Background

PENGURUSAN SENI BUDAYA PATUT DIAJAR DI UNIVERSITI


Dinsman (Artikel 349, 15/10)
Pengurusan Seni-budaya patut diajar di universiti

Saya didatangi lagi oleh pelajar-pelajar universiti, berbincang mengenai karya teater saya yang akan mereka pentaskan sebagai kerja yang akan dinilai untuk peperiksaan mereka bagi tahun akhir. Satu kumpulan buat Tamu Dari Medan Perang (TDMP), satu kumpulan lagi buat Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).

Tak mengapalah. Itu sudah jadi biasa kepada saya. Sudah agak lama juga. Dan saya pun sudah agak lama juga memikirkan satu perkara ini. Tapi belum pernah saya tulis mengenainya. Kali ini saya akan tulis.

Teater itu diterima sebagai satu bidang ilmu, yang diajar di universiti-universiti. Ada pecahan-pecahannya lagi – penulisan skrip, lakonan, pengarahan, pengurusan, rekabentuk set, rekaan cahaya, rekaan kostium, muzik, tarian, suara, mekap, publisiti, pemasaran, kritikan dan beberapa lagi. Padahal teater itu bukanlah besar sangat. Tapi ia telah diterima sebagai satu bidang ilmu yang agak besar.

Maka saya terfikir apa? Saya terfikir seni-budaya. Jauh lebih besar bidangnya. Teater hanya satu cabang sahaja di dalam seni-budaya. Tetapi apakah seni-budaya telah diterima sebagai satu bidang ilmu dan diajar di universiti? Setahu saya, tidak.

Yang diajar di universiti ialah teater, drama, tarian, muzik, nyanyian dan pengurusan teater. Dan kalau itu sudah diajar di universiti, tidakkah itu bermakna seni-budaya juga sudah diajar di universiti? Kenapa saya katakan seni-budaya tidak diajar di universiti?

Saya katakan demikian kerana berdasarkan pemerhatian selama bertahun-tahun, berpuluh tahun, ada aspek-aspek dalam seni-budaya itu yang tidak terdapat dalam bidang-bidang ilmu yang diajar di universiti itu, menyebabkan aktiviti atau program seni-budaya tidak banyak dibuat di negara kita. Mengapa ia tidak banyak dibuat? Kerana tidak ada orang, yakni pegawai kerajaan, yang mempunyai ilmu tersebut, yang dipelajarinya sewaktu dia belajar di universiti.

Paling ketara sekali lihatlah pada Jabatan Kebudayaan atau Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di kementerian, atau di majlis perbandaran, bandaraya dan daerah (atau Pihak Berkuasa Tempatan – PBT). Di setengah-setengah tempat hanya diwujudkan unit kebudayaan/kesenian di bawah Jabatan Korporat atau Jabatan Kebudayaan dan Sukan. Apa yang ada di sana? Apa yang mereka buat?

Yang ada di sana ialah penari, pemuzik dan penyanyi. Dan aktiviti yang selalu mereka buat ialah persembahan muzik, nyanyi dan menari. Itulah tiga cabang seni-budaya yang selalu dibuat dan dipersembahkan oleh jabatan-jabatan tersebut. Dan biasanya aktiviti itu dibuat sebagai menyediakan hiburan kepada hadirin dalam majlis-majlis jamuan dan yang seumpamanya.

Dan itu sahajalah fahaman orang-orang kerajaan atau pegawai kerajaan kita apabila disebut kebudayaan dan kesenian. Status dan imej kebudayaan dan kesenian yang wujud dalam fikiran orang-orang kerajaan hanya setakat itu sahaja. Tak lebih daripada itu. Maka bagaimanakah kita nak mengharapkan lebih daripada itu? Bagaimanakah kita nak mengharapkan suatu perancangan seni-budaya daripada mereka?

Apakah yang saya maksudkan dengan aktiviti ‘seni-budaya’, yang saya katakan tidak diajar di universiti itu?

Mudah saja. Kita ambil satu contoh, iaitu wacana ilmu, atau lebih khusus lagi – bicara buku. Yang ada diajar di universiti ialah kritikan buku, sebagai satu cabang daripada ilmu sastera, atau penulisan. Manakala ‘bicara buku’ yang kita maksudkan sebagai satu aktiviti seni-budaya ini bukannya satu cabang daripada ilmu penulisan atau ilmu sastera itu. Yang kita maksudkan di sini ialah aktiviti penyampaian atau pembentangan pendapat (ilmu) terhadap sesebuah buku, yang memerlukan kehadiran sejumlah orang sebagai peserta atau pendengar, di samping pembicaranya.

Ia suatu aktiviti sosio-budaya, yang harus dilihat fungsinya bukan sekadar sama dengan ilmu penulisan atau sastera. Ia mempunyai fungsi sosial, seperti yang saya istilahkan kepada ‘lanskap tanah’ dan ‘lanskap minda’ itu. Ia harus dilihat sebahagian daripada lanskap minda, yang selama ini diabaikan oleh para perancang di pihak PBT. Mereka begitu sekali penting-kan ‘lanskap tanah dan pokok’, tetapi mereka langsung tidak menyedari akan pentingnya lanskap minda – bagi melahirkan keharmonian dan keseimbangan dalam kehidupan masyarakat.

Bicara buku itu hanya satu contoh. Melakukannya tidaklah susah. Yang susahnya ialah melakukannya secara berterusan dan berkala, misalnya dibuat pada setiap bulan, untuk menimbulkan keberkesanannya. Ini tidaklah mudah. Pihak perancang atau pengurusnya mestilah mesra dengan dunia buku dan para ilmuan, dan tahu menguruskan publisiti dan promosinya.

Contoh lain mari kita lihat siri program Jelajah Budaya Selangor yang akan dibuat oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bermula di Klang pada 10 dan 11 November ini. Apa aktiviti yang ada dalam program dua hari itu? 1) persembahan Puisi dan Lagu; 2) persembahan teater; 3) persembahan gamelan dan cempuling; 4) persembahan oleh kumpulan OKU; 5) dialog budaya dengan Sasterawan Negara; 6) kuliah ilmu oleh tokoh ilmuan; 7) silat Serante dan silat Selambam; 8) peraduan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak; 9) demonstrasi menulis khat; dan 10) pertandingan membuat tanglung.

Itu semua program seni-budaya. Sebahagiannya ada diajar di universiti dan sebahagiannya tidak. Pengurusan dan proses mempersembahkan semuanya itu kepada khalayak dalam suatu program yang melibatkan pelbagai pihak dalam masyarakat, itu mungkin tidak diajar di peringkat kolej mahupun universiti.

Kenapa saya timbulkan perkara ini? Kerana pengalaman Paksi berurusan dengan pelbagai pihak yang berkenaan untuk membuat sesuatu program seni-budaya, memperlihatkan keadaan yang begitu. Dan sebenarnya ada banyak lagi permasalahannya. Kita akan bincang lagi perkara ini dalam kesempatan yang lain, insya Allah.

Categories: Share

Leave a Reply