Background

Dinsman (Artikel 310, 30/4)
Mari tulis puisi “duduk bantah”

Puisi “duduk bantah”? Atau puisi “Bersih 3.0”? Mana satu yang betul? Atau kedua-duanya betul? Pokoknya puisi mengenai bantahan rakyat terhadap kerajaan Umno-BN yang nampaknya sengaja mengotorkan daftar pengundi untuk pilihanraya di negara ini, dengan tujuan memastikan kemenangan kepada Umno-BN dan mengekalkan kuasa mereka untuk terus memerintah dan menipu rakyat.

(Sasterawan Negara A Samad Said menggunakan istilah golongan ‘bangsawan’ terhadap pimpinan kerajaan Umno-BN yang memerintah Malaysia sejak 1957 hingga kini. Kita sepatutnya membebaskan diri daripada cengkaman puak bangsawan tersebut, katanya. Memang mereka tidak pernah berjuang untuk rakyat pun. Mereka hanya mahu mengekalkan kuasa bangsawan mereka sahaja, dengan berselindung di sebalik konon-kononnya berjuang untuk rakyat.)

Sempena dengan bermulanya kempen Bersih 3.0 hari itu, kami beberapa orang AJK Seniman Paksi Rakyat (Paksi) kebetulan sedang berbincang sesuatu dengan Ketua Pengarang Harakah. Maka tiba-tiba muncul idea untuk berbuat sesuatu sebagai menyokong dan memeriahkan peristiwa demo Bersih 3.0 yang menjelang tiba itu. Apa yang boleh dan sesuai untuk dibuat? Kami berbincang, dan akhirnya timbul cadangan untuk menganjurkan pertandingan menulis puisi sempena dengan kempen Bersih 3.0 itu.

Pada mulanya ada yang cadang supaya keputusan pertandingan menulis puisi itu diumumkan dalam perhimpunan 28 April, dan pemenangnya dikehendaki membaca puisinya itu dalam perhimpunan tersebut. Tujuannya untuk memeriahkan lagi perhimpunan itu.

Tapi masa agak terlalu suntuk. Hanya beberapa hari sahaja lagi, waktu itu. Nak buat pengumuman, nak keluarkan iklan dalam akhbar dan sebagainya, semua mengambil waktu. Maka kami bersetuju untuk lanjutkan tarikhnya hingga selepas peristiwa penting 28 April, dan bolehlah peristiwa 28 April itu sendiri pun dijadikan bahan atau inspirasi untuk tulis puisi tersebut.

Pengalaman menyertai perhimpunan atau demonstrassi Bersih 3.0 itu. Tak kiralah di mana pun. Di Dataran Merdeka, atau di tempat-tempat lain, malah di luar negara juga – pengalaman itu diungkapkan semula dalam puisi. Tentulah ada berbagai pengalaman.

Ketika artikel ini ditulis, peristiwa 28 April itu belum berlaku, maka kita belum tahu lagi apa dan bagaimana peristiwa itu akan terjadi. Apakah ia akan dibenarkan oleh pihak polis, dan ia akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang, dan rakyat akan membanjiri Dataran Merdeka, hingga melimpah-limpah sampai ke Masjid Negara dan sampai ke Pasar Seni dan sampai ke Sogo dan sampai ke PWTC. Kita belum tahu.

Kalaulah pihak polis tidak menghalangnya, tidak ada sekatan di jalan-jalan raya, kenderaan awam seperti LRT, keretapi dan komuter pun tidak diganggu, maka bagaimanakah jadinya? Ini yang kita ingin sangat nak tahu. Belum pernah lagi terjadi begitu.

Bayangkanlah suasana perhimpunan yang aman dan damai. Kuala Lumpur bertukar menjadi suatu tempat perkelahan yang dibanjiri oleh ratusan ribu manusia dari seluruh pelosok negara. Hah, siapa kata para peniaga akan mengalami kerugian berjuta ringgit dan siapa kata para pemandu teksi juga akan mengalami kerugian? Malah mereka sebaliknya akan mengalami keuntungan yang berlipat ganda daripada hari-hari biasa. Cubalah!

Tidak ada sebab pun untuk golongan tersebut mengalami kerugian. Itu satu pembohongan di siang bolong tu! Budak tadika pun boleh fikir. Maka inilah yang kita mengharapkan sangat supaya pihak kerajaan pimpinan Najib Razak bersama Rosmah Mansor itu mencuba strategi baru – membenarkan rakyat berhimpun dengan aman pada 28 April ini.

Yang lepas-lepas semuanya diganggu oleh pihak polis, bermula dari sekatan di jalanraya dan berakhir dengan tembakan gas pemedih mata dan kita bertempiaran lari kerana tidak tahan dengan mata pedih dan sesak nafas, dan ditambah pula dengan semburan air gatal, malah ada yang kena belasah hingga berdarah-darah kepala dan sebagainya.

Makanya sehingga sekarang semua orang sudah tahu – setiap kali ada perhimpunan samada kecil atau besar, kenapakah berlakunya kekacauan atau rusuhan? Tak perlu saya cakap lagi. Kita semua sudah tahu siapa yang menyebabkannya dan siapa yang memulakannya. Rakyat awam di Malaysia semuanya cintakan keamanan. Hanya pihak yang berkepentingan dan merasakan kedudukan mereka tergugat sahaja yang curiga kepada sesama sendiri dan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memburuk-burukkan pihak lain. Ini semua orang sudah tahu.  

Namun walau apa pun, seperti saya sebut tadi, ketika artikel ini ditulis tarikh temasya yang dinanti-nantikan itu belum lagi tiba. Jadi kita belum tahu lagi apakah yang sebenarnya akan terjadi. Pengalaman bagaimanakah yang sebenarnya yang akan kita lalui. Inilah yang kita tunggu-tunggu, bagi membolehkan kita mencipta puisi yang sesuai untuk menyertai pertandingan menulis puisi Bersih 3.0 itu.

Tapi pun tidak semestinya puisi Bersih 3.0 itu hanya puisi-puisi yang menceritakan pengalaman menyertai perhimpunan Duduk Bantah itu sahaja. Tidak semestinya. Boleh tulis apa sahaja sebenarnya. Setiap orang ada idea, ilham, imaginasi dan pemikiran sendiri mengenai Bersih 3.0 itu. Tulislah! Saya pun tak tahu apa lagi yang boleh dipuisikan. Ruang dan skopnya terlalu luas sebenarnya. Anda sekalian lebih tahu apa yang ada dengan diri anda. Asalkan ia menyentuh perjuangan Bersih 3.0 itu.

Kita mengharapkan ramailah yang akan menyertai pertandingan ini. Hadiah yang ditawarkan pun agak lumayan juga. RM1,000 untuk sebuah puisi yang terpilih sebagai puisi terbaik. Yang kedua terbaik RM750, dan seterusnya yang ketiga, dan sagu hati dan hadiah penghargaan lagi. Ada banyak juga hadiah yang disediakan.

Dan kita mengharapkan dapat pula menerbitkan buku antologi puisi-puisi tersebut. Pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insannya yang bekerjasama menganjurkan pertandingan ini tentulah tidak mahu melihat puisi-puisi itu dilupakan begitu sahaja tanpa diabadikan dalam sebuah buku.



