehari menjelang hari mengundi PRU13. Ini suatu program seni-budaya yang unik. Suatu pakej yang di dalamnya terdapat pelbagai aktiviti.

Terpenting di antaranya ialah malam persembahan puisi dan lagu; mengangkat satu atau dua kumpulan seni tempatan bagi menjayakan persembahan pada malam tersebut; memilih seorang tokoh aktivis yang layak dianugerahi Tokoh Budaya Daerah; majlis apresiasi sastera (karya Sasterawan Negara A Samad Said) untuk pelajar menengah; kuliah ilmu Prof Shaharir MZ; dan persembahan teater MKDT.

Paksi sempat melaksanakan program ini sepenuhnya di enam daerah – Klang, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Langat. Daerah Petaling dan Sepang hanya sempat dibuat acara malam persembahan sahaja. Dan persembahan di Sepang (Sg Merab Luar) itu lain dari yang lain. Ia dibuat bersama dengan Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera), yang pengisiannya lebih kepada ceramah intelektual.

Sudah tentu Paksi akan meneruskan program ini, dengan siri Jelajah Budaya Selangor II, iaitu setelah menyempurnakan program yang masih belum disempurnakan di daerah Kuala Langat dan dua lagi itu. Dan seperti pernah saya sebut sebelum ini, ada banyak yang ditemui oleh Paksi sepanjang melaksanakan JBS, yang menyatakan (membuktikan) beberapa perkara perlu dilakukan bagi memajukan aktiviti seni-budaya di Malaysia

Insya Allah, pasca PRU13 Paksi telah merancang beberapa program baru, bukan sahaja untuk dibuat di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain di Malaysia. Saya akan menulis mengenainya apabila sampai waktunya nanti.



Categories: Share

Leave a Reply