Background

Beberapa cadangan bentuk pengiktirafan kepada Azizi

Antara perkara penting yang menjadi dasar dan prinsip penulisan ialah berkata benar, dan penulis seharusnya berani berkata benar, dan seharusnya sentiasa melihat permasalahan rakyat untuk diangkat ke dalam karya. Inilah yang menjadi pegangan dan dasar perjuangan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Ketika menyebutkan nama-nama penulis dan budayawan di Malaysia yang perlu dijadikan contoh, terutama dalam hal berani berkata benar dan mengangkat permasalahan rakyat ke dalam karya, saya dan kawan-kawan dalam Paksi selalu menyebut tiga nama – A.Samad Said, Azizi Hj Abdullah dan Shaharir Mohd Zain. Dan dalam perkembangan mutakhir ada satu lagi nama yang sedang muncul, iaitu Anwar Ridhwan. Nama Shahnon Ahmad dulu pernah berada paling atas dalam senarai, tetapi kemudiannya beliau nampaknya telah mengundur diri.

Itu latarnya. Saya menyebutkan latar itu dalam konteks untuk melihat dengan jelas tempat Azizi Hj Abdullah dalam perspektif seni-budaya khasnya sastera, mengikut yang difahami dan dihayati serta diperjuangkan oleh Paksi. Tempatnya begitu penting. Bukan kerana dia turut hadir berbincang dalam pertemuan seniman-budayawan yang menubuhkan Paksi di Shah Alam pada Jun 2008 itu, tetapi kerana komitmennya yang cukup jelas dalam apa yang disebut dalam latar tadi.

Maka sempena dengan itu saya tidak bercadang untuk mengupas atau mengulas sumbangan Azizi terhadap seni, sastera dan budaya kita, tetapi saya ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan dan seterusnya dilaksanakan.

1. Anugerah Sasterawan Rakyat untuk Azizi

Seperti kita maklum, Azizi tidak diberi pengiktirafan tertinggi oleh Kerajaan Malaysia, yakni Anugerah Sastera Negara, yang mengikut penilaian Paksi dia berhak menerimanya. Azizi paling banyak menulis novel, lebih 30 buah. Cerpen pun banyak. Kita percaya dia tidak diberi pengiktirafan tersebut kerana komitmennya dengan perjuangan rakyat dan kerana keberani-annya dalam berkata benar. Maka Paksi mencadangkan supaya kerajaan Pakatan Rakyat, (buat masa ini kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan) memberikan anugerah “Sasterawan Rakyat” kepada Azizi. Walaupun kita tak sempat memberikan anugerah ini sewaktu dia masih bersama dengan kita, tidak mengapa, kita masih boleh memberikannya sekarang. Bukan sekadar membuat pengumuman “Dengan ini kerajaan negeri mengumumkan Azizi Hj Abdullah sebagai Sasterawan Rakyat” – bukan begitu. Tetapi mestilah ada beberapa perkara yang turut dianugerahkan, misalnya yang paling penting ialah sejumlah wang. Tidak mengapalah – perinciannya itu boleh kita fikirkan nanti apabila kita bersetuju untuk melaksanakannya.

2. Perpustakaan Azizi Hj Abdullah di Kulim

Samada perpustakaan awam yang ada di Kulim sekarang ini dijadikan “Perpustakaan Azizi Hj Abdullah”, ataupun dibangunkan sebuah perpustakaan baru khas untuk Azizi dan dinamakan “Perpustakaan Azizi Hj Abdullah” – itu bolehlah diputuskan kemudian. Yang penting pengisiannya. Diisi dengan karya-karya Azizi, tulisan-tulisan mengenai Azizi, dan lain-lain yang difikirkan sesuai dari masa ke masa. Kalau ada orang hendak membuat kajian mengenai Azizi, tidak ada tempat lain yang paling lengkap menyimpan bahan mengenai Azizi melainkan di perpustakaan ini. Pengkaji daripada Indonesia, Singapura atau Amerika kalau nak buat kajian mengenai Azizi, mereka mesti datang ke Kulim. Ini satu bentuk pengiktirafan dan penghormatan kita kepada sumbangan Azizi. Kenapa perpustakaan? Kerana tidak ada yang lebih hampir kepada sastera dan sasterawan, melainkan perpustakaan. 

