Background

“Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”


Dinsman (Artikel 347, 8/10)
“Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”

Barangkali kita telah memulakannya pada 1 November 2008 dulu, di Kuala Pahang, apabila kita bekerjasama dengan nelayan-nelayan perahu kecil di sana menganjurkan beberapa acara seni-budaya. Kemudian kita bersolidariti dengan ahli-ahli qariah surau Madrasah Tarbiyah, Kg Banda Dalam, Disember 2010. Ramailah seniman muda hadir dengan bakat mereka yang pelbagai – puisi, muzik, lagu, menyatakan sokongan kepada perjuangan penduduk kampung di pinggir Kuala Lumpur itu.

Dan pada November 2011 ketika 360,000 hektar tanah Felda diberitakan akan tergadai, kita berhimpun pula di Felda Sg Tengi, Hulu Selangor. Pun ramai kawan-kawan seniman yang hadir memberi sokongan.

Sekarang Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sedang membuat persiapan untuk satu lagi program yang seakan-akan demikian, tetapi dengan skala yang lebih besar. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pun, dalam pertemuannya dengan Paksi pada 9 Ogos lalu, telah menyatakan persetujuannya untuk membiayai.

Kebetulan pula sebelum itu akhir April lalu Paksi telah berbincang dengan Dr Halimah Ali, mengenai beberapa program budaya, yang satu daripadanya adalah program “Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”. Lebih kurang sama.

Itulah – kita telah bersetuju mengenai tarikhnya, 10 dan 11 November. Tempatnya di Kelang, dan akan dibuat bersama dengan Majlis Perbandaran Kelang. Tetapi lokasinya yang sebenar belum ditetapkan lagi. Kita sedang mencari tempat yang paling sesuai dengan tujuan program ini diadakan, iaitu untuk menghidupkan kesedaran seni-budaya dan kecintaan kepada ilmu di kalangan rakyat. Kita ingin berada di tengah-tengah rakyat, dan sama-sama menghayati seni-budaya dan ilmu.

Ada banyak program ilmu dan seni-budaya yang akan kita buat pada dua hari tersebut. Malam persembahan puisi dan lagu – itu biasalah, kemuncaknya. Tetapi sebelum itu kita akan mencari satu atau dua kumpulan seni-budaya tempatan, yakni di dalam daerah tersebut, untuk kita bawa ke malam persembahan itu. Tujuan kita untuk mengaktifkan kehidupan seni-budaya di kalangan rakyat. Dan seboleh-bolehnya seni-budaya yang berasal dari kalangan rakyat di situ.

Selain itu kita juga akan menyampaikan Anugerah Budayawan Tempatan. Paksi akan bekerjasama dengan pihak tempatan, termasuk Majlis Bandaran dan persatuan-persatuan seni-budaya, bagi memilih seorang tokoh budaya yang paling layak untuk diberi penghargaan melalui anugerah ini. Memang jumlah wang dari anugerah ini tidak besar. Tetapi bukan itu yang menjadi nilainya. Nilainya adalah penghargaan itu sendiri.

Kita namakan program ini “Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”. Sebelum ini kita sebut “budayawan bersama rakyat”. Mengapa sekarang “ilmuan budaya”? Sebabnya kerana kita hendak timbulkan kesedaran terhadap menghargai ilmu dan ilmuan. Kita tidak sekadar hendak berpesta dengan aktiviti-aktiviti seni sahaja, tetapi kita juga mengisinya dengan ilmu.

Makanya kita telahpun berbincang dan mendapat persetujuan daripada SN A Samad Said dan Prof Shaharir Mohd Zain untuk bersama-sama dalam program ini; masing-masing akan menyampaikan ilmu dan kepakaran masing-masing, kepada kumpulan sasaran yang sesuai di kalangan rakyat setempat.

Program yang dijadualkan dibuat di Kelang pada 10 dan 11 November ini adalah program yang pertama bagi satu siri Jelajah Budaya yang akan dibuat di daerah-daerah di seluruh Selangor. Ia dimulakan di Kelang kerana, seperti saya sebut tadi, kebetulan Paksi telahpun berbincang perkara ini dengan Adun Selat Kelang, Dr Hjh Halimah Ali, sejak April lalu.

Dan sejak itu kita telahpun mengadakan beberapa aktiviti seni-budaya di Kg Delek dan Seri Perantau, bersama dengan Dr Halimah. Antaranya ialah pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan, dan bacaan puisi. Pada 12 Oktober ini akan diadakan Bicara Buku, bertempat di Masjid Nurul Amin, Kg Delek. Buku yang akan dibicarakan ialah “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karangan Prof Shaharir Mohd Zain. Pembicara utamanya ialah Dr Mat Rofa Ismail (UPM).

Sengaja saya hebahkan berita ini awal-awal (lagi sebulan tarikh 10 dan 11 November itu), kerana beberapa sebab. Antaranya untuk memberi ruang waktu yang selesa kepada kawan-kawan seniman, penulis, budayawan dan ilmuan yang berminat untuk hadir, bagi membuat perancangan yang perlu, agar dapat hadir menyertai program ini.

Kedua, memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mengemukakan cadangan-cadangan yang sesuai, sebagai pengisian program ini, terutama dalam pemilihan tokoh budayawan yang akan diberi anugerah, dan juga kumpulan seni yang akan dibawa membuat persembahan dalam acara kemuncak program ini.

Dalam perbincangan awal kami dengan pihak Dr Halimah, mengenai aktiviti yang difikirkan sesuai dan menarik untuk dibawa ke dalam program ini, telah timbul pelbagai maklumat yang sangat menarik, mengenai aktiviti seni-budaya rakyat tempatan, yang berkemungkinan kalau diizinkan oleh faktor kewangan, akan menjadikan program ini lebih besar daripada yang dirancang pada mulanya.

Kemungkinan! Kemungkinan juga tidak. Walau apapun, bagi saya rancangan ini sangatlah menarik. Seolah-olah satu penerokaan baru dalam memajukan seni-budaya kita. Saya belum menceritakan semua aspeknya lagi. Kita tunggu dulu dan lihat bagaimana perkembangannya. Insya Allah, sangat menarik!

Categories: Share

Leave a Reply