Background

Apabila Paksi bersatu dengan IPM di Melaka

Alhamdulillah, Bengkel Penulisan Kritis (kreatif dan non-kreatif) selama tiga hari di Umbai, Melaka, 16-18 Disember telah berlangsung dengan sangat memuaskan. Othman Md Derus, Bendahari IPM menyanyi-nyanyi saja sejak awal pagi 18 Disember itu. Tentulah tandanya dia sangat gembira. Begitu juga Ketua Satu IPM, Hj Mokhtar Yassin, dalam ucapan penutupnya turut menyanyikan lagu Jepun yang pernah dinyanyikannya di zaman Jepun dulu.

Sebelum itu, selepas sesi ceramah Siti Zainon Ismail pagi akhir itu semua peserta dan pembimbing yang akan menikmati minuman waktu rehat, dikejutkan dengan kehadiran kek harijadi, lalu menyanyikan lagu “Allah Selamatkan Kamu” buat Siti Zainon yang juga terkejut kerana dira‘ikan harijadinya di situ.

Begitulah cerianya suasana, walaupun sesi perbincangan pada hari keduanya seperti menggelegak kepanasan apabila peserta dihidangkan pengisian yang tidak diduga, iaitu mempersoalkan sikap penulis dalam menghadapi masyarakat kita yang serba korup, dibentangkan oleh Kassim Muhammad, dan disambut dengan sanggahan dan hujahan balas oleh peserta dan pembimbing yang lain.

Memang perbincangan menjadi sangat panas pada sesi petang hari kedua itu, walaupun ia bermula dengan beberapa sesi yang santun dan tenteram sebelumnya. Tidak terduga bahawa peserta bengkel anjuran Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Melaka, seramai 17 orang itu begitu terangsang untuk berhujah balas terhadap pandangan-pandangan kritis yang dibentangkan Kassim, yang mewakili pemikiran Seniman Paksi Rakyat (Paksi).

Bengkel Penulisan Kritis tiga hari itu adalah anjuran bersama IPM dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama Paksi. Ia adalah lanjutan daripada Bengkel Penulisan CAP-Paksi yang diadakan di Titi Hayun, Kedah, selama enam hari, 13-18 Mei 2011.

Sejak sesi awal pada pagi kedua lagi barangkali, peserta sudah dikejutkan dengan suatu pembentangan yang tak diduga. Saya sendiri pun tidak menduganya. Tidak pernah rasanya suatu bengkel penulisan diisi dengan pembentangan suatu wacana mengenai sejarah dan kajian keilmuan Melayu, yang dibentangkan oleh seorang sarjana Matematik.

Saya sangat teruja dengan wacana yang disampaikan oleh Dr Mohd Alinor (UKM) itu. Tetapi tak pastilah samada para peserta lain juga turut teruja. Dan mengikut Razali Endun, pengarah bengkel tersebut, wacana Dr Alinor itu hanyalah secara kebetulan diisi, disebabkan oleh ketidak-hadiran seorang pembimbing. Kebetulan Dr Alinor hadir (bersama Paksi), maka kehadirannya pun dimanfaatkan untuk maksud tersebut.

Wacana yang diluar perancangan (dan di luar kebiasaan, tetapi bagus) itu rasanya dengan tak sengaja telah mula memecahkan dinding minda kebiasaan para peserta, dan membuka minda mereka itu bagi bersedia untuk suatu wacana intelektual yang biasanya dianggap sangat sensitif atau sangat ditakuti untuk disentuh oleh kebanyakan penulis dan budayawan kita.

Tentulah saya juga teruja dengan respon Hanita Hassan, penulis wanita Melaka yang prolifik dan telah menghasilkan beberapa novel itu (antara yang terbaru ialah Wajah Rahsia). Respon-nyalah yang mencetuskan perdebatan hangat mengenai sikap penulis dan masalah kebenaran itu. Apakah penulis terikut-ikut sikap pembangkang yang melihat usaha kerajaan dari sudut yang negatif, ataupun penulis bersikap demikian setelah mengkaji dan mempastikan kebenaran fakta-fakta penyelewengan di pihak kerajaan itu. 

Seingat saya ini adalah pertembungan kedua antara penulis-penulis Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan penulis-penulis dari persatuan penulis yang lain, berhubung dengan soal peranan penulis dalam memperjuangkan kebenaran. Pertembungan yang pertama berlaku lebih setahun yang lalu di Kota Bharu, apabila Paksi berhadapan dengan penulis-penulis dari Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi).

Pertembungan di Melaka ini nampaknya berlaku dalam suasana yang lebih terbuka dan lebih ingin memahami. Antara faktornya ialah kerana sifat dan bentuk pertembungan itu sendiri. Yang pertama berlaku dalam suatu forum bicara buku, dimana peserta hanya bertemu untuk satu tempoh pendek berforum itu sahaja; manakala yang kedua berlaku dalam suatu bengkel, dimana peserta telah saling kenal-mengenal dan pertukaran fikiran pun berlaku dalam satu proses yang berterusan dan berpanjangan selama tiga hari.

Selain itu hubungan antara Paksi dengan IPM pun bukanlah baru. Razali Endun, pengarah bengkel penulisan ini, adalah Ketua Dua IPM dan beliau juga adalah seorang daripada pengasas Paksi dan terus menduduki AJK Paksi sejak mula (Jun 2008) hingga ke hari ini.

Dan selain daripada wujudnya faktor penghubung yang berterusan itu, IPM juga pernah menganjurkan pementasan teater “Menunggu Kata Dari Tuhan”, produksi Paksi, di Ramuan Cina Besar, Melaka, Julai 2009.

Di samping itu, selama tiga hari berdampingan dengan Hj Mokhtar Yassin, yang sentiasa hadir di kpA agroBazzar & Café, tempat bengkel diadakan, saya dapati antara kami tidak banyak perbezaan pun.

Alhamdulillah, pada umumnya saya menganggap bengkel penulisan tiga hari ini adalah suatu lagi pencapaian buat Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Terima kasih kepada Razali Endun kerana inisiatifnya, dan kepada Cikgu Azmi Hamid kerana meyakinkan CAP untuk terus bersama Paksi, dan kepada Cikgu Husin (Setiausaha IPM) yang banyak membantu bagi menjayakan program ini.

Berbengkel penulisan sekadar menceramahkan soal teknik menulis cerpen, novel, puisi dan esei sahaja tidaklah begitu sukar dan mencabar. Tetapi berbengkel penulisan yang turut membahaskan soal sikap dan peranan penulis terhadap kebenaran dan keadilan dalam masyarakatnya, adalah sesuatu yang sangat mencabar.

Tetapi alhamdulillah, dengan bantuan Hj Mokhtar Yassin dan kawan-kawan IPM, kita telah berjaya melakukannya. Kepada Othman Md Derus yang berpesan supaya Paksi tidak lupa menjemputnya ke bengkel yang di Pantai Timur, insya Allah, kita bertemu lagi.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

1 ulasan:

  1. Sangat2 menarik..saya terlepas Harakah hari tu..nasib baik dpt baca kat sini.

    BalasPadam