Apabila artis berduyun masuk PAS
Dinsman
(Artikel 327, 9/7)
Apabila artis berduyun
masuk PAS
Ada orang SMS saya bertanya mengapa tak
tulis apa-apa mengenai fenomena artis masuk PAS berduyun-duyun itu. Dan ada
beberapa SMS lagi yang memberi pandangan dan bercerita beberapa hal mengenainya.
Ada yang
positif dan ada yang negatif. Lutfi sendiri pun sudah menulis mengenainya dalam
Harakah keluaran lalu.
Alhamdulillah, kemasukan artis beramai-ramai ke dalam
PAS itu memang sesuatu yang patut disambut dengan gembira. Apatah lagi sekarang
kita sudah di ambang PRU-13. Kemasukan mereka itu memang membantu kempen PAS
dan menguatkan lagi sokongan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.
Ada orang bimbang kalau-kalau mereka itu
telah dipergunakan atau disalahgunakan untuk kempen politik, sehingga akan
menimbulkan kemungkinan mereka menjadi tidak selesa dan akan kembali kepada
asal mereka.
Saya
sebenarnya tidak tahu sangat cerita mengenai artis-artis yang dikatakan telah
berhijrah ini, kerana saya pun akhir-akhir ini kurang terlibat dalam
majlis-majlis yang ada mereka; dan satu dua majlis yang memang diatur untuk
bersama mereka pun kebetulan saya tak dapat hadir kerana telah ada komitmen
lain. Untuk itu saya mohon maaflah!
Hanya
dengan Bok Lokman sahaja saya agak berpengalaman, kerana dia terlibat dengan
program pementasan teater saya, Menunggu
Kata Dari Tuhan. Kami pernah buat persembahan di Kulai, Johor; dan yang
terbaru di Masjid Nurul Amin, Kg Delek, Kelang, pada 9 Jun lalu. Yang terbaru
lagi pada 24 Jun dia tak dapat berlakon, kerana tidak sihat, lalu digantikan
dengan Sabri Yunus yang kebetulan boleh pada malam itu. Sebelum itu saya juga
pernah berforum mengenai kesenian Islam bersama dengan Bob Lokman, di Johor.
Memang
ada juga cerita yang kurang menyenangkan dia, dalam pengalamannya berceramah
dan membuat persembahan dalam majlis-majlis PAS di sana-sini. Mengikut
ceritanya kepada saya. Dan saya anggap itu semua adalah perkara biasa, asam
garam dalam beraktiviti. Tidak semuanya indah dan menyenangkan. Biasalah, di
mana-mana pun begitu.
Sebenarnya
saya dan kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) memang berhasrat untuk
bersama dalam apa-apa rancangan dan program yang melibatkan artis-artis
berkenaan. Kami pun ingin berbincang untuk membuat program bersama, demi
memajukan seni-budaya bersama Pakatan Rakyat. Tetapi setakat ini nampaknya
peluang untuk itu belum terbuka, kecuali pada 6 Julai – malam Semarak Seni
Lebuh Raya Rakyat, di Taman Melewar.
Yang
sering kita dengar ialah mereka dijemput berceramah di sana-sini. Bukannya
membuat persembahan apa-apa yang menjadi kebiasaan mereka dan yang mereka
berbakat, iaitu berlakon atau menyanyi. Seperti Bob Lokman pun, begitu banyak
jemputan berceramah sehinggakan waktu untuk dia membuat latihan berlakon pun
hampir tidak ada.
Tetapi
walau apa pun tidak mengapalah, kalau itu semua boleh mereka lakukan. Mungkin
mereka pun masih teruja dengan pengalaman baru ini. Tak mengapalah.
Teruskanlah, kerana keadaan begini pun tidak akan kekal begini berterusan
hingga lama-lama. Sampai waktunya akan hilanglah keterujaan atau keghairahan
itu – baik di pihak artis-artis mahupun di pihak PAS sendiri.
Sebelum
ini, dulu kita pun pernah mengalami hal keterujaan dan keghairahan yang hampir
sama begini dengan Ogy Ahmad Daud, dengan Mawi, dan dengan Amy Search pun. Dan
kemudian apabila hilang keterujaan dan keghairahan itu, masing-masing pun telah
mengambil jalan masing-masing. Tetapi untungnya PAS kerana sekarang lebih ramai
pula yang masuk menyertainya, berduyun-duyun.
Dan
sebelum itu lagi, dulu, pada zaman awal-awal Reformasi dulu, siapa artis yang
berani tampil di atas pentas PAS dan PKR? Tak lain dan tak bukan hanya dua tiga
orang sahajalah – Ito (Blues Gang),
Akil Hayy dan Nasir Jani. Siapa lagi?
Dan
keterujaan serta keghairahan itu pun hilanglah sudah. Maka bolehlah kita bertanya
– apakah fenomena artis-artis berhijrah ini hanya bersifat sementara selagi mood keterujaan dan keghairahan itu
masih ada sahaja? Atau bagaimana?
Memang
ada pihak tertentu yang sangat prihatin dengan keadaan artis-artis yang
dikatakan ‘berhijrah’ itu. Mereka risaukan kalau-kalau orang PAS tidak pandai
melayan artis-artis itu, takut nanti mereka akan meninggalkan PAS pula, dan
sebagainya. Ada
pula yang bimbang memikirkan masa depan artis-artis itu sendiri di dalam PAS –
bolehkah mereka meneruskan karier mereka sebagai penyanyi? Bolehkah PAS
membenarkan penyanyi wanita menyanyi di depan khalayak umum, termasuk di depan
lelaki?
Kalau
penyanyi wanita kini diterima untuk berceramah di depan lelaki, kenapakah pula
mereka tidak dibenarkan menyanyi di depan lelaki?
Itulah
antara soalan-soalan menarik yang sedang menanti untuk jawapan. Tidak tahu
siapa yang akan menyediakan jawapannya. Dalam suasana ghairah dan teruja
sekarang ini, kita berharap proses penyediaan jawapan itu tidak akan dibiarkan
berlalu begitu sahaja.
Itu
satu perkara. Satu perkara lagi ialah aktiviti seni-budaya itu sendiri, yang
bagi saya adalah lebih penting. Apakah kemasukan berduyun-duyun para artis itu
menjadi ahli PAS membawa mesej bahawa aktiviti seni-budaya akan bersemarak
dihidupkan dalam masyarakat PAS? Atau sebaliknya membawa mesej bahawa mereka
sudah ‘berhijrah’ dari dunia seni-budaya kepada dunia berdakwah melaui ceramah?
Menyedari
ada dua kemungkinan itu maka saya dan kawan-kawan dalam Paksi tidaklah begitu
ghairah dan teruja dengan kemasukan berduyun-duyun para artis itu. Sementara
mereka masih dalam musim teruja dan ghairah ini, biarkanlah mereka mengisi
program-program PAS, walau apa pun bentuknya. Hanya mereka sendiri yang dapat
menentukan masa depan karier mereka.
Sementara
itu saya dan kawan-kawan Paksi akan meneruskan usaha kami bagi menyuburkan
seni-budaya dalam masyarakat yang bebas, harmoni, beragama dan tidak ada rasuah
serta penindasan sesama manusia.