Background

Razali dan kreativiti novel kelapannya


Dinsman (Artikel 316, 25/5)
Razali dan kreativiti novel kelapannya

Razali Endun baru saja selamat menjalani rawatan angioplasty, sekali lagi, terhadap saluran jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini, tak lama selepas menyambut ulang tahun kelahirannya ke-70 pada 7 Mac. Dia menyatakan hasratnya ingin bersama saya ke Dataran Merdeka pada 28 April, untuk ‘Duduk Bantah’ bersama A Samad Said dan ratusan ribu rakyat Malaysia, tetapi terpaksa membatalkannya kerana tahap kesihatannya belum mengizinkan waktu itu.

Namun dalam diam-diam itu dia telahpun menyiapkan bab pertama novel terbarunya, iaitu yang kelapan sejak daya kreativitinya diaktifkan semula oleh gelombang Reformasi 1998, setelah berehat dari dunia penulisan begitu lama kerana menumpu pada perniagaan. Sejak Perpindahan sebagai novel pertamanya dalam era kebangkitan semula ini, dia telah menghasilkan tujuh buah novel, dan sekarang dalam proses melahirkan yang kelapan.

Agak menarik juga proses penulisannya kali ini. Novel terbarunya ini katanya novel biografi mengenai A Samad Said, dengan tumpuan kepada era Sasterawan Negara itu terjun ke lapangan perjuangan, bermula dengan perjuangan untuk menamatkan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains-Matematik dalam bahasa Inggeris) hinggalah kepada Bersih 3.0 dan yang terkini. Itulah makanya dia teringin sangat juga hendak menyertai peristiwa 28 April itu. Untuk meresapi pengalaman Samad Said memimpin gerakan rakyat, dan mendapatkan gambaran suasana sebenar pada hari itu.

Sementara itu dia meminta kerjasama kawan-kawan untuk memberikan info tertentu mengenai aktiviti SN itu kepadanya, di samping menjadi editor novelnya ini. Saya pun termasuk dalam kelompok kawan-kawan yang dimaksudkannya. Maka saya pula mengambil kesempatan itu mengajak dia berkongsi pengalamannya menulis novel dan cerpen, kepada peserta-peserta Bengkel Penulisan bulanan Paksi bagi bulan Mei, di Masjid Nurul Iman, Rawang.

13 Mei itu Razali Endun hadir bersama dengan naskah manuskrip bab pertama novelnya yang belum diberi judul itu, sepanjang sembilan halaman, dibagikan kepada setiap peserta bengkel untuk ditelaah dan kemudian masing-masing menyatakan pandangan. Peserta bengkel yang sedang mengasah bakat untuk menjadi penulis itupun sempatlah menimba pengalaman seorang penulis novel, sambil berdialog mengenai proses penulisan dan disiplin yang harus dijalani oleh penulis novel.

Bukan selalu terdapat peluang seperti itu. Seorang penulis novel berpengalaman datang berbincang mengenai novel yang sedang ditulisnya, bersama-sama dengan bakal-bakal penulis baru, dan juga seorang dua lagi penulis berpengalaman. Memang menarik.

Dan Razali Endun ternyata seorang yang berlapang dada dan berfikiran terbuka. “Kalau ada yang hendak beri pandangan, atau mengkritik saekalipun, silakan!” katanya. Memang ada. Yang baru sedang belajar menulis pun, apabila diberi peluang mengemukakan pandangan dan mengkritik, ada-ada sajalah idea mereka. Razali mendengar semua idea dan pandangan itu dengan tenang. Barangkali dia pun mendapat manfaat daripada sesi tersebut.

Saya pun tertanya-tanya juga pada mulanya apabila dia memberitahu akan menovelkan kehidupan SN A Samad Said – bagaimanakah dia akan melakukannya, apakah teknik penulisan yang akan digunakan, apakah pendekatannya dan sebagainya. Saya tertanya-tanya begitu kerana novel yang akan ditulis ini bukannya novel biasa, tetapi sebuah novel yang dicipta berdasarkan fakta kehidupan seorang seniman tersohor yang masih hidup dan bergerak dalam lingkungan yang sama dengan penulis.

Maka apabila membaca manuskrip bab pertama novel itu, sebahagian daripada persoalan itupun terjawablah sudah. Memang saya tidak menduga Razali akan memulakan rayauan imaginasi dan penerokaan kreativitinya terhadap kehidupan seorang seniman besar kita itu sedemikian:

“Dinihari itu Pak Samad bangun bersolat tahajud. Kebelakangan ini dia kerap bangun pada waktu dinihari untuk bermunajat kepada Allah SWT. Pada pagi yang hening dan dingin itu dia seolah-olah dapat mendekatkan dirinya pada Allah. Dia tahu zat Allah tidak sama dengannya. Sifat Allah tidak serupa dengannya. Namun dengan bertahajud dia merasakan semakin hampir pada Allah. Dan dinihari itu dia bukan saja bertahajud, tetapi ditambahnya dengan solat Syukur dan Hajat.”

Cantik! Dan sungguh menarik paragraf pertama pembuka ceritanya itu. Bagaimana pengarang memperkenalkan watak utamanya Pak Samad, dan seterusnya bagaimana dia menggambarkan suasana hening malam di kediaman rumah pangsa tiga bilik di Bangsar itu.

Membacanya, imaginasi saya lalu menggambarkan kediaman Samad Said di Bangsar, dengan suasana malamnya, yang memang saya kenal benar kerana saya pernah merakamkannya untuk sebuah dokumentari video – “A Samad Said – Kehidupan Seorang Seniman Malaysia”. Saya seperti terlupa bahawa yang sedang dibaca itu adalah sebuah novel, yang tidak semestinya serupa tepat dengan gambaran sebenar. Novel, walaupun ditulis berdasarkan fakta, ia tetap sebuah fiksyen dengan ciri-ciri kreatif dan imaginasinya.

Maka bertambah segarlah rasa ingin tahu kita untuk bab-bab yang seterusnya. Kassim Muhamad pula mencadangkan supaya Razali Endun membuat sedikit kelainan berbanding novel-novelnya yang lepas, iaitu dengan membuat sorotan dan penerokaan ke dalam diri wataknya. Tidak hanya gambaran luaran seperti kebiasaan novelnya. Dengan demikian novelnya ini akan menjadi lebih berkualiti.

Penulis prolifik - Razali Endun (gambar ihsan: www.esastera.com)


Saya pun bersetuju dengan Kassim. Karya-karya Razali sebelum ini tidak banyak membuat sorotan ke dalam. Dan Razali pun mengakui dan menyatakan untuk berbuat demikian adalah suatu cabaran kepadanya.

Semoga Razali bersedia menyambut cabaran tersebut. Usia 70 tahunnya barangkali akan menjadikan dia lebih melihat ke dalam, lebih bertafakur, lebih merenung dan meditatif. Dia memang sudah membuktikan dirinya seorang pencerita yang baik. Dengan novel kelapan ini hendaknya dia membuktikan pula sesuatu yang lebih daripada itu. Insya Allah!

Categories: Share

Leave a Reply