Background

MENGAPA JEMAAH MASJID BATU SUKA BUKU?


Dinsman (Artikel 334, 10/8)
Mengapa jemaah Masjid Batu suka buku?

Masjid Batu di Permatang Pauh, Pulau Pinang, (namanya memang begitu – “Masjid Batu”) ada keistimewaan tersendiri buat saya dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Ia masjid yang sangat mesra dengan seni-budaya. Ia membuka kemungkinan bagi pementasan teater dibuat di dalam masjid. Di situlah buat pertama kalinya teater Menunggu Kata Dari Tuhan dipersembahkan di dalam masjid, iaitu pada 30 Mei 2009.

Khamis lalu saya hadir lagi ke masjid itu, bersama Shukur Harun. Programnya: pelancaran buku Shukur Harun yang baru terbit, Gelombang di Pesisir Waktu, dan buku saya Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya (PPSB).

Ada sebuah esei berjudul “Kalaulah ada 50 masjid seperti Masjid Batu”, di antara 29 buah esei di dalam buku PPSB (yang ditujukan kepada para pemimpin di Malaysia) itu. Dan selain itu hal Masjid Batu juga dibincangkan dalam sebuah lagi esei iaitu “Bicara Buku dan masyarakat yang rosak”.

Mengapa saya mendambakan “Kalaulah ada 50 masjid seperti Masjid Batu”? Kerana masjidnya yang cantik dan besar? Tidak. Masjidnya sederhana saja besarnya dan cantiknya. Tetapi kerana jemaahnya atau ahli qariahnya yang sangat responsif terhadap seni-budaya, khasnya terhadap buku dan bicara ilmu.

Mengapakah mereka begitu menunjukkan minat terhadap bicara ilmu dan buku? Inilah yang menjadi persoalan dalam kepala saya. Mengapa? Apakah yang membezakan mereka daripada kelompok-kelompok masyarakat yang lain atau di tempat lain? Siapakah mereka? Apakah mereka terdiri daripada para ilmuan, intelektual dan budayawan? Atau apakah ia juga ada hubungannya dengan sifat suka menderma atau bersedekah (infaq) yang juga dapat dilihat dengan mudah di kalangan jemaahnya?

(Mereka baru saja menyiapkan bangunan baru masjid itu, yang seluruh perbelanjaannya adalah daripada sumbangan para jemaah dan anak-anak qariah. Petang itupun sebelum berbuka, pihak masjid memberi bantuan kepada fakir miskin dan anak yatim, hasil daripada sumbangan para jemaah masjid.)

Soalan-soalan itu masih tiada jawapannya. Sementara itu Paksi juga telah menjalinkan hubungan dengan beberapa buah masjid dan surau kerana menjalankan aktiviti seni-budaya. Antaranya yang paling banyak bekerjasama dengan kami mengadakan aktiviti ialah surau Madrasah Tarbiyah, Kg Banda Dalam, Kuala Lumpur.

Berbagai-bagai aktiviti seni-budaya telah kami buat di situ, (termasuk siri Bengkel Penulisan pada setiap bulan), hinggakan pihak surau yang dipimpin oleh Cikgu Ishak Surin itupun bersetuju menubuhkan “Madrasah Seni” di situ. Tetapi, satu perkara yang ia tidak dapat mengikut jejak langkah Masjid Batu ialah – ahli jemaahnya tidak begitu berminat membeli buku (seperti jemaah Masjid Batu).

Mengapa? Apakah kerana di surau ini terdapat sebuah perpustakaan yang mempunyai banyak buku? Maka kalau mereka hendak membaca buku mereka boleh saja meminjamnya daripada perpustakaan itu. Atau kenapa? Mungkinkah kerana bilangan jemaahnya yang kecil? Ya, mungkin, kerana ia hanya sebuah surau.

Namun itu tidak juga dapat menjawab soalan mengapa jemaah Masjid Batu suka membeli buku, dibandingkan dengan jemaah di masjid-masjid lain. (Yang kami mempunyai pengalaman mempromosi buku. Kami pun sebenarnya tidaklah begitu banyak pengalaman mempromosi buku. Hanya di beberapa buah masjid sahaja. Mungkin ada lagi jemaah masjid lain yang lebih responsif tetapi kami tidak tahu.)

Persoalan kita sebenarnya bukanlah persoalan membeli buku. Persoalan kita ialah minat kepada ilmu. Suka membeli buku itu ialah satu daripada petanda minat kepada ilmu. Dan dari pandangan seni-budaya, suka kepada buku adalah suatu petanda menunjukkan masyarakat yang sihat dan berbudaya tinggi.

Majlis bicara buku adalah suatu program ilmu dan seni-budaya sekaligus. Ia suatu program yang sangat baik untuk memupuk dan membentuk masyarakat yang sihat. Namun peliknya ia sangat kurang dianjurkan dan apabila dianjurkan pun selalunya kurang mendapat sambutan. (Kecualilah yang dianjurkan sesekali dengan cara istimewa oleh pimpinan tinggi politik, dan dengan tujuan politik).

Dalam konteks inilah kita melihat peristiwa di Masjid Batu itu sebagai sesuatu yang patut diteladani atau diperbanyakkan dalam masyarakat kita. Ia menunjukkan bahawa majlis Wacana Ilmu atau Bicara Buku itu bukanlah sesuatu yang istimewa untuk orang-orang bijak pandai dan golongan intelektual sahaja.

Malah, seperti yang selalu disebut oleh Dr Alinor dan Prof Shahrir, masyarakat yang dianggap sebagai intelektual di universiti pun hari ini tidak berminat dengan buku. Mereka hanya membaca buku kerana keperluan kerjaya, bukannya kerana mencintai ilmu. Yang benar-benar mencintai ilmu sangatlah kurang.

Menyedari hal inilah maka Paksi melihat program bicara buku sebagai aktiviti yang perlu diperbanyakkan, termasuk di masjid-masjid. Ia bukanlah suatu program yang besar, hebat dan istimewa, yang memerlukan persiapan dan protokol segala macam. Ia hanya suatu program biasa. Tetapi ia perlu dibuat selalu (maksudnya banyak kali) dan secara berterusan. Jangan hanya sekali setahun, atau sesekali apabila dilihat ada kepentingan politik sahaja.

Seniman Paksi Rakyat bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja dan di mana sahaja, bagi menganjurkan majlis bicara buku. Walaupun untuk kumpulan kecil beberapa orang sahaja pun, tidak mengapa. Yang pentingnya ia perlu dimulakan. Dan apabila ia dibuat secara berterusan, lambat laun kumpulan kecil itu akan semakin bertambah keahliannya dan lama kelamaan akan menjadi besar.

Cikgu Khairuddin pengerusi Masjid Batu tentulah mempunyai jawapan tersendiri kepada beberapa persoalan yang telah saya bangkitkan di atas tadi. Kalau ada pihak masjid lain di mana-mana yang berminat untuk berkongsi pengalaman dengannya, barangkali beliau tidak akan keberatan untuk berbuat demikian.

Categories: Share

Leave a Reply