Background

Lebuhraya Rakyat bukti sebuah keyakinan


Dinsman (Artikel 319, 4/6)
Lebuhraya Rakyat bukti sebuah keyakinan

Kita macam tak percaya. Ada kerajaan negeri hendak bina lebuhraya empat lorong sejauh 73 kilometer, dengan duit sumbangan rakyat dan pelbagai pihak, termasuk dana kerajaan negeri, iaitu negeri yang terkenal sebagai “negeri termiskin” itu, dengan kos RM1.8 bilion, dan tidak ada tol. Kita macam tak percaya!

Sebab apa kita macam tak percaya? Pertama, sebab kerajaan negeri Kelantan, seperti yang kita tahu, bukanlah seperti kerajaan negeri Selangor atau Pulau Pinang yang ada banyak duit, yang pendapatan tahunannya lebih RM1 bilion. Pendapatan kerajaan negeri Kelantan setahun tak sampai pun RM500 juta. Macamana nak buat pembinaan yang memerlukan belanja sebanyak RM1.8 bilion itu?

Oh, dengan menggunakan wang sumbangan daripada rakyat. Maka pada 28 Mei lalu berlangsunglah majlis pecah tanah bagi pembinaan fasa pertama, di Machang, yang seperti kebiasaan, dimulakan dengan solat hajat beramai-ramai diimamkan oleh Menteri Besar, Tok Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Dan sempena dengan itu dimulakanlah juga upacara menerima sumbangan daripada rakyat, syarikat korporat dan anak syarikat kerajaan negeri. Kutipan awal itu berjaya mengutip hampir RM1.5 juta.

Namun walau apa pun, ‘macam tak percaya’ bukanlah bermakna tak percaya. Kepercayaan kita kepada Tok Guru Nik Aziz, dengan bukti keunggulan kepemimpinannya selama 22 tahun itu, sedikit pun tidak meninggalkan ruang untuk kita mempersoalkan kredibiliti kepemimpinannya. Hanya kita terperanjat sahaja dengan pengumuman tersebut. Terperanjat kerana kita tidak menjangkanya.

Terperanjat dengan idea membina prasarana awam itu menggunakan sumbangan dana daripada rakyat jelata. Memang memeranjatkan. Sesuatu yang tidak terfikirkan. Kerana jumlahnya yang besar itu. RM1.8 bilion. Bukannya kecil. Kutipan pertama pun hanya berjaya mengumpul sebanyak RM1.5 juta sahaja.

Tidak dinafikan lebuhraya daripada Kuala Krai ke Kota Bharu itu memang sangat-sangat diperlukan. Sesiapa yang sering ke Kota Bharu memang tahu sangatlah keperluan ini. Ia memang satu keperluan rakyat. Dan rakyat pun sudah lama tahu akan diskriminasi yang dilakukan oleh kerajaan pusat (Umno-BN) terhadap kerajaan Kelantan. Maka rakyat, termasuk kita yang sering terpaksa menggunakan jalan KK-KB yang sentiasa sesak itupun terpaksalah bersabar dengan perjalanan yang mengambil masa panjang tidak sepatutnya itu. Tak ada pilihan.

Rakyat yang faham kerenah jahat kerajaan Umno-BN itu tidak akan marah kepada kerajaan negeri pimpinan Tok Guru Nik Aziz kerana tidak menyediakan sebuah lebuhraya yang selesa antara KK-KB itu. Kalau rakyat marah, tentulah TG Nik Aziz telah lama terpaksa meninggalkan pejabatnya di Kota Darulnaim.

Rakyat juga sudah faham betapa negeri Kelantan selama ini telah “dimiskinkan” oleh Umno-BN dengan menafikan bayaran royalti minyak yang sepatutnya diterima oleh Kelantan, sama seperti Terengganu menerimanya (kecuali sewaktu diperintah oleh PAS).

Dan rakyat yang tidak termakan oleh dakyah bodoh pimpinan Umno negeri, tahu bahawa kerajaan pimpinan TG Nik Aziz bukan sahaja pandai urusan agama, tetapi juga pandai mentadbir ekonomi negeri. Buktinya mereka dapat melihatnya di sekeliling mereka, dengan mata mereka sendiri. Hanya orang yang tak pernah ke Kelantan sahaja yang percaya bahawa Kelantan negeri miskin.

Namun, ada satu keunikan Kelantan yang agak sukar difahami, iaitu Kelantan kerajaannya miskin tetapi rakyatnya kaya. Betul! Demikianlah hebatnya pentadbiran di bawah pimpinan TG Nik Aziz yang terkenal dengan sifat-sifat kezuhudannya itu. Terbukti bahawa mereka begitu mengutamakan kesejahteraan hidup rakyat.

Maka apabila terbaca berita Lebuhraya Rakyat sejauh 73 kilometer KK-KB dengan kos RM1.8 bilion tanpa tol, menggunakan dana sumbangan rakyat – saya memang teruja. Satu lagi bukti keunggulan kepemimpinan TG Nik Aziz.

Dan saya juga melihat bahawa ini adalah menunjukkan betapa pimpinan PAS Kelantan begitu percaya kepada rakyat. Bayangkanlah, di saat-saat seperti ini, di ambang pilihanraya umum ke-13, sebuah kerajaan mengumumkan suatu projek pembinaan prasarana sepenting lebuhraya KK-KB itu, dengan mengharapkan rakyat memberi sumbangan kewangan bagi menjayakannya, bernilai RM1.8 bilion.

28 Mei lalu mereka pun memulakannya, dengan upacara pecah tanah fasa pertama, sejauh 43 kilometer daripada Machang ke Kuala Krai, dengan kos awal sebanyak RM500 juta.

Manakah ada sebuah kerajaan yang seberani ini meletakkan kepercayaan kepada rakyat?

Di waktu kerajaan Umno-BN pimpinan Najib begitu ghairah menabur wang di sana sini kepada rakyat, tiba-tiba kerajaan PAS Kelantan pimpinan TG Nik Aziz melakukan yang sebaliknya - meminta rakyat pula memberi sumbangan kewangan kepada kerajaan, untuk menjayakan suatu projek yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan.

Kalaulah rakyat tidak setuju dengan idea ini, kalaulah rakyat tidak suka dengan cara kerajaan meminta mereka mengeluarkan wang mereka untuk membiayai projek lebuhraya itu – mudah saja. Mereka akan mengundi untuk menolak “kerajaan yang miskin” ini, dan memilih kerajaan yang kaya tetapi penuh korupsi itu.

Apakah pimpinan TG Nik Aziz dan Husam Musa tidak melihat kemungkinan itu? Saya percaya mereka pun sedar wujudnya kemungkinan itu. Tetapi keyakinan mereka kepada rakyat adalah jauh lebih kuat daripada itu. Dan hal ini juga membuktikan wujudnya kejujuran dalam kepemimpinan mereka.

Manakah ada sebuah kerajaan yang seberani ini meletakkan kepercayaan kepada rakyat?

Categories: Share

Leave a Reply