3. Kajian mengenai Azizi
Azizi ialah sasterawan yang paling banyak menulis tetapi paling kurang dikaji dan diperkatakan. Kenapa? Saya tak tahu. Mungkin kerana perwatakannya yang selalu lawak, kelakar, suka bergurau dan tidak memperlihatkan keseriusannya itu. Mungkin. Atau mungkin kerana beberapa novelnya yang kurang menarik, menyebabkan orang terpengaruh tidak berminat membaca novel-novelnya yang lain yang antaranya sangat bermutu. Apa pun, kajian terhadap karya-karyanya sangat kurang. Maka dicadangkan supaya perkara ini diberi perhatian dan keutamaan. Dicadangkan supaya dibentuk satu jawatankuasa khas untuk diberikan tugas ini. Samada diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulim atau dimana, itu kita harapkan pada pihak-pihak yang berkenaanlah untuk memutuskan. Yang penting mesti ada dana. Dana untuk menjalankan kajian dan menerbitkan hasil-hasil kajian. Dana untuk menyediakan kemudahan-kemudahan bagi sesiapa yang ingin membuat kajian terhadap karya Azizi.

4. Penerbitan buku-buku Azizi
Ada dua jenis penerbitan. Satu, penerbitan semula karya-karya yang sudah pernah diterbitkan. Dua, penerbitan karya baru. Penerbitan jenis pertama ialah seperti yang dilakukan oleh A Samad Said terhadap sebahagian buku-bukunya, iaitu menerbitkan semula buku-buku terpilih dalam edisi yang diperhatikan kualiti penerbitannya, misalnya berkulit keras, dengan dezain istimewa yang diselaraskan, dan sebagainya. A Samad Said menubuhkan syarikatnya sendiri (Wira Bukit S/B) bagi menerbitkan buku-bukunya. Di sini apakah kita perlu tubuhkan sebuah syarikat? Siapa yang hendak menubuhkan syarikat ini? Soalan-soalan ini perlu dijawab sebab ia melibatkan kewangan agak besar dan ada risiko untung-ruginya. Dari mana sumber kewangannya? Tentulah daripada kerajaan negeri, ‘kan!

Dan apabila diterbitkan buku, soalan terpenting yang menanti ialah: pemasaran. Buku-buku itu mesti dipasarkan. Bagaimana memasarkannya? Siapa yang hendak memasarkannya?  Ini persoalan perniagaan, yang tentunya tidak untuk dibahaskan hari ini. Kita bincangkan itu kemudian. Yang kita bincangkan di sini hari ini ialah persetujuan untuk menubuhkan sebuah badan atau jawatankuasa yang akan dipertanggungjawabkan bagi menguruskan hal pener-bitan ini. Antara tugasnya juga ialah menguruskan soal hakcipta karya-karya berkenaan, yang kebanyakannya sekarang dipegang oleh pihak penerbit-penerbit asal buku-buku tersebut. A Samad Said mempunyai pengalaman pahit-manisnya dalam menangani urusan ini.

Itu buku jenis pertama. Jenis kedua ialah buku-buku yang baru pertama kali hendak diterbitkan. Misalnya buku-buku hasil kajian yanag disebut di atas tadi. Malam 18 November lalu, minggu lepas, sewaktu kita mengadakan majlis mengenang Azizi di Masjid Batu, Permatang Pauh, Sdr Anuar Asmadi rakan karib Azizi telah menceritakan pengalaman penglibatan beliau dalam proses bagaimana Azizi menghasilkan novel. Sangat menarik. Saya cadangkan dia tulis buku mengenai pengalamannya bersama Azizi itu. Barangkali itu boleh dijadikan projek pertama dalam perancangan ini. Kita perhatikan soal pembiayaannya, soal royaltinya, hakciptanya, pemasarannya dan sebagainya.

