Background

Dinsman (Artikel 324, 29/6)
Semarak Seni Lebuhraya Rakyat

Razali Endun telahpun menulis di dalam blognya Razaliendun.blogspot mengenai himpunan seniman-budayawan di Taman Melewar, Kuala Lumpur, bagi menjayakan “Malam Semarak Seni Lebuh Raya Rakyat” yang akan diadakan pada 7 Julai ini.

Tujuan utamanya bagi menyatakan sokongan kepada Kerajaan Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Aziz kerana melancarkan projek pembinaan Lebuhraya Kuala Krai-Kota Bharu sejauh 73 kilometer itu, dengan meletakkan harapan dan keyakinan sepenuhnya kepada rakyat bagi membiayai projek yang bernilai RM1.8 bilion itu.

Dalam kolum ini awal Jun lalu saya menulis: “Manakah ada sebuah kerajaan yang seberani ini meletakkan kepercayaan kepada rakyat?”

Demikianlah saya melihat mesej paling penting daripada projek pembinaan LRR KK-KB yang dilancarkan TG Nik Aziz di Machang pada 28 Mei itu. Umno-BN boleh mengatakan projek ini sebagai satu “projek gila”. Memang kalau dilihat dari sudut pandangan Umno-BN ini adalah satu “projek gila”, ataupun “projek bunuh diri”. Maka dengan penuh semangat menghina, segelintir suku-sakat mereka pun mengadakan demonstrasi menghadiah cangkul dan kereta sorong di depan kompleks pejabat Menteri Besar Kelantan.

Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya bukan menghina Menteri Besar Kelantan, tetapi mereka telah menghina seluruh rakyat Kelantan dan juga rakyat di luar Kelantan yang menyokong tindakan TG Nik Aziz dan Kerajaan Kelantan pimpinan PAS itu, termasuklah juga para seniman-budayawan yang bersama dengan kumpulan Seniman Paksi Rakyat.

Malah Cikgu Ishak Surin yang begitu kuat menyokong projek LRR ini, pada malam kami bermesyuarat di suraunya di Kg Banda Dalam, menyatakan marahnya bukan sahaja kepada kelompok Umno yang menghina itu, malah kepada kelompok lain juga yang tidak mahu menyokong projek yang dibina di atas keyakinan kepada rakyat jelata ini.

“Kita buat ini tanpa sebarang niat apa-apa selain daripada keikhlasan kita untuk membantu bagi menjayakan projek rakyat tersebut,” katanya. “Tidak ada tujuan lain. Hanya semata-mata keikhlasan untuk menyumbang. Itu sahja.”  Tambahnya dengan tegas.

Dan mesyuarat pada 16 Jun itu juga bersetuju bahawa “Semarak Seni LRR” bukan akan dibuat sekali sahaja pada 7 Julai ini di Taman Melewar, tetapi akan terus dibuat beberapa kali lagi selepas itu, di tempat-tempat lain juga, termasuk di tapak lebuh raya itu sendiri, di Kelantan.

Tarikh bila ia akan dibuat di tapak LRR fasa pertama di antara Machang - Kuala Krai itu belum ditetapkan lagi. Tetapi Cikgu Khairuddin telahpun menetapkan tarikh bila ia akan dibuat di Masjid Batu, Permatang Pauh, iaitu pada 2 Ogos.

Lain-lain tempat dan penganjur, saya tak tahu. Harap-harap banyak lagilah penganjur yang akan tampil. Mengumpul sumbangan untuk dana, satu hal. Tetapi penganjuran program ini bukanlah semata-mata bertujuan untuk mengumpul dana. Ada beberapa tujuan lain lagi. Antaranya untuk menyatakan sokongan kepada inisiatif melancarkan projek tersebut. Sokongan ini penting. Menunjukkan solidariti dan kekuatan semangat rakyat, yang diterjemahkan buat pertama kalinya dalam bentuk sumbangan kewangan yang sebesar itu.

Kita telah menunjukkan solidariti dan kekuatan semangat rakyat ini dalam beberapa peristiwa penting sebelum ini, seperti perhimpunan Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0; perhimpunan Lyanas di Kuantan; Gelombang Hijau menuju Putrajaya di Alor Setar dan sebagainya. Semuanya hanya pernyataan melalui perhimpunan sahaja. Tetapi kali ini berbeza. Kali ini ia perlu ditunjukkan dengan sumbangan kewangan.

Dan jumlah wang yang perlu dikumpul melalui sumbangan ini pula bukannya kecil. RM1.8 bilion adalah satu jumlah yang besar. Sebahagiannya mungkin datang daripada dana kerajaan negeri Kelantan sendiri. Namun jumlah yang diperlukan dari sumbangan rakyat masih tetap merupakan jumlah yang besar.

Dan seperti telah saya katakan – Tok Guru Nik Aziz begitu sekali percayanya kepada rakyat. Dia mempertaruhkan kejayaan projek ini kepada sokongan rakyat, dan sokongan bukan sebarang sokongan tetapi sokongan bersama kewangan. Sesuatu yang di luar amalan kepemimpinan yang biasa dan normal. Ini memang di luar dari kebiasaan. Ternyata Razali Endun dan Paksi suka dengan gaya kepemimpinan yang di luar kebiasaan ini.  

Makanya, marilah bersama-sama dengan Paksi bagi memastikan bahawa projek lebuh raya rakyat ini akan berjalan dengan lancar dan tanpa halangan, kerana projek “lebuh raya rakyat” ini juga sebenarnya adalah suatu simbolik, iaitu simbolik atau lambang kepada keunggulan semangat rakyat. Tak mungkin kita mahu membiarkan lambang keunggulan semangat rakyat ini tidak berjaya. Kita mestilah sama-sama memastikan kejayaannya.

Datanglah pada 7 Julai ini ke Taman Melewar. Penyanyi Aishah sudahpun berjanji akan bersama kita. Bob Lokman juga. Samad Said juga. Pyanhabib, Mat Sabu, Husam, Leman Raja Lawak dan ramai lagi.

Ini baru permulaannya. Kata Razali Endun, Seniman Paksi Rakyat (Paksi) hanya memulakan. Dan kita berharap di luar sana akan ramailah yang menyambutnya nanti. Kata seorang peserta mesyuarat baru-baru ini – kalau kita boleh buat konvoi atau jelajah dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, sambil berhenti di tempat-tempat tertentu, yang ada penganjur tempatan akan mengumpulkan sumbangan untuk dana LRR ini – alangkah bagusnya!

Ya, ada pelbagai kemungkinan. Apa pun, kita pastikan permulaannya pada 7 Julai ini adalah suatu kejayaan yang memberangsangkan. Inilah harapan Tok Guru Nik Aziz kepada kita. Dan inilah kepercayaan Tok Guru Nik Aziz kepada kita. Jangan kita hampakan harapan dan kepercayaan ini!

Dinsman (Artikel 323, 25/6)
Nik Aziz lengkapkan Bicara Rasuah 26 Jun

Ini siri Wacana Ilmu bulanan anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama dengan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor (Dr Halimah Ali), yang bermula April lalu. Ini wacana yang ketiga.

Wacana yang pertama (April) mengenai metafora Melayu berdasarkan buku Dr Hassan Ahmad (almarhum), “Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk Epistemologinya”; dan yang kedua (Mei) mengenai seni-budaya di Malaysia berdasarkan buku Dinsman “Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya”. Kedua-duanya dibuat di Perpustakaan Raja Tun Uda (Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor – PPAS), Shah Alam, dengan kerjasama PPAS.

Wacana yang ketiga dalam siri ini dibuat berdasarkan buku Syed Hussein Alatas (almarhum), “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi”.  Buku yang asalnya diterbitkan dalam bahasa Inggeris (Corruption: Its Nature, Causes and Functions) pada tahun 1990 dipilih untuk dibicarakan pada hari ini adalah kerana isi kandungan atau perbicaraannya mengenai rasuah itu masih relevan (sangat relevan) dengan situasi masyarakat dan negara kita hari ini.

Sebenarnya ada sebuah lagi buku karangan Syed Hussein Alatas mengenai rasuah, yang lebih terkenal, iaitu The Sociology of Corruption, terbit tahun 1968.  Selain itu, tokoh akademik yang lama mengajar di Universiti Nasional Singapura ini juga terkenal dengan buku-bukunya ‘Mitos Peribumi Malas’ (The Myth of The Lazy Native) dan ‘Intelektual Masyarakat Membangun’ (Intellectuals in Developing Societies).

Kerana sangat relevannya isu rasuah itulah maka wacana ilmu yang biasanya dibuat di PPAS itu, kali ini, kata Dr Halimah: “Kita mesti buat di tempat yang lebih besar, supaya lebih ramai orang dapat mengikuti perbincangannya. Persoalan rasuah ini walaupun dibincang oleh Syed Hussein AlAtas lebih 20 tahun lalu tetapi isunya masih sangat relevan dengan masyarakat dan negara kita hari ini.”

Sesuai dengan persoalan rasuah itu maka panel pembicara yang dipilih ialah Dr Syed Husin Ali, seorang ahli akademik yang banyak menghasilkan buku kajian mengenai masyarakat di Malaysia. Pernah aktif politik – menjadi Pengerusi Parti Rakyat Malaysia dan kemudian Timbalan Presiden KeAdilan, dan sekarang tidak aktif lagi. Membaca bukunya “Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali” kita dapat merumuskan betapa Syed Husin adalah seorang yang sangat peka dengan soal rasuah dan integriti.

Seorang lagi panel ialah Tan Sri Robert Phang, aktivis sosial dan pejuang anti rasuah yang terkenal. Pernah menjadi exco Trsanspency International, Malaysia; dan pernah meletak jawatan suatu panel perundingan di SPRM.  Beliau dikatakan sangat sesuai untuk bercakap mengenai persoalan rasuah di negara ini. Manakala bekas Presdien kesatuan sekerja MTUC yang baru dilantik Senator, Syed Shahir Mahmud, akan bertindak sebagai moderator perbincangan.

Mendahului wacana dua tokoh tersebut ialah ucaptama yang akan disampaikan oleh seorang ketua pentadbir sebuah kerajaan negeri yang telah membuktikan pentadbiran di bawah pimpinannya telah berjalan selama 22 tahun tanpa sebarang perbuatan rasuah oleh kakitangannya. Ini beberapa kali terbukti apabila percubaan pihak-pihak tertentu untuk mensabitkan rasuah dalam pentadbiran tersebut, mengalami kegagalan.

Ketua pentadbir yang dimaksudkan ialah Tok Guru Nik Aziz atau gelaran rasminya Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan Darulnaim.

Barangkali inilah pertama kali beliau secara rasminya akan bercakap menceritakan pengalamannya mentadbir negeri Kelantan, dari segi perspektif pentadbiran yang berkesan dalam menghindari rasuah. Bukan secara teori, tetapi secara praktikal, sebagai amalan yang telah terbukti keberkesanannya.

Menyedari hal ini, Dr Halimah selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor menjemput seluruh kakitangan Kerajaan Negeri Selangor, khasnya yang berkaitan dengan pentadbiran, supaya hadir mengikuti wacana ini.

Di samping itu orang ramai juga dijemput hadir. Wacana Ilmu ini akan diadakan pada hari Selasa 26 Jun, mulai 9.00 pagi dan dijangka berakhir 12.30 tengahari. Ia dibuat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, iaitu pejabat kerajaan negeri Selangor atau SUK, Shah Alam.

Luas tempatnya dewan itu. Boleh menampung kehadiran lebih seribu orang. Jangan risau! Datanglah. Inilah peluang untuk mendengar dari mulut orangnya sendiri, ulamak yang bertanggungjawab mentadbir negeri Kelantan yang selama ini macam-macam diceritakan orang. Dan fokusnya kali ini istimewa mengenai pentadbiran dan kepemimpinan yang bersih daripada rasuah.

Manakala dari segi teorinya pula kita menjangka akan dibicarakan oleh dua orang panel yang disebutkan tadi, iaitu Syed Husin Ali dan Robert Phang, yang masing-masing memilikii ilmu dan pengalaman luas dalam pentadbiran dan juga kepemimpinan.

Peluang seperti ini tentulah tidak selalu ada. Kita berbicara mengenai sesuatu yang dianggap seperti mustahil hendak dihapuskan. Tanyalah tokoh-tokoh pimpinan Umno dan BN – mengapa mereka gagal melaksanakan pentadbiran yang bersih daripada rasuah? Dan bukankah segala kemelut penyelewengan dan ketirisan kewangan yang mencacatkan pembangunan masyarakat dan negara kita selama ini adalah berpunca daripada rasuah?

Siapa kata rasuah tidak boleh dihindari dan dihapuskan? Nik Aziz telah membuktikan walaupun dengan kuasa sebuah kerajaan negeri yang terhad, Kelantan boleh melakukannya. Kenapa kerajaan pimpinan Najib tidak boleh?

Datanglah! Forum ini terbuka dan percuma kepada semua orang, terutama mereka yang berminat dengan pentadbiran yang baik, bersih dan berkesan. Dari jauh pun datang, dari dekat pun datang.

Dinsman (Artikel 321, 11/6)
Semarak seni bersama semangat LRR

Di luar jangkaan saya rupa-rupanya sahabat-sahabat dalam Paksi (Seniman Paksi Rakyat) pun begitu teruja dengan projek Lebuhraya Rakyat (LRR) yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan TG Nik Aziz di Kelantan itu.

Razali Endun dalam SMSnya kepada saya berkata: “Aku terfikir projek Lebuhraya Rakyat yang diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan harus disambut oleh Paksi. Projek itu satu projek ikhlas, kerana tak dapat bantuan kerajaan pusat. Aku cadangkan Paksi mengadakan kutipan derma untuk projek ini dengan mengadakan perhimpunan di markas Taman Melewar. Dengan kerjasama Cikgu Ishak Surin.”

Katanya lagi dalam SMS itu, “Kita adakan aktiviti seni, libatkan penulis, sasterawan, budayawan, artis seperti Aishah dan Bob Lokman, juga kartunis Zunar dan kawan-kawan. Juga Pak Samad sebagai jemputan khas.”

Dan seterusnya dia langsung mencadangkan: “Kalau setuju kita boleh adakan rundingan dan bentuk jawatankuasa kerja bagi menjayakan program ini.”

Seorang lagi sahabat Paksi, Nasser Mohamad, menulis dalam blognya Kakisakat, menyatakan dia sangat teruja dengan projek rakyat tajaan kerajaan negeri Kelantan itu. Manakala dari utara, Cikgu Khairuddin pengerusi Masjid Batu di Permatang Pauh, menulis begini dalam SMSnya:

“Saya cadangkan kerajaan Kelantan bina billboard yang besar pada setiap pintu masuk ke Kelantan, lengkap dengan nombor akaun pembinaan Lebuh Raya Rakyat – supaya kami, selain daripada rakyat Kelantan, dapat menyumbang. Iklankan juga dalam Harakah. Insya Allah Masjid Batu akan membantu.”

Saya sangat setuju dengan rancangan Razali itu. “Kita adakan aktiviti seni, libatkan penulis, sasterawan, budayawan, artis….” Dia mencadangkan dibuat himpunan di markas Taman Melewar, tempat yang selalu dianjurkan ceramah oleh Cikgu Ishak Surin dan anak buahnya. Maksudnya himpunan penulis, sasterawan, budayawan dan artis, mengadakan persembahan, dengan tujuan mengutip sumbangan daripada rakyat untuk disumbangkan kepada projek LRR itu.

Bagus cadangannya. Namun otak kreatif dan aktivis saya tidak mahu berhenti setakat di situ. Otak saya menyambung terus lagi daripada situ – kita buat aktiviti seni di tapak projek itu sendiri, di Machang atau di Kuala Krai. Kita berkumpul di sana – para budayawan, sasterawan, seniman yang berjiwa rakyat – kita pernah berkumpul di Kuala Pahang dulu, menyatakan solidariti dengan nelayan perahu kecil; dan kita pernah berkumpul di Kuala Terengganu, baca puisi memulakan kempen bantah PPSMI.

Kemudian kita berkumpul di Kampung Banda Dalam, membantah cadangan pihak Dewan Bandaraya hendak menceroboh khazanah warisan kampung itu untuk digantikan dengan projek kapitalis. Kemudian kita berkumpul pula di Felda Sungai Tengi, menyokong warga Felda mempertahankan hak mereka ke atas tanah ratusan ribu hektar yang hendak diperniagakan oleh Najib dan Isa melalui penyenaraian FGVH itu, dan sekarang…

Sekarang mari kita berkumpul pula di Machang atau di Kuala Krai – semarakkan seni ke dalam semangat rakyat bagi menyatakan yang hak dan benar. Yang hak ialah rakyat Kelantan yang berhak untuk mendapat kemudahan prasarana lebuh raya bagi memudahkan perjalanan antara Kuala Krai dan Kota Bharu sejauh 73 kilometer itu. Tetapi mereka dinafikan hak itu oleh kerajaan pusat yang dikuasai oleh Umno-BN.

Faktanya begitu mudah. Tetapi hairannya masih ramai golongan budayawan, sasterawan dan ilmuan yang tidak menyedari hakikat ini, kerana sebab-sebab yang agak memalukan untuk diulang-ulangi selalu. Mereka terlena dalam kesenangan dan kepentingan tertentu. Ah, biarkanlah! Kita yang mengerti dan memahami – kitalah yang melakukannya.

Saya percaya dengan semangat dan pengertian yang dinyatakan oleh Razali, Nasser dan Cikgu Khairuddin itu. Saya percaya di sana ada ramai lagi yang seperti mereka, yang akan menyambutnya dan menyemarakkannya ke seluruh pelusuk negara. Cikgu Ishak Surin dengan Madrasah Tarbiyah dan Madsrasah Seninya. Cikgu Azmi dengan Teras Pengupayaan Melayunya. Dan ramai lagi, yang bersedia untuk menyumbang, dan bersedia untuk membantu melalui pelbagai cara masing-masing.

Harakah sendiri pun, tentunya bersedia untuk berjalan seiring dengan gerakan ini, melakukan apa-apa yang bagi memudahkan mengalirnya semangat rakyat yang sedang bangkit merata. Inilah harapan kita. Dan saya sekadar merakamkan cetusan dari semangat ini.

Bentuknya agak berbeza. Yang ini memerlukan kesediaan untuk menyumbang (sodaqah). Dan jumlahnya kali ini adalah satu jumlah yang cukup besar. Tetapi ternyata Tok Guru Nik Aziz dan saf pimpinan di Kelantan sedikit pun tidak gentar dengan jumlah sebesar RM1.8 bilion itu. Mereka nampaknya begitu yakin dengan kemampuan rakyat untuk membuat sumbangan sebesar itu.

Barangkali kita akan bermula dengan kumpulan Cikgu Ishak di Taman Melewar. Kemudian barangkali Cikgu Khairuddin dengan gerakan di Masjid Batunya. Dan sambil itu Paksi pun akan menampilkan peranan seni-budayanya, dengan mengharapkan masyarakat Malaysia akan mengubah sikap mereka sedikit demi sedikit, termasuklah golongan penulis dan sasterawan.

Saya juga membayangkan – kalaulah boleh diusahakan sebuah kumpulan puisi yang sesuai dengan persoalan yang dihadapi ini – sepertimana himpunan di Kampung Banda Dalam dulu telah melahirkan antologi puisi 56 penyair itu. Atau lebih berkesan kalau diadakan sayembara menulis puisi Lebuhraya Rakyat?

Dinsman (Artikel 320, 8/6)
Apabila Mat Sabu bercakap soal hakcipta

Petang Sabtu 2 Jun, orang tidak begitu ramai di Galeri Seni Kuala Kubu Baru, tempat berlangsungnya penyampaian hadiah Pertandingan Mengarang Cerpen dan Puisi Berunsur Islam, anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Bernam. Barangkali kerana ramai yang keletihan, pulang dari perhimpunan Hijau di Alor Setar pada malamnya.

Apa pun, hal itu nampaknya sama sekali tidak melunturkan semangat Hj Wahid dan Naharudin, dua orang kuat PAS Hulu Selangor yang bertanggungjawab menganjurkan program tersebut. Mereka kelihatan gembira petang itu bukan sahaja kerana hadirnya beberapa orang penulis cerpen terkenal Selangor seperti Razali Endun dan Aminhad, tetapi barangkali kerana kehadiran Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, dan Mohd Sabu Timbalan Presiden PAS.

Saya juga turut gembira dengan kehadiran dua orang tokoh penting dari parti PAS itu. Kesudian mereka meluangkan masa untuk menghadiri aktiviti seni-budaya – itu yang penting. Dr Halimah hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan mengarang itu (di samping menyampaikan ucapan), manakala Mohamad Sabu hadir untuk perasmian penutup program.

Saya tertanya-tanya juga apa yang Mat Sabu akan cakap dalam majlis yang seperti pada petang itu, yakni bukan majlis politik seperti yang selalu dihadirinya. Juga berhadapan dengan audien yang tidak ramai, tidak seperti audien yang biasa dihadapinya beribu-ribu orang. Di sini hanya ada beberapa orang sahaja – peminat sastera.

Di luar jangkaan saya – Mat Sabu bercakap mengenai soal hakcipta dan betapa masyarakat kita (di Malaysia dan Indonesia) tidak menghargai seniman. Suatu topik yang sangat penting, tetapi tidak pernah mana-mana pun pemimpin politik kita (Pakatan Rakyat) yang mahu bercakap mengenainya, selama ini.