FAIL MERAH
karya AH Karim

TUK Nyok mengamuk. Mukanya merah padam. Seribu garis kedut di mukanya yang terlalu tua itu bertambah nyata.
Tetapi Piemlani,  yang tidak lagi terlalu muda itu, sekadar tunduk. Dia duduk di sisi sebelah kiri Tuk Nyok. Mujurlah dia memilih tempat duduk yang tidak bertentangan, jika tidak mungkin tenungan geram lagi tajam Tuk Nyok membunuh hasratnya. Dia terpaksa menyatakan juga,“Saya tidak berdaya menyekat, Tuk. Ini kehendak majoriti rakyat..”
“Ciss!!” belum lagi habis Piemlani berhujah Tuk Nyok sudah menyembur, “Bodoh! Rakyat tau apa? Aku dulu tak ambil pusing dengan kehendak rakyat. Aku lebih tahu apa yang patut diberi kepada rakyat. Kau tahu tak, rakyat hanya pentingkan semangat. Buat apa dengan semangat? Boleh hidup dengan  semangat? Bangsa kamu..mm…bangsa kita, bangsa Melayu hanya pentingkan semangat Melayu, bangsa Melayu, bahasa Melayu. Ah, sudah…sudah. Semua itu tak boleh memajukan rakyat dan Negara!”
 Dia terlalu marah. Dan apabila dia terlalu marah lidahnya fasih mengungkap kata makian dalam bahasa Inggeris. Dadanya terasa ketat. Hidungnya yang terlalu mancung itu diuli-ulinya buat melegakan laluan pernafasan. Matanya dibeliak-beliakkan agar kekelabuan dan kerabunan terasa sedikit cerah. Dia mengelak dari memandang muka Piemlani kerana terasa amat benci yang meluap-luap. `Berani  dia merombak dasar yang aku buat..bangsat! @#&%!` dia menyumpah dan mencarut dalam hati—dalam bahasa Inggeris.
“Tapi Tuk, kita tidak ada pilihan. Kuasa rakyat terlalu mendesak. Masa depan parti kita amat tergugat. Kita kini nyawa-nyawa ikan. Kita sudah hilang suara dua pertiga. Suara dari dalam parti sendiripun saya tak dapat bendung, Tuk.” Piem menjawab balas dalam bahasa Inggeris yang sempurna. Sebenarnya bahasa Inggeris Piemlani lebih baik dari Tuk Nyok, maklum sajalah dia terdidik di England  sepanjang persekolahannya hingga mendapat ijazah, walhal Tuk Nyok bersekolah dan universiti tempatan saja.
“Diam!” Tuk Nyok menengking, “Aku tak mahu mendengar alasan bodoh seperti itu. Sepanjang 20 tahun lebih aku memerintah siapapun tak berani mencabar aku. Itulah, bila aku lantik orang lembik mengganti aku begini jadinya. Ah, persetan itu semua, apa yang aku mahu kau rombak semula. Kembalikan bahasa Inggeris sebagai bahasa matematik dan sains…” belum sempat Tuk Nyok habis Piemlani terus memotong, satu perbuatan yang tak pernah berlaku sebelum ini.
                “Tuk, tolonglah. Biar kita lebih berhemah. Serahkan kepada saya. Sebenarnya kami ada formula dan strategi yang baik. Sebenarnya saya amat komited untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa dan pengantar utama. Percayalah Tuk, saya akan…”
                “Apa, berhemah? Menatang apa tu?” terkeluar kepekatan telor dan pelat utaranya yang sememangnya lidah Tuk Nyok. “Dengar sini. Dalam mentadbir sebuah Negara mundur seperti kita ni, tak boleh berhikmah-hikmah, faham tak? Dengar sini betul-betul, dari dulu lagi aku dah kata, model kita ialah Atartuk, pemerintah Turki dulu tu. Kau ingat Turki boleh maju seperti sekarang kalau Kamal Atartuk tak keluarkan rakyat Turki dari belenggu budaya dan agama?”
Piemlani tidak menjawab, tidak juga mengangguk. Bukan dia tidak bersetuju keseluruhan dengan apa yang dikatakan oleh Tuk  tetapi dia sudah tidak yakin dengan strategi dan fahaman yang pernah dibawa oleh Tuk  dahulu. Dia juga kini faham dengan sikap Tuk Nyok  yang bukan berapa Melayu itu yang sanggup mengorbankan jatidiri dan asas budaya Melayu demi kelansungan kuasanya. Dia tidak sanggup berbuat demikian, kerana walau fikiran nya juga terkehadapan seperti Tuk Nyok namun hambatan keMelayuannya masih mengawal dirinya.
                Entah kuasa apa yang tiba-tiba menguasai dirinya membuat dia mahu bertegas. Lalu dia bangun berdiri dan berhadapan dengan Tuk Nyok. Tuk Nyok terasa ada sesuatu yang tak kena. Diapun cuba bangun tetapi sisa kudrat sudah berkurangan. Dia kembali bersandar terperonok ke sofa empuk, sekadar mengangkat kelopak mata mengerutkan dahi merenung Piemlani yang tiba-tiba kelihatan tinggi sepuluh kali ganda dari biasa.
                “Tuk, saya ingin menyatakan sesuatu yang pasti Tuk tak suka dengar, tetapi sampai masa Tuk mendengar. Begini, gelanggang Tuk dahulu berlainan dengan gelanggang saya sekarang. Cara sepak-terajang, kilas-mengilas, menggadas-menyiku, tepis-menepis semuanya sudah berlainan. Gelanggang Tuk dah usang, dah buruk, dah tak boleh dipakai lagi! Dunia dah berubah, Tuk. Pemimpin autokratik, kuku-besi dah punah-ranah.  Demokrasi ala Tuk dulu dah ranap. Kini slogan kita ialah `reformasi`..oops `transformasi`! semua undang-undang yang mengongkong rakyat terpaksa kita  nyahkan, kita terpaksa pinda.” Sebaik Piemlani berhenti untuk menarik nafas Tuk Nyok cuba mencelah, namun Piemlani yang seolah-olah dikuasai oleh entah semangat jin apa terus menyergah, juga dalam bahasa Inggeris
                “Diam dan duduk! Mulai sekarang Tuk jangan campur tangan lagi. Saya Piem! Piemlani! Saya tidak mahu diganggu lagi. Mulai  sekarang media hanya akan menyiarkan suara Tuk yang disalur melalui pejabat saya. Malah blog Tukpun akan ditulis oleh pegawai saya. Tuk akan menjadi..” Piemlani tidak dapat meneruskan kerana tiba-tiba pintu bilik diketuk dan penasihat@pemikir Tuk Nyok melangkah masuk. Dia terus menuju kearah Tuk Nyok dan menyerahkan sebuah fail berwarna merah yang tertulis “Highly Confidential” di kulit.
                Piemlani, yang tadi merasa begitu besar dan gagah, tiba-tiba terasa kecil dan koro. Bola matanya liar berbolak-balik melihat sekejap kearah fail di tangan Tuk Nyok dan sekejap menjeling liar ke arah renungan tajam Vincent Legam Polock, penasihat@pemikir Tuk Nyok yang berketurunan campuran Yahudi.
                Tuk Nyok pula tiba-tiba mendapat kembali kekuatannya. Dia bangun dengan agak mudah dan berdiri sambil mengibas fail di tangan kanan. Selepas itu dia membuka kulit fail dan menyelak helaian-helaian dalam fail. Senyum sumbing terukir di bibirnya dan matanya bersinar-sinar. Vincent Ligam Polock merapatinya dan menunjuk kandungan dalam fail yang sudah ditandanya dengan sekeping kertas kuning. Tertera dua-belas perlakuan di bawah nama Piemlani semasa dia menjadi Embi dan  Menteri dahulu di bawah Tuk Nyok. Terpamer nama-nama jantan-betina dan projek-projek yang dikaitkan dengan nama Piemlani.
                Tuk Nyok menjegil matanya kearah Piemlani yang duduk terperonyok di kerusi di hadapannya. Tiba-tiba dia kerising. Berseringai seolah-olah dia mempunyai taring macam drakula. Kemudian dia ketawa yang bertukar menjadi dekahan berkahak. “Mampus kau kali ini…” dia mengumam.
                Piemlani bingkas bangun dengan sedikit terhoyong. Fikirannya celaru. Matanya terasa berbinar. Tiba-tiba saja Tuk Nyok sudah berdiri di hadapannya dengan fail yang terbuka di tangan. Tuk Nyok menunjuk-nunjuk keras dan mengetuk-ngetuk dengan jari kedutnya ke tulisan di kertas di dalam fail itu.
                Mata Piemlani yang terasa bersergai berbinar itu masih dapat membaca ayat yang ditulis besar bertanda penyerlah kuning. Dia terasa pening bagai hendak pitam. Mujur Vincent Ligam Polock berada disisinya dan segera memegang lengannya dan menghenyak dia supaya duduk semula.
 Apabila dia terasa sedikit lega dia segera bangun dan menuju ke arah Tuk Nyok yang sudah kembali duduk di sofa. Piemlani terus menerkam dan melutut serta menyambar tangan Tuk Nyok dan menciumnya bertalu-talu. Melihat keadaan yang pelik lagi menjijikkan itu Vincent Ligam Polock segera memegang kedua-dua bahu Piemlani, mengangkatnya dan menyonsongnya keluar dari pejabat Tuk Nyok.
Dan Tuk Nyok  tersandar sambil tergelak terbahak-bahak bercampur batuk dan kahak. Fail Merah di tangan kanannya dikibas-kibas lega.

ahkarim, as-syajarah…031211


Dinsman (Artikel 309, 27/4)
Duduk saja dua jam 28 April petang

“Datanglah ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada 28 April. Kita duduk di situ selama dua jam sahaja, sebagai simbolik membantah pilihanraya yang tidak adil dan tidak bersih. Selepas dua jam, kita bersurai.”

Itulah mesej penting yang disampaikan oleh Datuk A Samad Said Sasterawan Negara, yang kira-kira sebulan ini (sambil menyambut ulangtahun harijadinya ke 77) dia berkeliling ke seluruh pelosok negara sebagai Pengerusi Bersama Bersih 3.0, memberi penerangan kepada rakyat tentang mengapa kita perlu “Duduk Bantah” pada 28 April ini.

Petang itu saya mengikuti kembara A Samad Said, bersama dengan Kassim dan Hasni, ke Jelebu Negeri Sembilan, untuk suatu acara seni-budaya yang diatur oleh Dr Alinor di kampungnya, di Pertang. (Anjuran bersama dengan Seniman Paksi Rakyat). Sampai di Kuala Kelawang kami disambut oleh seorang anak muda bernama Nazeri, yang terus membawa kami ke tempat persembahan, di Kampung Geylang.