5. Seminar Mengenai Azizi
Paksi sudah agak lama berfikir dan berbincang mengenai perkara ini. Perlunya diadakan sebuah seminar yang membincangkan Azizi secara menyeluruh. Sebuah seminar yang besar, membincangkan seluruh karya dan sumbangan Azizi termadap masyarakat, bukan sahaja dalam sastera tetapi juga selain sastera – politik, agama, kemasyarakatan. Misalnya Azizi mungkin penulis yang paling banyak menulis mengenai kemiskinan dalam masyarakat di Malaysia. Bukan melalui novel atau cerpen tetapi buku hasil kajian dan pemerhatiannya, seperti Luka Rakyat, Mustadh‘afin, Jiwa Hamba, selain artikel-artikel dalam akhbar Utusan Pengguna.

Seminar ini sekurang-kurang pun dua hari. Sehari tak cukup. Banyak kertaskerja perlu dibuat dan dibentangkan. (Maka banyaklah juga pembiayaannya). Barangkali ini projek pertama di bawah badan Kajian Mengenai Azizi tadi. Maka badan/jawatankuasa itu bolehlah juga menjadi jawatankuasa khas untuk seminar ini. Dan hasilnya nanti kertaskerja-kertaskerja itu boleh diterbitkan buku.

Siapa yang hendak menganjurkan dan membiayai seminar ini? Penganjuran tidak masalah. Paksi pun boleh uruskannya, dengan kerjasama 2PNP (dan Asasi, barangkali). Tetapi pembiayaannya? Alangkah bagusnya kalau Majlis Perbandaran Kulim boleh menganjurkan dan membiayainya, bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah.

Tempatnya? Dalam perbincangan Paksi ada orang mencadangkan ia dibuat di Kuala Lumpur, supaya isu ini dilihat sebagai isu nasional. Tetapi memikirkannya semula saya berpendapat lebih baik dibuat di Kulim. Kebanyakan seminar seperti ini yang dibuat di Kuala Lumpur bukan ramai pun yang hadir. Kalau dibuat di Kulim saya percaya lebih ramai orang akan hadir. Soal diangkat ke taraf nasional itu soal usaha kita. Kalau kita usahakan ke arah itu, akan terangkat juga ia ke taraf nasional. Kalau di Kuala Lumpur pun belum tentu ia akan mendapat perhatian nasional.

Cadangan supaya ia dibuat di Kulim ini ada hubungan dengan cadangan ke-7 di bawah.

6. Buku Azizi jadi bahan hadiah dari kerajaan
Pihak kerajaan negeri, samada Pejabat Menteri Besar atau pejabat Exco atau Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, atau ADUN, selalu memberikan hadiah dan cenderamata (cenderahati) kepada tetamu, rakyat, pemenang itu dan ini, penyampai ceramah dan sebagainya. Hadiah dan cenderamata itu macam-macam. Kita cadangkan, mulai sekarang, jangan tinggal buku karya Azizi Hj Abdullah. Nak bagi yang lain-lain tak mengapa – kainkah, pewterkah, apakah, bagilah, tapi buku Azizi mesti ada juga. Dan kalau nak bagi satu benda saja, bagi buku Azizi saja. Itu cadangan kita. Boleh mula daripada sekarang.

Dalam konteks inilah perlunya buku-buku Azizi itu diterbitkan semula supaya kualitinya dapat diselaraskan, sesuai untuk dijadikan bahan hadiah dari kerajaan negeri.

