Background

Menghindari rasuah cara TG Nik Aziz


Dinsman (Artikel 325, 2/7)
Menghindari rasuah cara TG Nik Aziz

Selama kira-kira satu jam Tok Guru Nik Aziz memberi kuliah mengenai bagaimana kita boleh menghindari atau menghapuskan rasuah dalam pentadbiran kerajaan sesebuah negeri. Beliau berbuat demikian atas jemputan Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Kuliah disampaikan di dewan jubli perak, bangunan SUK, Shah Alam, pada pagi Selasa 26 Jun 2012. Sekitar 700 orang kakitangan kerajaan dan orang awam hadir.

Saya antara orang yang menunggu dengan penuh debar untuk mendengar kuliah tersebut. Setahu saya inilah kali pertama Tok Guru Nik Aziz bercakap secara rasmi mengenai tajuk pentadbiran tanpa rasuah atau menghindari rasuah dalam pentadbiran, atas anjuran rasmi sebuah kerajaan negeri. Saya percaya ada ramai lagi orang seperti saya di kalangan hadirin pagi itu, yang menunggu untuk mendengar fatwa atau formula Tok Guru Menteri Besar yang telah berjaya mentadbir negeri Kelantan selama hampir 22 tahun dalam keadaan bersih daripada rasuah, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai fitnah dan tohmah.

Dan setelah mendengar kuliah satu jam itu, saya tertanya-tanya pula, bagaimanakah tanggapan seorang pentadbir profesional atau seorang pakar mengenai pentadbiran, apabila mendengar kuliah TG Nik Aziz itu? Atau apakah itu di kalangan orang-orang pentadbiran dan pengurusan dapat dianggap sebagai sebuah kuliah pentadbiran?  

Mengapa saya bertanya demikian? Sebabnya ialah saya mendengar kuliah itu hampir tak ada bezanya dengan kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah TG Nik Aziz yang pernah saya dengar sebelum ini. Mengenai iman kepada Allah dan hari akhirat. Mengenai Allah sebagai pencipta alam ini dan pencipta manusia, juga pencipta seluruh sistem kehidupan.

Mengenai beriman kepada Nabi Muhammad saw sebagai Rasul atau utusan Allah untuk mengajar manusia perkara-perkara yang tidak mampu dicapai oleh fikiran manusia. Mengenai diri manusia yang terdiri darpada unsur-unsur ke arah kebaikan dan ke arah kejahatan. Mengenai ‘starter’ di dalam diri manusia yang hendak itu dan hendak ini. Mengenai polis tak mungkin mengawal tingkah laku manusia. Mengenai agama sebagai pengawal nafsu jahat manusia. Dan seterusnya.

Kuliahnya itu umpama kuliah agama. Bukannya seperti kuliah pentadbiran yang biasa kita dengar. Begitulah agaknya tanggapan kebanyakan orang. Dan memang begitu. Kuliah yang diperkuatkan dengan hujah-hujah dari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi itu, tidak menghuraikan apa-apa mengenai sistem dan peraturan pentadbiran, atau mekanisme bagi mengelakkan rasuah dan penyelewengan, misalnya.

Tidak ada langsung istilah-istilah pentadbiran dan pengurusan yang biasa kita temui dalam buku-buku pentadbiran dan pengurusan, dapat kita dengar dalam kuliah TG Nik Aziz pagi itu. Yang kita dengar ialah istilah-istilah agama seperti beriman, bertaqwa (atau rasa gerun dengan Allah), akhirat, nafsu, hati, fujur, ghaibiyat, dosa-pahala, halal-haram, pencipta, hamba dan sebagainya.

Biasanya apabila bercakap mengenai pentadbiran Kelantan, TG Nik Aziz atau pegawai-pegawai kanan yang biasa atau terlibat dengan pentadbiran negeri Kelantan akan menyebut tiga unsur utama, iaitu ‘Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan. Tetapi entah mengapa pagi itu TG Nik Aziz tidak menyebutnya. Barangkali dia terlepas perhatian kerana tidak membaca teks ucapannya (yang kelihatan dibawanya), atau dia sengaja tidak menyebutnya kerana sebab-sebab tertentu, tak tahulah.

Walau apapun, pada keseluruhannya Wacana Ilmu mengenai buku “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi” karya Syed Hussein Alatas yang panel pembicaranya terdiri daripada Dr Syed Husin Ali, Dr Shaharir Md Zain (ganti Tan Sri Robert Phang yang tak dapat hadir), dengan moderator Syed Shahir Syed Mohamud itu, sangatlah menarik.

Menarik bukan kerana saya melihatnya dari sudut politik, bahawa Kerajaan Negeri Selangor mahu belajar daripada Kerajaan Negeri Kelantan bagaimana cara menangani masalah rasuah, seperti yang diucapkan oleh Dr Halimah Ali (Exco berkenaan), sambil menyebut peruntukan RM15 juta disediakan untuknya. Itu pun menarik. Bukan tak menarik. Tetapi lebih menarik lagi ialah saya melihatnya sebagai satu permulaan daripada usaha untuk ‘memformulakan’ cara-cara pentadbiran TG Nik Aziz itu, dengan melihatnya dari sudut teori dan sistem pengurusan dan pentadbiran moden.

Memang Kelantan di bawah pentadbiran Islam cara TG Nik Aziz itu berjaya menghindari rasuah selama hampir 22 tahun. Dan memang itu satu kejayaan besar. Lebih-lebih lagi kalau difikirkan realitinya negeri Kelantan itu adalah sebahagian daripada negara Malaysia, dan di Malaysia amalan rasuahnya adalah sangat membarah, berleluasa dan sedang meruntuhkan pentadbiran yang dipimpin oleh Umno-BN itu.

Tetapi di luar Malaysia terdapat juga beberapa buah negara yang berjaya menghindari rasuah, dengan pentadbiran cara mereka, yang jauh berbeza dibandingkan dengan cara pentadbiran Islam di Kelantan. Pertamanya, kerana mereka itu bukan orang Islam. Ertinya bukanlah kerana Islam semata-mata maka kita boleh menghindari rasuah. Dan di sudut lain pula kita menyaksikan banyak bukti yang menunjukkan bahawa faktor Islam tidak boleh menjadi faktor yang berkesan bagi menghindari amalan rasuah. Bahkan mungkin sebaliknya.

Maksudnya, bukanlah satu perkara yang semudah itu untuk dirumuskan formula atau teorinya mengapa pentadbiran Kelantan di bawah kepimpinan TG Nik Aziz berjaya menghindari rasuah selama hampir 22 tahun itu. Ya memang Tok Guru sendiri telah menghuraikannya selasa lalu, tetapi saya fikir huraiannya itu tidak menyentuh semua perkara yang perlu disentuh. Lagipun terdapat perbezaan ‘set minda’ yang mungkin menghalang pemahaman sebenar.

Maka saya melihat wacana 26 Jun itu adalah sebagai permulaan kepada usaha yang patut berterusan, bagi mendapatkan rumusan teori dan formula mengenai pentadbiran bebas rasuah. Cadangan saya: satu wacana eksklusif di kalangan beberapa orang penting sahaja, untuk membincangkan bagi merumuskan teori dan formula kejayaan TG Nik Aziz itu, dilihat dari perspektif ilmu pengurusan dan pentadbiran moden.

Categories: Share

Leave a Reply