Beberapa orang makcik dan kakak sedang memasak. Tentulah untuk jamuan bagi acara itu. Kami difahamkan acara bermula selepas Asar. Tetapi tidak nampak pun tanda-tanda program akan dimulakan. Sementara menunggu Samad Said tiba, juga Dr Alinor, seorang lelaki mengajak kami berehat dulu di sebuah rumah.

Rupa-rupanya pihak PAS dan DAP sudahpun berunding dengan pihak PKR (yang bekerjasama dengan Paksi menganjurkan program seni-budaya ini), untuk membawa Samad Said ke suatu pasar petang di pekan Simpang Durian, (kira-kira 20 km dari situ) untuk berjalan dan bertemu dengan pengunjung-pengunjung pasar tersebut.

Wah wah, dah jadi macam tokoh politik pula! Bertemu dengan rakyat di pasar petang. Biasanya aktiviti seperti itu dibuat menjelang pilihanraya. Sesi bertemu pengundi. Tetapi Samad Said bukannya tokoh politik yang hendak bertanding dalam pilihanraya. Dia seorang tokoh sastera, seorang seniman, seorang budayawan.

Tak ada pilihanraya pun yang dia hendak bertanding. Tetapi dia sedang berkempen untuk pilihanraya yang bersih dan adil, bagi seluruh rakyat Malaysia. Dia sedang berkeliling negara memberi penerangan kepada rakyat supaya berfikir – siapakah sebenarnya yang selama ini menipu rakyat, dan apakah sebenarnya yang dibuat oleh tokoh-tokoh bangsawan Melayu yang menerajui negara melalui parti politik Umno sejak 54 tahun negara merdeka? Siapakah yang sedang mencabuli amalan demokrasi di negara kita sekarang?

Siapakah yang sebenarnya menimbulkan prasangka dan curiga perkauman di kalangan rakyat Malaysia selama ini? Betulkah orang Cina yang telah dan sedang menghakis hak-hak dan harta orang Melayu, ataupun segelintir bangsawan Melayu sendiri yang berbuat demikian?

Petang itu, sesampai saja kami di Simpang Durian, beberapa orang petugas PAS dan DAP (di samping PKR) sedia menunggu dengan risalah Roket dan buku nipis bergambar “Kenangan 9 Julai” untuk diedarkan kepada orang ramai, mengiringi A Samad Said berjalan di pasar itu.

Pasar Simpang Durian petang itu pun memang ramai orang. Sesak jugalah jalannya di antara gerai-gerai orang berjualan itu. Sambil Samad Said berjalan dan berjabat dengan orang-orang di pasar, seorang petugas dengan pembesar suara memberi penerangan mengenai kehadiran Sasterawan Negara A Samad Said dan misinya untuk perhimpunan aman ‘Duduk Bantah’ pada 28 April.

Satu lagi peristiwa yang sangat menarik telah direkodkan dalam sejarah kebudayaan kita oleh seorang sasterawan dan seniman yang menjadi ikon pejuang rakyat Malaysia masakini. Ketika mengekorinya dari belakang, sempatlah saya mendengar orang ramai berbisik-bisik sesama mereka mengenai kehadiran A Samad Said itu. Dan seperti biasa, ramailah yang mengambil kesempatan untuk bergambar bersama ikon kegemaran mereka.

Selesai sesi berjalan dan bertemu peminat di pasar, Samad meminta supaya dia dihantar ke masjid berdekatan, untuk dia berehat sambil membaca al-Quran sementara menunggu waktu untuk solat maghrib. Dia tidak meminta bilik hotel atau rumah untuk berehat pada petang itu. Malah ajakan kami untuk minum di restoran depan pasar itu pun ditolaknya.

Sementara itu Kassim pula sempat jatuh hati dengan pasar petang Simpang Durian. Melihat pucuk-pucuk ulam serta ikan-ikan sungai yang segar di gerai-gerai jualan, dengan harga yang agak rendah dibandingkan dengan di Lembah Kelang, Kassim menyatakan keinginannya untuk datang lagi ke pasar petang Simpang Durian.

“Memang kita akan datang lagi ke Jelebu pada 13 Mei,” kata saya, mengingatkan Kassim akan program Paksi berdialog dengan peminat-peminat seni di Jelebu, yang sedang diatur oleh Dr Alinor bersama Nazeri.

Selesai maghrib kami pun bertolak balik ke Kampung Geylang. Menjamu selera dengan masakan orang-orang kampung, dan selepas isya’ Nazeri pun memulakan persembahan. Dimulakan dengan persembahan kompang (yang agak berbeza kerana adanya gendang besar), dan diikuti dengan persembahan Nazeri sendiri – menyanyi dengan petikan gitar solonya. Syabas Nazeri! Teruskan usaha untuk menyemarakkan seni di Pertang!

Acara seterusnya ialah persembahan dari Paksi, yang diisikan oleh Kassim, Hasni dan saya. Kemuncaknya ialah ucapan oleh A Samad Said, (dia tidak berpuisi lagi, dia hanya berucap), selaku Pengerusi Bersama Bersih 3.0. Dan mesej ucapannya itulah tadi – seperti yang saya jelaskan di awal tulisan ini.

“Datanglah ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada 28 April. Kita duduk di situ selama dua jam sahaja, sebagai simbolik membantah pilihanraya yang tidak adil dan tidak bersih. Selepas dua jam, kita bersurai.”

Dan kita mengharapkan hanya satu – sebuah pilihanraya yang bersih dan adil. Apakah salah untuk rakyat menyatakan harapan ini? Dan kenapakah kerajaan perlu takut dan bimbang dengan rakyat yang hanya mengharapkan sebuah pilihanraya yang bersih dan adil?

Dinsman (Artikel 308, 23/4)
Sebuah peristiwa kecil tetapi besar

Telah saya tulis seminggu lalu mengenai “seniman yang berani berdiri / berdiri di tengah-tengah rakyat / dengan kesenimanannya”, iaitu A Samad Said yang baru menyambut ulangtahun kelahirannya ke-77, yang “tidak ingin mati sia-sia” itu.

Isnin 16 April kami pula, kelompok Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama dengan kelompok Cikgu Ishak Surin di Madrasah Seni, Kg Banda Dalam, secara kecil-kecilan dalam sebuah keluarga seni, meraikan harijadi ke-77 seniman besar kita.

Hanya suatu pertemuan sebuah keluarga seni. Bermula dengan solat hajat dan doa, kemudian jamuan ringan yang seperti biasa, majlisnya pun seperti biasa juga – diisi dengan ucapan-ucapan penghargaan kawan-kawan secara ringkas, ada bacaan puisi, ada petikan gitar dan gesekan biola dan lagu, dan ada hadiah buku (yang tanpa dibalut dan direben) untuk seorang yang mungkin sudahpun memiliki buku-buku itu (kerana dia paling banyak membaca buku). Namun ada suatu yang sangat istimewa.

Istimewanya ialah peristiwa itu sendiri. Bersama seorang seniman, pengarang novel yang kini menjadi negarawan ulung memimpin rakyat pada ketika suasana politik sedang kacau, untuk membuat perubahan yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat – meraikan harijadinya yang ke-77, dalam suatu kelompok kecil kawan-kawan seperjuangan yang terdekat, sekitar 15 orang sahaja. (Termasuk HMS Abu Bakar dari Ipoh). Ini adalah suatu peristiwa besar. Suatu peristiwa yang cukup bersejarah.

Tidak ramai seniman yang mencapai umur sehingga 77 tahun, dan masih sihat, bergerak dan berjuang di tengah-tengah rakyat, memimpin untuk perubahan sebuah negara. Samad sendiri pun menyedarinya dan mengungkapkannya di hadapan kami.

Kawan-kawan seangkatannya A.S.Amin, Noor S.I dan M Ghazali, juga yang lain seperti Jimy Asmara, Masuri SN, Usman Awang, Keris Mas, A Samad Ismail dan lain-lain telahpun tiada lagi di dunia ini. Tetapi Allah masih memanjangkan umurnya. Mengapa? Tentulah ada sebabnya. Maka dia menceritakan hal itu kepada kami – mengenai erti hidup ketika umur mencapai 77 tahun, mengenai hubungannya dengan Tuhan yang semakin diakrabkannya melalui solat tahajud, bacaan al-Quran setiap subuh, dan sebagainya.   

Malam itu ucapannya pun bukan sekadar ucapan biasa. Ada kawan-kawan yang terkejut dengan keterbukaan Samad menceritakan hal-hal yang agak bersifat peribadi dalam kehidupannya. Diucapkannya begitu bersahaja, seperti seorang ayah atau abang sedang berbicara dengan anak-anak dan adik-adik, yang hadir dalam suatu pertemuan keluarga. (Hanya seorang yang berusia lebih daripadanya – Cikgu Ishak Surin, 78 tahun).

Ada cerita yang hanya dimengerti oleh Shukur Harun dan Siti Zainon sahaja, barangkali.

Dan malam itu rupa-rupanya Samad Said tidak bercakap langsung mengenai Bersih 3.0 dan ‘Duduk Bantah’ yang sedang diperkatakan di mana-mana itu, walaupun dia adalah Pengerusi Bersama gerakan itu. Ternyatalah malam itu adalah malam untuk keluarga – sebuah keluarga seni yang Samad Said adalah ketua keluarganya.

Dan kami pula menampilkan seorang anak paling bongsu di antara kami bagi mengemudi majlis yang santai bersahaja itu. Biasanya Kassim yang melakukan itu. Saya pun biasa, Hasni pun biasa, Razali pun biasa. (Tapi malam itu Razali tak dapat hadir kerana harus berada di IJN, untuk angioplasty esoknya). Maka saya mencadangkan diserahkan kepada anak muda. Memang dia terkejut – Benz Ali, tanpa persiapan. Belum pernah. Tak mengapa.

Memang dia masih baru. Tapi keberaniannya tak diragui. Sewaktu mula tampil membaca puisi buat pertama kali di hadapan khalayak, di Labu NS, dia sudah memperlihatkan bakatnya. Kemudian dia membuat aktiviti baca puisi secara terjah di pasar malam bersama Rozan Azen, Ahnaf dan kumpulan kompang pimpinan Soleh, di pasar malam Taman Koperasi Polis, Batu Caves. Kemudian dia terlibat sama dalam peristiwa UPSI berdarah di malam tahun baru di Tanjung Malim itu. Dan beberapa lagi.

Memang dia nampak seperti gementar, apabila tampil untuk memulakan tugas pengacara majlis itu. Tetapi menariknya dia berterus-terang menyatakan perasaannya. Dan dia sentiasa ketawakan keadaan dirinya yang serba kekurangan pengalaman itu, menyebabkan rakan-rakan semua pun ikut ketawa. Maka meriahlah jadinya majlis itu pada setiap kali dia muncul. Dan di akhir majlis dia meminta pula untuk menyanyi, sambil mengaku yang dia memang tak pandai menyanyi, kerana bukan penyanyi.

Mungkin ada orang kurang senang dengan cara penampilan dan persembahan Benz Ali itu. Tetapi saya senang melihatnya. Ada keberanian, ada kejujuran, dan ada seninya. Dan saya mempunyai harapan dengannya. Saya mengharapkan dia memberi komitmen yang lebih terhadap aktiviti seni-budaya, dan saya mengharapkan lebih ramai anak muda akan bersama dengannya menghidupkan Paksi Anak Mudanya (PAM!).

Ya demikianlah malam itu sebenarnya adalah malam kekeluargaan seni. Yeoh dari Jalan Sultan juga hadir. Rahmat Harun kali ini tampil dengan gitar, menyanyikan puisi Samad Said dari kumpulan Rindu Ibu itu. Manakala Siti Zainon membacakan puisi yang ditulisnya di tanah suci merakamkan imej Samad Said yang hadir di antara pandangannya.

Barangkali bukanlah sambutan harijadi itu sebenarnya yang kita ra’ikan. Yang kita ra’ikan ialah sumbangannya, terutama pada umurnya 77 itu, bahawa dia masih lagi mahu mengambil risiko perjuangan yang sebegitu besar dan boleh membahayakan diri. Maka kita menyatakan penghargaan dan hormat kita kepadanya. Malah rasa terhutang budi dan rasa kasih kita di kalangan seniman.

Sebuah peristiwa kecil – tetapi saya percaya sebenarnya ia suatu peristiwa besar. 

Dinsman (Artikel 307, 20/4)
Mengangkat pantun menjadi genre penting

Barangkali kerana otaknya masih terkesan dengan wacana hari sebelumnya – wacana ilmu mengenai Metafora Melayu hasil kajian Hassan Ahmad yang dibicarakan oleh tiga orang sarjana dalam kebudayaan Melayu, di perpustakaan PPAS, Shah Alam itu – Kassim memulakan bengkel penulisan terbaru Paksi di Rawang, 15 April, dengan meminta peserta memberikan pembayang maksud kepada maksud yang ditulisnya di papan putih di depan; iaitu selepas dia memperkenalkan beberapa buah buku yang sengaja dibawanya.

Menarik. Sangat menarik. Saya tak menduga ia akan jadi menarik sebegitu. Para peserta terus memberi respons secara aktif. Dan menarik juga pesertanya terdiri daripada beberapa orang cikgu sekolah rendah, cikgu tadika, pelajar yang baru lepas SPM dan pelajar tingkatan empat. Pantun rupa-rupanya memang masih sangat akrab dengan jiwa dan minda orang Melayu.

Tetapi rupa-rupanya sudah ada sedikit kekeliruan dalam amalan berpantun di kalangan generasi hari ini. Antara pembayang maksud dengan maksud sudah jadi bercampur aduk. Apabila kita minta mereka berikan pembayang maksud kepada maksud yang sudah kita tetapkan, mereka pun membuat ayat yang di hujung dua barisnya ada persamaan bunyi dengan dua baris maksud yang ditetapkan; tanpa mereka sedar yang dua ayat ciptaan mereka itu sebenarnya adalah juga maksud, bukannya pembayang maksud.

Apa beza ayat pembayang maksud dengan ayat maksud? Ayat maksud memang jelaslah ia membawa maksud. Ayat pembayang maksud pula tidak membawa maksud, ia sekadar menjadi pembayang sahaja kepada maksud; dan pembayang itu hendaklah diambil atau dipetik daripada unsur-unsur keindahan alam di sekeliling kita. Yang satu dari alam luas di luar diri (pembayang), dan yang satu lagi dari dalam diri kita (maksud). Di situlah indahnya pantun, dan di situlah indahnya metafora Melayu.

Tak mengapalah kekeliruan yang sedikit itu. Tidak susah pun untuk kita memperbaikinya. Namun ada satu perkara yang sangat menarik perhatian saya. Seorang peserta yang baru lepas SPM itu telah mengemukakan ayat-ayat pantunnya yang kelihatan dan terasa agak berbeza. Cuba anda perhatikan dua pantunnya ini:

Pokok meranti megah seia / Daun berjurai menyembah tunduk; Hidup ini sesuatu yang bahagia / Jangan ditunggu kucing bertanduk.

Berkilau emas setara baiduri / molek tersemat pakaian nyonya; Kehidupan tiba beronak duri / Kelak bersabar ada hikmahnya.

Terasa kelainan pada pemilihan kata atau diksinya, dan juga pada pembinaan ayatnya. Ia bukan pantun biasa. Ia mengingatkan saya kepada syair Hamzah Fansuri dan pantun Syed Naquib Alattas. Itu kesan spontan saya. Pemilihan kata dan pembinaan ayatnya itu seperti ada nilai-nilai falsafah di sebaliknya, yang rasa saya tidak disedari pun oleh penulisnya sendiri. Itulah bakat alamiah (semula jadi) yang ada pada anak muda itu.

Saya timbulkan misalnya kenapa dia memilih kata ‘berkilau’ dan tidak ‘kilauan’. Kata ‘setara’ juga bukan kata yang selalu kita pilih. ‘Kehidupan tiba’ – kita tak kata kehidupan ‘tiba’ kerana kita fikir kehidupan memang sudah ada, bukan ‘tiba’. Tetapi kenapa pelajar ini memilih frasa ‘kehidupan tiba’? Demikian juga ‘kelak bersabar’ – kenapa ‘kelak’? Dan seterusnya.

Itulah maka saya berbincang dengan Kassim – apakah mungkin pantun boleh diangkat menjadi satu genre yang sepenting sajak, cerpen dan esei, yang boleh menjadi wahana menyalurkan idea, ilmu, pemikiran dan mesej, dalam masyarakat moden kita hari ini?

Apa pun, ia sangat bergantung kepada Mohd Najib Selamat – pelajar lepasan SPM yang akan melanjutkan pelajarannya ke IPT, samada dia akan meneruskan penyertaannya dalam bengkel penulisan di Masjid Nuruliman, Rawang, itu ataupun tidak. Bergantung kepada IPT mana yang akan dimasukinya.

Itupun hanya sekadar melihat kilatan bakatnya dalam satu sesi bengkel itu sahaja. Mungkin kesan spontan saya itu betul dan mungkin tidak.

Dan demikianlah perkembangan aktiviti Seniman Paksi Rakyat (Paksi) akhir-akhir ini. Agak banyak terlibat dengan aktiviti bengkel penulisan, bicara atau telaah buku, dan wacana ilmu. Agak kurang atau menjadi berkurangan dalam aktiviti persembahan seni seperti baca puisi dan sebagainya.

Namun sehari sebelum Wacana Ilmu di PPAS (anjuran bersama dengan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor - PPTPMI) pada 14 April itu, malam 13 Aprilnya Paksi bersama dengan NGO Bangkit di Jempol, menganjurkan persembahan puisi yang dinamakan “Malam Derita Bangsa”, di Felda Raja Alias, Jempol, Negeri Sembilan. Saya bersama Pak Salleh, Amni Jagat, Benz Ali dan Hasni Abas mengambil bahagian.

Ya, kerana sebab-sebab tertentu, (tak pasti saya pernah menjelaskannya dalam kolum WB sebelum ini atau tidak), Paksi sekarang memberi tumpuan lebih sedikit kepada bengkel penulisan. Bermula dengan bengkel penulisan enam hari di Titi Hayun, Kedah, pada Mei 2011 yang lalu. Terima kasih Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Allahyarham Azizi Hj Abdullah, juga Cikgu Azmi Ab Hamid, kerana inisiatif mereka itu telah membuka pemikiran Paksi untuk memberi perhatian kepada bengkel penulisan.

Sejak itu Paksi telah terlibat dan menganjurkan beberapa bengkel. Yang terpenting antaranya ialah di Madrasah Tarbiyah Kg Banda Dalam, (terletak di tengah-tengah antara Gombak, Setapak dan Sentul). Ia penting kerana dibuat secara bersiri, pada hari Ahad keempat setiap bulan, mulai Januari 2012 (yang kemudiannya telah berkembang menjadi Madrasah Seni).

Atas galakan beberapa pihak, khususnya sokongan yang diberikan oleh Sasterawan Negara A Samad Said, dan terbaru pula sokongan daripada Dr Halimah Ali (Exco PPTPMI Selangor), kini Paksi sedang merancangkan beberapa siri bengkel tersebut, yang akan diadakan di beberapa tempat di Selangor. Mereka yang berminat bolehlah hubungi kami (019-9592408).


Dinsman (Artikel 306, 16/4)
Seniman yang berdiri di tengah-tengah rakyat

Entah betul entah tidak, kata mereka demam pilihanraya ke-13 sudah bermula. Di sana-sini orang sibuk bercakap dan bertanya pasal pilihanraya. Ada jiran yang bekerja dengan MAS sudah awal-awal mengambil cuti pada bulan Jun, sebab dia yakin PRU-13 akan diadakan pada bulan Jun ini.

Tapi bila ingat-ingatkan semula, suasana demam pilihanraya ini bukanlah sekarang baru bermula. Sudah lama pun bermulanya, dan tarikh jangkaannya pun sudah beberapa kali asyik diubah dan diubah. Pilihanraya tidak juga menjelma. Perdana Menteri dikatakan masih takut untuk membubarkan Parlimen, kerana dia belum yakin yang Umno/BN akan menang.

Itulah istimewanya negara Malaysia kita ini. Tarikh pilihanraya ditentukan apabila Perdana Menteri yakin yang partinya akan menang. Itulah demokrasi ala-Malaysia. Hampir semua media massa tolong berkempen untuk parti Perdana Menteri. Dan para intelektual dan budayawan pun hampir semuanya begitu juga. Majlis Profesor Negara pun! Membutakan matahati dan mataminda terhadap segala kemungkaran dan kezaliman pemerintah, semuanya akur.

Seorang sahabat saya yang kebetulan hadir dalam suatu majlis sambutan harijadi A Samad Said anjuran sebuah penerbitan, Sabtu lalu, mengirim SMS kepada saya mengatakan rasa jengkelnya melihat para penulis di situ yang memperlihatkan seolah-olah mereka begitu menghormati Sasterawan Negara itu, padahal sebelum itu merekalah juga yang telah mencebik dan mencemuh sikap dan perjuangan Samad Said memimpin gerakan bantah PPSMI, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.

Saya pun kadang-kadang terasa bosan dan malas hendak memikirkan soal politik di negara kita ini. Tetapi apabila melihat A Samad Said yang sudah berusia 77 tahun itu masih lagi bersemangat dan tidak mengenal penat menerima jemputan ke seluruh pelosok negara, berceramah dan membaca puisi, menggesa rakyat supaya menamatkan era pemerintahan Umno/BN itu, saya pun terangsang semula untuk bersama-sama dengannya.


Hujahnya yang selalu diulanginya itu mudah sahaja. Selama lebih 50 tahun negara kita ini, yang menjadi Perdana Menterinya siapa? Orang Melayu Umno. Yang memegang kuasa selama ini siapa? Orang Melayu Umno. Yang berkuasa menentukan ekonomi orang Melayu, menentukan tanah milik Melayu, menentukan pendidikan orang Melayu – semuanya siapa? Semuanya pemimpin Melayu daripada Umno. Mengapa pula sekarang mereka mengatakan kedudukan orang Melayu sedang terancam? Selama 50 tahun lebih mereka berkuasa itu apa yang mereka buat?

Itu hanya satu daripada sekian banyak hujah-hujahnya, yang bagi saya adalah sangat jelas dan mudah dimengerti. Tetapi yang sangat menghairankannya, mengapa para penulis, budayawan dan intelektual kita, yang sebahgiannya turut mera’ikan ulangtahunnya Sabtu lalu di KLCC itu, bahkan menghasilkan buku untuk menyatakan penghargaan mereka terhadap sumbangan seni Samad Said itu – mengapa mereka itu tidak pula mahu menghargai pemikiran dan hujahnya ini?

Memang semua orang mempunyai kebebasan berfikir. Itu tidak dinafikan oleh sesiapa pun. Tetapi apabila penulis-budayawan-intelektual membutakan matahati dan matafikir mereka terhadap kebenaran dan kemungkaran; dan kemudian dicelarukan pula oleh sebahagian pimpinan politik Pakatan Rakyat sendiri yang menyokong golongan penulis-budayawan yang mungkar dan hipokrit itu – nah, itu yang menyebabkan saya pun kadang-kadang jadi bosan dan malas hendak ikut campar dalam hal politik kita ini.

Namun syukurlah, kita masih ada seniman seperti yang selalu saya ungkapkan dalam puisi yang sering saya bacakan di mana-mana akhir-akhir ini – iaitu: “aku mencari pemberani yang lama hilang /aku mencari jebat yang sanggup mengamok /aku mencari syahid yang kenal hakikat jihad /aku mencari seniman yang berani berdiri… /berdiri di tengah-tengah rakyat /dengan kesenimanannya.”

Tidak pernah saya fikirkan sebelum ini bahawa yang sering saya ungkapkan dalam puisi itu adalah seniman yang bernama A Samad Said. Hanya hari ini apabila melihat muka depan Suara Keadilan (61), dengan gambar A Samad Said di penjuru atas sebelah kanan, dengan petikan kata-katanya yang sangat sakral dan berunsur jihad itu, saya seperti tersedar bahawa itulah dia senimannya.

Perhatikan dan renunglah kata-katanya ini: “Saya tak mahu mati sia-sia. Saya mahu gunakan sisa usia yang ada ini untuk perjuangan bangsa dan anak cucu.”

Memang itu bukan pertama kali dia mengucapkan demikian. Saya pernah mendengarnya, dia berkata demikian, tapi tak ingat lagi di mana. Pengakuan seorang sasterawan yang berani dan mempunyai matahati dan matafikir yang cerah – seorang sasterawan dan negarawan yang cintakan umatnya, dan cintakan kebenaran Islaminya. Syabas bung! Kami Seniman Paksi Rakyat sentiasa bersamamu!

Sekali hidup, biar bererti!

Mari kita buktikan kepada masyarakat kita yang selama ini kurang kesedaran budaya mereka – mari kita buktikan bahawa seni-budaya itu tidak kurang pentingnya dibandingkan dengan politik pun. Bahawa tekad budaya (cultural will) itu sama pentingnya dengan tekad politik (political will).

Lihatlah – pada waktu politik seperti menemui jalan buntunya, pada waktu politik sedang jadi kacau-bilau seperti di negara kita sekarang ini, hingga orang hampir hilang kepercayaan kepada institusi-institusi dan nilai-nilai penting sesebuah tamadun – seorang seniman-budayawan muncul “dengan kesenimanannya” – memimpin suatu gerakan ke arah pencerahan, ke arah kehidupan yang lebih bermaruah, ke arah keadilan, keharmonian dan kesejahteraan. 

Dinsman (Artikel 305, 13/4)
Bicara kebenaran bersama anak muda

Mulanya saya bercakap mengenai “Mengapa perlu menulis”, berdasarkan pengalaman sendiri, dengan tujuan untuk membuka minda anak-anak muda yang menghadiri bengkel penulisan itu, supaya mereka mendapat gambaran mengenai proses menulis atau kreativiti, dan supaya mereka jadi terangsang untuk menulis.

Kemudian disambung oleh Kassim Muhamad, yang diminta oleh pihak penganjur untuk bercakap mengenai “Menulis untuk kebenaran”. Agak menarik apabila Kassim, setelah menyampaikan kuliahnya, lalu meminta para peserta memilih satu perkataan yang boleh mewakili pandangan dan fikiran mereka mengenai subjek yang diperkatakan, iaitu kebenaran.