7. Kulim Bandar Azizi
Setakat bagi anugerah Sasterawan Rakyat saja orang tak nampak. Kena bagi sesuatu yang orang mudah nampak, dan akan nampak. Apa dia? Saya mempunyai imaginasi yang agak aktif dan suka meneroka di luar kebiasaan. Saya membayangkan Kulim ini sebagai bandar Azizi. Orang sebut Temerloh bandar ikan patin, Melaka bandaraya bersejarah, Shah Alam bandar anggerik. Saya bayangkan Kulim ini Bandar Azizi Hj Abdullah. Saya rasa ini sesuatu yang unik, dan boleh menarik perhatian pelancong juga.

Cuba anda bayangkan – Kulim Bandar Azizi Hj Abdullah! Sebuah bandar pelancongan. Apa yang anda nampak? Kedai-kedai dan gerai-gerai yang menjual pelbagai bentuk cenderamata dan cenderahati untuk pelancong. Akan timbul macam-macamlah nanti yang ada kaitan dengan Azizi dan karya-karyanya. Kreativiti akan bercambah dan melahirkan pelbagai bentuk karya, walaupun bersifat komersil. Gambar wajah Azizi di merata-rata, pada T-shirt, pada cawan, pada kipas, macam-macam. Dan ada sebuah kedai yang khas menjual buku-buku karya Azizi. Pelancong datang ke Kulim dan mereka membeli novel Azizi (yang ada terjemahannya dalam berbagai-bagai bahasa) sebagai hadiah dan cenderahati.

Kita ada Perpustakaan Azizi Hj Abdullah di Kulim. Nanti kita akan ada Jalan Azizi Hj Abdullah, Bulatan Azizi Hj Abdullah (kalau ada bulatan/roundabout di sini), sekolah Azizi Hj Abdullah. Apa lagi? Dewan Azizi Hj Abdullah. Tasik pun mungkin Tasik Azizi, dan sebagai-nya. Kulim adalah Bandar Azizi. Dalam konteks ini, paling sesuai seminar tadi diadakan di Kulim. Kita panggil sarjana-sarjana sastera dan kebudayaan dan kesenian umumnya datang berkampung di Kulim. Kulim akan menjadi sebuah bandar yang terkenal bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Tidak banyak bandar di dunia yang dihubungkan secara sinonim dengan seorang pengarang terkenal. Kulim adalah salah satunya. Ini satu tarikan pelancongan. TDC atau Kementerian Pelancongan akan memasuk-kan Kulim ke dalam kalender promosi pelancongan Malaysia. Sesuatu yang unik.

Dan bagi menimbulkan lagi suasana yang sesuai, kita bolehlah menganjurkan aktiviti-aktiviti seni-budaya dari semasa ke semasa, secara berterusan, tidak putus-putus. Paling tidak pun persembahan baca karya-karya Azizi dalam pelbagai bentuk, persembahan teater, persem-bahan puisi dan lagu. Ini setidak-tidaknya dianjurkan sebulan sekali. Pertandingan bercerita di kalangan kanak-kanak sekolah berdasarkan novel atau cerpen Azizi. Macam-macam boleh kita fikirkan. Di samping itu bolehlah juga dianjurkan kursus atau bengkel penulisan dari semasa ke semasa, (kerana Azizi adalah seorang penulis/sasterawan).

Demikianlah, seorang sasterawan mampu melahirkan sebuah bandar pelancongan. Mereka tidak lakukan ini untuk Usman Awang, untuk Ishak Hj Muhammad, tidak mengapa. Kita buat untuk Azizi Hj Abdullah. Harap-harap YDP Majlis Perbandaran Kulim, Sdr Zohdi Hj Saad bersetuju, dan tidak melihatnya sebagai suatu idea yang karut dan membebankan. Wallaahu ak’lam!


(Diucapkan dalam majlis Wacana Azizi, anjuran Majlis Perbandaran Kulim, di Dewan UniKL, Kulim, Kedah, 26 November 2011)

Categories: Share

Leave a Reply