Background

Menanti komitmen budaya lebih serius


Dinsman (Artikel 318, 1/6)
Menanti komitmen budaya lebih serius

Alhamdulillah, akhirnya beberapa gagasan, wawasan dan fikiran mengenai seni-budaya yang terkumpul dalam buku “Pemikiran dan Perancangan Seni-budaya” itu pun, akhirnya dibaca dan dimengerti serta diberi perhatian oleh beberapa orang dan pihak tertentu yang saya harap akan memberi kesan kepada perancangan dan pelaksanaan aktiviti seni-budaya di negara ini, apabila buku tersebut dikupas dan dibincang dalam Wacana Ilmu @ PPAS, Sabtu 26 Mei.

Buku itu sebenarnya diterbitkan dengan tujuan khas untuk perhatian Menteri Besar Selangor dan para pemimpin di Malaysia, dengan alasan dan kewajaran seperti yang jelas dinyatakan secara tersurat dan tersirat di dalamnya. Namun walaupun bukan MB Selangor yang hadir berwacana pada Sabtu itu, tetapi empat orang panel yang berbicara dengan beberapa orang profesor, budayawan dan pentadbir serta orang awam dan pelajar itu cukup bermakna dan berkesan.

Terima kasih Dr Abu Hassan Hasbullah yang memulakan bicara dan meletakkan wacana itu pada landasannya yang betul, sambil memberikan makna yang lebih mantap kepada idea-idea berkenaan, melalui hasil-hasil penyelidikannya serta pengalaman budayanya yang luas.

Saya percaya keseluruhan diskusi pada pagi Sabtu itu banyak dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan yang dibuat secara jelas dan tegas oleh Abu Hassan, yang menyokong idea dan gagasan buku itu, menuntut supaya hak-hak seni-budaya dalam masyarakat kita diperakui, diiktiraf, dihargai dan dibenarkan aktivitinya mengambil tempat yang dominan dalam jiwa manusianya.

Dr Mohd Nor Manuty hadir pagi itu sebagai pembicara tidaklah mewakili MB Selangor. Tetapi beberapa orang kawan dalam Seniman Paksi Rakyat mengharapkan oleh kerana dia mengetuai biro penerangan parti KeAdilan, tentulah hubungannya dengan pimpinan tinggi parti itu boleh membawa kesan dan makna yang diperlukan.

M Nor Manuty nampaknya bersetuju dengan buku tersebut dan juga Abu Hassan, tetapi bukan itu yang diharapkan oleh Paksi. Yang diharapkan Paksi adalah lebih daripada persetujuan. Paksi mengharapkan kesedaran, keterbukaan serta komitmen waktu dan bajet untuk aktiviti seni-budaya.

Pengalaman Paksi berhubungan dengan beberapa orang pimpinan KeAdilan di peringkat negeri Selangor dan Pulau Pinang selama ini adalah pengalaman yang sangat tidak menggalakkan. Maka saya mengharapkan kehadiran M Nor Manuty dalam wacana budaya bersama Paksi ini akan dapat membuat perubahan di dalam diri KeAdilan itu sendiri. Suatu harapan yang tentunya berat buat tanggungannya. Tetapi lebih berat lagi akibatnya kalau semua pimpinan parti KeAdilan mahu terus bersikap tidak peduli kepada seni-budaya.

Dan saya pun jadi lebih berani untuk berkata begini sebenarnya setelah mendengar pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh Abu Hassan dalam wacana tersebut. Dan bukan sahaja oleh Abu Hassan, tetapi juga oleh Senator Mumtaz Md Nawi, pembicara ketiga wacana itu.

Beberapa kali dalam bicaranya itu Mumtaz mengatakan bahawa sekarang adalah masanya yang tepat untuk politik Pakatan Rakyat memberi perhatian kepada apa-apa yang dimohon perhatian oleh buku berkenaan.

Mumtaz kelihatannya amat menyedari akan kesilapan politik Pakatan Rakyat yang tidak memberi perhatian kepada seni-budaya selama ini. “Sekarang adalah masanya yang tepat untuk kita memberi perhatian kepada soal seni-budaya ini. Jangan tunggu sehingga PRU 13,” katanya. “Jangan tunggu sehingga kuasa di tangan kita,” katanya lagi.

“Kita mesti tahu apa yang perlu kita buat mengenai seni-budaya ini apabila kita berkuasa memerintah negara nanti,” tegas Mumtaz.

Dan Mumtaz tidak sekadar berbicara sahaja, tetapi dia membuktikan komitmennya sebaik sahaja pulang ke Kelantan. Perbincangan mengenai pentingnya seni-budaya dalam kehidupan ini akan segera dibuat pula di Kota Bharu, sebagai susulan kepada wacana 26 Mei itu.

Manakala pembicara ketiga ialah seorang pentadbir, iaitu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Kedah – Zohdi Hj Saad. Antara lain katanya majlis perbandaran tidak menghadapi masalah peruntukan kewangan untuk mengadakan aktiviti seni-budaya. Masalah yang dihadapinya ialah kerjasama daripada pihak budayawan untuk mengadakan aktiviti berkenaan.

Kenyataannya itu agak sedikit mengejutkan. Orang budaya tidak mahu bekerjasama dengan pihak majlis perbandaran untuk mengadakan aktiviti seni-budaya? (Ah, ini sudah terbalik!)

Namun saya tidak menyanggah kenyataannya itu dalam majlis tersebut. Mungkin itu betul berdasarkan pengalamannya. Dan ternyata dia memang memiliki kesedaran budaya seperti yang kita perlukan. Antaranya, dia telah menyahut cadangan supaya Majlis Perbandaran Kulim membuat beberapa perkara bagi menyatakan penghargaan kepada sumbangan besar sasterawan Azizi Hj Abdullah.

Cadangan saya supaya bandar Kulim itu sendiri dijadikan “Bandar Azizi Hj Abdullah” – sebagai sebuah bandar pelancongan berasaskan produk-produk seni dan sastera di sekitar karya-karya Azizi. Itu barangkali agak terlalu besar untuk dilaksanakannya. Tetapi dia telahpun memulakan sesuatu yang bererti untuk menghargai Azizi. (Akan dinyatakan kemudian).

Dan menarik juga apabila Senator Datuk Firdaus Abdullah mencadangkan supaya majlis wacana Paksi jangan sekadar tertumpu kepada cadangan-cadangan untuk kerajaan Pakatan Rakyat sahaja, tetapi hendaklah juga kepada kerajaan Barisan Nasional.

Dan tidak kurang menariknya ialah cadangan Dr Aida Idris untuk memberikan hadiah buku pada setiap majlis kenduri kahwin yang kita hadir. Tidak ada lagi hadiah pinggan mangkuk dan sebagainya. Hanya buku. Dan dia berjanji itulah yang akan dilakukannya mulai hari itu.

Categories: Share

Leave a Reply