Background

Hasrat semarak seni-budaya seluruh pelosok

Dinsman (Artikel 290, 17/2)
Hasrat semarak seni-budaya seluruh pelosok

(Majlis di Felcra Changkat Lada, Kg. Gajah, Perak)

Di antara beberapa SMS yang saya terima daripada pembaca baru-baru ini ada satu agak lain mesejnya: “Salam Pak Dinsman, semoga bapa sihat sejahtera. Tulisan bapa bertajuk ‘Seperti ada yang belum selesai di Felda itu’ saya baca berulang kali. Dan saya mengambil masa yang agak lama dan teragak-agak untuk memberi sedikit respon.

“Syabas dan tahniah kerana berjaya menjayakan agenda seni-budaya untuk masyarakat Felda dan anak mudanya. Cumanya saya tertanya-tanya apakah Paksi juga ada agenda untuk membudayakan aktiviti seni-budaya untuk kami orang muda di bandar-bandar separa-city seperti di Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu. Harap kami juga jangan ditinggalkan untuk sama menikmati dan menghargai seni-budaya. Wassalam.”

Saya jadi termangu dan terpegun sekejap membaca mesej itu. Tidak terduga setelah beberapa minggu tulisan mengenai Felda Sungai Tengi itu tersiar dalam Wacana Budaya, rupa-rupanya ada orang masih menelitinya kerana tersentuh jiwa seninya untuk menikmati dan mengalami bersama pengalaman sahabat-sahabat seniman lain sewaktu berkumpul dan bermeriah dalam suatu program seni-budaya seperti di Felda Sungai Tengi itu.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Saya gembira dan ingin berkongsi kegembiraan itu dengan sahabat Paksi yang selalu berkongsi pengalaman dan maklumat dengan saya, Kassim Muhamad. Lalu saya lanjutkan mesej itu kepada dia. Kemudian barulah saya membalas kepada pembaca tersebut, begini:

“Salam. Hasrat Paksi biarlah aktiviti seni-budaya bersemarak di seluruh pelosok negara. Minggu lalu kami berpuisi sambil berforum dengan masyarakat Felcra di Pasir Salak, Perak. Tapi upaya Paksi juga terhad oleh pelbagai faktor. Antaranya faktor kewangan dan sokongan masyarakat setempat. Kalau sdr sudi kumpul kawan-kawan di tempat sdr, insya Allah kami akan cuba pula ke sana.”

Seikhlasnya saya membalas mesejnya itu, tanpa memikirkan apakah Paksi berkemampuan untuk beraktiviti pula di Terengganu nanti. Hanya saya ingin agar hasrat seseorang yang nampaknya ikhlas hendakkan program seni-budaya di tempatnya itu tidak dikecewakan. Ya memang Paksi berhasrat untuk menyemarakkan seni-budaya di seluruh pelosok negara. Maka kalau ada orang yang ikhlas tampil untuk bersama berusaha membuatnya, kenapa kita harus teragak-agak?

Dan dia pun membalas: “Maksud Pak Dinsman itu saya anggap sebagai tawaran. Jika begitu situasinya, saya akan usahakan sesuatu…”

Soal terdaya atau tidak Paksi untuk melakukannya itu nanti, belum tahu. Segalanya terserah kepada izin Allah. Kalau Allah mengizinkan, seperti yang kita buat di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak pada 5 Februari itu, atas daya usaha Dr Muhaimin Sulam, semuanya seperti dipermudahkan. Maka Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Rahmat Harun dan Pak Salleh pun turun beraksi pada malam itu, bersama dengan Mazlan Aliman dan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin. Razali Endun dan Nasser Muhamad pun hadir sama memeriahkan.

Bacaan puisi dan forum. Seingat saya ini pertama kali program seperti itu. Saya diajak Muhaimin berbicara mengenai seni-budaya, bersama dengan Mazlan Aliman yang bercakap mengenai masalah Felda dan DS Nizar yang bercakap mengenai politik di Perak, (juga Hishamuddin Rais dan seorang lagi tokoh politik).

Barangkali masyarakat Felcra di daerah yang agak pedalaman itu pun terasa janggal mendengar bicara seni-budaya dalam majlis ceramah terbuka di padang seperti itu. Tetapi memikirkannya semula, saya tertarik dengan idea Muhaimin itu. Mempertemukan seni-budya dengan politik dan permasalahan Felda, di suatu pentas terbuka di hadapan khalayak orang kampung. Ya, suatu pendekatan baru untuk seni-budaya. Mungkin elok diteruskan.

Kemudian, pada 12 Februari, Paksi turun pula ke Kampung Mengkuang, Permatang Pauh, Pulau Pinang, atas daya usaha Anuar Asmady dari Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dan Ab Razak Abdullah, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Mengkuang. Pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) oleh Sabri Yunus dan Sani Sudin, kali yang ke-50 lebih, menjadi acara kemuncak sambutan Maulidur Rasul oleh qaryah masjid tersebut

Sekitar seribu orang pelajar dan orang kampung berarak ke masjid. Mereka termasuk pelatih-pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, guru-guru pelatih Institut Perguruan Tuanku Bainun, pelajar Sekolah Agama Islahiyah, SMK Mengkuang dan SK Mengkuang. Kemudian mereka memenuhi masjid, mendengar ceramah, nasyid dan teater. Kehadiran Paksi adalah untuk pementasan teater.

Manakala sebelum itu, pada 28 Januari, Paksi mengadakan bengkel penulisan sehari bersama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertempat di Perpustakaan MBPJ. SN A Samad Said juga turut sama menjayakan bengkel yang dihadiri seramai 20 orang peserta itu.

Demikianlah, memang hasrat Paksi (Seniman Paksi Rakyat) hendak menyemarakkan aktiviti seni-budaya di seluruh pelosok negara. Seorang aktivis kita sedang berusaha untuk menganjurkan sesuatu di daerah Pokok Sena atau Kuala Nerang, Kedah tidak lama lagi. Manakala seorang sahabat di Perlis teruja dengan suatu lokasi menarik di sebuah pulau di utara, pun sedang berusaha untuk Paksi membuat sesuatu di sana.

Razali pula sedang merancangkan sesuatu untuk Paksi bersama IPM dan PPJ di Muar. Manakala sahabat teater kita di Temerloh, Roslan Madun juga sedang mengaturkan sesuatu. (Saya mohon maaf pada Cikgu Tuah kerana tak dapat menjayakan program di Pelangai, kerana tarikh itu bertembung dengan latihan teater saya dengan Bob Lokman). Kami ada persembahan teater di Kulai, Johor pada 25 Februari ini.

Memang begitulah hasrat Paksi, sedangkan saya sendiri bercita-cita untuk mengurangkan aktiviti luar, bagi menumpukan perhatian dan tenaga kepada penulisan buku. Semoga Allah mempermudahkan mana-mana yang lebih baik dan berfaedah untuk agama-Nya. Kita merancang, tetapi Allah-lah sebaik-baik perancang! Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita hamba-hamba-Nya.

Categories: Share

Leave a Reply