Background

Pemikiran dan perancangan seni-budaya


Dinsman (Artikel 315, 21/5)
Pemikiran dan perancangan seni-budaya

Itu tajuk buku saya. Mengenai seni-budaya, atau aktiviti seni-budaya. Akan diperkatakan oleh empat orang ahli panel, atau lima orang termasuk moderatornya Razali Endun, pada pagi Sabtu 26 Mei ini, bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda atau Perpustakaan Negeri Selangor, Shah Alam (sebelah Kelab Golf, Seksyen 13).

Buku itu mengandungi 29 esei pilihan, dipilih daripada hampir 300 esei yang pernah keluar dalam kolum Wacana Budaya ini, daripada seawal Jun 2008 hingga yang terakhirnya akhir 2011. Dipilih istimewa yang sesuai untuk diminta perhatian daripada para pemimpin di Malaysia dan khususnya Menteri Besar Selangor.

Bukanlah semata-mata diterbitkan buku itu untuk dipersembahkan kepada Menteri Besar dan para pemimpin sahaja. Tidaklah begitu. Ia diterbitkan untuk bacaan umum, sesiapa sahaja yang berminat. Tetapi siapakah sebenarnya yang dikatakan “berminat dengan seni-budaya” ini? Khasnya dengan pemikiran dan perancangan seni-budaya! Ha, di sinilah salah satu persoalannya.

Sebut “seni-budaya” – sesekali rasa macam ramai orang yang berminat. Tetapi apabila kita hendak mengadakan apa-apa aktiviti seni-budaya, sering pula terjadi yang kita begitu sukar hendak bertemu orang yang berminat itu. Macam sedikit sangat pula yang berminat. Kadang-kadang terasa pelik juga!

Maka saya mengumpulkan esei-esei pilihan dalam sebuah buku yang sengaja dicatatkan di halaman depannya (bukan kulit luar) kata-kata: “Untuk perhatian Menteri Besar Selangor dan semua pemimpin di Malaysia” – sebab apa? Sebab rasa-rasanya para pemimpin di Malaysia ini, baik pemimpin politik mahupun pemimpin agama atau akademik, dan apatahlagi pemimpin di bidang ekonomi dan perdagangan, sangat jauh daripada pemikiran dan aktiviti seni-budaya, kecuali dalam acara-acara penghias majlis. (Dan itu bukanlah yang dimaksudkan seni-budaya itu di sini).

Memang tujuannya untuk menarik perhatian para pemimpin di Malaysia. Pemimpin dalam pelbagai bidang dan lapangan (termasuk anda yang membaca tulisan ini). Untuk apa menarik perhatian mereka? Menarik perhatian mereka supaya mereka memberi perhatian kepada seni-budaya. Mengapa perlu memberi perhatian kepada seni-budaya? Kerana seni-budaya itu penting dalam kehidupan kita. Kerana seni-budaya boleh menyumbangkan kebaikan kepada kehidupan manusia.

Bagaimana tu? Betulkah? Anda berminat nak tahu? Kenalah baca bukunya. Bukan tebal mana pun, 156 muka surat sahaja. Baca sekejap sahaja habis. Mudah faham. Cerita biasa-biasa saja. Bunyinya macamlah berat – “pemikiran dan perancangan”. Isinya biasa-biasa saja. Tidak berat. Tetapi membawa isi dan mesej yang penting. Bukan penting dari segi pemikiran dan perancangan sahaja, tetapi penting untuk dilaksanakan. Untuk direalisasikan pemikiran dan perancangan itu.

Terdapat banyak salah faham terhadap maksudnya. Banyak sekali! Salah faham terhadap maksud “seni-budaya” itu sendiri. Dan yang parahnya salah faham itu berlaku di kalangan orang-orang yang sepatutnya sangat memahaminya, iaitu di kalangan orang-orang yang sepatutnya bertanggungjawab melaksanakan aktiviti atau program seni-budaya itu sendiri. Bahkan hingga ke peringkat exco, dan lebih tinggi daripada itu pun.

Anda bayangkanlah betapa parahnya salah faham itu, dan betapa parah jadinya kesalahan itu – tersebar dan menular di kalangan masyarakat menjadi budayanya. Fahaman seni-budaya yang salah itu yang jadi budaya. Bayangkanlah. Bukan “seni-budaya” yang sebenarnya itu yang jadi budaya.

Bahawa yang tersebar dan menular itu adalah yang ‘salah faham’ itu, iaitu ‘salah faham’ yang dianggap sebagai betul itu. Lihat sajalah misalnya tajuk-tajuk artikel dalam buku ini, seperti “Aktiviti seni bukan mohon bantuan baiki rumah”, “Bajet potong pokok banyak, seni tak ada”, “Macamlah nak naik ke bulan”, “Teater genre baru seperempat dari satu dalam 14”, dan “Salah-faham seni atau salah apa pun tak taulah…”.

Itulah sebahagian daripada persoalan seni-budaya yang diwacanakan dalam buku yang akan dibicarakan 26 Mei ini, yang sudah menjadi budaya yang salah dalam masyarakat kita. Empat orang panel yang akan membicarakannya itu ialah Dr Abu Hassan Hasbullah, Dr Mohd Nor Manuty, Senator Mumtaz Md Nawi dan Zohdi Hj Saad.

Tiga nama yang awal itu barangkali sudah tidak asing lagi di kalangan kita – seorang pengkaji masadepan (future studies) yang menjadi pensyarah bidang media di Universiti Malaya, dan baru saja berpindah ke Universiti Malaysia Kelantan; seorang ahli akademik di bidang agama yang berkecimpung dalam arena politik, kini sebagai Ketua Biro Penerangan; dan seorang peguam muda lulusan UIA yang mendapat kepercayaan Tok Guru Nik Aziz untuk dilantik menjadi senator di Dewan Negara.

Yang keempat, Zohdi Hj Saad ialah seorang pentadbir, iaitu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Kedah. Kenapa YDP Majlis Perbandaran dari Kulim ini dijemput oleh Seniman Paksi Rakyat bagi membincangkan buku mengenai seni-budaya? Sebab kami percaya Majlis Perbandaran (juga Majlis Daerah dan Majlis Bandaraya) adalah agen atau institusi yang penting dan berkesan dalam memajukan seni-budaya yang dimaksudkan oleh buku ini.

Kenapa YDP dari Kulim? Kerana dia dianggap oleh Paksi sebagai antara YDP yang telah menunjukkan kefahamannya dalam menghargai dan melaksanakan aktiviti seni-budaya. Paksi pernah bekerjasama dengannya, misalnya menganjurkan Wacana Azizi Hj Abdullah, di Kulim, pada 26 November 2011.

Apa pun, anda sudilah hadir menyertai Wacana Ilmu ini, yang dianjur bersama oleh Paksi dengan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). 9 pagi hingga 1 tengahari. Percuma. Bagi memudahkan urusan – sila hubungi 019-9592408.

Categories: Share

Leave a Reply