Background

WACANA BUDAYA 22 MEI 2011

Dinsman
Terharu sokongan berterusan Samad Said di Titi Hayun

Antara perkara paling menarik dalam Bengkel Penulisan CAP-Paksi di Chalet Titi Hayun, Yan, Kedah, 13-18 Mei ialah kehadiran Sasterawan Negara A Samad Said mendampingi 21 orang peserta bengkel selama 3 hari, dan menyampaikan kuliahnya selama dua jam setiap hari sambil berdialog dengan peserta.

Banyaklah cerita dan pesan yang diungkapkan kepada peserta yang terdiri daripada penulis-penulis baru dari seluruh Malaysia. Bukan sahaja pada kuliahnya di hari ketiga dia menyam-paikan pesan dan nasihatnya hati ke hati, sesuai dengan tajuk kuliahnya “Pesan dan kesan kepada penulis baru: Dialog hati ke hati”, tetapi juga pada dua kuliahnya yang lain pun kejujuran dialog hati ke hatinya itu dapat dirasakan.

Saya pun menjadi sangat terharu dan hampir sebak sewaktu menyatakan penghargaan dan terima kasih Paksi kepadanya, di akhir sesi bicaranya di hari ketiga itu. Tambahan pula pesan dan nasihatnya yang pertama kepada para peserta ialah: “Menjadi penulis, menulislah dengan jujur.”

Hubungan Samad Said dengan Paksi selama ini pun memang akrab. Kesediaannya untuk berlakon teater Menunggu Kata Dari Tuhan, dan menjalani latihannya bersendirian di rumah di depan isteri selama berbulan-bulan, dan akhirnya berpindah membuat latihan di Stor Teater DBP, dia kemudiannya dia memutuskan untuk membatalkannya. Mengapa?

Ada beberapa sebab, barangkali. Antaranya, seperti pernah beberapa kali dinyatakan kepada saya, dia bimbang kalau-kalau dia memasuki daerah orang lain dan menyebabkan orang lain itu kurang senang. Dan faktor ini diceritakannya lagi ketika berbicara kepada peserta bengkel di Titi Hayun, sewaktu dia menyatakan bahawa penulis perlu juga meneroka ke bidang seni yang lain di samping menulis.

Samad juga memuji Paksi sebagai badan penulis dan budaya yang bersikap. Hanya satu kelemahan Paksi, katanya, iaitu tidak mempunyai dana untuk membiayai aktiviti-aktiviti seninya, kerana dalam masyarakat kita tidak ada filantropis (dermawan) yang bersedia memberi dokongan biaya kepada badan-badan seni-budaya seperti Paksi.

Jawab saya: “Apa pun, Paksi bersyukur kerana walaupun tidak ada filantropis yang sudi menghulur dana, namun Paksi mempunyai sesuatu yang tidak kurang nilainya, iaitu seorang Sasterawan Negara yang sentiasa sudi berdiri bukan sahaja di belakang, tetapi juga di depan Paksi, bagi memberikan sokongan dan nasihat yang diperlukan.”

Tiga hari kehadirannya mendampingi para peserta bengkel anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara itu, adalah sesuatu yang sangat berharga. Dan saya juga terharu kerana tidak menjangka yang beliau akan membicarakan buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karangan Prof Shaharir itu, dalam bengkel tersebut.

Katanya dia sudah membaca berulang kali buku tersebut, dan dia amat tertarik dengan idea “Ekonomi Kebahagiaan” yang dilaksanakan oleh Tok Guru Nik Aziz dalam pentadbirannya di Kelantan, yang berbeza dengan “Ekonomi Pembangunan” yang dilaksanakan oleh hampir semua pemimpin lain di dunia.

Dalam sesi akhir bicaranya itu juga Samad menyatakan akhir-akhir ini bacaannya tertumpu kepada buku-buku Islam, khasnya yang mengenai kematian, memandangkan umurnya sudah melepasi 76 tahun. Dan dia berdoa agar umurnya dilanjutkan Allah 20 tahun lagi, agar dia sempat “meninggalkan khazanah seni yang akan terus bercakap,” sepertimana Boris Pasternak telah meninggalkan karya agungnya Dr Zhivago.

Selain Sasterawan Negara A Samad Said, CAP juga mengundang tokoh penulis muda yang terkenal dari Indonesia, Herry Nurdi, menyampaikan kuliah mengenai penulisan pada bengkel 6 hari itu. Herry bukan seorang penulis novel, tetapi dia banyak menulis buku-buku hasil penyelidikannya mengenai persoalan umat Islam di beberapa negara yang sedang bergolak hari ini. Antaranya, yang diterbitkan di Kuala Lumpur ialah Perjuangan Muslim Patani, (terbitan Alam Raya, 2010).

Herry sahabat baik Azizi Hj Abdullah (tidak dapat hadir walaupun dialah yang memulakan kerja-kerja persiapan bengkel, kerana masih kurang stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang), hadir di Titi Hayun selama dua hari, dan sempat menyampaikan cerita bagaimana di umur yang masih muda dia telah berjaya menghasilkan lebih 20 buah buku. Antara lain, katanya, dia membaca 30 buah buku dalam sebulan, dan dia mendisiplinkan dirinya menulis 10 muka surat pada setiap hari.

Menariknya juga mengenai penulis prolifik ini, di sisi yang lain, ialah seperti Cikgu Azmi Abdul Hamid (Pengerusi Teras, orang kuat CAP yang berusaha memastikan bengkel penulisan ini dapat berjalan dengan lancar), Herry Nurdi juga tidak memakai seluar seperti kebanyakan kita, tetapi memakai kain sahaja ke mana-mana pun dia pergi. (Cikgu Azmi pun begitu. S.M.Idris Presiden CAP pun begitu.)

Lain-lain tokoh penulis yang hadir menjadi pembimbing peserta bengkel ini ialah A Shukur Harun, Razali Endun, Kassim Muhamad, Hasni Abas dan Dinsman. Semua mereka daripada Paksi. Manakala daripada CAP ialah Presidennya S.M.Idris, dan Cikgu Azmi Ab Hamid.

Turut hadir sebagai peserta bengkel walaupun telah menghasilkan kumpulan cerpen yang baik ialah Ahkarim daripada Kedah. Dengan kumpulan cerpennya Mou Sumi (mengandungi 27 buah cerpen, diterbitkan oleh eSastera Enterprise, 2009) saya menganggapnya sebagai salah seorang penulis cerpen terbaik di Malaysia hari ini.

Seorang lagi peserta yang telah menghasilkan buku ialah Amni Jagat. Bukunya Siapa Lebih Firaun? baru saja diterbitkan (oleh Paksi). Ia sebuah kumpulan sajak-sajak perjuangan. Kalau Ahkarim seorang pesara (pernah menjadi Pengarah JPJ Kedah dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor, Amni Jagat pula adalah seorang anak muda yang baru berusia 27 tahun.

Sebenarnya profil peserta bengkel ini sangatlah menarik, menjadikan bengkel ini, seperti kata sebahagian mereka yang berpengalaman menghadiri bengkel, lain dari yang lain. Ia sangat interaktif, dan sentiasa rancak dengan dialog apabila tiba sesi dialog.

Namun walau apa pun, tujuan kami ialah untuk menghasilkan penulis yang benar-benar menulis. Apakah tujuan ini akan tercapai? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

(Tersiar dalam Harakah Isnin 23 Mei 2011, kolum Wacana Budaya)

Categories: Share

Leave a Reply