Background

UCAPTAMA DI KONVENSYEN PENULIS 2011

Merakyatkan Ilmu:
Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan


(Al-Quran surah al-Baqarah ayat 30-33).

Maksudnya: “Ketika Tuhan berfirman kepada para malaikat, Aku akan jadikan seorang khalifah di bumi; mereka berkata apakah Engkau akan jadikan di sana makhluk yang akan membuat kerosakan dan menumpah darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih, bersyukur dan mensucikan Engkau? Tuhan berkata Aku lebih mengetahui apa-apa yang kamu tidak mengetahui.

“Tuhan pun mengajarkan Adam nama-nama kesemuanya, kemudian dibawa kepada malaikat dan Tuhan berfirman: Sebutkanlah kepada-Ku nama-nama semua itu, sekiranya kamu di pihak yang benar.

Para malaikat berkata: Mahasuci Engkau, kami tidaklah berilmu melainkan apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berilmu dan bijaksana.

“Tuhan berfirman: Hai Adam, sebutkan nama-nama itu. Apabila Adam sebut semua nama-nama itu, Tuhan berkata: bukankah Aku telah katakan kepada kamu – Aku mengetahui yang ghaib di semua langit dan bumi, dan Aku mengetahui semua yang nyata dan yang tersembunyi.”

Ayat al-Quran yang saya baca sebagai membuka bicara pertemuan kita yang sangat bermakna hari ini – Allah Ta’ala menceritakan kisah ketika Dia mula mencipta manusia. Para malaikat makhluk yang ada pada waktu itu mempersoalkan apa perlunya lagi Tuhan mencipta makhluk lain, sedangkan mereka adalah makhluk yang sentiasa bertasbih sentiasa memuji dan sentiasa membesarkan Allah. Ketika itu Allah menzahirkan apa kelebihannya makhluk yang bernama manusia ini.

Wa-‘allama aadamal asmaa-a kullahaa. Tuhan mengajarkan Adam nama-nama seluruhnya, yang apabila diminta malaikat menyebut nama-nama itu malaikat gagal menyebutnya, tetapi Adam menyebutnya dengan sempurna. Itulah kelebihan makhluk bernama manusia – ilmunya. Manusia adalah makhluk berilmu. Kerana berilmunya itulah maka para malaikat sujud hormat kepada manusia. Tetapi pada ketika itu juga, iblis mengisytiharkan permusuhannya yang berterusan terhadap manusia.

Demikianlah kisahnya bagaimana Allah menetapkan asas kejadian dan kehidupan manusia. Ilmu adalah asas terpenting. Manusia itu fitrahnya adalah berilmu. Kalau tidak berilmu, dia tidak menepati fitrahnya sebagai manusia.

Maka tepatlah hari ini kita berkumpul di sini bagi menyambut Hari Ilmu. Dan tepat serta bijaksanalah pihak Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dan pihak Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif mengadakan sambutan Hari Ilmu pada setiap tahun. Syabas dan tahniah! Selangor mendahului negeri-negeri lain!

Kita menyambut Hari Ilmu, dan seperti yang saya sebut tadi secara tidak langsung kita juga mengingat kembali dan menyegarkan semula ingatan kita kepada kisah asal mulanya penciptaan manusia oleh Allah SWT. Bagaimana ilmu diletakkan di tempat yang begitu tinggi dan mulia dalam fitrah kejadian manusia. Dan bukan itu sahaja.

Menyambut Hari Ilmu juga mengingatkan kita kepada ilmu itu sendiri – bagaimanakah ilmu itu terjadi, bagaimanakah ilmu itu berkembang, bagaimanakah ilmu itu sampai kepada kita, bagaimanakah kita boleh menjadi orang berilmu? Soalan-soalan ini tentunya membawa kita berfikir mengenai penulis, kerana penulislah yang bertanggungjawab dan berjasa merakamkan ilmu, memeliharanya dan menyebarkannya.

