Background

BAWA TEATER KANAK-KANAK KE RUMAH PANGSA


Dinsman (Artikel 341, 14/9)
Bawa teater kanak-kanak ke rumah pangsa

Ahad lalu teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) dipentaskan lagi buat kali yang entah ke 50-berapa, saya pun tak berapa pasti. Dilakonkan oleh Bob Lokman, bersama Sani Sudin dengan biolanya. Dan seperti biasa, kami juga membawa aktiviti sampingan, iaitu menjual buku.

Sudah lama aktiviti sampingan ini kami lakukan. Bukan sahaja sebagai sampingan kepada pementasan teater, tetapi juga sebagai sampingan kepada aktiviti-aktiviti lain seperti bicara buku, persembahan puisi, seminar, bengkel penulisan dan sebagainya. Sebab apa? Sebagai khidmat membawa buku kepada pembaca, promosi budaya membaca buku kepada masyarakat, menggalakkan orang membaca buku, dan menolong mereka yang kebetulan inginkan buku-buku berkenaan tetapi sukar mendapatkannya di kedai-kedai buku biasa.

Tidaklah banyak judul buku yang dibawa. Biasanya yang ada kena mengena dengan aktiviti utamanya, di samping buku-buku yang diterbitkan oleh Paksi dan Kaab, seperti Menunggu Kata Dari Tuhan, Kumpulan Esei Budayawan Bertindak, Antologi Puisi 56 Penyair, Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya; juga buku-buku karya SN A Samad Said, Shaharir Mohd Zain, Azizi Hj Abdullah, Syed Husin Ali, Ahmad Lutfi Othman dan Zaaba.

Semestinyalah tidak ada buku-buku kisah cinta remaja yang digemari oleh anak-anak muda itu. Kami mempromosi buku-buku yang kira-kira ada kaitannya dengan ideologi dan perjuangan Seniman Paksi Rakyat (Paksi); yakni buku-buku seni-budaya yang kami percaya patut dibaca oleh masyarakat.

Dalam konteks inilah saya sudah beberapa kali menyebut bahawa masyarakat di sekitar Masjid Batu di Permatang Pauh itu agak unik dan istimewa, kerana mereka paling banyak membeli buku apabila kami membuat promosi buku di sana. Sudah beberapa kali.

Dan pada Ahad lalu kami bertemu pula satu lagi kelompok masyarakat yang unik dan istimewa, tetapi berbeza dengan masyarakat di sekitar Masjid Batu. Kalau masyarakat sekitar Masjid Batu itu suka dengan buku, kelompok masyarakat yang kami temui sewaktu mementaskan MKDT Ahad lalu adalah sebaliknya. Mereka langsung tidak berminat. Langsung tidak menunjukkan minat.

Daripada sekitar hampir seribu orang yang hadir untuk menonton dan berhibur dengan persembahan artis-artis pujaan mereka itu (termasuk Bob Lokman), tidak seorang pun mampir ke meja buku. Mereka sekadar memandangnya dari jauh dan melintas sahaja di depan meja buku. Langsung tidak menunjukkan ada minat kepada buku.

Kami sampai ke kawasan rumah pangsa itu sejurus sebelum maghrib. Melihat kepada suasana dan orang-orang yang ditemui di sekitar kawasan lapang dan padang mainan di antara blok-blok rumah pangsa itu, serta orang-orang yang mulai datang ke tempat pementasan, pihak petugas yang akan menjual buku pun mulai khuatir, apakah ini tempat yang sesuai untuk mempromosi buku?

Demikianlah akhirnya tanpa menunggu selesai pementasan, buku-buku yang dipamerkan itupun segera dikemaskan ke dalam kotak untuk disimpan ke dalam kereta.

Pulang dari pementasan itu otak saya asyik terfikirkan persekitaran hidup masyarakat di kawasan perumahan rumah pangsa itu. Dengan anak-anak kecil yang masih berkeliaran walaupun waktu sudah malam, anak-anak muda lelaki perempuan yang berpeleseran, beberapa orang lelaki yang menghampiri kami dalam keadaan seperti orang mabuk dan sebagainya itu. Dan saya pun terfikirkan visi dan gagasan seni-budaya Paksi. Apakah yang wajar dibuat dalam situasi yang seperti itu?

Tiba-tiba pagi Isnin itu ADUN kawasan tersebut, yang menjemput kami membuat persembahan MKDT itu dan dia juga turut menonton pada malam itu, menelefon saya dan menceritakan keadaan kelompok masyarakat di mana MKDT dipersembahkan itu. Rupa-rupanya tepat seperti yang sedang saya fikirkan.

“Sebutlah apa saja yang kita katakan gejala sosial itu, semuanya ada di situ,” kata YB tersebut. “Dan di situlah anda membuat persembahan cerita Kaab bin Malik itu. Saya tak pasti mereka yang menonton itu dapat memahaminya atau tidak. Sebahagian daripada mereka itu orang India bukan Islam. Saya tengok mereka menonton juga…”

Rupa-rupanya ADUN  berkenaan sangat maklum dengan situasi yang tidak menyenangkan itu. Dia sengaja membawa teater Islam kisah sahabat Nabi yang bertaubat setelah membuat kesalahan itu ke tempat begitu – tentulah ada sebab dan alasannya. Tetapi pagi Isnin itu dia menelefon saya untuk berbincang perkara lain.

Apa pun, yang pentingnya dia telah mengesahkan jangkaan saya mengenai sekitaran hidup masyarakat yang langsung tidak berminat dengan buku itu, lalu memudahkan saya untuk terus memikirkan apakah yang boleh dibuat oleh seni-budaya di situ.

Melihat kepada ramainya anak-anak muda yang berkeliaran di situ, saya segera terfikirkan kepada teater kanak-kanak. Barangkali sesuai dan ada faedahnya kalau sebahagian kanak-kanak itu diajak menyertai kumpulan teater kanak-kanak yang boleh ditubuhkan di situ, dengan dibimbing oleh orang yang pakar atau tahu mengenai teater kanak-kanak.

Tidak ramai orang yang tahu dan pakar mengenai teater kanak-kanak di Malaysia hari ini. Boleh dibilang dengan jari. Itu pun, yang ada seorang dua itu pun, tidak dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang sebenarnya sangat memerlukan tenaga pakar mereka. Saya harap kali ini (sekurang-kurangnya) kita boleh mencuba menghidupkan aktiviti seni ini, bagi memanfaatkannya kepada situasi hidup di rumah pangsa yang kurang menyenangkan itu.

Categories: Share

Leave a Reply