Background

JUALAN AWAL SALINA EDISI 50 TAHUN


Dinsman (Artikel 350, 19/10)
Kulit Buku Edisi 50 Tahun Novel Salina
Jualan awal Salina edisi 50 tahun

Saya diberitahu melalui SMS, begini: “Pak Samad mengundang teman-teman dari Paksi hadir ke majlis jualan awal Salina edisi terhad pada hari Ahad 14 Okt, jam 5-7 petang, di restoran Mydin, Bangsar. Makan dan minum atas perbelanjaan sendiri.”

Restoran Mydin? Atau pasaraya Mydin? Setahu saya di Bangsar tak ada pasaraya Mydin. Agaknya ada Restoran Mydin yang baru dibuka di Bangsar. Saya membayangkan sebuah restoran mamak yang baru dibuka, yang barangkali agak canggih atau mewah daripada restoran mamak yang biasa. Sesuailah dengan acara ‘pelancaran buku’.

Akhir-akhir ini ada beberapa acara pelancaran buku yang agak istimewa, dibuat di tempat istimewa, di hotel, convention center, lake club dan sebagainya. Tokoh yang merasmikannya pun tokoh pimpinan yang utama. Manakala yang ini pula buku karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, bukunya yang paling popular dan yang mempopularkan nama A Samad Said kira-kira 50 tahun yang lalu itu, Salina, tentulah majlisnya pun tak kurang hebatnya.

Apatah lagi belum sebulan A Samad Said dianugerahi Sasterawan Tamu Negeri Selangor oleh Kerajaan Negeri Selangor, yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Tetapi waktu hendak ke majlis itu, apabila ditanya di manakah Restoran Mydin di Bangsar itu, rupa-rupanya ia sebuah restoran mamak biasa, yang terletak tidak jauh dari kediaman A Samad Said. Dan apabila sampai di situ saya dapati tak ada sesiapa pun orang-orang yang biasanya dijemput membuat perasmian acara budaya yang seperti itu. Yang ada hanya kawan-kawan biasa – Kassim, Hasni, Uthaya, Helmy dan beberapa orang anak muda peminat sastera, di samping A Samad Said dan isteri.

Okeylah. Memang sangat okey. Seperti biasalah. Seperti selalu – berjumpa dengan Samad Said di restoran di KL Sentral atau di Railway Station. Tak ada yang istimewa. Tetapi itulah istimewanya.

Dan saya pun menunggu untuk acara dimulakan. Tidak nampak pun mikrofon di mana-mana untuk acara berucap. Tak mengapalah, mungkin dibuat secara kecil dan sederhana, tanpa mikrofon. Dan seketika kemudian, tiba-tiba Helmy membawa empat atau lima naskah Salina berkulit keras edisi terhad itu ke meja Samad Said. Dan kemudian beberapa orang bangun berkerumun ke meja itu untuk mengambil gambar.

Sebentar  kemudian Samad Said berpusing ke meja saya (di belakangnya) menunjukkan buku Salina yang telah ditandatangan dengan sedikit catatan dan nama saya, sambil berkata: “Dakwatnya belum kering lagi.” Saya pun menyambut buku istimewa itu, yang terbuka kerana dakwatnya masih basah, tercatat tulisan tangannya di bahagian atas: “Siri 060”.

Dan seterusnya dia menandatangani pula untuk Kassim, untuk Hasni dan kemudian untuk yang lain-lain, sehinggalah tiba Pyanhabib, Nikbinjidan, dan kemudian Siti Zainon Ismail dan ramailah lagi. Jadi meriahlah juga. Dan rupa-rupanya memang begitu sahaja. Tak ada ucapan. Tak ada perasmian.

Alhamdulillah! Cantik dan sangat istimewa. Sebuah peristiwa seni-budaya yang sepenting itu dilangsungkan di tempat yang sesederhana itu. Di sebuah kedai mamak biasa, yang dipilih bukan kerana apa-apa, hanya kerana kebetulan ia paling hampir dengan kediamannya.

Sungguh tulen. Sungguh marhaen. Seorang Sasterawan Negara yang juga Sasterawan Rakyat ini menyambut genap 50 tahun karya ulungnya, (Salina diterbitkan pertama kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1961), dengan menerbitkan sendiri edisi khas terhad sebanyak 500 naskah (oleh syarikatnya bersama anaknya Helmy – Wira Bukit Sdn Bhd), disamping edisi biasa yang akan diedarkan oleh Kedai Buku Populer.

Ia bukan majlis pelancaran atau perasmian sebenarnya. Ia hanya majlis ‘jualan awal edisi terhad’. Namun apa pun, ia sebenarnya adalah suatu saat yang sangat bersejarah dan bermakna. Ia sambutan 50 tahun penerbitan sebuah karya sastera yang penting, yang disambut oleh pengarangnya sendiri. “Takkan begini saja?” Saya berbisik kepada Kassim dan Hasni.

Betul, sambutan di kedai mamak itu memang sangat istimewa. Tetapi apakah khalayak sastera di Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk novel sepenting Salina itu, ketika pengarangnya sendiri menyambut 50 tahun pengkaryaannya? Dan Paksi juga, sebagai sebuah badan seni-budaya yang menghargai kesenimanan A Samad Said dan sumbangannya kepada seni-budaya kita selama ini, takkan cukup sekadar begitu sahaja, tanpa apa-apa aktiviti khas bagi menghargai detik bersejarah itu?

Ya, insya Allah kita akan usahakan sesuatu. Sementara itu marilah kita melawat semula ke Kampung Kambing di Singapura pada tahun 50-an abad lalu itu. Nikmatilah sekali lagi ayat pertama novel yang monumental dan kontroversil tersendiri ini. Ayat pertama yang telah  terpahat dalam kebanyakan minda peminat sastera Melayu sekian lama:

“Mentari sudah hampir kesembilan puluh darjah tegaknya ketika sebuah lori kecil dan buruk masuk perlahan-lahan, tapi bising, ke jalan kecil berlekak-lekuk itu.”

Tentu gambaran Kampung Kambing itu sudah mula hidup kembali dalam imaginasi kita. Tetapi saya tersangkut pula pada catatan terkini oleh A Samad Said pada permulaan edisi baru ini. Katanya:

“Ramai pembaca – khususnya mereka yang lahir selepas zaman pemerintahan Jepun – tidak tahu tentang dunia ‘Salina’ ini. Dan kesan yang sangat biasa ialah kesan negatif seorang watak yang mewarnakan seluruh kehidupan novel tersebut. ‘Salina’ tampaknya sentiasa diingat orang sebagai wanita terhina, padahal dia adalah wakil daripada penderitaan manusia yang tidak bermaya mengatasi kelemahan atau kekurangan dirinya.”

Saya kira catatan pendek Samad selepas 50 tahun karya itu dibaca, dinilai dan dihukum itu adalah suatu cabaran untuk kita menelaah semula novel itu. Ya, marilah!

Categories: Share

Leave a Reply