Background

Uniknya situasi kehidupan di Malaysia


Dinsman (Artikel 312, 7/5)
Uniknya situasi kehidupan di Malaysia

Ketika perasaan dan fikiran sedang kacau melihat bertambah teruk jadinya situasi demokrasi dan persaingan merebut kuasa politik di negara ini, tiba-tiba muncul seorang kawan mengatakan dia sangat teruja dengan situasi politik di Malaysia hari ini. Sangat menarik, katanya. Unik!

“Seolah-olah di Malaysia ini ada dua alam,” katanya. “Satu alam yang dihuni oleh orang-orang Umno dan penyokongnya serta mereka yang tidak peduli, dan satu lagi alam yang dihuni oleh mereka yang menentang Umno dan menganggap kerajaan Umno-BN sebagai zalim, menipu rakyat dan merompak hak rakyat…”

Saya kata, itu apa yang menariknya? Itu bukan perkara baru. Sudah lama wujudnya situasi begitu. Rakyat Malaysia terbahagi dua – satu di sebelah sini dan satu di sebelah sana, dan di antara keduanya itu tidak bertemu. Yang di sini tidak tahu apa yang ada di sebelah sana, dan yang di sana tidak tahu apa yang ada di sebelah sini. Walaupun mereka berada di tempat yang sama, dan selalu berinteraksi.

“Inilah yang menariknya,” balas kawan saya itu. “Aku sedang membuat kajian mengenai perkara ini. Dan peristiwa Bersih 3.0 pada 28 April itu, serta bagaimana media-media di kedua-dua pihak ini melaporkan dan menganalisa peristiwa yang berlaku itu, tambah menjadikan situasi ini lebih lagi unik dan menarik.”

“Sungguh!” Dia cuba meyakinkan saya akan kata-katanya, apabila dilihatnya saya seperti tidak mempercayainya.

“Kau lihat media arus perdana, televisyen dan akhbar-akhbar harian – mereka seperti melaporkan dan menganalisa satu peristiwa. Dan kau lihat pula media yang dikawal oleh pihak Pakatan Rakyat dan penyokongnya – mereka pula melaporkan dan menganalisa satu peristiwa. Kedua-duanya berbeza langsung. Seperti mata yang melihat, perasaan yang merasai dan fikiran yang berfikir – langsung berbeza. Tak bertemu. Padahal peristiwa yang dilapor dan dianalisa itu satu peristiwa sahaja, iaitu peristiwa Bersih 3.0 yang berlaku di Kuala Lumpur pada hari Sabtu 28 April 2012 itu.”

Macam cerita orang buta memperihalkan gajah? Tanya saya.

“Bukan, bukan begitu,” jawabnya. “Ini bukan cerita orang buta. Tak sama perbandingannya. Itu metafora mengenai tanggapan kita terhadap sesuatu. Yang aku maksudkan ini bukan mengenai tanggapan, tetapi mengenai alam kehidupan yang benar-benar wujud. Realiti. Dua alam yang aku sedang kaji ini realiti, bukan tanggapan. Itu yang menariknya.”

Okey, saya faham. Memang sudah lama pun saya merasai kewujudan dua alam ini. Bukan di kalangan orang politik sahaja, di kalangan orang seni dan budaya pun. Malah di kalangan orang agama juga sama. Dan itu tidak menjadi masalah selagi ia tidak menyentuh soal kebenaran. Masalahnya ialah apabila ia sudah melanggar sempadan kebenaran.

“Ha inilah yang aku sedang buat kajian sekarang.” Terus dia memotong penjelasan saya. “Ini yang menjadikan perkara ini sangat-sangat menarik. Bukan analisa politiknya. Itu biasa. Tapi aku cuba melihat bagaimana manusia-manusia yang di satu pihak ini boleh menjadi seperti tidak tahu pun akan wujudnya satu lagi kemungkinan yang di sebelah sana. Dan ini yang aku nak bincang dengan kau. Soal kebenaran.”

Ya dia tahu soal kebenaran adalah satu topik yang menjadi kegemaran saya dan Seniman Paksi Rakyat. Rupa-rupanya dia memang ada tujuan tertentu berjumpa dengan saya. Kita tengah kacau fikiran memikirkan ke mana arus yang sedang deras mengalirkan masyarakat kita ini sedang menuju, tiba-tiba dia datang mengajak kita bercakap soal kebenaran dan wujudnya dua alam kehidupan di Malaysia hari ini.

Apakah ini penting? Apakah pentingnya kau membuat kajian mengenai perkara ini? Tanya saya kepada kawan yang juga seorang pensyarah di universiti ini. Kami bukanlah kawan yang selalu berjumpa. Hanya sesekali, dan kebetulan sudah lama pun tak berjumpa. Saya pun tak pasti dia di sebelah mana. Tak mengapa. Itu tak penting. Yang pentingnya ialah soal kebenaran yang dia hendak bincang ini.

Dan agak serius juga kawan saya ini. Dia datang siap dengan membawa petikan kata-kata daripada kolum Wacana Budaya – ucapan saya di Konvensyen Pakatan Rakyat, Januari lalu. Ini:

“Tuan-tuan percaya atau tidak, hari ini sangatlah susah untuk menemui orang yang mahu dan berani ‘berkata benar’. Kebanyakan orang tidak faham pun apa maksud kebenaran. Tuan-tuan dan puan-puan semua asyik dan sibuk dengan politik, mungkin tuan-tuan tidak sedar perkara ini. Masyarakat kita hari ini jangankan nak berani ‘berkata benar’, mereka faham pun tidak.

“Zaman ini tuan-tuan, zaman orang tidak berprinsip, kecuali menjadi opportunis dan materislis. Ini kerja Mahathir. Selama 23 tahun memerintah dia pergunakan segala alat, media dan institusi yang ada, hingga berjaya membentuk manusia di negara ini menjadi opportunis dan materislis. Inilah masyarakat kita sekarang, termasuk di dalamnya orang politik, orang budaya dan juga ahli akademik kita. Opportunis, materialis, dalam kata lain – munafik.”

Dengan petikan itu, katanya, saya juga terkeliru dengan soal kebenaran. “Kebenaran kau adalah kebenaran yang berpihak kepada satu pihak, yakni kebenaran dalam alam yang kau huni. Kau menafikan kebenaran dalam alam yang satu lagi.”

Aduh, kacau! Siapa yang keliru sebenarnya? Kalau saya keliru, kenapa dia datang hendak berbincang dengan saya? Atau dia sengaja datang hendak mengelirukan saya?

Maka puaslah pula saya menjelaskan kepadanya dengan pelbagai hujah mengenai kebenaran yang saya maksudkan dalam petikan tersebut. Entah dia menerimanya atau tidak, saya tak pasti. Waktu kami berpisah, saya lihat wajahnya masih sama seperti wajahnya ketika dia datang. Namun apa pun, saya turut mengharapkan sesuatu juga daripada kajiannya itu.

Categories: Share

Leave a Reply