Background

20 TAHUN LALU NIK AZIZ PERNAH MINTA


Dinsman (Artikel 332, 27/7)
20 tahun lalu Nik Aziz pernah minta

Sempena Ramadhan saya mengambil kitab Tafsir Surah Yunus oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat terbitan MHI Publication, (diusahakan oleh Maahad Dakwah wal-Imamah, Kota Bharu), untuk menelaah ulang. Sampai pada tafsir ayat kelima, “Dialah yang menjadikan matahari cerah dan bulan bercahaya dan menetapkan baginya beberapa manzil supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hisab…,” Tok Guru Nik Aziz melencong keluar sedikit daripada aliran tafsirnya.

“Saya hendak sebut hari ini,” katanya, “di balaisah-balaisah kampung, biasanya tok-tok guru mengajar, ustaz-ustaz mengajar… umumnya dia mengajar bab fikah, hal zakat, kahwin, mandi junub, sembahyang, puasa. Boleh dikatakan zaman-berzaman lagi balaisah-balaisah dan masjid-masjid diguna untuk pengajian fikah, tauhid, tajwid dan sebagainya. Tidak ada orang mengajar geografi di atas balaisah, tidak ada orang mengajar kesihatan di atas balaisah, tidak ada orang mengajar sains di atas balaisah, sedangkan ayat tadi menunjukkan matahari yang Tuhan buat kesannya amat besar dan berguna dalam kehidupan makhluk, di samping memberi sinaran cahayanya yang cerah.”

Buku tafsir ini sebenarnya adalah salinan daripada teks kuliah mingguan pagi Jumaat Nik Aziz di Dewan Zulkifli Muhammad (sekarang Dataran Ilmu), Kota Bharu, pada Mac hingga November 1991, iaitu empat bulan setelah beliau menjadi Menteri Besar. Tafsir ayat lima ini dikuliahkan pada 10 Mei 1991.

Seterusnya kata Tok Guru Nik Aziz, waktu itu: “(Ayat 5 surah Yunus ini) bukan ayat fikah, bukan ayat tauhid, tetapi ayat geografi yang membawa juga kepada fikah dan tauhid. Mengapa tidak ada cikgu kita menggunakan ayat ini untuk mengajar geografi di balaisah?”

Yang menarik perhatian saya ialah idea Nik Aziz supaya tafsir al-Quran bukan sahaja dibuat oleh orang-orang agama, tetapi oleh orang-orang yang tahu ilmu geografi, kesihatan, sains dan ekonomi; kerana al-Quran juga mengandungi ayat-ayat yang memerlukan ilmu berkenaan untuk memahaminya.

Kata Tok Guru Nik Aziz lagi: “Awak yang mengaji di sekolah, lulus sampai boleh jadi doktor, tolong sebar ilmu kesihatan ini di balaisah juga. Jangan biarkan balaisah bagi orang kampung mengajar fikah dan tauhid sahaja, seakan-akan Tuhan tidak buat benda lain selain fikah dan tauhid. Sedangkan sebanyak mana ilmu atas muka dunia samada yang dikaji oleh orang putih, orang Jepun, semuanya turun daripada langit belaka.”

Keyakinan Nik Aziz terhadap ketinggian dan kesempurnaan Islam dan al-Quran begitu hebat sekali. Ini terlihat pada kata-katanya: “Perkara ini perlu diberitahu di atas balaisah (surau) – oleh orang yang pandai – kepada masyarakat semua supaya lahir satu masa kelak tidak ada orang yang lebih pandai di atas muka dunia selain daripada orang Islam.”

Ternyata Nik Aziz sejak tahun 1991 itu lagi sudah menyimpan satu harapan dan cita-cita yang begitu tinggi – ingin agar suatu hari nanti orang Islam yang menguasai ilmu-ilmu yang tinggi dan berpengaruh di dunia, melebihi orang bukan Islam.

Perhatikanlah hujahnya ini. “Sekarang timbul orang Amerika pandai, orang Jepun pandai, hingga sampai kita jadi serabut bagaimana orang kafir pandai daripada aku. Dia tidak sembahyang tetapi cerdik daripada aku. Macamana? Kerana kamu bodoh! Kamu ada al-Quran tetapi kamu tidak baca. Kalau baca pun bertujuan hendak hambat pelesit. Kalau ada budak-budak dikekah pelesit baru gaduh baca Yasin. Yasin bukan untuk hambat pelesit, tetapi untuk hambat jahil dalam dirimu sendiri.”

Dalam kuliahnya itu Nik Aziz begitu sekali mengharapkan orang-orang yang mempunyai ilmu kedoktoran, misalnya, agar sudi menyebarkan ilmu mereka di masjid-masjid dan surau-surau – “supaya orang kampung tidak lagi berpenyakit cacing, demam kura, digigit nyamuk Aedes, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain. Insya Allah lepas ini balaisah tidak lagi hanya diguna untuk mengajar ilmu fikah dan tauhid, bahkan diguna untuk mengajar sebanyak mana ilmu yang diturunkan Allah melalui al-Quranul-karim.”

Orang yang pandai ilmu ekonomi dan perniagaan juga diharapkan oleh Nik Aziz supaya mengajar di masjid dan surau, “supaya orang kampung merasa bahawa tidak ilmu fikah sahaja turun dari langit, ilmu berniaga juga dari langit.”

Malah Nik Aziz mengharapkan: “kepada cikgu-cikgu yang faham ilmu-ilmu begitu, cuba tulis sejenis buku atau kitab dengan bahasa yang rendah sedikit, supaya tok lebai kampung boleh faham.”

Tidak itu sahaja harapan Nik Aziz. Dia malah sampai berfikir ke arah menjadikannya benar-benar dilaksanakan. “Kalau payah sangat,” katanya, “kita boleh buat kursus. Pihak Majlis Agama Islam, pihak Jabatan Hal Ehwal Islam, pihak Pejabat Menteri Besar boleh belanja duit sedikit, panggil tok-tok guru kampung buat kursus tiga hari dua malam. Tuan-tuan ajar kitab geografi ini untuk mengenal Tuhan. Tuan-tuan ajar kitab vitamin ini supaya orang kampung tahu bahawa kesihatan berpunca dari vitamin dan (seterusnya)…”

Itu harapan Nik Aziz sewaktu awal-awal menjadi Menteri Besar lagi – Mei 1991. Maka saya bertanya, bagaimanakah keadaannya sekarang? Apakah harapan dan cita-citanya itu telah dilaksanakan? Atau sejauh manakah harapan dan cita-cita yang diucapkan Nik Aziz 20 tahun yang lalu itu telah dilaksanakan setakat ini? 

Saya sendiri tidak tahu. Tidak pernah mendapat maklumat mengenai perkara itu, dan tidak pernah pun mendengar kawan-kawan dan kenalan di Kelantan bercakap mengenainya – baik semasa saya menyiapkan buku “10 Tahun Membangun Bersama Islam”, atau semasa menyiapkan buku “100 Fakta Kelantan Mengubah Malaysia”, atau sewaktu menyiapkan dokumentari “20 Tahun Membangun Bersama Islam”.

Sewaktu pertama kali membaca Tafsir Surah Yunus ini beberapa tahun dulu, saya sudahpun membaca perkara ini, tetapi waktu itu tidaklah ia menangkap sangat fikiran dan perhatian. Berbeza apabila saya membacanya semula kali ini. Saya melihatnya sebagai satu perkara yang sangat penting. Terutamanya harapan dan cita-cita Tok Guru Nik Aziz bahawa: suatu hari nanti orang Islam yang menguasai ilmu-ilmu yang tinggi dan berpengaruh di dunia, melebihi orang bukan Islam.

Mengapa perkara ini tidak mendapat perhatian serius kita selama ini?

Categories: Share

Leave a Reply