Background

Mari kita berdialog dengan Menteri Besar Selangor

Hari itu saya sudah tulis sekali pasal perhimpunan dan konvensyen penulis Selangor 26 Jun, sempena sambutan Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2011, di Pusat Konvensyen Shah Alam. Sejak itu ada beberapa perubahan berlaku dalam proses pelaksanaannya, seperti yang dimaklumkan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.

Pertama, peristiwa ini tidak akan direkodkan ke dalam buku Malaysia Book of Records (MBoR) seperti yang dirancang pada mulanya. Tahun lalu perhimpunan lebih 10,000 orang membaca buku di tempat terbuka sekitar taman tasik Shah Alam, sempena Hari Ilmu 2010, telah dicatatkan dalam buku MBoR. Maka dirancangkanlah supaya peristiwa perhimpunan seribu orang penulis menulis sempena Hari Ilmu 2011 ini pun dimasukkan juga ke dalam MBoR.

Tetapi dalam proses mereka membuat persiapannya, entah bagaimana, rancangan itupun telah dibatalkan. Tidak ada lagi penglibatan MBoR. Maka proses pendaftaran dengan mengisi borang yang menghendaki penulis supaya menunjukkan salinan muka depan karya, sebagai syarat untuk menyertai perhimpunan ini pun, turut dibatalkan.

Sekarang tak ada syarat apa-apa lagi. Datanglah! Acara bermula pukul 9 pagi, dengan acara menulis esei untuk Buku Mega Perdana. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tiba jam 10 pagi. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah PPAS, diikuti oleh ucapan Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pukul 10.45 hingga 11 pagi acara istimewa: “15 minit Reading Break” atau “Berhenti Sebentar, Jom Baca!” Secara konsepnya acara membaca selama 15 minit ini sepatutnya dibuat serentak di seluruh negeri, pada pukul 10.45 hingga 11 pagi itu. Tidak ada aktiviti lain di seluruh negeri. Semua orang berhenti daripada aktiviti lain untuk membuat satu aktiviti sahaja, iaitu membaca, serentak, pada waktu itu.

Bagaimana mereka akan melaksanakannya, saya pun kurang pasti. Kita tunggu sahajalah saat itu nanti.

Selesai acara istimewa 15 minit “Reading Break” itu, Menteri Besar pun membuat ucapan perasmiannya. Diikuti dengan satu lagi acara istimewa – penyampaian anugerah Tokoh Penulis Selangor, yang julung-julung kali diadakan. Siapakah penulis yang telah dipilih untuk dianugerahkan penghargaan tersebut? Sama-samalah kita tunggu pengumuman rasminya oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Program Konvensyen Penulis akan bermula pukul 12 tengahari. Entah bagaimana, sebagai Presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi) saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ucapan pembuka bicaranya.

Kata Mastura yang mewakili Dr Halimah, Paksi telah mengalami pelbagai masalah, halangan dan liku-liku pahit maung perjuangan dalam usaha mengangkat seni-budaya menjadi aktiviti yang dihayati oleh segenap lapisan masyarakat, sambil menerapkan kesedaran kepada pimpinan masyarakat terhadap pentingnya aktiviti seni-budaya bagi menyuntik keseimbangan kepada kehidupan hari ini yang semakin tidak seimbang.

Disebabkan pengalaman itulah, dan sebagaai menghargai usaha Paksi, maka Paksi dipilih untuk membuka gelanggang bicara, dengan tema “Merakyatkan Ilmu: Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan”.

Dan disebabkan Paksi yang dipilih untuk membuka bicara, saya percaya tentulah mereka dapat menjangka yang bicara saya itu antara lain akan memaparkan pelbagai persoalan dan permasalahan seni-budaya yang selama ini, berdasarkan pengalaman Paksi, tidak mendapat dokongan seperti yang sepatutnya daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Selepas ucapan pembuka bicara itu, majlis akan dibuka untuk dialog atau soal-jawab dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Ini yang menariknya. Sangat-sangat menarik. Menteri Besar hadir dalam satu majlis yang sepenting Hari Ilmu Selangor itu, yang dibuat terbuka kepada sesiapa saja untuk hadir, khasnya golongan penulis, budayawan dan ilmuan, dan bersedia untuk menjawab apa saja soalan yang akan dikemukakan kepadanya.

Memang ini sesuatu yang sangat menarik. Dan agak mengkagumkan saya apabila Mastura dan Dr Halimah begitu yakin menyediakan majlis soal-jawab seperti ini untuk dihadapi secara terbuka oleh Menteri Besar. Menunjukkan betapa yakinnya mereka kepada sikap dan fikiran terbuka Menteri Besar ini.

Maka saya fikir para penulis, budayawan, ilmuan dan intelektual di negara ini, khasnya yang berada di sekitar Selangor, tidak sepatutnya melepaskan peluang ini. Bukan kerana saya yang akan berucap membuka bicara, tetapi kerana Menteri Besar Selangor (negeri yang paling kaya di Malaysia dan kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat) akan mendengar apa saja pandangan kita, dan memberikan responnya.

Datanglah ke majlis ini, dan ucapkanlah atau nyatakanlah pandangan anda. Apa yang anda mahu dari sebuah kerajaan negeri, untuk memajukan bidang penulisan, keilmuan dan seni-budaya kita. Marilah kita berdialog secara langsung dengan orang yang memegang kuasa di negeri yang paling kaya di negara kita hari ini.

Turut sama dalam majlis ini ialah dua orang Sasterawan Negara – A Samad Said dan Anwar Ridhwan. Mereka akan menyampaikan pandangan mereka, bersama dengan Tokoh Penulis yang akan menerima anugerah hari itu, sebagai lanjutan daripada majlis dialog dengan Menteri Besar tadi.

Dalam sesi dialog kedua ini Menteri Besar sudah meninggalkan majlis, tetapi Exconya yang berkenaan akan mewakilinya untuk mendengar pandangan-pandangan penulis, yang kini memfokus kepada persoalan pelaksanaan. Bagaimanakah langkah-langkah pelaksanaan yang patut dijalankan oleh Kerajaan Negeri, sesuai dengan aspirasi golongan penulis, budayawan, ilmuan dan intelektual.

Seingat saya rasanya inilah julung-julung kalinya majlis yang seumpama ini pernah diadakan di negara kita. Berjaya atau tidaknya majlis ini terpulanglah kepada golongan penulis, budayawan, ilmuan/cendekiawan dan intelektual kita. Pihak yang berkuasa atau kuasawan (mengikut istilah Samad Said) sudahpun membuka ruangnya. Marilah kita menyambut baik usaha yang diinisiatifkan oleh pihak Exco Pendidikan dan Pembangunan Modan Insan, dan pihak Perpustakaan Selangor ini.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply