Background

Faktor yang memposisikan intelektual

 Dinsman (Artikel 274, 16/12)
Faktor yang memposisikan intelektual

Baru-baru ini saya mendengar hujah yang mengatakan orang-orang politik selalu mementingkan kumpulan sendiri. Kebenaran bagi orang politik adalah kebenaran yang dianuti oleh kumpulannya. Oleh kerana itu golongan seniman dan intelektual hendaklah berkecuali daripada politik, khasnya politik parti. Jangan menyebelahi parti A dan jangan menyebelahi parti B.

Itu sebenarnya bukanlah hujah baru. Itu hujah lama yang selalu diulang-ulang oleh golongan penulis, seniman dan intelektual tertentu. Saya kebetulan baru-baru ini terdengar lagi hujah itu didendangkan.

“Seniman dan intelektual adalah manusia yang berfikir,” kata mereka, “dan oleh kerana itu kita harus mempunyai pendirian sendiri. Kita tahu membezakan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang baik dan mana yang tidak baik. Kita jangan terikut-ikut dan mengekori orang politik yang berjuang untuk kepentingan partinya.”

Secara umumnya saya boleh bersetuju dengan pandangan tersebut. Cuma yang saya kurang bersetujunya ialah kenapa kita masih meletakkan politik itu sebagai sesuatu yang begitu penting sekali. Kenapa kita mesti posisikan diri kita supaya jangan menyebelahi parti A dan jangan menyebelahi parti B? Kenapa parti politik dijadikan faktor penentu posisi diri kita, sedangkan kita menolak pertimbangan parti politik dalam menentukan kebenaran?

Apa sebenarnya yang paling penting dalam menentukan pendirian seorang seniman dan intelektual? Dalam anda berkecuali tidak memihak kepada parti A dan tidak memihak kepada parti B itu, di manakah sebenarnya anda berdiri? Di atas landasan apa?

Katanya “kita jangan terikut-ikut dan mengekori orang politik yang berjuang untuk kepentingan partinya.” Ya memang, orang politik memang berjuang untuk partinya. Kita tidak perlu terikut-ikut dan mengekori mereka. Tetapi apakah begitu sahaja rasional kita? Tidak mengikut parti politik dan tidak menyebelahi parti politik, walau apa pun yang mereka perjuangkan?

Nampaknya sangatlah dangkalnya rasional itu, ‘kan? Tetapi anda jangan terkejut, kerana memang itulah hakikatnya yang ada. Ketika mereka berkata “kita jangan terikut-ikut dan mengekori orang politik yang berjuang untuk kepentingan partinya” itu, mereka sebenarnya sedang mengekori dan meniru kata-kata seorang daripada mereka, yang mungkin pemimpin mereka atau orang yang lebih senior daripada mereka, tanpa mereka sendiri memahami rasionalnya pun.

Tidak ada bezanya pun mereka dengan orang-orang politik yang mereka cemuh kerana berpegang kepada kebenaran yang berpihak kepada parti sendiri itu. Mereka pun sebenarnya sama saja – berpegang kepada kebenaran yang berpihak kepada kumpulan sendiri. Tanpa masing-masing memahami rasionalnya pun.

Dan lebih malangnya, dalam pada mereka berasa bangga bahawa mereka tidak memihak kepada mana-mana parti politik itu, yang mereka anggap sebagai berpendirian bebas dan berkecuali itu, mereka tidak sedar bahawa mereka sama sekali tidak bebas dan berkecuali. Mereka tidak bebas daripada parti politik yang mereka cemuh itu, sebaliknya mereka sangat terikat dengan parti atau parti-parti politik tersebut.

Apakah yang sebenarnya menentukan pendirian mereka? Parti-parti politik itulah!

Kalau mereka sebenarnya bebas dan berkecuali daripada parti politik, mereka seharusnya tidak membenarkan parti politik yang memposisikan mereka. Sepatutnya bukan faktor parti politik yang memposisikan mereka. Sepatutnya mesti ada faktor lain yang memposisikan pendirian mereka.

Mereka berhujah bahawa “seniman dan intelektual adalah manusia yang berfikir… tahu membezakan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang baik dan mana yang tidak baik.”

Saya sangat bersetuju dengan hujah tersebut. Kalau seniman/intelektual “tahu membezakan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang baik dan mana yang tidak baik,” kenapa tidak “tahu” itu, yakni “berilmu” itu (tahu = berilmu) yang dijadikan faktor yang memposisikan pendirian seniman dan intelektual? Bukan faktor parti politik.

Pedulikan soal politik dan parti politik. Mereka berpolitik, ya biarkan mereka berpolitik. Kita tidak berpolitik, sebaliknya kita dengan aktiviti kita sebagai seniman, budayawan dan intelektual. Kita semua sama-sama berada dalam ruang kehidupan (sosio-politik-ekonomi) yang sama, dan kita semua sama-sama mempunyai hak untuk menentukan corak dan warna kehidupan masyarakat kita. Bukan orang politik sahaja yang mempunyai hak itu.

Maka soalan yang saya tanyakan di atas tadi biar saya ulangi lagi, untuk mendapat jawapannya. “Apa sebenarnya yang paling penting dalam menentukan pendirian seorang seniman dan intelektual? Dalam anda berkecuali tidak memihak kepada parti A dan tidak memihak kepada parti B itu, di manakah sebenarnya anda berdiri? Di atas landasan apa?”

Jawapannya ialah: Kebenaran, (kerana seniman dan intelektual itu manusia yang berfikir dan tahu membezakan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang baik dan mana yang tidak baik). Dan kebenaran itu tidak mengenal (tidak mempedulikan) parti politik atau kepentingan politik.

Maka kalau kebetulan parti A berjuang di atas landasan Kebenaran, atau memperjuangkan Kebenaran, tidak ada sebabnya untuk seniman/intelektual memilih sikap berkecuali daripada memihak parti A. Kerana kita bukan memihak parti A sebenarnya, tapi kita memihak kepada Kebenaran. 

Dan seniman/inteleketual adalah manusia yang seharusnya dapat mengenali Kebenaran, dan dapat membezakan antara yang benar dengan yang batil. Itulah yang sepatutnya menjadi pendirian seniman dan intelektual. Itulah sebenarnya pendirian yang bebas dan berkecuali.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

1 ulasan:

  1. saya sgt bersetuju atas tulisan ini...saya rasa pendirian atas kebenaran inilah yg dipegang oleh Prof Aziz Bari~kebenaran adalah yg utama.

    BalasPadam