Background

PESTA MAKANAN APA PULA KITA SELEPAS INI!


Dinsman (Artikel 343, 21/9)
Pesta makan apa pula kita selepas ini!

Dalam satu hari sampai lima-enam atau tujuh-lapan jemputan untuk majlis rumah terbuka Hari Raya Eidul Fitri. Itu untuk orang biasa. Untuk orang yang tergolong dalam kalangan tokoh pemimpin atau VIP, banyak lagilah. Dan yang mengadakannya atau penganjurnya pula termasuk masjid-masjid dan surau-surau. Pun buat rumah terbuka. Parti-parti politik tak usah kiralah. Semua berlumba-lumba, untuk mendapatkan pengunjung yang lebih ramai. Sampailah ke hari-hari terakhir bulan Syawal. Dan barangkali ada yang terlajak ke bulan berikutnya.

Maka tiba-tiba saya pun terfikir –amboi hebat sungguhlah kita orang Islam hari ini. Asyik dengan pesta makan tak habis-habis. Lepas satu, satu. Sudahlah bulan Ramadan yang sepatutnya kita kurangkan makan-minum selama sebulan itu telah kita ubah menjadi pesta membeli-belah makanan pada setiap petang. Bulan Syawal pula kita sambut dengan pesta makan yang lebih besar lagi.

Amboi hebat sungguhlah kita orang Islam hari ini. Sudah jadi umat yang kaya-raya. Berbeza sekali dengan umat di zaman Rasulullah saw dulu, yang tidak pernah kenal pun dengan pesta makan-minum seperti yang menjadi kegemaran kita hari ini. Seolah-olahnya kita sudah tak ada perjuangan yang perlu kita lakukan lagi.

Maka marilah kita berpesta makan dan minum. Lepas satu pesta ke pesta yang lain pula. Kita makan dan makan, jangan risau. Kita memang ada banyak duit untuk dibelanjakan. Marilah mari, kita berpesta! Kita eratkan silaturrahim sesama kita dan bersama orang bukan Islam juga. Kita umat yang baik dan suka menjamu tetamu.

Baguslah. Mengeratkan silaturrahim sambil bermaaf-maafan, baguslah. Bagi orang politik pula dapat meluaskan dan memperbaharui pengaruh, memang bagus. Bagi orang bisnes pun sama, dapat meluaskan jaringan dan mengembangkan pengaruh. Bagi orang agama pun begitulah juga agaknya.

Bagi masjid dan surau? Bolehkah jamuan hari terbuka raya itu menarik orang yang tak pernah datang ke masjid/surau supaya datang menunaikan solat berjemaah di masjid/surau slepas mereka menghadiri jamuan hari terbuka raya itu? Kita harap-harapkan begitulah.

Tetapi dalam pada itu apabila saya sendiri diajak kawan-kawan dan pihak tertentu supaya hadir ke majlis demikian pada suatu hari itu sampai beberapa tempat, saya terfikir – apakah kita tidak melakukan pembaziran dalam perayaan yang seperti ini?

Menyambut Hari Raya Eidulfitri itu memang tuntutan agama. Laa raiba fihi. Tidak ada sebarang keraguan pun di situ. Buatlah berapa banyak majlis jamuan pun pada Hari Raya itu sendiri, tidak mengapa. Tetapi apabila satu hari raya dirasakan tidak mencukupi, maka ditambah pula beberapa hari, dan terus ditambah dan ditambah hingga penuh satu bulan Syawal, nak puasa sunat enam hari Syawal pun sudah jadi susah – maka itulah saya terfikir: Apakah yang sedang kita raikan ini sebenarnya?

Kita sedang meraikan kemenangan kerana berjaya melawan nafsu pada bulan Ramadan, ataupun kita sedang meraikan kemenangan nafsu itu sendiri? Kita sedang memperbaharui silaturrahim sesama ummah, ataupun kita sedang lagha dan melupakan perjuangan yang sebenarnya wajib kita lakukan? Kita sedang meraikan tuntutaan Islam agar menjamu tetamu, ataupun kita sedang melakukan pembaziran?

Makan bukannya kerana perlu makan, tetapi makan kerana dijemput dan meraikan kawan-kawan; sedangkan pada masa yang sama ramailah lagi kawan-kawan kita yang sedang bergelut dengan masalah kemiskinan dan tidak cukup makan, di sana dan di sini. Mereka itu tidak kita pedulikan pun sedangkan mereka itulah yang wajib kita pedulikan.

Selama satu bulan kita sibuk dan menyibukkan diri dengan majlis-majlis jamuan makan-minum ini – kalau dikumpulkan sudah berapa banyakkah wang yang boleh dibelanjakan untuk agenda perjuangan ummah yang lebih perlu dan mendesak?

Berapa banyakkah masa dan tenaga yang telah kita bazirkan di situ, yang sepatutnya boleh kita tumpukan dan sumbangkan ke arah perjuangan yang lebih diperlukan, demi mengangkat maruah ummah yang sedang terbenam dalam lumpur kehinaan akibat dipijak oleh musuh-musuh Islam itu?

Lihatlah bagaimana orang Islam hari ini berbelanja untuk makan-minum dan lain-lain perbelanjaan untuk hiasan diri, rumah dan kenderaan! Siapa kata orang Islam miskin dan tidak cukup kewangan untuk mempersiapkan perjuangan bagi menuntut kemenangan ke atas orang-orang bukan Islam? Bagi merealisasikan janji bahawa al-Islam ya’luu wala yu’laa ‘alaihi. Bahawa Islam itu paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Demikianlah saya terfikir – barangkali kita sudah terlanjur tanpa kita sedari. Kita begitu ghairah mungkin hendak mencari pengaruh politik parti masing-masing hingga tak sedar kita telah terlanjur sampai ke hujung garis sempadan yang sewajarnya dan bahkan hingga melampaui sempadan lalu masuk ke daerah membazir, lagha dan melupakan perjuangan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan agenda hidup Muslim hari ini.

Dan tak lama lagi akan tibalah pula musim korban. Maka sekali lagilah kita akan berpesta dan berlumba-lumba – masjid manakah yang lebih banyak menumbangkan lembu. Para pemimpin pun akan bersaing untuk menyumbangkan lebih banyak lembu untuk disembelih oleh rakyat. Syarikat-syarikat korporat pun akan turut sama berlumba. (Entah bilalah pula agaknya ada hukum yang mewajibkan atau mensunatkan syarikat-syarikat korporat dan masjid-masjid membuat korban menyembelih lembu!)

Para ustaz semakin hari semakin ramai memberi kuliah agama, hingga tak kurang yang mencapai taraf selebriti dan diminati puluhan ribu orang apabila berceramah. Majalah-majalah agama pun tumbuh satu demi satu begitu subur sekali. Televisyen pun sudah ada beberapa saluran yang memfokus kepada dakwah Islam. Sekolah-sekolah agama pun tumbuh dan dibuka di sana-sini. Maka apakah ini sebahagian daripada fenomenanya?

Categories: Share

Leave a Reply