Peserta bengkel itu terdiri daripada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri-negeri di utara, seramai 30 orang, lelaki dan perempuan, tahun 1, 2 dan 3, kebanyakannya di tahun 2, pelbagai jurusan.

Saya jadi teruja apabila melihat perkataan-perkataan yang mereka pilih. Antaranya seperti subjektif, enquiri, keadilan, perjuangan, takut, sistem, makna, prihatin, hipokrit, dan yang paling menggugah ialah perkataan ‘palsu’. Bagaimanakah kata ‘palsu’ boleh mewakili pandangan seseorang terhadap ‘kebenaran’?

Maka saya bertanya kepada pelajar tersebut, bagaimana ‘palsu’ boleh mewakili pandangannya terhadap kebenaran? Maka dia pun mengemukakan hujah-hujahnya. Memang dia mempunyai hujah yang agak bernas bagi mempertahankan pemilihan perkataannya itu. Demikian juga dengan yang memilih kata ‘hipokrit’, ‘takut’ dan sebagainya.

Di peringkat tersebut, memang itulah yang lebih penting. Boleh berhujah. Biar apa pun hujah mereka, apabila berhujah, mereka memperlihatkan kewajaran pandangan mereka itu, atau mereka menunjukkan jalur pemikiran mereka. Dan ternyata pelajar-pelajar IPT seramai 30 orang yang mengikuti bengkel penulisan itu masing-masing mempunyai minda yang bebas dan terbuka, dan berani meneroka.

Misalnya Mohd Adam Abu Bakar yang memilih perkataan hipokrit. Apabila diminta menuliskan hujahnya, dia menulis begini: “Hipokrit – itulah apa yang terlintas di benak fikiran saya sewaktu pertama kali ditanya mengenai kebenaran. Pada fahaman saya, manusia apabila ditanya mengenai kebenaran mereka akan mengikut apa sahaja yang dikatakan oleh pihak atasan. Tidak bisa menyampaikan kebenaran yang ada. Sebabnya, mereka hipokrit.

“Sudah hilang dalam diri manusia untuk mengatakan bahawa sesuatu yang benar itu adalah benar, dan yang salah itu adalah salah. Sebabnya, mereka hipokrit. Tidak bisa menjadi diri sendiri. Manusia itu takutkan kelainan, kerana yang dicari adalah persamaan sahaja. Oleh itu apa yang tinggal adalah keserataan dalam hubungan, kehidupan dan lain-lain. Sebabnya, mereka hipokrit.”

Bengkel tiga hari yang dibuat di Pendang Lake Resort (Kedah), anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu, turut diisi juga oleh Hasni Abas dan Herry Nurdi (dari Indonesia). Hasni bercakap mengenai aspek bahasa dalam penulisan; Herry Nurdi pula menceritakan pengalaman bacaannya yang begitu banyak dan luas (koleksi buku di rumahnya 60,000 buah), hingga memungkinkan dia menghasilkan 25 buah buku setakat ini, pada usia 34 tahun.

Sebelum itu Cikgu Azmi Ab Hamid selaku tuan rumah, memulakan bengkel itu dengan bicara mengenai realiti sebenar dan realiti rekaan manusia, yang menyebabkan masyarakat hari ini banyak tertipu olehnya.

Demikianlah, pada hari ketiga, apabila sekali lagi diminta memilih perkataan yang boleh mewakili pemahaman mereka terhadap kebenaran, kebanyakan peserta telah memilih perkataan yang lain pula, akibat perubahan dalam pemikiran mereka, hasil perbincangan selama dua hari.

Mohd Adam yang kelmarin memilih kata ‘hipokrit’, kini memilih pula kata ‘kosong’, dengan hujah: “Kosong – itulah apa yang saya fikirkan mengenai kebenaran. Hal ini kerana persepsi saya berubah. Saya beranggapan bahawa kebenaran itu akan menjadi kosong kalau kita tak mencari; kebenaran akan menjadi kosong kalau kita tidak ada ilmu; kebenaran akan menjadi kosong, dan tetap kosong, kalau kita biarkan; kebenaran tak akan terbukti, jika sifat kosong itu ada dalam diri. Kekosongan itu boleh dipenuhi jika kita sendiri mahu penuhinya. Terpulang pada diri kita. Semuanya kita.”

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama kami dari Seniman Paksi Rakyat (Paksi) terlibat dalam diskusi mengenai ‘kebenaran’. Ini kali yang entah ke berapa. Sudah banyak kali. Tetapi inilah pertama kali berdiskusi mengenai kebenaran bersama dengan anak-anak muda dari IPT. Terasa kelainannya, berbanding dengan diskusi bersama orang-orang dewasa sebelum ini, termasuk dengan golongan penulis.

Apa kelainannya? Pertama ialah pendekatan mereka, atau bagaimana mereka melihat subjek yang dibincangkan. Cukup menarik apabila didapati tidak ada seorang pun di kalangan pelajar itu yang cuba memberi tafsiran politik kepartian semasa, terhadap makna kebenaran itu, sedangkan itulah tumpuan pemikiran dan tafsiran pihak penulis, budayawan dan intelektual yang pernah kami berdiskusi sebelum ini.

Bahkan begitu sukar sekali untuk mengajak mereka dari golongan penulis, budayawan dan intelektual itu membicarakan kebenaran yang tidak dikaitkan dengan tafsiran politik kepartian semasa. Sudah beberapa kali diskusi dan forum diadakan, termasuk yang pihak Paksi tidak terlibat pun, apabila berbicara mengenai kebenaran maka kebenaran itupun dikaitkan dengan fahaman politik semasa, hingga kelihatan bercambahlah prasangka terhadap politik dan juga terhadap kebenaran, padahal mereka sendiri yang memilih untuk berfikiran demikian, dan pada waktu yang sama mereka mendakwa pula bahawa mereka tidak berpihak ke mana-mana. Alangkah anehnya!

Maka saya teringat pada dialog seorang Profesor dengan seorang Sasterawan Negara yang bertanyakan pendiriannya dalam penulisannya. Kata Profesor itu, “daripada silap tempat berdiri, baiklah duduk-duduk atau tidur di rumah!” Seperti dia begitu yakin bahawa duduk dan tidur di rumah itu tidak silap. Barangkali para pelajar itu lebih arif akan kesilapannya.

Dinsman (Artikel 304, 9/4)
Metafora dan Pemikiran Melayu

Salah satu sumbangan besar Datuk Dr Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ialah hasil kajiannya mengenai ‘Metafora Melayu’ seperti yang terakam dalam monograf terbitan Akademi Kajian Ketamadunan, 2003, “Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk Epistemologinya”.

Sumbangan besarnya yang lain ialah memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris), dan menggembleng rakyat yang sedar jatidiri dan cintakan bahasa Melayu turun ke jalanraya Kuala Lumpur, sekitar 100 ribu orang, kerana membantah dasar itu, pada 7 Mac 2009.

Manakala sumbangannya sewaktu mengemudikan bahtera bahasa dan sastera Melayu selama 12 tahun sebagai Ketua Pengarah DBP itu tidaklah dapat disebutkan di ruang yang terhad ini, kerana banyaknya, (sebelum ia dirosakkan sedikit demi sedikit oleh para penggantinya sejak 1988, hinggalah Februari tahun ini apabila Dr Awang Sariyan cuba membangunkan semula harapan yang telah rebah itu).

Pada 6 Mac lalu Persatuan Penulis Budiman Malaysia bersama Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI, telah menganjurkan Wacana Pemikiran Datuk Hassan Ahmad, bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, bagi mengungkapkan sumbangan-sumbangan beliau (Hassan Ahmad) dalam pelbagai bidang.

Enam orang sarjana dan seorang bekas pegawai DBP telah mengemukakan pandangan dan hasil kajian mereka. Antaranya ialah Datuk Zainal Abidin Borhan (Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan dan mantan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya) yang berbicara mengenai ‘Metafora Melayu’, berdasarkan monograf yang disebut tadi.

Seniman Paksi Rakyat (Paksi) yang memang sejak pemergian Hassan Ahmad ke alam baqa pada 31 Ogos 2011 bercadang untuk menganjurkan majlis ilmu sempena mengingati sumbangannya, berpendapat bahawa pemikiran mengenai Metafora Melayu ini wajar terus diangkat, supaya lebih ramai lagi orang dapat menyedarinya dan membuat penilaian semula terhadap pemikiran Melayu, dan seterusnya penilaian semula terhadap tamadun Melayu.

Secara kebetulan Paksi baru sahaja mencapai persetujuan dengan Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, untuk menganjurkan satu siri majlis Wacana Ilmu secara sederhana, di Shah Alam, dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi tradisi apresiasi ilmu di kalangan masyarakat. Maka inilah program yang akan memulakan siri tersebut.

Wacana Ilmu bertajuk “Metafora Melayu – Pemikiran Hassan Ahmad”, berdasarkan monografnya ‘Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk Epistemologinya’, akan diadakan di Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS), Shah Alam, pada 14 April 2012 (Sabtu), bermula 9.00 pagi dan berakhir sekitar 1.00 tengahari.

Tiga orang sarjana yang akan membicarakan subjek ini ialah Zainal Abidin Borhan, Siti Zainon Ismail dan Dr Nurdeng Durasheh. Kalau di UPSI pada 6 Mac lalu hanya Zainal Abidin Borhan seorang yang membicarakan subjek Metafora Melayu (sebagai sebahagian daripada kandungan ucaptamanya berjudul “Datuk Hassan Ahmad: Lubuk Akal, Gedung Bicara, Lautan Budi”), maka kali ini beliau akan berkongsi dengan dua orang sarjana lagi membicarakan mauduk yang sama.

Tentulah mereka akan memilih pendekatan yang sesuai dan serasi dengan bidang kepakaran masing-masing. Siti Zainon Ismail misalnya adalah seorang profesor dan pengkaji seni dan budaya Melayu di rantau Nusantara. (Dia juga seorang pelukis, penulis puisi, novel, cerpen dan esei budaya). Walaupun minatnya lebih cenderung kepada seni tampak, namun meneliti hasil kajian Hassan Ahmad itu tentulah akan membuahkan beberapa pandangannya yang dijangka akan cukup menarik.

Nurdeng Durasheh ialah pensyarah falsafah sains dan ketamadunan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Lulusan dari ISTAC yang berasal dari Patani ini tentulah mempunyai sisi-sisi keistimewaannya tersendiri apabila berbicara mengenai pemikiran Melayu yang metaforik, mengikut pendapat Hassan Ahmad itu.

Apakah makna metafora? Kata Hassan Ahmad, “Saya menggunakan istilah yang lebih luas daripada istilah intelektual, iaitu ‘akal budi’ atau ‘kehalusan akal’, untuk menilai isi dan corak pemikiran Melayu. Nilai ini akan kita nampak melalui metafora Melayu yang dibentuk melalui peribahasa dan pepatah Melayu, melalui pantun, melalui cerita rakyat atau lipur lara, melalui hikayat dan melalui karangan bercorak metafizik, seperti yang terdapat misalnya dalam puisi (syair) penyair tasawuf agung Melayu, Hamzah Fansuri.” (ms 3-4)

Malah mengikut Hassan Ahmad, teks yang besar seperti Hikayat Hang Tuah itu pun dapat dianggap sebagai “wacana metafora naratif yang besar”.

Hassan Ahmad merumuskan tiga fakta atau proses penting dalam pembentukan pemikiran Melayu melalui metafora, iaitu: “(a) metafora dan hasilnya pemikiran Melayu, terbentuk melalui proses pengalaman, akliah, dan renungan, dan intuisi atau ‘rasa hati’ sekaligus; (b) metafora Melayu dibentuk oleh manusia Melayu yang bijak dan pantas fikirannya; dan (c) metafora Melayu menghasilkan suatu sistem pendangan hidup bersama bangsa Melayu atau sistem rangkaian sosial pemikiran Melayu melalui evolusi sosial.” (ms 13)

Antara yang menarik diperhatikan hasil kajian Hassan Ahmad ini ialah bahawa pemikiran Melayu tidak sampai ke tahap membuat kesimpulan berdasarkan premis yang tidak benar (seperti dalam silogisme Aristotle, misalnya), kerana pemikiran Melayu adalah berdasarkan dua kaedah asas, iaitu:

“(a) menguji ‘konsep’ atau pemikirannya melalui pengalaman sebelum konsep itu dapat diterima kebenarannya; (b) berdasarkan kepercayaan yang merentas keterbatasan alam fizik untuk memikirkan hal-hal yang ‘ghaib’ sesuai dengan firman Allah dalam kitab al-Quran, dengan menggunakan kaedah atau hujah tamsil ibarat… yakni melalui metafora” (ms 35)

Maka seeloknya datanglah pada 14 Februari ini, dan seeloknya hubungi kami terlebih dahulu untuk pastikan ada tempat untuk anda. (SMS 012-2787558)

Dinsman (Artikel 303, 6/4)
Basmi kemiskinan bukan agenda Islam

Ketika berbincang sesuatu dengan kawan-kawan sambil minum petang itu, seorang kawan menceritakan dia mendengar seorang ulamak berkata di televisyen bahawa hari ini orang yang tinggal di bandar, yang berpandapatan RM3 ribu ke bawah, sudah boleh dianggap sebagai miskin. 

Ulamak itu seorang yang terkenal. Tak perlulah saya sebut namanya. Bukan dia itu yang penting. Yang penting ialah pendapatnya itu. Dan pendapatnya itu penting kerana bukan dia seorang berpendapat begitu. Ramai lagi hari ini yang berpendapat begitu.

Maka saya pun segera menyanggah pendapat itu. Pertamanya, nilai apa yang kita gunakan untuk mengukur seseorang itu miskin atau tidak miskin? Apakah kita gunakan nilai Islam? Oh, dia yang memberi pendapat itu seorang ulamak, tentulah dia gunakan nilai Islam. Ah, nilai Islam yang mana tu? Apakah sumber rujukannya?

Saya selalu merujuk kepada sirah Nabi SAW. Memang, nilai RM3 ribu sekarang itu tidak boleh dibandingkan dengan nilai di zaman Nabi. Tetapi merujuk kepada sirah Nabi bukanlah bermaksud membandingkannya dengan cara begitu.

Saya mengatakan kepada kawan-kawan petang itu: Apakah di zaman Nabi dan para sahabat dulu mereka membincangkan soal kemiskinan itu sepertimana kita membincangkannya hari ini? Maksudnya, apakah isu kemiskinan itu diberi perhatian penting oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, sepertimana kita hari ini memberi perhatian penting terhadap isu itu?

Nabi Muhammad SAW sendiri – apakah dia seorang yang termasuk dalam kategori orang miskin, atau orang kaya, atau orang yang berpendapatan sederhana? Atau apakah perkara itu sesuatu yang penting diketahui apabila kita mempelajari Islam dalam hal atau bab mengenai kisah hidup Rasulullah SAW?

Seingat saya itu bukanlah satu perkara yang penting. Soal Nabi Muhammad itu seorang yang miskin atau seorang yang kaya bukanlah suatu topik yang menjadi perbincangan dalam mempelajari dan memahami agama Islam. Begitu juga dengan para sahabat Rasulullah. Kalau pun ada disebut bahawa sahabat ini seorang yang kaya dan sahabat itu seorang yang mempunyai banyak harta, ia disebut begitu sahaja, bukan sebagai suatu isu yang penting dalam kehidupan masyarakat Islam.

Kalau diukur mengikut nilai dan analisa hari ini, Nabi Muhammad SAW itu tentulah seorang yang bukan sahaja miskin, tetapi fakir atau miskin tegar. Selalu sahaja dalam keadaan lapar kerana tidak cukup makanan. Periuk di dapurnya selalu sahaja tak berasap. Begitu juga dengan kebanyakan para sahabat. 

Diriwayatkan misalnya baginda Rasulullah SAW bersama dengan para sahabat sedang bekerja menyangkul dan mengorek parit sebagai persiapan untuk strategi suatu peperangan. Mereka dalam keadaan perut lapar kerana tiada makanan. Tiba-tiba datang berita seorang sahabat menjemput mereka ke rumahnya untuk makan. Berita itu menjadi satu berita yang sangat menggembirakan mereka.

Maknanya apa? Maknanya kemiskinan bukan satu isu penting. Rasulullah SAW tidak pernah menjadikan kemiskinan sebagai satu isu penting yang perlu beliau tunjukkan langkah-langkah yang patut dibuat bagi mengatasinya. Kemiskinan bukan isu. Dan ia tidak perlu diangkat sebagai isu untuk diberi perhatian oleh para pemimpin dan pentadbir. Kemiskinan hanya satu masalah kecil yang akan selesai dengan sendirinya apabila isu-isu atau masalah-masalah lain yang lebih penting, telah diberikan perhatian yang sewajarnya.

Hal ini telah terbukti menjadi satu dasar dalam perjuangan Rasulullah SAW. Mengangkat taraf ekonomi orang-orang miskin bukanlah agenda perjuangan baginda dan para sahabat. Bacalah dan kajilah sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Banyak lagi isu dan perkara yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW dalam hidupnya. Bukan isu kemiskinan dan bagaimana membasmikan kemiskinan. Ada banyak isu lain yang lebih penting. Namun saya tidaklah hendak membicarakan apakah isu-isu penting itu di sini. Saya sekadar mengatakan bahawa kita tak usahlah mengangkat perkara-perkara yang tidak penting menjadi agenda penting. Kita janganlah memberi perhatian yang lebih kepada perkara yang tidak perlukan perhatian demikian. Kita hendaklah memperbetulkan fokus kita.

Tidak semua perkara yang dianggap penting oleh orang lain itu kita juga mesti menganggapnya penting. Demikian jugalah tak semua perkara yang tak dianggap penting oleh orang lain itu kita juga mesti menganggapnya tak penting. Amalan riba misalnya sangat penting dalam sistem kewangan kapitalis, tetapi ia sama sekali tak diperlukan dalam sistem ekonomi Islam, bahkan Islam mengharamkan amalannya. Tetapi kita pula teragak-agak untuk membasmikannya dalam praktik sistem kewangan negara kita.

Demikian juga amalan rasuah dan salahguna kuasa. Kita mengakuinya haram, tetapi kita tidak bersungguh-sungguh berusaha bagi menghapuskannya. Kita lebih mengutamakan usaha pembasmian kemiskinan daripada usaha pembasmian rasuah dan salahguna kuasa.

Perjalanan hidup Rasulullah SAW dan para sahabat adalah dipenuhi dengan kerja-kerja perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan keutuhan syari’at Islam; hingga soal kemiskinan tidak pernah sempat timbul menjadi isu. Bandingkanlah itu dengan perjalanan hidup kita hari ini. Betapa jauhnya kita telah tersasar dan menyeleweng daripada landasan Islam yang telah diletakkan dengan jelas sejelas-jelasnya oleh Rasulullah SAW itu.

Dan dengan mengatakan kemiskinan itu bukan isu dan bukan agenda penting dalam perjuangan Islam, saya sama sekali tidak mengatakan bahawa Islam tidak ada tanggungjawab untuk membantu golongan miskin. Di sana ada sistem zakat, di sana ada pengharaman riba, di sana ada galakan bersedekah, di sana ada baitul-mal, waqaf dan sebagainya.

Kita sepatutnya menghormati, memuliakan dan menghayati cara hidup Rasulullah SAW dan para sahabat. Perjalanan hidup mereka itulah ikutan kita. Jangan terikut-ikut cara orang lain.

Dinsman (Artikel 302, 30/3)
Menghayati dan mendeklamasi puisi

Sabtu 24 Mac saya bersama Kassim Muhammad dijemput menjadi hakim pertandingan mendeklamasi sajak, anjuran Muzium Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Turut bersama menjadi hakim ialah Norhisham.

Seramai 36 orang peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori – sekolah rendah, sekolah menengah dan dewasa. Masing-masing 12 orang bagi setiap kategori. Sajak bertemakan Petaling Jaya.

Satu peristiwa yang menarik. Pertamanya kerana lokasinya di tempat terbuka di tengah-tengah Taman Tasik Petaling Jaya. Memang lokasi dan suasana yang cantik dan indah, di pagi Sabtu yang segar itu. Maka saya pun membayangkan sesuatu yang lain pula, yang sangat sesuai dan sangat cantik kalau dibuat di situ – tak lain tak bukan tentulah persembahan puisi dan lagu-lagu puisi. Alangkah berseni-budayanya Petaling Jaya!

Tetapi itu cerita lain. Yang nak saya bincangkan di sini ialah mengenai menghayati dan mendeklamasi puisi, sempena peristiwa pertandingan mendeklamasi sajak oleh Muzium Petaling Jaya itu. Khabarnya itu kali yang ke enam dan tahun yang ke enam mereka menganjurkannya. Maka persiapannya pun nampak teratur dan rapi.

Ada beberapa hal yang menarik. Antaranya, sewaktu pertandingan bagi kategori sekolah rendah sampai di hujungnya saya berbisik kepada Kassim: “Mereka ini semua agaknya diajar oleh seorang cikgu. Sama saja cara membacanya. Pengucapannya, intonasi suaranya, kalau kita tak tengok, kita dengar saja, macam satu orang saja yang mendeklamasi.”

Semuanya menghafal. Semua peserta dari semua kategori. Hanya seorang dua yang membawa kertas kecil di tapak tangan untuk dilihat sesekali. Ada yang terlupa dan Norhisham perlu mengingatkan. Tak mengapalah hal itu.

Secara keseluruhannya saya perhatikan ada satu perkara yang seperti diabaikan oleh cikgu-cikgu yang mengajar deklamasi berkenaan, iaitu perkara penghayatan. Dalam borang pemarkahan memang terdapat perkara penghayatan, yang dibahagi pula kepada dua bahagian. Peratusan markahnya pun kecil. Padahal inilah perkara yang utama dalam pembacaan atau deklamasi puisi/sajak.

Bagi kategori sekolah rendah terutamanya, saya tak fikir peserta-peserta itu dapat menghayati sajak-sajak yang dibaca. Cara pengucapan dan intonasi suara (irama) serta gerak tangan mereka menunjukkan demikian. Dan sajak-sajak yang dibaca itu adakah sesuai dengan mereka? Daripada manakah sajak-sajak itu diambil, atau dipilih?

Sepatutnya inilah perkara pertama yang perlu diperhatikan. Sajak-sajak yang dideklamasi itu biarlah sajak-sajak yang baik dan sesuai. Kalau boleh biarlah karya penyair-penyair ternama. Biarlah para pelajar/peserta itu tahu dan dapat mengenali puisi-puisi yang baik. Dan itu adalah asas kepada deklamasi atau pembacaan yang baik.

Yakni asasnya ialah pemilihan puisi. Bukan semua puisi sesuai untuk dideklamasi, walaupun puisi yang baik. Maka untuk ini ia mestilah puisi yang baik dan sesuai untuk dideklamasi oleh pendeklamator tertentu. Bagi kategori sekolah rendah, mestilah puisi yang sesuai dengan peringkat umur dan tahap pemikiran mereka. SN A Samad Said misalnya, mempunyai buku kumpulan puisi yang khas, sesuai dengan peringkat ini, iaitu kumpulan Rindu Ibu.

Penghayatan ialah perkara yang kedua, iaitu setelah puisi telah dipilih. Menghayati sebuah puisi ialah memahami maknanya, menyelami maksudnya dan menikmati keindahannya sebagai sebuah karya seni. Berdasarkan penghayatan itulah maka lahirnya persembahan, dalam bentuk dan gaya yang sesuai dengan maksud dan semangat puisi itu sendiri.

Tidak semua puisi memerlukan lontaran suara yang lantang dan nyaring (yang nampaknya menjadi kegemaran hampir semua peserta). Ada puisi yang memerlukan bacaan yang bersahaja. Ada puisi yang memerlukan aksi atau gerak badan dan ada puisi yang memerlukan pendeklamatornya berdiri diam sahaja.

Semuanya bermula dan bertolak daripada penghayatan terhadap puisi yang hendak dibaca itu. Dan ini sebenarnya bukanlah masalah dalam pertandingan deklamasi yang dianjurkan oleh Muzium Petaling Jaya ini sahaja. Apa yang saya bincangkan ini adalah masalah dalam keseluruhan pertandingan deklamasi puisi yang selalu diadakan di negara ini.

Mereka mempunyai gaya baca (atau deklamasi) yang tersendiri, yang berbeza daripada gaya baca penyair-penyair dalam majlis-majlis baca puisi yang bukan pertandingan deklamasi. Agak menghairankan juga bagaimana hal ini boleh terjadi. Dari manakah asalnya lahir gaya deklamasi istimewa di kalangan peserta-peserta pertandingan mendeklamasi puisi itu?

Hendak dikatakan gaya itu adalah hasil peniruan terhadap gaya pemenang-pemenang dalam pertandingan mendeklamasi puisi yang sering dianjurkan di negara kita – rasanya tidak juga. Sebab setahu saya di kalangan penyair sendiri ada beberapa orang yang pernah memenangi pertandingan mendeklamasi puisi peringkat kebangsaan, seperti Puzi Hadi dan Shukri Abdullah.

Tidak seorang pun di kalangan peserta yang mendeklamasi pada pagi Sabtu di Taman Tasik Petaling Jaya itu membawa gaya persembahan Shukri Abdullah mahupun Puzi Hadi. Jadi, bagaimanakah gaya khas dengan irama khas itu boleh tercipta dan tersebar?

Tak mengapalah, walau bagaimanapun asal mula terjadinya gaya persembahan itu. Namun ada juga beberapa peserta dalam kategori sekolah menengah dan dewasa yang membawa kelainan dalam gaya persembahan. Paling menariknya ialah dua orang pelajar berketurunan Cina yang terpilih sebagai pemenang nombor satu dan nombor dua itu. Mereka memper-lihatkan penghayatan yang baik, dan menyampaikannya sesuai dengan penghayatan itu.

Walau apapun, ucapan tahniah patut diberikan kepada pihak Muzium Petaling Jaya. Hanya kita mengharapkan Puan Ainul Farhiah (Pustakawan 1) yang bertanggungjawab menganjurkan program itu, mahu pula menganjurkan sesuatu seperti yang saya bayangkan di atas tadi – persembahan puisi dan lagu-lagu puisi – sesuai dengan suasana indah taman tasik di hadapan Muzium Petaling Jaya itu!