Segera saya teringat kira-kira sepuluh tahun yang lalu, ketika beraktif bersama Nasir Jani dan Ito waktu itu, kami beberapa kali mencuba mengajak pimpinan PAS waktu itu untuk berbincang mengenai perkara hakcipta dan cetak rompak, yang seperti bermaharajalela di majlis-majlis ceramah PAS sendiri. Namun sambutannya sangatlah dingin. Boleh dikatakan tak ada sambutan langsung.

Maka sejak itu kami pun melupakan sajalah idea dan ikhtiar untuk mengurangkan aktiviti haram cetak rompak yang, peliknya, dibiarkan berleluasa di kalanagan peniaga-peniaga dalam majlis-majlis PAS sendiri. Memang pelik! Kerana ada peniaga yang mati-mati berhujah mengatakan kerja dia mencetak rompak itu adalah sebahagian daripada kerja dakwah.

Cubalah anda fikirkan itu. Betapa songsangnya fikiran kita. Namanya pun cetak rompak! Merompak hakcipta atau ‘harta intelek’ orang lain – dan itu dikatakan kerja dakwah?

Barangkali kerana itulah tidak ada seorang pun pimpinan parti waktu itu yang sanggup hendak mengambil inisiatif untuk berikhtiar bagi menghapuskan kerja tidak beretika itu. Atau barangkali waktu itu tidak ada pun pimpinan parti yang mahu memikirkan perkara ini, kerana mereka tidak melihat kepentingannya, dan kerana mereka tidak memahami pun masalahnya.

Maka alhamdulillah, entah kenapa dan entah bagaimana, petang itu tiba-tiba Mat Sabu yang sekarang ini Timbalan Presiden PAS, boleh terfikir untuk bercakap mengenai perkara ini – satu perkara yang tidak pernah diangkat oleh sesiapa pun di kalangan pimpinan parti, yang kami di kalangan Seniman Paksi Rakyat percaya adalah disebabkan tidak adanya kesedaran budaya di kalangan mereka.

Nampanya Timbalan Presiden PAS sekarang seperti memahami apa yang sedang diperjuangkan oleh golongan seniman dan budayawan. Barangkali kerana hubungannya yang semakin rapat dengan tokoh budaya seperti Sasterawan Negara A Samad Said, dan juga dengan beberapa orang artis yang telah menyertai politik PAS seperti Bob Lokman, Iwan, Aishah dan lain-lain.

Tak kiralah apa pun sebabnya. Kalau mengikut ceritanya pada petang itu, kesedaran Mat Sabu tentang perkara ini sebenarnya sudah lama. Sejak dia pergi mencari ahli-ahli kumpulan Orkes Al-Suraya yang terkenal dengan lagu ‘Selimut Putih’ di Indonesia, dan sejak dia ke rumah penyanyi 60-an S. Jibeng di Johor.  Sejak itu lagi dia sudah memahami betapa kurangnya sikap menghargai seni-budaya di kalangan masyarakat kita.

Mengapakah pada petang itu Mat Sabu tiba-tiba memilih untuk bercakap mengenai perkara ini? Tentulah ada sebabnya. Tentulah tidak saja-saja bercakap kerana perlu bercakap sesuatu bagi mengisi acara sahaja. Dan apabila dia telah bercakap begitu tentulah ia tidak habis di situ sahaja. Tentulah ada susulannya, atau perkembangan selanjutnya.

Itulah yang diharapkan oleh golongan seniman dan budayawan. Pemahaman dan pengertian dari sahabat-sahabat pimpinan politik terhadap keperluan seni-budaya. Barangkali Mat Sabu sendiri pun tidak terfikir betapa percakapan kecilnya di Kuala Kubu Baru pada petang itu sebenarnya membawa makna dan mesej yang besar kepada perkembangan seni-budaya, dan seterusnya kesannya ke atas perkembangan kehidupan kita di masa depan.

Sesungguhnya itu adalah satu permulaan baru. Mohamad Sabu selaku Timbalan Presiden PAS sudahpun memulakannya. Dan ditegaskannya juga dalam ucapannya pada petang itu, bahawa masalah hakcipta dan penghargaan kepada karya seni dan budaya ini bukanlah masalah undang-undang, tetapi adalah masalah sikap. Yakni sikap kita dan kawan-kawan kita sendiri, bukannya orang lain.

Maka bagaimanakah kita hendak mengubah sikap kita dan kawan-kawan kita ini? Inilah masalahnya. Marilah kita sama-sama memikirkan.