Background

“360,000 hektar mahu dijual perompak”

Hari Jumaat 23 Disember ini, para seniman dan budayawan yang cinta kebenaran dan keadilan dan benci kemungkaran dan kemunafikan, dari seluruh Malaysia, akan berhimpun di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor, kerana mendapat berita bahawa tanah Felda seluas 360,000 hektar milik para peneroka Felda di seluruh Malaysia akan diperniagakan ke pasaran saham terbuka, dan akan mengakibatkan tanah milik Melayu yang seluas seluas-luasnya itu (bayangkan 360,000 hektar itu seluas mana!) akan kehilangan milik Melayunya.

Para seniman dan budayawan yang prihatin ini bukannya berhimpun untuk merusuh atau berdemonstrasi. Tidak! Mereka sekadar berhimpun saja, kerana hairannya, takjubnya, peliknya apa sudah terjadi pada pimpinan Melayu di bumi ini. Mereka berhimpun di bumi Felda itu sendiri, dan berjumpa dengan orang-orang Felda sendiri, untuk mengetahui cerita yang sebenar, yang soheh. Supaya tidaklah mereka akan berkarya seperti para penyaer yang disebut Tuhan dalam al-Quran surah as-Syu’araa’ ayat 224-226 itu:

Para penyaer yang diikuti orang-orang sesat itu. Tidakkah engkau melihat mereka berkelana di lembah-lembah? Mereka mengucapkan apa-apa yang tidak mereka kerjakan”

Bercakap lain berbuat lain. Itulah maksudnya ayat 226 itu. Pandai bermadah, pandai menulis, tetapi praktik atau realitinya lain. Kita tidak mahu menjadi seniman dan budayawan yang seperti itu. Sebaliknya kita ingin menjadi seperti yang disebut al-Quran dalam ayat selanjutnya:

“Kecuali mereka yang beriman dan berbuat kebaikan dan mengingati Allah selalu, dan mendapat kemenangan setelah dizalimi….”

Kita ingin menjadi seniman yang beriman, berbuat kebaikan (beramal soleh) dan sentiasa mengingati Allah. Kita ingin “mendapat kemenangan setelah dizalimi”. Tentunya kita tidak akan menulis saja-saja, suka-suka dan untuk menggembirakan pihak yang berkuasa walaupun mereka itu zalim, jahat dan munafik.

Dan kita pun tidaklah mahu menuduh sembarangan terhadap para pimpinan Melayu kita itu. Tetapi seperti yang Sasterawan Negara kita A Samad Said selalu menyebutnya berulang kali bahawa yang memerintah negara ini sejak Merdeka 1957 dulu hingga sekarang lebih 50 tahun itu bukannya siapa-siapa melainkan pemimpin-pemimpin Melayu dari parti Umno itulah juga. Dan lihatlah apa sudah terjadi! Milik Melayu satu demi satu terjual kepada orang lain. Siapa yang menjualnya? Bukankah mereka? Dan mereka masih lagi melaung-laung di sana-sini bahawa hak orang Melayu sekarang semakin terancam disebabkan oleh adanya pihak lain yang hendak mengambil-alih pimpinan dan pentadbiran negara ini.

Apakah kita tidak faham lagi hakikat dan realiti yang sedang berlaku itu? Siapa sebenar pejuang dan siapa sebenar perompak dan pengkhianat? Dan sekarang tanah milik Melayu seluas seluas-seluasnya 360,000 hektar itu sedang diproses ditransformasikan jadi saham-saham untuk diapungkan di pasaran saham Bursa Malaysia itu supaya boleh dibeli oleh sesiapa sahaja dan siapakah sesiapa sahaja yang akan membeli saham-saham itu setelah sekian banyak bilion saham milik Melayu asalnya kini sudah kehilangan Melayunya itu?

Kita berterima kasih kepada Mazlan Aliman Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) kerana berusaha meneyedarkan kita terhadap transformasi yang sedang berlaku di sebalik riuh-rendah gegak-gempita laungan hendak memajukan orang Melayu itu tetapi yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.

Dan para seniman dan budayawan pun sebenarnya bila disebut Felda itu minat mereka rupa-rupanya sudah lama ingin sangat hendak mengalami dan berada sendiri di wilayah yang mempunyai ciri-ciri keindahan alamnya yang tersendiri itu.

Mengikut Kassim Mohamad dan Naharuddin Ab Rashid yang menyelaraskan perhimpunan seniman bersama peneroka Felda ini, ramai sudah seniman dan budayawan yang bertanyakan soal penginapan kalau mereka hendak bermalam di sana semalam dua, untuk mengalami suasana alam dan kehidupan yang tersendiri itu.

Dan apabila hal ini ditimbulkan dalam satu mesyuarat penyelarasan, wakil peneroka Felda Sg Tengi dalam mesyuarat itu sangat teruja dengan hasrat para seniman-budayawan itu dan dia menyatakan kesediaannya untuk mendapatkan beberapa buah rumah peneroka yang boleh menyediakaan ruang untuk kehadiran para tetamu.

“Banyak rumah peneroka yang besar-besar dan luas,” katanya. “Tak ada masalah. Kita boleh sediakan.”

Sementara itu beberapa orang penyaer sudah pun menyiapkan puisi-puisi khas mereka yang dicadang akan dibacakan dalam perhimpunan itu nanti. Salah satunya ialah puisi Benz Ali ini:

360,000
Bukan
Bukan 360,000 pengundi hantu, bukan
Bukan 360,000 saman, bukan
Bukan 360,000 tol, bukan
Bukan 360,000 ringgit Malaysia, bukan
Bukan 360,000 bayi luar nikah, bukan
Bukan 360,000 cincin, bukan
Bukan 360,000 permata, bukan
Bukan 360,000 kes rasuah, bukan
Bukan 360,000 ekor lembu, bukan
Bukan 360,000 orang penganggur, bukan
Bukan 360,000 demonstran, bukan
Bukan 360,000 revolusioner, bukan
Bukan 360,000 ekar tanah
Tapi
360,000 hektar tanah yang mahu dijual perompak.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply