Background

Wacana Azizi dan TGNA di Utara

Dinsman (Artikel 266, 14/11)
Wacana Azizi dan TGNA di Utara

Minggu ini Seniman Paksi Rakyat (Paksi) akan berada di utara, untuk aktiviti mengenang Sasterawan Rakyat Azizi Hj Abdullah, baca puisi 10 tahun Perbandaran Kulim, dan bicara buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…”.

Acara pertamanya mengenang SR Azizi Hj Abdullah, sasterawan yang banyak menghasilkan novel dan cerpen kisah rakyat. Novel terbarunya ialah ‘Mandala Dunia Kedua’, yang beliau sendiri tidak sempat melihatnya kerana ia diterbitkan setelah beliau meninggal dunia.

Acara “Azizi Dalam Kenangan” ini akan berlangsung pada 18 November, selepas solat maghrib, di Masjid Batu, Permatang Pauh – sebuah masjid yang menyimpan banyak kenangan mengenai Azizi. Bukan sahaja dia selalu menjadi pengacara bagi majlis-majlis budaya yang dianjurkan masjid ini, tetapi mengikut Cikgu Khairuddin, Azizi juga pernah beberapa kali membaca khutbah Jumaat di masjid ini.

Cikgu Khairuddin ialah Pengerusi Masjid Batu. Dialah orangnya yang buat pertama kali berani menganjurkan pementasan teater di dalam ruang solat di masjid (pada tahun 2009). Dan keberanian itu dikongsinya bersama Azizi, kerana Azizilah yang membuat pengenalan terhadap seni dan teater kepada jemaah masjid. Teater yang dimaksudkan ialah “Menunggu Kata Dari Tuhan” (MKDT) lakonan Sabri Yunus dan muzik oleh Sani Sudin.

Malam 18 November ini beberapa orang sahabat Azizi akan berucap mengungkapkan episod-episod tertentu mengenai Azizi. Episod dengan Masjid Batu tentulah akan diungkapkan oleh Cikgu Khairuddin, manakala episod Azizi dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan diungkapkan oleh Cikgu Azmi Ab Hamid, yang mempunyai pengalaman secara langsung mengenainya.

Episod Azizi dengan Seniman Paksi Rakyat akan diungkapkan oleh Kassim Muhamad (Barajiwa), yang juga akan memperkenalkan novel terbaru Azizi. Beberapa orang sahabat dari Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP) akan membaca puisi, manakala Ketua Satu 2PNP, Anuar Asmadi, sebagai sahabat karib Azizi tentunya mempunyai episod tertentu untuk diungkapkan.

Esok paginya, 19 November, acara bicara buku, dianjurkan oleh PAS Cawangan Taman Kuala Muda, Kepala Batas, bersama dengan parti KeAdilan Kuala Muda. Tempatnya di Dewan Ismail Che’ Chik Bakau Tua, Penaga. Buku yang dibicarakan ialah “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengeikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman” karangan Dr Shaharir Mohd Zain.  

Mengikut Musthafa Kamal, Setiausaha PAS Cawangan Taman Kuala Muda, hanya Cikgu Azmi Ab Hamid bersama saya sahaja, yang secara rasmi akan membicarakan buku tersebut dalam majlis yang akan bermula jam 9 pagi itu.

Saya bersetuju dengan Musthafa Kamal bahawa majlis bicara buku ini akan lebih berupa suatu diskusi. Yakni bukan dibicarakan oleh dua orang pembicara rasmi itu sahaja. Orang lain juga digalakkan untuk berbicara, berdiskusi, memberi pandangan. Makanya Musthafa Kamal pun telah membeli beberapa naskah buku tersebut untuk ditelaah oleh kawan-kawannya Pemuda PAS dari cawangan dan bahagian berkenaan, untuk nantinya mengambil bahagian dalam diskusi.

Biarlah ada Pemuda PAS di Lembah Kelang yang beranggapan mereka tidak perlu mengkaji buku mengenai kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz, dan tidak perlu menghadiri majlis bicara bukunya, dengan alasan-alasan tertentu, namun saya masih dan tetap berpendapat bahawa Pemuda PAS sepatutnya mempelajari dan mengkaji buku ini, khasnya sebagai salah satu persediaan untuk menjadi pemimpin yang baik.

Walaupun anda mengenali Tok Guru Nik Aziz dan selalu mendengar ceramahnya, tidak bermakna anda sudah tahu apa yang dibicarakan oleh Prof Shaharir di dalam buku ini. Misalnya apakah anda tahu ciri-ciri kepemimpinan yang baik mengikut pandangan sarjana-sarjana Islam seperti Al-Mawardi, Ibnu Khaldun, Al-Baqilani, Al-Qurtubi, Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali dan Bukhari Al-Jauhari? Bagaimana pula dengan pandangan sarjana bukan Islam seperti Machiavelli, Kirkeby dan Cakravantin?

Memang saya berpendapat buku ini patut dibaca oleh sesiapa sahaja yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin yang baik. Bukan kerana saya terlibat dalam penerbitannya, tetapi kerana ia memang sebuah bahan telaah dan rujukan yang baik. (Jangan marah!)

Okey, seterusnya pada 27 November, sempena dengan sambutan 10 tahun Perbandaran Kulim, Paksi bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kulim menganjurkan Wacana Azizi, yang dinamakan “Azizi Mutiara Sastera Bukit Meriam”. Wacana yang pengisian utamanya akan disampaikan oleh Sasterawan Negara A Samad Said ini dibuat di Dewan UNIKL, Kulim, bermula jam 10 pagi.

Bersempena dengan ini juga pihak Perpustakaan Awam Kulim akan mengadakan suatu pameran khas mengenai Azizi. Terima kasih kepada Anuar Asmadi (2PNP) yang mengambil inisiatif ke arah mengadakan pameran ini, dengan persetujuan YDP Majlis Perbandaran Kulim, Hj Mohd Zohdi Hj Saad.

Pada malamnya pula akan diadakan Malam Semarak Genta Puisi, di Taman Tasik Putera, Kulim. Sekali lagi SN Samad Said akan membuat persembahan bacaan puisinya, di samping beberapa orang penyair Kedah seperti Puzi Hadi, dan di samping persembahan Gurindam, lagu-lagu puisi dan sebagainya.

Dan sebelum itu pada 26 November, Paksi mempunyai suatu acara penting di Kampung Bandar Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, sempena dengan ulangtahun penerbitan “Antologi Puisi 56 Penyair: Kampung Warisan Kuala Lumpur”. Apa acara pentingnya? Tunggu! Akan dimaklumkan nanti. Insya Allah.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply