Background

Dinsman (Artikel 350, 19/10)
Kulit Buku Edisi 50 Tahun Novel Salina
Jualan awal Salina edisi 50 tahun

Saya diberitahu melalui SMS, begini: “Pak Samad mengundang teman-teman dari Paksi hadir ke majlis jualan awal Salina edisi terhad pada hari Ahad 14 Okt, jam 5-7 petang, di restoran Mydin, Bangsar. Makan dan minum atas perbelanjaan sendiri.”

Restoran Mydin? Atau pasaraya Mydin? Setahu saya di Bangsar tak ada pasaraya Mydin. Agaknya ada Restoran Mydin yang baru dibuka di Bangsar. Saya membayangkan sebuah restoran mamak yang baru dibuka, yang barangkali agak canggih atau mewah daripada restoran mamak yang biasa. Sesuailah dengan acara ‘pelancaran buku’.

Akhir-akhir ini ada beberapa acara pelancaran buku yang agak istimewa, dibuat di tempat istimewa, di hotel, convention center, lake club dan sebagainya. Tokoh yang merasmikannya pun tokoh pimpinan yang utama. Manakala yang ini pula buku karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, bukunya yang paling popular dan yang mempopularkan nama A Samad Said kira-kira 50 tahun yang lalu itu, Salina, tentulah majlisnya pun tak kurang hebatnya.

Apatah lagi belum sebulan A Samad Said dianugerahi Sasterawan Tamu Negeri Selangor oleh Kerajaan Negeri Selangor, yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Tetapi waktu hendak ke majlis itu, apabila ditanya di manakah Restoran Mydin di Bangsar itu, rupa-rupanya ia sebuah restoran mamak biasa, yang terletak tidak jauh dari kediaman A Samad Said. Dan apabila sampai di situ saya dapati tak ada sesiapa pun orang-orang yang biasanya dijemput membuat perasmian acara budaya yang seperti itu. Yang ada hanya kawan-kawan biasa – Kassim, Hasni, Uthaya, Helmy dan beberapa orang anak muda peminat sastera, di samping A Samad Said dan isteri.

Okeylah. Memang sangat okey. Seperti biasalah. Seperti selalu – berjumpa dengan Samad Said di restoran di KL Sentral atau di Railway Station. Tak ada yang istimewa. Tetapi itulah istimewanya.

Dan saya pun menunggu untuk acara dimulakan. Tidak nampak pun mikrofon di mana-mana untuk acara berucap. Tak mengapalah, mungkin dibuat secara kecil dan sederhana, tanpa mikrofon. Dan seketika kemudian, tiba-tiba Helmy membawa empat atau lima naskah Salina berkulit keras edisi terhad itu ke meja Samad Said. Dan kemudian beberapa orang bangun berkerumun ke meja itu untuk mengambil gambar.

Sebentar  kemudian Samad Said berpusing ke meja saya (di belakangnya) menunjukkan buku Salina yang telah ditandatangan dengan sedikit catatan dan nama saya, sambil berkata: “Dakwatnya belum kering lagi.” Saya pun menyambut buku istimewa itu, yang terbuka kerana dakwatnya masih basah, tercatat tulisan tangannya di bahagian atas: “Siri 060”.

Dan seterusnya dia menandatangani pula untuk Kassim, untuk Hasni dan kemudian untuk yang lain-lain, sehinggalah tiba Pyanhabib, Nikbinjidan, dan kemudian Siti Zainon Ismail dan ramailah lagi. Jadi meriahlah juga. Dan rupa-rupanya memang begitu sahaja. Tak ada ucapan. Tak ada perasmian.

Alhamdulillah! Cantik dan sangat istimewa. Sebuah peristiwa seni-budaya yang sepenting itu dilangsungkan di tempat yang sesederhana itu. Di sebuah kedai mamak biasa, yang dipilih bukan kerana apa-apa, hanya kerana kebetulan ia paling hampir dengan kediamannya.

Sungguh tulen. Sungguh marhaen. Seorang Sasterawan Negara yang juga Sasterawan Rakyat ini menyambut genap 50 tahun karya ulungnya, (Salina diterbitkan pertama kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1961), dengan menerbitkan sendiri edisi khas terhad sebanyak 500 naskah (oleh syarikatnya bersama anaknya Helmy – Wira Bukit Sdn Bhd), disamping edisi biasa yang akan diedarkan oleh Kedai Buku Populer.

Ia bukan majlis pelancaran atau perasmian sebenarnya. Ia hanya majlis ‘jualan awal edisi terhad’. Namun apa pun, ia sebenarnya adalah suatu saat yang sangat bersejarah dan bermakna. Ia sambutan 50 tahun penerbitan sebuah karya sastera yang penting, yang disambut oleh pengarangnya sendiri. “Takkan begini saja?” Saya berbisik kepada Kassim dan Hasni.

Betul, sambutan di kedai mamak itu memang sangat istimewa. Tetapi apakah khalayak sastera di Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk novel sepenting Salina itu, ketika pengarangnya sendiri menyambut 50 tahun pengkaryaannya? Dan Paksi juga, sebagai sebuah badan seni-budaya yang menghargai kesenimanan A Samad Said dan sumbangannya kepada seni-budaya kita selama ini, takkan cukup sekadar begitu sahaja, tanpa apa-apa aktiviti khas bagi menghargai detik bersejarah itu?

Ya, insya Allah kita akan usahakan sesuatu. Sementara itu marilah kita melawat semula ke Kampung Kambing di Singapura pada tahun 50-an abad lalu itu. Nikmatilah sekali lagi ayat pertama novel yang monumental dan kontroversil tersendiri ini. Ayat pertama yang telah  terpahat dalam kebanyakan minda peminat sastera Melayu sekian lama:

“Mentari sudah hampir kesembilan puluh darjah tegaknya ketika sebuah lori kecil dan buruk masuk perlahan-lahan, tapi bising, ke jalan kecil berlekak-lekuk itu.”

Tentu gambaran Kampung Kambing itu sudah mula hidup kembali dalam imaginasi kita. Tetapi saya tersangkut pula pada catatan terkini oleh A Samad Said pada permulaan edisi baru ini. Katanya:

“Ramai pembaca – khususnya mereka yang lahir selepas zaman pemerintahan Jepun – tidak tahu tentang dunia ‘Salina’ ini. Dan kesan yang sangat biasa ialah kesan negatif seorang watak yang mewarnakan seluruh kehidupan novel tersebut. ‘Salina’ tampaknya sentiasa diingat orang sebagai wanita terhina, padahal dia adalah wakil daripada penderitaan manusia yang tidak bermaya mengatasi kelemahan atau kekurangan dirinya.”

Saya kira catatan pendek Samad selepas 50 tahun karya itu dibaca, dinilai dan dihukum itu adalah suatu cabaran untuk kita menelaah semula novel itu. Ya, marilah!

Dinsman (Artikel 349, 15/10)
Pengurusan Seni-budaya patut diajar di universiti

Saya didatangi lagi oleh pelajar-pelajar universiti, berbincang mengenai karya teater saya yang akan mereka pentaskan sebagai kerja yang akan dinilai untuk peperiksaan mereka bagi tahun akhir. Satu kumpulan buat Tamu Dari Medan Perang (TDMP), satu kumpulan lagi buat Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).

Tak mengapalah. Itu sudah jadi biasa kepada saya. Sudah agak lama juga. Dan saya pun sudah agak lama juga memikirkan satu perkara ini. Tapi belum pernah saya tulis mengenainya. Kali ini saya akan tulis.

Teater itu diterima sebagai satu bidang ilmu, yang diajar di universiti-universiti. Ada pecahan-pecahannya lagi – penulisan skrip, lakonan, pengarahan, pengurusan, rekabentuk set, rekaan cahaya, rekaan kostium, muzik, tarian, suara, mekap, publisiti, pemasaran, kritikan dan beberapa lagi. Padahal teater itu bukanlah besar sangat. Tapi ia telah diterima sebagai satu bidang ilmu yang agak besar.

Maka saya terfikir apa? Saya terfikir seni-budaya. Jauh lebih besar bidangnya. Teater hanya satu cabang sahaja di dalam seni-budaya. Tetapi apakah seni-budaya telah diterima sebagai satu bidang ilmu dan diajar di universiti? Setahu saya, tidak.

Yang diajar di universiti ialah teater, drama, tarian, muzik, nyanyian dan pengurusan teater. Dan kalau itu sudah diajar di universiti, tidakkah itu bermakna seni-budaya juga sudah diajar di universiti? Kenapa saya katakan seni-budaya tidak diajar di universiti?

Saya katakan demikian kerana berdasarkan pemerhatian selama bertahun-tahun, berpuluh tahun, ada aspek-aspek dalam seni-budaya itu yang tidak terdapat dalam bidang-bidang ilmu yang diajar di universiti itu, menyebabkan aktiviti atau program seni-budaya tidak banyak dibuat di negara kita. Mengapa ia tidak banyak dibuat? Kerana tidak ada orang, yakni pegawai kerajaan, yang mempunyai ilmu tersebut, yang dipelajarinya sewaktu dia belajar di universiti.

Paling ketara sekali lihatlah pada Jabatan Kebudayaan atau Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di kementerian, atau di majlis perbandaran, bandaraya dan daerah (atau Pihak Berkuasa Tempatan – PBT). Di setengah-setengah tempat hanya diwujudkan unit kebudayaan/kesenian di bawah Jabatan Korporat atau Jabatan Kebudayaan dan Sukan. Apa yang ada di sana? Apa yang mereka buat?

Yang ada di sana ialah penari, pemuzik dan penyanyi. Dan aktiviti yang selalu mereka buat ialah persembahan muzik, nyanyi dan menari. Itulah tiga cabang seni-budaya yang selalu dibuat dan dipersembahkan oleh jabatan-jabatan tersebut. Dan biasanya aktiviti itu dibuat sebagai menyediakan hiburan kepada hadirin dalam majlis-majlis jamuan dan yang seumpamanya.

Dan itu sahajalah fahaman orang-orang kerajaan atau pegawai kerajaan kita apabila disebut kebudayaan dan kesenian. Status dan imej kebudayaan dan kesenian yang wujud dalam fikiran orang-orang kerajaan hanya setakat itu sahaja. Tak lebih daripada itu. Maka bagaimanakah kita nak mengharapkan lebih daripada itu? Bagaimanakah kita nak mengharapkan suatu perancangan seni-budaya daripada mereka?

Apakah yang saya maksudkan dengan aktiviti ‘seni-budaya’, yang saya katakan tidak diajar di universiti itu?

Mudah saja. Kita ambil satu contoh, iaitu wacana ilmu, atau lebih khusus lagi – bicara buku. Yang ada diajar di universiti ialah kritikan buku, sebagai satu cabang daripada ilmu sastera, atau penulisan. Manakala ‘bicara buku’ yang kita maksudkan sebagai satu aktiviti seni-budaya ini bukannya satu cabang daripada ilmu penulisan atau ilmu sastera itu. Yang kita maksudkan di sini ialah aktiviti penyampaian atau pembentangan pendapat (ilmu) terhadap sesebuah buku, yang memerlukan kehadiran sejumlah orang sebagai peserta atau pendengar, di samping pembicaranya.

Ia suatu aktiviti sosio-budaya, yang harus dilihat fungsinya bukan sekadar sama dengan ilmu penulisan atau sastera. Ia mempunyai fungsi sosial, seperti yang saya istilahkan kepada ‘lanskap tanah’ dan ‘lanskap minda’ itu. Ia harus dilihat sebahagian daripada lanskap minda, yang selama ini diabaikan oleh para perancang di pihak PBT. Mereka begitu sekali penting-kan ‘lanskap tanah dan pokok’, tetapi mereka langsung tidak menyedari akan pentingnya lanskap minda – bagi melahirkan keharmonian dan keseimbangan dalam kehidupan masyarakat.

Bicara buku itu hanya satu contoh. Melakukannya tidaklah susah. Yang susahnya ialah melakukannya secara berterusan dan berkala, misalnya dibuat pada setiap bulan, untuk menimbulkan keberkesanannya. Ini tidaklah mudah. Pihak perancang atau pengurusnya mestilah mesra dengan dunia buku dan para ilmuan, dan tahu menguruskan publisiti dan promosinya.

Contoh lain mari kita lihat siri program Jelajah Budaya Selangor yang akan dibuat oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bermula di Klang pada 10 dan 11 November ini. Apa aktiviti yang ada dalam program dua hari itu? 1) persembahan Puisi dan Lagu; 2) persembahan teater; 3) persembahan gamelan dan cempuling; 4) persembahan oleh kumpulan OKU; 5) dialog budaya dengan Sasterawan Negara; 6) kuliah ilmu oleh tokoh ilmuan; 7) silat Serante dan silat Selambam; 8) peraduan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak; 9) demonstrasi menulis khat; dan 10) pertandingan membuat tanglung.

Itu semua program seni-budaya. Sebahagiannya ada diajar di universiti dan sebahagiannya tidak. Pengurusan dan proses mempersembahkan semuanya itu kepada khalayak dalam suatu program yang melibatkan pelbagai pihak dalam masyarakat, itu mungkin tidak diajar di peringkat kolej mahupun universiti.

Kenapa saya timbulkan perkara ini? Kerana pengalaman Paksi berurusan dengan pelbagai pihak yang berkenaan untuk membuat sesuatu program seni-budaya, memperlihatkan keadaan yang begitu. Dan sebenarnya ada banyak lagi permasalahannya. Kita akan bincang lagi perkara ini dalam kesempatan yang lain, insya Allah.


Dinsman (Artikel 348, 12/10)
Persoalan konsep dalam pemikiran kita

Ada beberapa perkara menarik, timbul dalam wacana buku Ab Shukur Harun (Gelombang di Pesisir Waktu) yang dipimpin oleh Kassim Muhamad, Ahmad Lutfi Othman dan Arif Atan di Perpustakaan Negeri Selangor (PPAS), Shah Alam, Khamis 4 Oktober lalu.

Lutfi mempersoalkan mengapa negeri yang ditadbir oleh PAS tidak membentuk enakmen yang memberi kuasa kepada rakyat, yang bertembung langsung dengan kuasa kerajaan BN yang tidak kita senangi sekarang itu? Misalnya kerajaan negeri Selangor meluluskan enakmen yang berhubung dengan kebebasan maklumat; manakala para exco kerajaan Pulau Pinang membuat pengisytiharan harta. Sedangkan ini tidak berlaku pada kerajaan PAS walaupun telah mentadbir Kelantan lebih 21 tahun.

Hasni Abas menyokong kenyataan Lutfi itu; manakala Razali Endun menyatakan impiannya akan suatu suasana “politik budiman” yang beretika di negara ini.

Persoalan yang ditimbulkan oleh Lutfi itu mengingatkan saya kepada dua peristiwa yang berkaitan. Pertama kepada suatu wacana mengenai integriti yang dibuat akhir tahun lalu, yang juga mempersoalkan kepemimpinan PAS apakah mereka berintegriti atau tidak? Peristiwa kedua pula secara kebetulan sehari sebelumnya kawan saya Kassim mempersoalkan minat saya terhadap kepimpinan Nik Aziz yang dikhuatirinya boleh sampai ke tahap taksub. Maka dia bertanya apakah saya akan mengkritik Nik Aziz kalau diperlukan?

Saya menegaskan bahawa buat masa ini saya memilih untuk tidak mengkritik Nik Aziz walaupun kadang-kadang ada perkara yang boleh dipersoalkan. Sebab apa? Kerana saya melihat ada banyak lagi perkara yang dibuat oleh kepimpinan Nik Aziz yang belum diangkat secara sewajarnya hingga ia dapat memperlihatkan keunggulan Islam yang sebenar.

Maka mengapa kita harus memilih kritikan, sedangkan apresiasinya pun belum terungkap sewajarnya? Malah di sini bukan sekadar apresiasi, tetapi tanggungjawab untuk sama-sama mengangkatnya, kerana dengan mengangkatnya kita juga akan mengangkat semula Islam untuk diletakkan di tempatnya yang tinggi, mengatasi yang selainnya.

Inilah yang saya cuba lakukan, dan dalam tempoh sebulan-dua lagi akan terbitlah buku baru saya mengenai kepimpinan Nik Aziz di Kelantan, berjudul “Kelantan 21 tahun: Bukti Kejayaan”. Insya Allah.

Memang ada kebimbangan saya, melihat kecenderungan di kalangan kita untuk membuat penilaian berdasarkan pemikiran dan pemahaman yang bukan berasal dari khazanah Islam, yakni al-Quran dan Sunnah. Apabila kita menggunakan istilah dan konsep dari tamadun dan pemikiran Barat, untuk menilai Islam dan orang Islam, saya bimbang kita akan membuat kesilapan yang tidak kita sedari.

Memang konsep kebebasan maklumat itu bagus, dasar pemimpin mengisytiharkan harta itu bagus, dan begitu juga konsep integriti. Lalu mengapa Tok Guru Nik Aziz tidak melaksana-kannya dalam pentadbirannya di Kelantan? Apakah itu satu kelemahan beliau yang perlu dikritik?

Saya tidak ada jawapannya, dan saya tidak pasti apakah amalan yang dipersoalkan itu terdapat dalam pentadbiran Islam di zaman Rasulullah saw dan khulafa’ ar-rashidin; atau merupakan pemikiran yang berasaskan al-Quran dan Hadis.

Sejak berjinak-jinak dengan pendekatan yang digunakan oleh Prof Shaharir dalam beberapa wacananya, saya agak terpengaruh dengan kaedahnya yang menelusuri asal usul sesuatu istilah dan konsep yang digunakan. Penting diperiksa asal usul makna sesuatu istilah dan konsep itu untuk kita fahami nilai dan pemikiran yang mendasari dan membangunkannya. Kalau ia tidak ada di dalam khazanah Islam, tentu ada sebabnya.

Manakala mengikut pendekatan dan kaedah pemikiran Nik Aziz pula, Islam itu adalah paling sempurna. Kesempurnaan Islam itu pula dengan sendirinya menafikan keperluan kita kepada yang lain, seperti Nik Aziz telah menolak nasionalisme dan sosialisme, misalnya.

Saya timbulkan hal ini dalam wacana buku Shukur Harun itu semata-mata untuk bersikap berhati-hati, agar kita tidak terjebak dalam perangkap pemikiran sekular Barat.

Berhubung dengan pandangan Razali Endun mengenai “politik budiman” itu, saya mempersoalkan apakah di zaman Rasulkullah saw dulu wujud “politik” seperti yang kita maksudkan hari ini. Apakah Nabi Muhammad juga berpolitik seperti kita berpolitik hari ini? Atau bagaimanakah sebenarnya politik di dalam Islam?

Wujudkah apa yang dikatakan “politik budiman” itu? Berdasarkan realiti yang sedang berlaku sekarang, baik di Malaysia mahupun di dunia amnya – tidakkah politik itu dipenuhi dengan perebutan kuasa, manipulasi kuasa dan penipuan untuk berkuasa semuanya? Dalam kata lain, politik itu sudah tidak ada lagi wajahnya yang elok dan bersih. Yang ada semuanya hodoh dan jahat belaka.

Kecuali di mana-mana yang terdapat kuasa bukan politik yang mampu memberi imbangan kepada kuasa politik, maka di situ akan wujud suasana politik yang agak baik, seperti yang dimaksudkan “politik budiman” oleh Razali Endun itu.

Politik semata-mata tidak akan melahirkan politik budiman. Kita memerlukan kuasa bukan politik untuk mengimbangi kuasa politik. Di sinilah saya menekankan betapa kita memerlukan golongan agamawan yang berfungsi, dan budayawan yang berfungsi, yang tidak tunduk kepada kepentingan politik. Maka akan lahirlah masyarakat yang tidak didominasi oleh kuasa orang-orang politik semata.

Merujuk kepada kepimpinan Rasulullah, ia bukanlah semata-mata kepimpinan politik. Demikianlah juga kepimpinan Nik Aziz, ia bukanlahsemata-mata kepimpinan politik.


Dinsman (Artikel 347, 8/10)
“Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”

Barangkali kita telah memulakannya pada 1 November 2008 dulu, di Kuala Pahang, apabila kita bekerjasama dengan nelayan-nelayan perahu kecil di sana menganjurkan beberapa acara seni-budaya. Kemudian kita bersolidariti dengan ahli-ahli qariah surau Madrasah Tarbiyah, Kg Banda Dalam, Disember 2010. Ramailah seniman muda hadir dengan bakat mereka yang pelbagai – puisi, muzik, lagu, menyatakan sokongan kepada perjuangan penduduk kampung di pinggir Kuala Lumpur itu.

Dan pada November 2011 ketika 360,000 hektar tanah Felda diberitakan akan tergadai, kita berhimpun pula di Felda Sg Tengi, Hulu Selangor. Pun ramai kawan-kawan seniman yang hadir memberi sokongan.

Sekarang Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sedang membuat persiapan untuk satu lagi program yang seakan-akan demikian, tetapi dengan skala yang lebih besar. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pun, dalam pertemuannya dengan Paksi pada 9 Ogos lalu, telah menyatakan persetujuannya untuk membiayai.

Kebetulan pula sebelum itu akhir April lalu Paksi telah berbincang dengan Dr Halimah Ali, mengenai beberapa program budaya, yang satu daripadanya adalah program “Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”. Lebih kurang sama.

Itulah – kita telah bersetuju mengenai tarikhnya, 10 dan 11 November. Tempatnya di Kelang, dan akan dibuat bersama dengan Majlis Perbandaran Kelang. Tetapi lokasinya yang sebenar belum ditetapkan lagi. Kita sedang mencari tempat yang paling sesuai dengan tujuan program ini diadakan, iaitu untuk menghidupkan kesedaran seni-budaya dan kecintaan kepada ilmu di kalangan rakyat. Kita ingin berada di tengah-tengah rakyat, dan sama-sama menghayati seni-budaya dan ilmu.

Ada banyak program ilmu dan seni-budaya yang akan kita buat pada dua hari tersebut. Malam persembahan puisi dan lagu – itu biasalah, kemuncaknya. Tetapi sebelum itu kita akan mencari satu atau dua kumpulan seni-budaya tempatan, yakni di dalam daerah tersebut, untuk kita bawa ke malam persembahan itu. Tujuan kita untuk mengaktifkan kehidupan seni-budaya di kalangan rakyat. Dan seboleh-bolehnya seni-budaya yang berasal dari kalangan rakyat di situ.

Selain itu kita juga akan menyampaikan Anugerah Budayawan Tempatan. Paksi akan bekerjasama dengan pihak tempatan, termasuk Majlis Bandaran dan persatuan-persatuan seni-budaya, bagi memilih seorang tokoh budaya yang paling layak untuk diberi penghargaan melalui anugerah ini. Memang jumlah wang dari anugerah ini tidak besar. Tetapi bukan itu yang menjadi nilainya. Nilainya adalah penghargaan itu sendiri.

Kita namakan program ini “Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”. Sebelum ini kita sebut “budayawan bersama rakyat”. Mengapa sekarang “ilmuan budaya”? Sebabnya kerana kita hendak timbulkan kesedaran terhadap menghargai ilmu dan ilmuan. Kita tidak sekadar hendak berpesta dengan aktiviti-aktiviti seni sahaja, tetapi kita juga mengisinya dengan ilmu.

Makanya kita telahpun berbincang dan mendapat persetujuan daripada SN A Samad Said dan Prof Shaharir Mohd Zain untuk bersama-sama dalam program ini; masing-masing akan menyampaikan ilmu dan kepakaran masing-masing, kepada kumpulan sasaran yang sesuai di kalangan rakyat setempat.

Program yang dijadualkan dibuat di Kelang pada 10 dan 11 November ini adalah program yang pertama bagi satu siri Jelajah Budaya yang akan dibuat di daerah-daerah di seluruh Selangor. Ia dimulakan di Kelang kerana, seperti saya sebut tadi, kebetulan Paksi telahpun berbincang perkara ini dengan Adun Selat Kelang, Dr Hjh Halimah Ali, sejak April lalu.

Dan sejak itu kita telahpun mengadakan beberapa aktiviti seni-budaya di Kg Delek dan Seri Perantau, bersama dengan Dr Halimah. Antaranya ialah pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan, dan bacaan puisi. Pada 12 Oktober ini akan diadakan Bicara Buku, bertempat di Masjid Nurul Amin, Kg Delek. Buku yang akan dibicarakan ialah “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karangan Prof Shaharir Mohd Zain. Pembicara utamanya ialah Dr Mat Rofa Ismail (UPM).

Sengaja saya hebahkan berita ini awal-awal (lagi sebulan tarikh 10 dan 11 November itu), kerana beberapa sebab. Antaranya untuk memberi ruang waktu yang selesa kepada kawan-kawan seniman, penulis, budayawan dan ilmuan yang berminat untuk hadir, bagi membuat perancangan yang perlu, agar dapat hadir menyertai program ini.

Kedua, memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mengemukakan cadangan-cadangan yang sesuai, sebagai pengisian program ini, terutama dalam pemilihan tokoh budayawan yang akan diberi anugerah, dan juga kumpulan seni yang akan dibawa membuat persembahan dalam acara kemuncak program ini.

Dalam perbincangan awal kami dengan pihak Dr Halimah, mengenai aktiviti yang difikirkan sesuai dan menarik untuk dibawa ke dalam program ini, telah timbul pelbagai maklumat yang sangat menarik, mengenai aktiviti seni-budaya rakyat tempatan, yang berkemungkinan kalau diizinkan oleh faktor kewangan, akan menjadikan program ini lebih besar daripada yang dirancang pada mulanya.

Kemungkinan! Kemungkinan juga tidak. Walau apapun, bagi saya rancangan ini sangatlah menarik. Seolah-olah satu penerokaan baru dalam memajukan seni-budaya kita. Saya belum menceritakan semua aspeknya lagi. Kita tunggu dulu dan lihat bagaimana perkembangannya. Insya Allah, sangat menarik!

Dinsman (Artikel 346, 5/10)
Sudahkah dimanfaatkan surau di rumah pangsa?

Saya ingin lanjutkan sedikit perbincangan mengenai komuniti rumah pangsa yang pernah saya wacanakan dalam beberapa keluaran lalu. Masih ingat? Kata Wakil Rakyat kawasan itu kepada saya, komuniti itu adalah komuniti gejala sosial. Sebutlah apa jua jenis gejala sosial, semuanya ada di situ. Begitulah istimewanya komuniti itu.

Memang istimewa. Mengikut kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (dalam satu wawancara untuk sebuah majalah), rakyat Selangor lebih ramai yang tinggal di rumah pangsa dan pangsapuri, berbanding dengan yang tinggal di rumah biasa (teres, banglo dan sebagainya). Maksudnya, perhatian perlu diberikan lebih kepada kelompok ini, bagi mengatasi masalah-masalah yang berbangkit di sana.

Saya bukan nak bincang masalah gejala sosial itu. Saya anggap semua kita tahulah apa masalahnya apabila disebut gejala sosial itu, ‘kan! Jadi tak payahlah nak buang masa lagi berbincang hal itu. Elok kita fokus kepada apa yang perlu kita buat, apa yang wajar, patut dan boleh kita buat, bagi membantu mengatasi masalahnya atau memperbaiki keadaan hidup di persekitaran yang dimaksudkan.

Merujuk kepada komuniti rumah pangsa yang saya maksudkan itu, majoritinya adalah orang Melayu-Islam, walaupun orang India bukan Islam juga agak ramai di situ. Saya ingin fokus perbincangan ini kepada komuniti Melayu-Islam sahaja. Lagipun, bukankah ini kelompok yang menjadi sasaran persaingan sengit antara Umno dan PAS, dalam merebut pengundi bagi PRU-13 yang dinanti-nantikan itu?

Ya, inilah kelompok atau masyarakat yang menjadi sasaran dan rebutan untuk menang dalam PRU-13, iaitu orang Melayu-Islam. Dan mereka ini, selain terkumpul di kawasan Felda, mereka juga terkumpul di kawasan rumah pangsa. Di Selangor tidak banyak kawasan Felda. Yang banyak ialah kawasan rumah pangsa. Maka sepatutnyalah tumpuan kita diarahkan ke sana. Soalannya – apakah selama ini kita memberi tumpuan ke sana?

Kalau ditanya kepada Iskandar Abd Samad tentulah jawapannya ya, sebab dia memang exco yang dipertanggungjawabkan untuk perkara seperti itu, iaitu Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan. Tetapi apakah pihaknya sudah memberi perhatian yang cukup dan sewajarnya kepada permasalahan di rumah pangsa?

Saya pasti jawapannya tidak. Maksudnya belum mencukupi. Bahkan kalau kita perhatikan betul-betul ke sana, kita akan nampak seolah-olah mereka kurang diberi perhatian. Kenapa? Kenapa mereka kurang diberi perhatian, sedangkan undi daripada kelompok mereka ini amat diperlukan untuk menang dalam PRU nanti?

Pun bukan jawapan kepada soalan itu yang saya fikir kita perlukan, dalam perbincangan ini. Biarlah apa pun jawapannya, yang pasti keadaan kebanyakan masyarakat di rumah pangsa di Selangor hari ini, khasnya komuniti Melayu-Islam, adalah jauh daripada memuaskan. Maka saya ingin membuat satu cadangan, iaitu manfaatkanlah surau-surau di rumah pangsa sehingga ia menjadi pusat dakwah Islamiyah yang berkesan bagi komunitinya.

Bagaimanakah caranya? Saya fikir isunya di sini bukanlah masalah caranya, kerana caranya itu tidaklah susah. Isunya di sini ialah “kesedaran” kita untuk bertindak dan berusaha bagi memanfaatkan surau-surau berkenaan. Saya perhatikan selama ini kesedaran ini yang kurang.

