ISU AIR SELANGOR: SIAPA LEBIH CEKAP?
Dinsman
(Artikel 333, 30/7)
Isu air
Selangor: Siapa lebih cekap?
Lihat
dari perspektif rakyat, apa sebenarnya isu air di Selangor ini? Kerajaan Negeri
salahkan Syabas (syarikat yang dilantik oleh kerajaan Umno-BN bagi menguruskan
air secara swasta di Selangor), Syabas salahkan Kerajaan Negeri, dan Kerajaan
Pusat juga salahkan Kerajaan Negeri, dan sokong Syabas. Nampak macam Kerajaan
Negerilah yang salah.
Tapi
isu di sini sebenarnya apa? Kenapa Syabas menyalahkan Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Negeri salahkan Syabas dan Kerajaan Pusat pun salahkan Kerajaan Negeri
– ini sebenarnya kenapa? Apa isu sebenarnya di sini? Kenapa masing-masing nak
salahkan pihak yang lain itu?
Itulah
mulanya. Kenapa saya kata itulah mulanya? Kerana tindakan Khalid Ibrahim itu jelas
bertentangan dengan semangat dan falsafah pemerintahan kerajaan Umno-BN yang
sentiasa mengintip peluang untuk mengkayakan kroni-kroni mereka. Pihak pimpinan
Syabas (yang gaji CEO-nya saja pun dikatakan hampir setengah juta RM setiap
bulan) tentunya sudah dapat menghidu berita buruk yang bakal menimpa masa depan
mereka.
Daripada
situ lagi – titik mula tercetusnya apa yang dikatakan krisis air di Selangor
ini – kita sepatutnya sudah boleh membaca apakah sebenarnya isunya. Isunya
bukan krisis air. Isunya ialah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dibawa
oleh pimpinan Khalid
Ibrahim
dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor itu. Dasar itu adalah satu tamparan
kuat di muka pimpinan Umno-BN. Dan gegaran dari tamparan itu paling kuat
dirasakan pada penswastaan. Maka sejak itu lagi pimpinan Syabas sudah merasakan
bangunannya sudah mulai bergoyang (dan akan runtuh).
Dan
apabila Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu Air Selangor yang dipengerusikan
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan Selangor
untuk mengambil alih Syabas, Isnin 23 Julai lalu, keputusan itu memang sudahpun
dijangka. Tak mungkin kerajaan Umno-BN (yang sudah merasa tamparan Khalid di
mukanya itu) akan bersetuju dengan cadangan kerajaan PR Selangor itu.
Sebab
apa tak setuju? Pertama, kalau dia setuju bererti awal-awal lagi dia sudah
mengaku kalah. Dia mengaku yang Syabas gagal menjalankan tugas (seperti dalam
perjanjian), seperti yang didakwa oleh Khalid, dan dia mengaku akan kelemahan
sebuah syarikat besar yang selama ini menjadi harapan mereka (Umno-BN) dalam beberapa
tujuan yang bersifat politik dan kewangan.
Kedua,
kalau dia setuju bererti dia mengaku kalah kepada Tan Sri Khalid dalam
persaingan politik. Seperti disebut di atas tadi, isu ini sebenarnya bukan isu
air tetapi isu dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) lawan dasar Penswastaan
kerajaan Umno-BN, (yang dipelopori oleh Dr Mahathir), yang satu demi satu
menampakkan kegagalannya, sekaligus membuktikan kelemahan dan kesilapan
pimpinan Umno-BN.
Ini
sebenarnya bukan isu kecil, dan bukan juga isu besar sebesar RM8.65 bilion
(nilai loji Langat 2 yang dijadikan tumpuan dalam krisis antara kerajaan negeri
Selangor dengan kerajaan pusat) itu sahaja. Nilai dan makna serta implikasi
politik yang sebenar daripada isu yang berpusat pada krisis air Selangor ini adalah
jauh lebih besar daripada itu.
Pada
mulanya ia mungkin hanya isu perniagaan dan kewangan, iaitu jangkaan pendapatan
Syabas yang akan merosot disebabkan keengganan kerajaan Selangor kepada
beberapa rancangan dan cadangan Syabas, seperti pembinaan loji Langat 2 dan
kenaikan tarif air. Maka pihak Syabas pun menjalankan kempen di media awam bagi
meyakinkan orang ramai terhadap krisis air yang semakin meruncing, yang akan
dihadapi oleh rakyat Selangor sekiranya kerajaan negeri terus enggan meluluskan
cadangan Syabas itu. Tujuan kempen tersebut ialah untuk memberi tekanan kepada
kepimpinan Khalid Ibrahim supaya bersetuju dengan cadangan Syabas berkenaan.
Itu sahaja.
Mereka
menjangkakan Khalid akan tertekan, kerana mereka menggunakan strategi dan
taktik bermain dengan emosi dan kerisauan rakyat, apatah lagi di musim yang semakin
hampir dengan pilihanraya umum ke-13 ini. Nampak! Awal-awal lagi mereka sudah
mempolitikkan isu ini.
Siapa
yang lebih prihatin dengan keperluan dan kebajikan rakyat? Pakatan Rakyat pimpinan
Khalid Ibrahim (dan Anwar Ibrahim) atau Umno-BN pimpinan Najib (yang dalam isu
ini diwakili oleh tokoh perniagaan CEO syarikat Syabas itu)? Pelik ‘kan ?
Di
situ pun sudah nampak peliknya. Mereka (Umno-BN) mewakilkan orang bisnes dan
syarikat yang bermotifkan keuntungan besar (lihat pada gaji CEO-nya saja pun
sudah menggerunkan kita) untuk berlawan dengan sebuah kerajaan negeri, bagi
meyakinkan rakyat – siapakah yang lebih prihatin dengan keperluan dan kebajikan
rakyat.
Namun,
walaupun langkah mereka itu pelik, tetapi agak menarik untuk diperhatikan oleh
mereka yang berminat dengan perkembangan masyarakat. Lihat bagaimana faktor
ekonomi (perniagaan dan motif keuntungan kewangan) boleh mempengaruhi rakyat
ramai dalam mengambil keputusan politik. Walaupin ia pelik, kita jangan pandang
ringan kepada strategi dan taktik ini, kerana strategi dan tektik inilah yang
sedang menguasai politik dunia hari ini.
Dan
yang menariknya lagi di sini ialah – di pihak kerajaan negeri Selangor pula,
yang dihadapi oleh pihak Umno-BN dan Syabas itu, secara kebetulannya dia juga
adalah seorang tokoh korporat yang pernah dikenali kerana strategi Dawn Raid-nya yang telah menggegarkan dunia
bisnes di London kerana pengambilalihan syarikat Guthrie (daripada milik
British kepada milik Malaysia), sewaktu dia menerajui PNB suatu ketika dulu.
Saya
walaupun kurang menyenangi tokoh ini kerana sikapnya yang kurang mesra dengan
seni-budaya, namun dalam hal yang sedang dibicarakan ini saya amat yakin dengan
kemampuannya. Bukan saja yakin, tetapi saya juga suka memerhati gerak dan
langkahnya untuk mendapatkan kemenangan di pihaknya. Insya Allah.