Tanpa penulis ilmu takkan berkembang, takkan tersebar dan takkan dapat diwarisi zaman berzaman. Tanpa penulis juga ilmu takkan dapat dimajukan dan dimanfaatkan oleh manusia, dan tanpa penulis juga dunia dan tamadun manusia takkan terjadi atau mencapai ke tahap seperti keadaannya hari ini.

Maka sekali lagilah kita berterima kasih kepada pihak Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan kerana memilih tema yang sungguh tepat dan relevan untuk sambutan Hari Ilmu tahun ini. Memberi penghargaan yang sungguh bermakna kepada golongan penulis.

Mengadakan pertemuan dan konvensyen penulis dalam suasana yang mendapat perhatian pihak kerajaan negeri sendiri, dengan promosinya yang begitu gah dan heboh – ini tidak pernah berlaku sebelum ini – walaupun kehadiran tidak begitu ramai seperti yang dirancangkan pada mulanya. Tetapi memang beginilah realitinya hari ini. Golongan penulis – dan apabila disebut penulis maksudnya termasuklah juga para seniman, budayawan, ilmuan, intelektual – golongan ini sudah lama dipinggirkan dan sudah lama terpinggir.

Orang sudah lama lupa kepada jasa dan peranan penting golongan ini. Masyarakat hari ini sudah lama meminggirkan golongan penulis, seniman, budayawan, ilmuan dan intelektual. Termasuk pihak kerajaan juga, sudah lama meminggirkan golongan budaya.

Dan apabila saya sebut begini, apabila saya katakan masyarakat hari ini termasuk kerajaan juga sudah lama meminggirkan golongan penulis, budayawan dan intelektual; jangan ingat saya hanya maksudkan kerajaan Umno-BN sahaja. Kerajaan Pakatan Rakyat pun sama, malah dalam hal ini mungkin kerajaan Umno-BN lebih baik sedikit.

Maaf kerana saya berterus-terang di sini. Dan sebelum saya berlarutan dengan banyak lagi menyebut hal-hal yang agak kurang enak didengar – biarlah saya cuba memberi sedikit analisa mengenai perkara ini.

Tetapi sebelum itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih istimewa kepada Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selanagor, Puan Hjh Mastura Muhamad, kerana memberi kepercayaan penuh kepada Paksi (Seniman Paksi Rakyat Malaysia) untuk terlibat secara aktif dalam pelaksanaan sambutan Hari Ilmu tahun ini, khasnya Konvensyen Penulis, dan secara tegas meminta supaya saya sendiri selaku Presiden Paksi menyampaikan ucapan pembuka bicara ini.

Saya tanya juga kenapa. Katanya kerana Paksi mempunyai banyak pengalaman dikecewakan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN dan juga Pakatan Rakyat dalam usaha untuk menghidupkan, mengaktifkan dan merakyatkan seni-budaya khasnya di negeri Selangor. Jadi, katanya, biar kesempatan ini digunakan untuk berdialog secara terus terang dengan Menteri Besar sendiri, kerana hanya Menteri Besar yang boleh menyampaikan hasrat dan hajat Paksi untuk mengaktifkan dan merakyatkan seni-budaya yang bernilai tinggi, bernilai ilmu, di negeri Selangor yang makmur ini. Dan supaya selepas ini kalau Menteri Besar bersetuju agar seni-budaya dimajukan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk rakyat, seniman-seniman dan budayawan Paksi sudah ada dan bersedia untuk melaksanakan dan menjayakan persetujuan Menteri Besar nanti.

Alhamdulillah, Paksi akhirnya bertemu juga dengan orang yang memahami aspirasi, cita-cita dan perjuangan serta tekad budaya atau cultural will-nya. Dan komitmen serta kepercayaan pihak Puan Mastura ini teruji keberkesanannya yang pertama apabila kami berbincang dengan YB Exco Dr Halimah Ali bagi mewujudkan anugerah Tokoh Penulis Selangor. Tanpa banyak bicara YB Exco bersetuju, dan hari ini kita dapat menyaksikannya. Dengan bukti pertama ini, kami percaya insya Allah seni budaya dan keilmuan akan dapat diangkat untuk diletakkan di tempatnya yang sepatutnya dalam masyarakat kita – masyarakat yang semakin hari semakin bercelaru dan tidak seimbang.

Sdr-sdr para penulis dan budayawan yang dihormati,
Secara umumnya kita semua tentu faham dan bersetuju apabila dikatakan masyarakat kita hari ini berada dalam keadaan yang penuh pancaroba, bercelaru, haru-biru dengan pelbagai penyakit dan gejala sosial yang tak terbendung, atau dengan kata lain – masyarakat yang tak seimbang dan tak harmoni.

Pandangan Paksi, begini: Penulis, seniman, budayawan dan ilmuan mempunyai peranannya dalam kehidupan masyarakat. Dan sejarah membuktikan perkara ini. Peranan penulis-penulis hadis Nabi misalnya, sangat besar, sampai ke hari ini. Islam terpelihara selepas kewafatan Nabi (saw) adalah kerana penulis-penulis yakni penyusun Hadis ini. Begitu juga peranan imam-imam mazhab yang menulis seperti Shafi’e, Ahmad bin Hambal, Imam Malik, dan tokoh-tokoh pemikir seperti Ibn Khaldun, Al-Ghazali, Ibn Taimiyah, Iqbal dan banyak lagi. Yang dekat dengan kita seperti Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari, Hamka. Dan dalam tamadun Barat misalnya siapa yang tidak kenal Shakespeare. Penulis-penulis ini mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat.

Sampai ke hari ini setelah ratusan tahun bahkan ada yang lebih seribu tahun, orang masih ingat nama mereka. Kenapa? Kerana peranan mereka, kerana kesan daripada karya mereka terhadap masyarakat dan terhadap manusia. Orang membaca tulisan al-Ghazali misalnya sampai ke hari ini, untuk mendapat panduan bagaimana mencari kedamaian dalam hidup. (Lepas ini barangkali Paksi patut mengadakan majlis sambutan untuk Al-Ghazali. Tahun ini genap 900 tahun dia meninggal, mengikut kalendar Masehi).

Di sini saya tak bertujuan untuk bersyarah mengenai peranan dan jasa tokoh-tokoh tersebut. Cukuplah kalau saya menganalisa satu peristiwa yang paling dekat dengan kita, iaitu peristiwa Reformasi September 1998. Ini suatu waktu dan ketika yang sangat penting, dan genting, yang seharusnya seniman-budayawan-ilmuan-penulis kita menyatakan sikap, kerana ia menyentuh soal kebenaran dan keadilan. Tetapi di manakah penulis, budayawan dan ilmuan kita ketika itu?

Di negara kita awal abad 20 dulu golongan penulislah yang paling aktif menggerakkan dan memimpin perubahan dalam masyarakat. Orang-orang seperti Syed Sheikh Alhadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Ahmad Rashid Talu, Rahim Kajai dan Za’ba adalah penulis, budayawan, ilmuan di zamannya. Mereka yang memulakan gerakan pembaharuan atau sekarang kita sebut Reformasi.

Tetapi apabila seorang Perdana Menteri memfitnah Timbalannya pada Septrmber ‘98 itu dan memecatnya, sebagai usaha untuk mengekalkan kuasanya, apa reaksi daripada golongan penulis? Kebanyakannya membisu, manakala yang bertugas di media mereka seperti berpakat membuat pembohongan demi pembohongan, membantu pihak berkuasa mempertahankan kuasa, walaupun pihak berkuasa itu jahat, zalim dan dimarahi rakyat.

Di situlah bermulanya zaman pancaroba di negara ini, yang merosakkan satu demi satu nilai-nilai murni dan institusi-institusi penting dalam masyarakat, hingga hari ini keadaannya sudah menjadi begitu parah sekali.

Sdr-sdr,
Keadaan tentunya tidak akan terjadi begini parah sekiranya para penulis-budayawan- ilmuan kita terdiri daripada mereka yang berpegang pada prinsip menjulang dan menegaskan kebenaran. Tetapi mereka telah bersikap dan berperanan yang sebaliknya, bersekongkol dengan pihak berkuasa dan agen-agennya, dengan menghasilkan tulisan-tulisan dan ucapan propaganda yang penuh dengan fitnah dan pembohongan.

Itulah maka terjadinya apa yang telah terjadi dan sedang terjadi di negara kita – kacau-bilau, hura-hara, bercelaru, hingga rakyat menjadi bengong tak dapat nak membezakan mana yang benar dan mana yang bohong.

Keengganan para penulis, budayawan dan ilmuan, termasuk ulama kita memainkan peranan memihak kepada kebenaran, telah mengakibatkan kehidupan masyarakat kita menjadi tidak seimbang. Yang berperanan aktif menentukan corak dan rentak kehidupan hari ini adalah orang-orang politik dan orang-orang bisnes yang berkepentingan diri.

Maka lihatlah apa yang sedang berlaku. Segala-galanya dalam kehidupan kita hari ini telah dipolitikkan oleh orang-orang politik, dengan orang-orang bisnes berdiri di belakang, memberi sokongan dan menentukan arah bagi menambahkan kekayaan masing-masing. Rakyat sekadar diperalatkan dan menjadi mangsa kepada kerakusan mereka. (Ini yang sedang diusahakan oleh Tan Sri Khalid untuk membetulkan semula beberapa perkara yang melibatkan hak rakyat, sehingga terpaksa ke mahkamah – kes dengan Syabas misalnya, dan yang terakhir dengan Alam Flora).

Okey - Kenapakah golongan penulis sekarang tidak lagi memainkan peranan seperti dulu? Paling jelasnya golongan penulis mulai terpinggir dan meminggir dari kelompok yang memimpin dan menentukan kehidupan masyarakat ialah – apabila pengaruh materialisme dan kapitalisme mulai mendominasi kehidupan. Dan di zaman Mahathir, khasnya melalui dasar Malaysia Incorporated dan program penswastaannya, pengaruh materialisme dan kapitalisme ini semakin kuat meresap dan mencengkam jiwa orang Melayu.

Serentak dengan itu jugalah tumbuh dan dengan cepatnya menjadi berleluasa amalan rasuah dan penyelewengan kuasa di kalangan tokoh-tokoh politik dan pegawai-pegawai kerajaan, kerana nilai kebendaan sudah diletak di tempat paling atas dan semua orang berebut-rebut untuk menjadi kaya dan mengejar kehidupan mewah.

Dalam masa sama juga nilai moral dan akhlak yang diajar oleh agama tidak lagi dipedulikan. Maka berlakulah keruntuhan akhlak dan pelbagai gejala sosial yang seperti tak dapat dibendung lagi. Soalnya siapa yang hendak membendungnya? Sebenarnya tak ramai pun orang yang benar-benar mahu mengambil tanggungjawab melakukan perkara baik dan makruf ini, walaupun ia dituntut oleh Islam.

Inilah perspektifnya, dan inilah hakikatnya. Maka saya sering menegaskan bahawa bukan politik sahaja yang kita perlukan untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Kita juga perlukan seni budaya. Bukan political will sahaja yang kita perlukan, tetapi kita juga perlukan cultural will. Bukan tekad politik saja yang kita perlukan. Kita juga perlukan tekad budaya.

Apa maksud tekad budaya atau cultural wiil? Orang selalu mengatakan kalau kita hendak membuat perubahan kita perlukan political will, maksudnya mesti ada keberanian politik untuk melakukan tindakan yang diperlukan. Dan keberanian politik itu semestinyalah dimaksudkan pada orang politik. Kita sudah lupa pada cultural will atau tekad budaya; sedangkan seperti saya jelaskan tadi, yang memulakan perubahan dalam masyarakat kita, yang menggerakkan kesedaraan rakyat untuk kemerdekaan, adalah orang-orang budaya, dengan kesedaran dan dorongan budaya.

