Background

Kerana fahaman beragama kita yang berbeza?

Kerana fahaman beragama kita yang berbeza?

Baru-baru ini saya bertemu seorang kawan lama, seorang budayawan, penulis, juga tokoh korporat, bergelar Datuk. Lama tak berjumpa. Dia baru terbitkan buku kumpulan eseinya, yang saya pun turut membantu penerbitan itu.

Maka lamalah kami berbual-bual. Dari petang hingga ke malam. Kami bertiga. Kawan yang seorang lagi pun penulis juga. Novelnya yang kedua baru dipasarkan di Sabah dan Sarawak. Kami mempunyai beberapa pemikiran yang sama, kecuali dalam hal politik dan fahaman beragama barangkali saya berbeza sedikit dengan mereka.

Saya sebut fahaman beragama bukanlah bermaksud kawan-kawan saya itu berbeza agama dengan saya. Tidak. Kita semua sama-sama beragama Islam. Tetapi fahaman beragama kita itu – ada yang memisahkan agama daripada politik, dan ada yang tidak memisahkannya. Itulah maksud saya. Ada orang nampak perbezaan itu sangat kecil dan ada orang nampak itu suatu perbezaan yang besar.

Saya kurang pasti, kerana belum pernah memikirkannya secara serius. Tetapi selepas pertemuan itu saya jadi terfikir, dan mulai melihat perkara itu agak menarik untuk difikirkan. Kami memang tidak bercakap pun hal itu. Kami banyak bercakap soal bahasa, soal budaya, soal rasuah dan soal generasi muda apakah mereka pedulikan masa depan bangsanya ataupun mereka tidak ambil tahu.

Sepanjang percakapan itu saya terasa dan tersedar bahawa pemikiran mereka agak berbeza dengan pemikiran saya. Maka saya banyak membiarkan saja mereka berbicara, dan saya lebih banyak mendengar.

Memang kami masing-masing tahu yang pemikiran dan pendirian politik kami berbeza, sejak peristiwa Anwar Ibrahim 1998 itu; dan kami cuba menghormati pendirian masing-masing, dengan mengelak daripada berbincang hal-hal yang menyentuh apakah mereka di pihak yang benar atau saya di pihak yang benar. Namun saya pun mendengar versi pandangan mereka dan mereka pun mendengar versi pandangan saya. Tak jadi masalah.

Misalnya kawan saya itu menceritakan dia kadang-kadang tak dapat tidur malam kerana memikirkan nasib masa depan bangsanya yang semakin kehilangan kuasa; dan dia sangat risau memikirkan generasi muda kini yang dilihatnya seperti tidak ambil kisah pun terhadap kuasa Melayu yang semakin terhakis itu.

Maka saya sambil mendengar bicaranya itu sambil saya merasakan perbezaannya dengan pemikiran dan sikap saya; dan sambil itu saya pun berfikir – apa sebenarnya yang membentuk perbezaan antara kami ini?

Saya kira kami tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dalam hal yang membezakan antara kami. Walaupun saya menyokong parti politik tertentu dan mereka pun menyokong parti politik tertentu, tetapi kami tidak ada apa-apa kepentingan peribadi di dalamnya. Jadi, kenapa kami tak boleh berbincang untuk mencapai titik persefahaman?

Demikianlah maka saya terfikir – mungkin disebabkan oleh fahaman beragama yang berbeza. Saya meletakkan agama sebagai perkara yang paling utama dalam hidup, manakala mereka mungkin tidak demikian. Saya tidak memisahkan agama dengan politik, manakala mereka memisahkannya.

Saya melihat kebenaran itu semuanya (mutlak) dari sudut pandangan al-Quran dan Sunnah, manakala mereka mungkin tidak demikian. Maka saya tidak diganggu dengan kerisauan memikirkan kuasa Melayu yang semakin terhakis, sebaliknya saya berfikir dan berusaha apa yang termampu bagi membantu pihak yang berjuang untuk menegakkan kuasa dan kebenaran Islam di negara ini.

Mereka mungkin melihat parti PAS memperalatkan agama Islam untuk mendapat kuasa memerintah negara. Tetapi saya tidak melihatnya demikian, kerana saya faham akan dasar dan prinsip agama dan politik itu bukan sesuatu yang dapat dipisahkan. Rasulullah tidak pernah memisahkan agama dengan politik dan pentadbiran negara.

Yang memisahkan politik dan pentadbiran negara dengan agama (Islam) itu ialah penjajah. Itu dasar yang dilaksanakan oleh Inggeris ketika mereka menjajah negara ini. Kenapa kita perlu pertahankan dasar penjajah itu? Kenapa kita tidak mahu fahami Islam itu sebagai satu cara hidup yang sempurna seperti yang disebut dan ditegaskan berulang-ulang kali di dalam al-Quran?

Maka ketika kawan-kawan saya itu menyatakan kerisauan mereka melihat generasi muda hari ini seperti tidak mempedulikan nasib bangsa mereka yang sedang kehilangan kuasa politik di negara ini, saya tidak memikirkannya demikian. Malah saya memikirkan yang sebaliknya, kerana saya baru saja bersama-sama dengan mereka, puluhan ribu anak-anak muda kita, memenuhi jalanraya ibukota kerana menuntut supaya pilihanraya dijalankan secara bersih (Bersih 2.0). Betapa pedulinya mereka – anak-anak muda hari ini!

Demikianlah maka saya fikir kita perlu berikan perhatian yang lebih kepada soal fahaman bergama ini. Kita mesti lebihkan usaha untuk menjelaskan faktor ini. Kita mesti perbetulkan fahaman beragama di kalangan orang Melayu. Kita mesti memikirkan cara dan strateginya.

Saya tidak menyentuh hal ini ketika berjumpa dan berbual panjang dengan kawan-kawan lama saya itu. Alasannya ialah kerana menghormati pendirian dan fikiran mereka, dan mereka pun menghormati pendirian dan fikiran saya. Jadinya?

Tidak mengapalah. Saya pun baru saja memikirkan hal ini. Mungkin orang lain sudah lama memikirkannya, saya tidak tahu. Tetapi saya tahu yang Tok Guru Nik Aziz sudah lama memikirkannya, dan dia pun sudah lama berusaha dan berjuang bagi memperbetulkan kesilapan tersebut.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply