Background

Apabila Mat Sabu bercakap soal hakcipta


Dinsman (Artikel 320, 8/6)
Apabila Mat Sabu bercakap soal hakcipta

Petang Sabtu 2 Jun, orang tidak begitu ramai di Galeri Seni Kuala Kubu Baru, tempat berlangsungnya penyampaian hadiah Pertandingan Mengarang Cerpen dan Puisi Berunsur Islam, anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Bernam. Barangkali kerana ramai yang keletihan, pulang dari perhimpunan Hijau di Alor Setar pada malamnya.

Apa pun, hal itu nampaknya sama sekali tidak melunturkan semangat Hj Wahid dan Naharudin, dua orang kuat PAS Hulu Selangor yang bertanggungjawab menganjurkan program tersebut. Mereka kelihatan gembira petang itu bukan sahaja kerana hadirnya beberapa orang penulis cerpen terkenal Selangor seperti Razali Endun dan Aminhad, tetapi barangkali kerana kehadiran Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, dan Mohd Sabu Timbalan Presiden PAS.

Saya juga turut gembira dengan kehadiran dua orang tokoh penting dari parti PAS itu. Kesudian mereka meluangkan masa untuk menghadiri aktiviti seni-budaya – itu yang penting. Dr Halimah hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan mengarang itu (di samping menyampaikan ucapan), manakala Mohamad Sabu hadir untuk perasmian penutup program.

Saya tertanya-tanya juga apa yang Mat Sabu akan cakap dalam majlis yang seperti pada petang itu, yakni bukan majlis politik seperti yang selalu dihadirinya. Juga berhadapan dengan audien yang tidak ramai, tidak seperti audien yang biasa dihadapinya beribu-ribu orang. Di sini hanya ada beberapa orang sahaja – peminat sastera.

Di luar jangkaan saya – Mat Sabu bercakap mengenai soal hakcipta dan betapa masyarakat kita (di Malaysia dan Indonesia) tidak menghargai seniman. Suatu topik yang sangat penting, tetapi tidak pernah mana-mana pun pemimpin politik kita (Pakatan Rakyat) yang mahu bercakap mengenainya, selama ini.

Segera saya teringat kira-kira sepuluh tahun yang lalu, ketika beraktif bersama Nasir Jani dan Ito waktu itu, kami beberapa kali mencuba mengajak pimpinan PAS waktu itu untuk berbincang mengenai perkara hakcipta dan cetak rompak, yang seperti bermaharajalela di majlis-majlis ceramah PAS sendiri. Namun sambutannya sangatlah dingin. Boleh dikatakan tak ada sambutan langsung.

Maka sejak itu kami pun melupakan sajalah idea dan ikhtiar untuk mengurangkan aktiviti haram cetak rompak yang, peliknya, dibiarkan berleluasa di kalanagan peniaga-peniaga dalam majlis-majlis PAS sendiri. Memang pelik! Kerana ada peniaga yang mati-mati berhujah mengatakan kerja dia mencetak rompak itu adalah sebahagian daripada kerja dakwah.

Cubalah anda fikirkan itu. Betapa songsangnya fikiran kita. Namanya pun cetak rompak! Merompak hakcipta atau ‘harta intelek’ orang lain – dan itu dikatakan kerja dakwah?

Barangkali kerana itulah tidak ada seorang pun pimpinan parti waktu itu yang sanggup hendak mengambil inisiatif untuk berikhtiar bagi menghapuskan kerja tidak beretika itu. Atau barangkali waktu itu tidak ada pun pimpinan parti yang mahu memikirkan perkara ini, kerana mereka tidak melihat kepentingannya, dan kerana mereka tidak memahami pun masalahnya.

Maka alhamdulillah, entah kenapa dan entah bagaimana, petang itu tiba-tiba Mat Sabu yang sekarang ini Timbalan Presiden PAS, boleh terfikir untuk bercakap mengenai perkara ini – satu perkara yang tidak pernah diangkat oleh sesiapa pun di kalangan pimpinan parti, yang kami di kalangan Seniman Paksi Rakyat percaya adalah disebabkan tidak adanya kesedaran budaya di kalangan mereka.

Nampanya Timbalan Presiden PAS sekarang seperti memahami apa yang sedang diperjuangkan oleh golongan seniman dan budayawan. Barangkali kerana hubungannya yang semakin rapat dengan tokoh budaya seperti Sasterawan Negara A Samad Said, dan juga dengan beberapa orang artis yang telah menyertai politik PAS seperti Bob Lokman, Iwan, Aishah dan lain-lain.

Tak kiralah apa pun sebabnya. Kalau mengikut ceritanya pada petang itu, kesedaran Mat Sabu tentang perkara ini sebenarnya sudah lama. Sejak dia pergi mencari ahli-ahli kumpulan Orkes Al-Suraya yang terkenal dengan lagu ‘Selimut Putih’ di Indonesia, dan sejak dia ke rumah penyanyi 60-an S. Jibeng di Johor.  Sejak itu lagi dia sudah memahami betapa kurangnya sikap menghargai seni-budaya di kalangan masyarakat kita.

Mengapakah pada petang itu Mat Sabu tiba-tiba memilih untuk bercakap mengenai perkara ini? Tentulah ada sebabnya. Tentulah tidak saja-saja bercakap kerana perlu bercakap sesuatu bagi mengisi acara sahaja. Dan apabila dia telah bercakap begitu tentulah ia tidak habis di situ sahaja. Tentulah ada susulannya, atau perkembangan selanjutnya.

Itulah yang diharapkan oleh golongan seniman dan budayawan. Pemahaman dan pengertian dari sahabat-sahabat pimpinan politik terhadap keperluan seni-budaya. Barangkali Mat Sabu sendiri pun tidak terfikir betapa percakapan kecilnya di Kuala Kubu Baru pada petang itu sebenarnya membawa makna dan mesej yang besar kepada perkembangan seni-budaya, dan seterusnya kesannya ke atas perkembangan kehidupan kita di masa depan.

Sesungguhnya itu adalah satu permulaan baru. Mohamad Sabu selaku Timbalan Presiden PAS sudahpun memulakannya. Dan ditegaskannya juga dalam ucapannya pada petang itu, bahawa masalah hakcipta dan penghargaan kepada karya seni dan budaya ini bukanlah masalah undang-undang, tetapi adalah masalah sikap. Yakni sikap kita dan kawan-kawan kita sendiri, bukannya orang lain.

Maka bagaimanakah kita hendak mengubah sikap kita dan kawan-kawan kita ini? Inilah masalahnya. Marilah kita sama-sama memikirkan.

Categories: Share

Leave a Reply