Bukan kita hendak pergunakan tempat ibadat yang mulia ini untuk kepentingan politik. Tidak! Tujuan kita ialah untuk dakwah Islamiyah, untuk menghidupkan minat terhadap agama, untuk menunjukkan betapa agama itu mempunyai peranan yang besar dalam membangun kesejahteraan hidup masyarakat. Itu saja.

Caranya? Surau bukan hanya menjadi tempat untuk orang-orang yang sudah mempunyai kesedaran dan kemahuan untuk solat berjemaah, sahaja. Surau mesti diaktifkan menjadi wadah atau instrumen atau prasarana untuk membina kesejahteraan hidup masyarakat melalui agama. Surau mesti diisi dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan tujuan itu.

Misalnya, aktifkan kelas mengaji al-Quran dan Fardhu Ain untuk kanak-kanak. Bila disebut “aktifkan” maksudnya bukanlah sekadar mengadakannya sahaja, dan berasa cukup dengan hanya beberapa orang kanak-kanak datang belajar. Aktifkan bermaksud kelas ini mestilah boleh menarik minat ramai keluarga di sekitar situ menghantar anak-anak mereka belajar di kelas ini.

Bagaimanakah hendak menarik minat keluarga-keluarga di situ menghantar anak-anak mereka mengaji al-Quran dan Fardhu Ain di surau? Inilah persoalannya yang entah mengapa tidak pernah difikirkan secara serius selama ini. Ataupun mungkin telah difikirkan, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak ada dana.

Masalah biasalah tu – dana! Kenapa ia harus menjadi masalah? Kenapa pihak Kerajaan Negeri tidak boleh menyediakan dana yang mencukupi untuk tujuan tersebut? Jawabnya, kerana selama ini kita hanya melihat perkara ini sebagai perkara agama dan Fardhu Ain sahaja. Tidak lebih daripada itu. Sedangkan yang saya ajak anda bincang sekarang ini bukannya dari sudut agama, tetapi dari sudut kemasyarakatan.

Kita memanfaatkan aktiviti agama bagi menyelesaikan masalah kemasyarakatan, masalah gejala sosial, yang sedang membarah dalam masyarakat kita, khususnya masyarakat rumah pangsa.

Memang kelas mengaji al-Quran dan Fardhu Ain itu kelas agama. Tetapi kelas itu dalam masa yang sama dapat berfungsi untuk mengatasi masalah gejala sosial. Maka kerajaan yang bertanggungjawab mestilah menyediakan dana yang mencukupi untuk itu. Misalnya untuk menarik minat para keluarga kepada kelas al-Quran di surau, kita perlu membuat kempen yang berkesan; dan aktiviti kempen itu memerlukan dana.

Itu satu contoh. Contoh yang kedua ialah mengaktifkan siri tazkirah selepas solat, secara terancang, dan boleh menarik minat orang-orang Islam di kawasan itu hadir mendengarnya. Pun memerlukan dana. Dan lebih penting lagi ialah membina pasukan pengurusan yang akan melaksanakan semua program yang terlibat. Semuanya memerlukan peruntukan. Inilah yang saya maksudkan dengan “kesedaran” di atas tadi.

Dinsman (Artikel 345, 1/10)
‘Gelombang di Pesisir Waktu’ Pak Shukur

Itu judul sebuah buku, karya Abdul Shukur Harun, kolumnis tetap akhbar Harakah sejak beberapa tahun lalu (setelah bersara daripada jawatan Pengarang di Harakah) dan masih menyumbang hingga kini. Berusia 74 tahun. Muda sedikit daripada SN A Samad Said (77) dan tua sedikit daripada Razali Endun (70). Di kalangan AJK Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dialah yang paling veteran.

‘Gelombang di Pesisir Waktu’ – bunyinya seperti judul sebuah novel atau sebuah puisi, tetapi tidak. Ia judul sebuah buku kumpulan esei yang pernah tersiar dalam kolum ‘Cetusan Idea’ oleh A Shukur Harun, dalam akhbar Harakah. Di bawah judul itu di kulit depan buku itu disebut “Kumpulan rencana politik, gerakan Islam, kesusasteraan dan kehidupan”.

Secara umumnya itulah tiga kategori tulisan dalam buku ini – politik, gerakan Islam, dan sastera dan kehidupan. Dan itulah tiga bidang yang digemari oleh editor akhbar yang mempunyai pengalaman luas dan lama dalam bidang kewartawanan dan persuratkhabaran ini, seperti dicatatkan di kulit belakang buku itu:

Beliau “mula bekerja di beberapa percetakan di Singapura termasuk di Utusan Melayu Singapura dan Kuala Lumpur pada tahun 1963. Selepas itu berpindah sebagai penyunting di Berita Harian Kuala Lumpur selama 23 tahun hingga bersara. Kemudian menjadi Pengarang 2 dan Pengarang 1 Harakah selama tujuh tahun hingga bersara kali kedua.”

A Shukur Harun, menurut catatan itu lagi, “menulis lebih kurang 250 rencana, 40 cerpen, lima novel. Memenangi tiga kali Hadiah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Hadiah Esso-Gapena, Hadiah Penulisan Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Islam JPM, dan beberapa hadiah penulisan lain.”

Itulah A Shukur Harun, yang lebih dikenali di kalangan kawan-kawan dengan panggilan Pak Shukur. Seorang penulis veteran yang masih aktif menulis saban minggu, dan hampir seperti A Samad Said yang selalu ke sana ke mari menunaikan jemputan untuk berceramah dan membaca puisi, beliau juga demikian. Masih aktif ke sana ke mari menunaikan jemputan.

Pada 2 Ogos lalu misalnya, saya bersama dengan beliau ke Masjid Batu di Permatang Pauh, Pulau Pinang, kerana dijemput melancarkan buku beliau “Gelombang di Pesisir Waktu” ini, dan buku saya “Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya”, khas untuk jemaah masjid itu (yang minat dengan buku).

Tetapi berbeza dengan A Samad Said yang tidak pernah terlibat secara langsung dengan politik parti, Shukur Harun terlibat. Dia pernah menjadi YDP PAS Kawasan Subang tidak lama dulu. Kini setelah mengundur diri untuk memberi peluang kepada orang yang lebih muda, dia masih aktif menyumbangkan idea, pemikiran dan tenaganya kepada parti.

Seorang yang kuat dan banyak membaca, pemikirannya kelihatan agak terbuka, dinamis dan sentiasa mengikuti peredaran zaman. Makanya beliau pun turut aktif bersama dengan aktiviti-aktiviti seni-budaya Paksi. Tiga daripada 32 esei dalam buku ini turut merakam aktiviti Paksi, seperti “Himpunan terbesar karyawan Paksi di Felda” (hal.139-143); “Sasterawan Paksi berkarya untuk Rakyat” (hal.145-149); dan “Mengapa A Samad Said kagumi novel Dr Zhivago” (hal.121-125).

SN A Samad Said dalam Kata Pengantar buku ini menulis: “Bisikkan sajalah kepadanya di mana akan ada majlis ceramah budaya yang merangsang, di mana boleh dijumpa buku sastera yang mencabar dan di mana pula dapat ditemui watak pendakwah yang mengilhami. Jika dirinya sihat, dan masanya terluang, kita akan terserempak dengannya.

“Dan apa yang berlaku ini benar pada dekad lima puluhan abad lalu, dan tampaknya masih benar juga pada dekad awal abad ini. Abdul Shukur Harun seorang seniwan berbadan kecil bervisi besar, akan berupaya hadir di mana-mana saja terbentang ladang ilmu duniawi dan madrasah agama ukhrawi.”

Demikianlah pentingnya buku ini hingga saya membuat sorotan istimewa ini ialah kerana pada pagi Khamis 4 Oktober ini, akan berlangsung majlis membicarakan buku ini, oleh orang yang tidak asing lagi, iaitu Ketua Pengarang akhbar Harakah, Ahmad Lutfi Othman. Majlis akan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, PPAS, Shah Alam.

Saya menjangka dan berharap Ahmad Lutfi akan memberi perhatian kepada bahagian pertama buku ini, iaitu 10 esei yang membicarakan politik PAS. Bolehlah kita melihat bagaimana pandangan Ahmad Lutfi terhadap garapan dan analisa politik Shukur Harun. Makanya saya juga berharap untuk melihat sosok aktivis PAS di kalangan hadirin yang akan memenuhi ruang wacana ilmu di perpustakaan Selangor yang sangat cantik dan menarik ini (yang diurustadbirkan oleh seorang tokoh wanita PAS sendiri)

Majlis bicara buku ini adalah lanjutan daripada siri Wacana Ilmu bulanan Paksi di PPAS, yang dimulakan sejak Februari 2011 lagi, dengan buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak” (karya 29 penulis) dan “Ranum” (kumpulan cerpen Razali Endun). Sejak itu telah banyaklah buku yang diwacanakan, termasuk buku-buku karangan Prof Shaharir Mohd Zain, Dr Hassan Ahmad, dan Prof Syed Hussein Alatas.

Mulai bulan September, Paksi membawa aktiviti wacana ilmu ini keluar daripada pusatnya di Shah Alam, untuk dibuat pula di peringkat daerah, bermula dengan 9 September lalu di Rawang, iaitu bertempat di Masjid Nurul Iman Rawang, dengan buku “Rindu Ibu”, kumpulan puisi kanak-kanak menjelang remaja oleh A Samad Said.

Aktiviti bicara buku peringkat daerah yang kedua akan berlangsung di Masjid Nurul Amin, Kg Delek, Klang, pada 12 Oktober ini (selepas solat maghrib). Bukunya ialah “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karya Shaharir Mohd Zain, dengan pembicara utamanya Dr Mat Rofa Ismail (UPM).

Kembali kepada buku Gelombang di Pesisir Waktu karya A Shukur Harun. Selain Ahmad Lutfi Othman, buku ini juga akan dibicarakan oleh Arif Atan, seorang penulis dan ilmuan muda yang mempunyai kolum tetapnya di akhbar bertulisan Jawi – mingguan Utusan Melayu (sisipan Utusan Malaysia.).

Datanglah. Wacana ini terbuka kepada semua orang.