Baru-baru ini, rakyat yang dikecewakan oleh tindakan pimpinan politik Melayu Umno yang lupa pada budaya sendiri, hingga sanggup hendak membunuh bahasanya sendiri melalui program PPSMI itu, dengan kesedaran budaya, dan digerakkan oleh orang-orang budaya seperti Sasterawan Negara A Samad Said, Datuk Hassan Ahmad, Profesor Shaharir dan Hasni Abas (Setiausaha Paksi) – kita menyaksikan 100 ribu rakyat turun ke jalanraya menuntut dimansuhkan PPSMI itu. Itulah cultural will, atau tekad budaya – keberanian budaya.

Jadi kita bukan sahaja perlukan political will, tetapi kita juga perlukan cultural will – keberanian budaya. Masyarakat kita sebenarnya perlukan kepada budaya.

Sdr-sdr para penulis dan budayawan yang saya hormati,
Sekarang izinkan saya bercakap sedikit mengenai lanskap. Kalau sdr rajin berjalan di sekitar Shah Alam ini, juga di Subang Jaya, sdr mungkin akan terpesona dengan kebersihan dan keindahan lanskapnya. Pokok-pokoknya dijaga dengan baik, dipotong dengan rapi, sampah-sarapnya dikutip dan dibuang ke tempat yang khas. Belanjanya pun tidaklah kecil. Puluhan juta atau ratusan juta setahun. Kalau ditambah dengan kos penjagaan sungai, parit dan longkang. Jumlahnya tentulah sangat besar. Tetapi alhamdulilah, Kerajaan Negeri dan majlis-majlis perbandaran, bandaraya dan majlis daerah sanggup berbelanja walaupun besar, demi untuk kesejahteraan dan kesihatan, dan juga untuk memujuk pelancong.

Itu lanskap yang kita panggil lanskap taman, atau mudahnya saya panggil lanskap tanah. Ada satu lagi lanskap yang penting di negara kita, iaitu lanskap minda. Berbeza dengan lanskap tanah yang mudah dilihat, lanskap minda agak sukar untuk dilihat. Tetapi sebenarnya tidaklah begitu sukar untuk kita melihat kesannya kepada tingkah-laku manusia. Apa yang kita panggil gejala sosial itu adalah sebahagian daripada kesannya. Jenayah juga adalah sebahgian daripada kesan lanskap minda yang tidak terurus.

Sdr-sdr,
Seni-budaya dan penulisan ada peranan dan haknya dalam kehidupan manusia. Cuma haknya itu tidak kelihatan jelas apabila dilihat dengan mata kasar. Maka itu orang lebih memahami akan keperluan menjaga lanskap tanah daripada menjaga lanskap minda. Memotong ranting dan dahan pokok besar yang telah tumbuh meliar, dengan mudah dibelanjakan seribu ringgit bagi satu pokok misalnya, tetapi untuk menjemput seorang penulis sepenting Sasterawan Negara untuk membaca puisi atau bercakap mengenai buku dan ilmu, tidak berjumpa dicari di mana peruntukannya.

Akibatnya pertumbuhan lanskap tanah sentiasa dijaga agar kelihatan indah dan sedap mata memandang, tetapi pertumbuhan lanskap minda terjadi tanpa penjagaan. Akibatnya itulah dia – berleluasa gejala sosial, jenayah, rasuah, salahguna kuasa, penagihan dadah, keruntuhan akhlak, anak luar nikah, buang bayi dan sebagainya.

Orang tidak nampak apa hubungannya antara permasalahan sosial itu dengan seni-budaya dan penulisan. Memang sukar melihatnya dengan mata kasar. Ia perlu dilihat dengan mata fikir dan mata hati, perlu dianalisa dan dikaji. Ia memerlukan waktu untuk melihatnya. Orang yang selalu terkejar-kejar dengan waktu dan enggan memperuntukkan waktunya bagi memahami masalah minda dan jiwa ini, yakni masalah budaya, tak akan dapat ‘melihat’nya. Ini yang sedang berlaku.

