Background

Layakkah Kulim jadi Bandar Sastera?

Dinsman (Artikel 271, 5/12)
Layakkah Kulim jadi Bandar Sastera?
(Tuan Haji Zohdi Haji Saad - YDP Majlis Perbandaran Kulim) 

Saedon Shaari, mantan Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi), ketika memulakan majlis Wacana Azizi pada 27 November lalu, di Kulim, telah menyatakan rasa gembira dan terujanya dengan majlis tersebut. Baginya itulah pertama kalinya sebuah Majlis Perbandaran di Malaysia menganjurkan wacana sastera; dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kulim, Hj Zohdi Hj Saad adalah orang pertama di kalangan YDP majlis perbandaran dan daerah yang berbuat demikian.

Benar atau tidaknya dakwaan Saedon itu tidaklah penting. Yang penting adalah pernyataan rasa gembira dan terujanya itu. Apabila sebuah majlis perbandaran ketika menyambut ulang tahunnya yang kesepuluh memasukkan acara sastera dan puisi sebagai dua daripada acara sambutannya.

Rasanya tidaklah keterlaluan Saedon menyatakan rasa gembira dan terujanya itu. Saya pun sama. Turut berasa gembira dan teruja. Kenapa tidak? Sewaktu dihubungi untuk hadir menjayakan majlis baca puisi yang dinamakan Semarak Genta Puisi itu, saya mengemukakan satu cadangan kepada YDP Hj Zohdi.

Memandangkan novelis tersohor Azizi Hj Abdullah yang baru saja meninggal dunia itu adalah orang Kulim, tinggal di Kulim dan jenazahnya pun disemadikan di Kulim, alangkah elok kalau Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) menganjurkan juga satu majlis istimewa untuk Azizi, dalam perayaan menyambut ulangtahun kesepuluhnya itu.

Tanpa menimbulkan sebarang persoalan, Zohdi bersetuju memasukkan wacana Azizi itu ke dalam senarai acara sambutan. Begitu mudahnya! Dan pada malam 27 November itu barulah saya faham kenapa. Rupa-rupanya YDP Majlis Perbandaran ini adalah seorang peminat seni yang cukup berbakat. Bukan sahaja bacaan puisinya bagus, tetapi persembahannya pun jadi menarik sekali apabila diadun dengan lagu berzanji yang dialunkan dengan suaranya yang memang seperti seorang tokoh berzanji. Syabas!

Persembahan Semarak Genta Puisi yang dibuat di Taman Tasik Putra, Kulim itu pun, bagi saya adalah sebuah persembahan yang patut dipuji. Jarang-jarang saya dapat menyaksikan persembahan yang seperti itu isinya (yakni bacaan puisi, muzik dan lagu) boleh mencapai tahap yang sedemikian memuaskan. Hingga saya ingin mengetahui siapakah pengarah persembahannya!

Paling menarik ialah kehadiran watak Wak dan Awang dari teater Mek Mulong yang mengambil peranan pengacara. Nampak mereka bersahaja dan spontan lawaknya, menggunakan dialek Kedah pelat Siam. Mereka berdualah sebenarnya yang memberi kesegaran kepada keseluruhan persembahan malam itu.

Tidak mudah sebenarnya untuk menampilkan lawak yang sederhana begitu, dan sekaligus bermaklumat. Selalunya pelawak begitu akan terdorong untuk melebih-lebih. Tetapi mereka ini tidak. Dan yang paling menarik pada saya ialah cara penampilan mereka yang mengambil hampir seluruh ruang yang ada – di atas pentas, di bawah pentas, di kalangan penonton, merata-rata mereka pergi, tetapi terkawal dan tidak hilang fokus. Saya teringin hendak menonton lagi persembahan mereka.

Semua yang mengambil bahagian malam itu seolah-olahnya telah dipilih dan menjalani rehearsal. Maksud saya, tidak ada yang kelihatan seperti tidak bersedia atau tidak layak. Dan susunannya pun kemas, tidak ada kejadian yang penonton tertunggu-tunggu persembahan seterusnya, atau penonton berasa bosan. Pendek kata – profesional!

(Walaupun ada sedikit gangguan teknikal, tetapi dapat diatasi oleh lawak bersahaja watak dari Mek Mulong itu).

Saya tidak menyebut perinciannya siapa-siapakah yang membuat persembahan pada malam itu, (SN A Samad Said membacakan puisinya ‘Dari Dinding Dewan’, sudah beberapa kali saya dengar, dan semakin memukau. Juga Puzi Hadi dengan sajak Kulim), kerana saya ingin menegaskan akan pentingnya faktor pengarahan dan susunan sebuah persembahan.

Hanya satu perkara saya agak terkilan sikit. Ada beberapa peserta yang memberi salam dengan “Salam satu Malaysia”. Aduh, itu saya tak faham. Sungguh, saya tak faham. (Contoh perkara kecil yang boleh mencacatkan). Tak mengapalah.

Dalam suasana begitulah – paginya, saya telah mengemukakan beberapa cadangan dalam konteks pengiktirafan terhadap Azizi, sebagai seorang yang telah meninggalkan karya dan jasa begitu besar terhadap bangsa dan negaranya. Barangkali inilah kali pertama Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menyuarakan pandangan untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan negeri Kedah membangunkan seni-budaya.

Benarlah seperti kata Saedon, kita memerlukan orang yang memahami, barulah sesuatu aktiviti seni-budaya itu dapat dilaksanakan. Saya pun tak akan membentangkan cadangan-cadangan ke arah menjadikan Kulim sebagai “Bandar Sasterawan Azizi Hj Abdullah” itu kalau sekiranya saya tidak yakin di sana ada orang yang berminat dan berbakat untuk sama-sama “berjuang”.

Memang yang kita harapkan ialah Kerajaan Negeri Kedah, untuk melaksanakannya. Tetapi kita juga mengharapkan kawan-kawan seniman dan budayawan memberi sokongan dan sama-sama pakat berusaha ke arah merealisasikan ‘impian’ yang sangat bermakna ini.

Anuar Asmady dari Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) sudah pun menyatakan sokongannya. Malah pada malam Semarak Genta Puisi pun beberapa orang ahli 2PNP turut menjayakannya. Hanya dari Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) kita belum tahu pendirian dan sikap mereka, apakah mereka menyokongnya ataupun tidak.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply