Background

GELOMBANG DI PESISIR WAKTU PAK SHUKUR


Dinsman (Artikel 345, 1/10)
‘Gelombang di Pesisir Waktu’ Pak Shukur

Itu judul sebuah buku, karya Abdul Shukur Harun, kolumnis tetap akhbar Harakah sejak beberapa tahun lalu (setelah bersara daripada jawatan Pengarang di Harakah) dan masih menyumbang hingga kini. Berusia 74 tahun. Muda sedikit daripada SN A Samad Said (77) dan tua sedikit daripada Razali Endun (70). Di kalangan AJK Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dialah yang paling veteran.

‘Gelombang di Pesisir Waktu’ – bunyinya seperti judul sebuah novel atau sebuah puisi, tetapi tidak. Ia judul sebuah buku kumpulan esei yang pernah tersiar dalam kolum ‘Cetusan Idea’ oleh A Shukur Harun, dalam akhbar Harakah. Di bawah judul itu di kulit depan buku itu disebut “Kumpulan rencana politik, gerakan Islam, kesusasteraan dan kehidupan”.

Secara umumnya itulah tiga kategori tulisan dalam buku ini – politik, gerakan Islam, dan sastera dan kehidupan. Dan itulah tiga bidang yang digemari oleh editor akhbar yang mempunyai pengalaman luas dan lama dalam bidang kewartawanan dan persuratkhabaran ini, seperti dicatatkan di kulit belakang buku itu:

Beliau “mula bekerja di beberapa percetakan di Singapura termasuk di Utusan Melayu Singapura dan Kuala Lumpur pada tahun 1963. Selepas itu berpindah sebagai penyunting di Berita Harian Kuala Lumpur selama 23 tahun hingga bersara. Kemudian menjadi Pengarang 2 dan Pengarang 1 Harakah selama tujuh tahun hingga bersara kali kedua.”

A Shukur Harun, menurut catatan itu lagi, “menulis lebih kurang 250 rencana, 40 cerpen, lima novel. Memenangi tiga kali Hadiah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Hadiah Esso-Gapena, Hadiah Penulisan Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Islam JPM, dan beberapa hadiah penulisan lain.”

Itulah A Shukur Harun, yang lebih dikenali di kalangan kawan-kawan dengan panggilan Pak Shukur. Seorang penulis veteran yang masih aktif menulis saban minggu, dan hampir seperti A Samad Said yang selalu ke sana ke mari menunaikan jemputan untuk berceramah dan membaca puisi, beliau juga demikian. Masih aktif ke sana ke mari menunaikan jemputan.

Pada 2 Ogos lalu misalnya, saya bersama dengan beliau ke Masjid Batu di Permatang Pauh, Pulau Pinang, kerana dijemput melancarkan buku beliau “Gelombang di Pesisir Waktu” ini, dan buku saya “Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya”, khas untuk jemaah masjid itu (yang minat dengan buku).

Tetapi berbeza dengan A Samad Said yang tidak pernah terlibat secara langsung dengan politik parti, Shukur Harun terlibat. Dia pernah menjadi YDP PAS Kawasan Subang tidak lama dulu. Kini setelah mengundur diri untuk memberi peluang kepada orang yang lebih muda, dia masih aktif menyumbangkan idea, pemikiran dan tenaganya kepada parti.

Seorang yang kuat dan banyak membaca, pemikirannya kelihatan agak terbuka, dinamis dan sentiasa mengikuti peredaran zaman. Makanya beliau pun turut aktif bersama dengan aktiviti-aktiviti seni-budaya Paksi. Tiga daripada 32 esei dalam buku ini turut merakam aktiviti Paksi, seperti “Himpunan terbesar karyawan Paksi di Felda” (hal.139-143); “Sasterawan Paksi berkarya untuk Rakyat” (hal.145-149); dan “Mengapa A Samad Said kagumi novel Dr Zhivago” (hal.121-125).

SN A Samad Said dalam Kata Pengantar buku ini menulis: “Bisikkan sajalah kepadanya di mana akan ada majlis ceramah budaya yang merangsang, di mana boleh dijumpa buku sastera yang mencabar dan di mana pula dapat ditemui watak pendakwah yang mengilhami. Jika dirinya sihat, dan masanya terluang, kita akan terserempak dengannya.

“Dan apa yang berlaku ini benar pada dekad lima puluhan abad lalu, dan tampaknya masih benar juga pada dekad awal abad ini. Abdul Shukur Harun seorang seniwan berbadan kecil bervisi besar, akan berupaya hadir di mana-mana saja terbentang ladang ilmu duniawi dan madrasah agama ukhrawi.”

Demikianlah pentingnya buku ini hingga saya membuat sorotan istimewa ini ialah kerana pada pagi Khamis 4 Oktober ini, akan berlangsung majlis membicarakan buku ini, oleh orang yang tidak asing lagi, iaitu Ketua Pengarang akhbar Harakah, Ahmad Lutfi Othman. Majlis akan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, PPAS, Shah Alam.

Saya menjangka dan berharap Ahmad Lutfi akan memberi perhatian kepada bahagian pertama buku ini, iaitu 10 esei yang membicarakan politik PAS. Bolehlah kita melihat bagaimana pandangan Ahmad Lutfi terhadap garapan dan analisa politik Shukur Harun. Makanya saya juga berharap untuk melihat sosok aktivis PAS di kalangan hadirin yang akan memenuhi ruang wacana ilmu di perpustakaan Selangor yang sangat cantik dan menarik ini (yang diurustadbirkan oleh seorang tokoh wanita PAS sendiri)

Majlis bicara buku ini adalah lanjutan daripada siri Wacana Ilmu bulanan Paksi di PPAS, yang dimulakan sejak Februari 2011 lagi, dengan buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak” (karya 29 penulis) dan “Ranum” (kumpulan cerpen Razali Endun). Sejak itu telah banyaklah buku yang diwacanakan, termasuk buku-buku karangan Prof Shaharir Mohd Zain, Dr Hassan Ahmad, dan Prof Syed Hussein Alatas.

Mulai bulan September, Paksi membawa aktiviti wacana ilmu ini keluar daripada pusatnya di Shah Alam, untuk dibuat pula di peringkat daerah, bermula dengan 9 September lalu di Rawang, iaitu bertempat di Masjid Nurul Iman Rawang, dengan buku “Rindu Ibu”, kumpulan puisi kanak-kanak menjelang remaja oleh A Samad Said.

Aktiviti bicara buku peringkat daerah yang kedua akan berlangsung di Masjid Nurul Amin, Kg Delek, Klang, pada 12 Oktober ini (selepas solat maghrib). Bukunya ialah “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karya Shaharir Mohd Zain, dengan pembicara utamanya Dr Mat Rofa Ismail (UPM).

Kembali kepada buku Gelombang di Pesisir Waktu karya A Shukur Harun. Selain Ahmad Lutfi Othman, buku ini juga akan dibicarakan oleh Arif Atan, seorang penulis dan ilmuan muda yang mempunyai kolum tetapnya di akhbar bertulisan Jawi – mingguan Utusan Melayu (sisipan Utusan Malaysia.).

Datanglah. Wacana ini terbuka kepada semua orang.

Categories: Share

Leave a Reply