Kami dalam Paksi dan Budayawan Bertindak telah perhatikan – itulah masalah yang dihidapi oleh pimpinan politik baru atau orang politik yang baru memegang kuasa, khasnya di negeri Selangor. Sentiasa sangat sibuk – hingga tidak ada masa langsung untuk bercakap mengenai budaya. Hinggakan Exco Kebudayaan sendiri pun tidak ada masa untuk berjumpa dengan orang budaya, khasnya kami dari kumpulan Paksi, untuk berbincang mengenai pelaksanaan program-program seni budaya.

Sebaik sahaja Exco kebudayaan diwujudkan, iaitu dengan menambahkan portfolio Kebudayaan kepada Exco yang sedia ada waktu itu, Exco Kebajikan, Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, kami membuat perjumpaan, dan kemudian menyiapkan 14 program untuk dilaksanakan dalam tahun 2009. Akhir tahun itu, didapati hanya sebahagian saja daripada satu sahaja program dapat dilaksanakan, walaupun kesemua yang kami kemukakan itu diterima dan disetujui untuk dilaksanakan.

Kita pun tunda ke tahun 2010. Orang politiknya semakin sibuk. Maka Sasterawan Negara yang bersedia hendak membincangkan sumbangannya untuk seni-budaya di Selangor, pun memutuskan untuk menarik diri. Dan Paksi pun akhirnya terpaksa melupakan 14 program tersebut, untuk mengalihkan fokusnya kepada pihak lain, supaya luka dari kekecewaan itu tidak sampai membunuh niat baik kami untuk menyumbang kepada pembinaan jiwa dan minda umat, sesuai dengan tuntutan Islam.

Saya tidaklah berhasrat untuk membentangkan program-program seni budaya yang saya maksudkan 14 program itu dan juga yang lain-lain yang kami fikir perlu dilaksanakan di negeri Selangor, pada saat ini, kerana ia akan mengambil masa yang terlalu panjang. Kurang sesuai di sini. Namun saya dan kawan-kawan Paksi sangat berharap untuk membentangkannya dalam sesi yang lain, khas kepada Menteri Besar YAB Tan Sri, kerana kami percaya aktiviti politik dan pemikiran politik yang keterlaluan sekarang, perlu diseimbangkan dengan seni budaya – aktivitinya dan juga pemikirannya.

Kesibukan berpolitik yang keterlaluan itu perlu dikurangkan. Dalam setahun dua ini, apa yang berlaku ialah – apabila kita kemukakan program budaya kepada pimpinan politik, kita selalu terima jawapan:  Ah, sekarang ni kita sibuklah, dengan pilihanraya kecillah, dengan mesyuarat partilah, dengan itulah, inilah. Akhirnya dia kata: “Beginilah! Tunggu habis pilihanraya kecil ni, kita bincang.”

Maka tunggulah kita. Habis satu pilihanraya kecil, ada satu lagi pilihanraya kecil, dan timbul pula benda lain. Begitulah – hingga tahun pun habis, masuk tahun baru diulang lagi perkara yang sama, hinggalah tahun baru pun habis lagi – program seni budaya tidak juga dapat dibincangkan. Masa berlalu – dua tahun menunggu.

Mereka fikir – program seni budaya ni, kalau kita dah tak ada kerja lain nak buat, bolehlah kita tengok untuk kita fikirkan.

Sdr-sdr para penulis dan budayawan.
Rasanya elok kalau bicara saya ini sampai di sini saja dulu – dalam kesempatan yang sangat bermakna ini. Terima kasih yang sebanyak-banyaknya kepada Tan Sri Khalid, Menteri Besar, kerana sudi duduk mendengar celoteh saya yang mungkin agak kasar sedikit tadi, saya minta maaf. Terima kasih sekali lagi kepada Dr Halimah dan Puan Mastura.

Categories: Share

Leave a Reply