Background

Mengenang Azizi bukan sekadar mengenang

Dinsman (Artikel 258, 14/10)
Mengenang Azizi bukan sekadar mengenang

Malam itu kami berkumpul di suatu sudut yang agak terpencil dari kesibukan dan hiruk-pikuk kota, walaupun sudut itu sebenarnya berada di tengah-tengah jantung kota kosmopolitan Kuala Lumpur. Ada sahabat datang khas dari sejauh Merbok, Kedah, walaupun dalam keadaan badannya kurang sihat. Dan ada yang dari Meru, Ipoh. Yang lainnya dari sekitar Lembah Kelang. Kami bertemu di sudut warong di depan bangunan lama DBP, yang kami panggil dengan nama Warong Rakyat.

Kami berkumpul di situ untuk satu tujuan – mengenang seorang sahabat yang seorang seniman dan pejuang rakyat dan pejuang kebenaran – Azizi Hj Abdullah, yang telah kembali ke rahmatullah pada 21 Ogos lalu.

Cikgu Azmi, yang datang dari jauh, memulakan majlis dengan memimpin bacaan tahlil ringkas dan doa. Diikuti kemudian dengan ceritanya mengenai Azizi, yang banyak berkisar di sekitar cerita-cerita Azizi sewaktu bekerja dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Memang CAP ada peranannya dalam membentuk dan mengubah pemikiran Azizi pada fasa-fasa akhir dalam pengkaryaannya. Cikgu Azmi menceritakan bagaimana mereka menghabiskan waktu bermalam-malam berbincang mengenai isu-isu tertentu, yang kemudiannya menghasilkan buku-buku seperti Air Mata Kerpan, Gaya Hidup Ranggi, Luka Rakyat, Mustadh’afin dan Jiwa Hamba.

Di samping buku-buku tersebut Azizi juga menulis artikel-artikel jenis investigative reporting atau laporan hasil penyelidikan, yang dimuatkan dalam akhbar bulanan CAP, Utusan Pengguna. Kebanyakannya tulisan-tulisan mengenai kemiskinan rakyat, gejala sosial dan penyelewengan tertentu.

SN A Samad Said mengesahkan peranan dan sumbangan CAP terhadap pemikiran dan pengkaryaan Azizi tersebut. Menurutnya novel-novel Azizi mutakhir adalah berdasarkan cerita-cerita sebenar masyarakat atau berdasarkan fakta-fakta sosial, yang turut menjadi trend mutakhir dalam penulisan novel peringkat dunia, dikenali sebagai Nonfiction Fiction. Paling ketara ialah novel Azizi yang berjudul Daerah Beta.

Samad Said telah merakamkan dua pertemuan akhir beliau dengan Azizi yang berlangsung di wad Hospital Umum Pulau Pinang, dalam eseinya berjudul “Percakapan Antara Gunung dan Bukit”. Esei ini akan dimuatkan dalam sebuah majalah baru yang akan diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (110%) tidak lama lagi.

Seterusnya Kassim Muhamad pula mengucapkan versi kenangannya. Kisah perkenalan awalnya dengan Azizi sewaktu mendengar ceramah politik PAS di Sungai Petani. Hujan turun dan mereka basah. Dia bawa Azizi mandi di rumahnya sebelum dia berikan baju-T-nya untuk dipakai Azizi.

Seterusnya hubungan menjadi rapat. Dan sewaktu Azizi hendak menulis novel Sangheeta, dia bersama Azizi pergi ke Johor bertemu dengan pemain gambus, kerana Azizi perlu mendapatkan pengalaman pemain gambus itu, untuk dituangkan ke dalam novel tersebut. Kassim juga menemani Azizi ke Negeri Sembilan untuk melihat sendiri bagaimana miskinnya sebuah keluarga miskin yang dilaporkan dalam sebuah akhbar.

Dan sekarang Kassim sedang membantu anak Azizi menguruskan urusan-urusan Azizi yang perlu diselesaikan dengan pihak-pihak tertentu, termasuk dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, berhubung dengan manuskrip lama novel-novelnya yang diserahkan kepada DBP, dan juga urusan royalti.

Hasni Abas pula mengenali Azizi kerana tugasnya sebagai editor di Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi itu hubungan agak rasmi. Hubungan yang lebih mesra terjadi apabila dia ke Alor Setar untuk urusan ceramah GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) pada awal 2009, dan orang yang sepatutnya mengaturkan program tersebut tidak muncul. Azizilah yang datang menghiburkan hatinya yang sedang marah dan kecewa itu. Membawa dia berjalan-jalan dengan keretanya, hingga ke Perlis.

“Azizi lebih marah kepada orang itu daripada saya,” kata Hasni. “Sepatutnya saya yang marah. Tetapi Azizi lebih lagi marah.”

HMS Abu Bakar tidak bercerita, sebaliknya dia membaca sebuah puisi yang didedikasikannya kepada Azizi.

Dan sebelum Razali Endon memberikan versi perkenalannya, iaitu ketika menghadiri kempen pilihanraya kecil Anak Bukit dan Pendang, (Razali sempat bermalam dua malam di Kampung Raja – rumah saya), terlebih dahulu saya menyatakan bahawa perkenalan saya dengan Azizi telah lama terjalin, tetapi lebih bersifat hubungan yang tidak serius dan ada cerita-cerita nakalnya.

Memang Azizi pun orangnya selalu tidak serius. Kebanyakan orang pun mengenalinya demikian, hingga hal itu turut mempengaruhi tanggapan terhadap karya-karyanya. Kebetulan pula beberapa novelnya waktu itu kurang menarik bagi saya kecuali Orang Tua di Kaki Gunung; maka saya pun kurang memperhatikan karya-karya Azizi secara serius. Dan saya fikir kebanyakan orang pun bertanggapan begitu terhadap Azizi. Hal yang agak malang dan tragis.

Hubungan yang lebih serius dan bermakna terjadi apabila Seniman Paksi Rakyat hendak ditubuhkan, pada Jun 2008. Azizi hadir dalam pertemuan itu, dan seterusnya dia selalu hadir dalam program-program Paksi, termasuk di Kuala Pahang. Malah apabila teater Menunggu Kata Dari Tuhan dipentaskan, dia beberapa kali menjadi pengulasnya, selepas pementasan. Ini termasuk di masjid Batu Caves dan di Johor Bahru.

Diam-diam saya mulai menyedari bahawa Azizi telah lama membawa falsafah dan perjuangan Paksi dalam karya-karyanya. Saya pun mulai melihat semula Azizi dengan lebih serius. Saya melihat keunikan dalam Zikir Rindu. Dan tiba-tiba – ketika saya mulai melihat keseriusannya, dan tanpa disedari hubungan semakin intim – dia pun pergi… inna lillaahi wa-inna ilaihi roji’uun.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply