Background

Definisi baru ‘Menteri Besar’


Dinsman (Artikel 329, 16/7)
Definisi baru ‘Menteri Besar’

Saya sedang menyemak tulisan-tulisan untuk sebuah buku yang akan diterbitkan mengenai Kelantan dan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz yang mentadbir Kelantan selama lebih 21 tahun. Ada satu perkara yang sangat menarik perhatian saya mengenai Tok Guru Nik Aziz, sebagai seorang pemimpin (Menteri Besar) yang ternyata berbeza dengan pemimpin lain.

Sudah lebih daripada sekali saya menulis mengenai pemimpin-pemimpin politik kita yang selalu sibuk, dan tersangat sibuk, hingga tak ada masa untuk berjumpa rakyat. Perkara ini sangat menonjol dan semakin menonjol saya perhatikan pada pemimpin-pemimpin kita. Maksud saya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Tetapi Nik Aziz berbeza. Dia walaupun sibuk juga, tetapi kita dapati dia selalu ada masa untuk rakyat. Tidak susahlah bagi rakyat kalau hendak berjumpa dengan dia.

Mengapa demikian? Saya cuba mencari jawapannya. Antaranya saya melihat pada pembahagian tugas atau potfolio yang dipegang oleh para Exco, khasnya yang dipilih oleh Nik Aziz untuk dipegangnya sendiri sebagai Menteri Besar. Kita perhatikan potfolionya selama lima penggal mentadbir, daripada 1990 hingga sekarang, ialah Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli.

1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 itulah potfolionya – Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli. Kecuali penggal pertamanya, 1990-1995, Nik Aziz juga memegang potfolio Perancang, Kewangan dan Pentadbiran, di samping Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli. Hanya satu penggal sahaja. Selepas itu tidak ada lagi yang lain kecuali Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli.

Saya percaya ini adalah antara faktor pentingnya kenapa TG Nik Aziz tidak sesibuk pemimpin lain. Dia memilih hanya tugas-tugas mengenai Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli, yang tentunya di dalamnya termasuk hal ehwal mengenai tanah, kawasan balak dan pembalakan, serta air.

Mengenai tanah pun barangkali setakat hal ehwal pemilikan tanah sahaja, kerana urusan pembangunan tanah dan wilayah diserahkan kepada orang lain untuk bertanggungjawab. Sejak 1999 Timbalan Menteri Besar sendiri yang bertanggungjawab mengenainya. Bahkan sejak 2004 Timbalan Menteri Besar hanya khusus tumpu pada potfolio Pembangunan Tanah dan Wilayah sahaja (di samping tugas-tugas membantu Menteri Besar secara umumnya).

Dengan demikian saya melihat Nik Aziz secara sengaja memilih untuk tidak menyibukkan dirinya dengan hal-hal yang selalu menyibukkan para Menteri Besar dan Ketua Menteri di Malaysia, iaitu hal-hal kewangan, perniagaan dan projek-projek pembangunan, yang selalunya menjadi tumpuan para peniaga, pengusaha dan pemaju serta pelobi-pelobi mereka, dan selalunya pula akan mengurangkan tumpuan Menteri Besar terhadap usaha untuk mengubah minda rakyat dan memperbetulkan aqidah hidup rakyat sesuai dengan ajaran Islam.

Dan dengan bertindak demikian, Nik Aziz sebenarnya telah memberi definisi baru kepada tugas dan tanggungjawab seorang Menteri Besar. Orang lain melihat tugas-tugas mengatur hal ehwal kewangan dan pembangunan fizikal dan material sebagai paling penting dan utama, kerana melaluinya mereka boleh mengawal harta dan kekayaan negeri, dan boleh membina pengaruh ke atas orang-orang penting dalam struktur kuasa pemerintahan.

Nik Aziz tidak melihat demikian. Baginya urusan kewangan dan pembangunan fizikal/ material itu boleh diserahkan kepada orang lain menguruskannya, kerana itu bukanlah tugas utama dan terpenting baginya. Tugas utama dan terpenting bagi seorang ketua pemimpin rakyat dan ketua pentadbir negeri (atau negara) ialah mengubah minda dan memperbetulkan aqidah hidup rakyat, sesuai dengan tuntutan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Dengan kata lain, tugas utama dan terpenting seorang Menteri Besar ialah mentadbir pelaksanaan hukum Allah di dalam wilayah kekuasaannya secara bijaksana, sambil mentarbiyah rakyatnya dengan tujuan mengubah minda dan sikap mereka, bagi memperbetulkan aqidah dan amalan hidup mereka, sesuai dengan ajaran Islam.

Berbeza sekali. Sangat berbeza dengan fahaman dan tanggapan orang mengenai tugas, tanggungjawab dan tujuan diadakan jawatan Menteri Besar (atau Ketua Menteri atau Perdana Menteri atau Presiden) sesebuah negeri/negara.

Namun begitu, secara formal dan strukturalnya potfolio Dakwah, Pendidikan, Pembangunan Islam dan Pembangunan Insan tetap juga diwujudkan, dan ada Exco yang bertanggung-jawab ke atasnya. Mereka menjalankan tugas-tugas pentadbiran dalam bidang-bidang berkenaan seperti biasa, dan Nik Aziz juga terus melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, yang sebenarnya telahpun dilakukannya lama sebelum dia menjadi Menteri Besar.

Dengan demikian TG Nik Aziz pun kelihatannya selalu ada masa untuk rakyat dan untuk agama. Dia tidak kelihatan dan tidak memperlihatkan dirinya “selalu sibuk”, seperti yang selalu diperlihatkan atau kelihatan pada kebanyakan pemimpin kita yang lain. Bukan sahaja Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri, bahkan pemimpin-pemimpin yang di peringkat bawah daripada itu pun selalu saja sibuk, hingga begitu sukar untuk rakyat berjumpa.

Entah apalah yang mereka sibukkan, atau apalah yang menyebabkan mereka jadi begitu sibuknya! Padahal Nik Aziz seorang Menteri Besar, dan sudah lebih 21 tahun menjadi Menteri Besar. Sudah lebih 21 tahun juga Umno/BN diketuai oleh Perdana Menteri, berusaha untuk menjatuhkannya, tetapi dia berjaya menggagalkan mereka. Menunjukkan betapa berjaya dan berkesannya kepemimpinan Nik Aziz sebagai Menteri Besar.

Dan dia tidak perlu pun menyibukkan dirinya seperti pemimpin-pemimpin yang “selalu sibuk” itu. Dan dia masih mempunyai waktu untuk beribadat dengan Allah, dan untuk melayan rakyat marhaen yang selalu datang menemuinya. Bukanlah dia tidak pernah sibuk. Dia pun sibuk juga dengan tugas-tugasnya. Tetapi secara perbandingan, begitulah!

Barangkali inilah definisi baru bagi jawatan Menteri Besar yang sesuai dengan falsafah dan kehendak Islam.

Leave a Reply