Background

Bahaya mera‘ikan personal glory

Dinsman (Artikel 287, 3/2)
Bahaya mera‘ikan personal glory

Hassan Ali telah pergi. Ramai orang masih menghantar mesej kepada saya menyatakan syukur dan lega mereka kerana pemergiannya, di samping seorang dua menyatakan sedih dan kehilangannya. Dan ada juga yang bertanya: apakah hanya ada seorang sahaja Hassan Ali di dalam PAS? Takut-takut masih ada lagi seorang dua yang lain, yang rupanya tak sama, hatinya pun tak sama tetapi bahayanya kepada parti lebih kurang sama sahaja.

Mulanya saya tak berapa beri perhatian kepada soalan itu. Biasalah, soalan begitu. Tetapi akhir-akhir ini ada peristiwa yang tiba-tiba mengusik perhatian, lalu membuka satu kemungkinan yang kelihatan agak jelas juga warna bahayanya. Memang wajahnya tidak sama dan hatinya pun tidak sama, tetapi bahayanya mungkin lebih besar. Aduh!

Saya segera teringat kepada sesi dialog santai dengan Mat Sabu mengenai integriti di sebuah hotel di Petaling Jaya tak lama lalu. Perihal adanya pemimpin yang suka berpegang kepada hujah bahawa dia “entitle to”, bahawa dia berhak untuk mendapat itu atau dia berhak untuk membuat itu. (Dia fikirkan yang dia berhak tetapi dia terlupa memikirkan orang lain yang lebih berhak, dan hak yang mesti ditunaikannya terlebih dahulu kepada orang lain, kerana dia sendiri adalah pemimpin).

Atau itu adalah budi bicara dia sebagai ketua. Atau itu adalah hak keistimewaan dia sebagai ketua. Bahawa dia berhak membuat keputusan mengikut kebijaksanaan dia. Kalau tidak, buat apa lantik dia jadi ketua, (kalau nak suruh dia dengar dan ikut cakap orang)!

Barangkali otak saya ini masih terkesan dengan wacana besar Robert Fisk melalui buku tebalnya The Great War for Civilisation, The Conquest of the Middle East itu. (Sehinggakan dalam bengkel penulisan dengan Perpustakaan MBPJ Sabtu lalu pun saya hamburkan kekesalan terhadap pimpinan Islam di negara-negara Timur Tengah itu, yang mengaibkan Islam di seluruh dunia hari ini).

Ya, barangkali kuat kesannya daripada wacana Robert Fisk itu. Perihal pemimpin-pemimpin Islam yang apabila mendapat kuasa semuanya tak mahu melepaskan kuasa itu dan semuanya mempergunakan kuasa itu untuk membina keagungan ego sendiri dan mula melupakan hakikat bahawa kuasa itu adalah amanah Allah yang mesti ditunaikan untuk membela golongan rakyat yang lemah (bukannya menindas golongan rakyat yang lemah demi untuk membina kekuatan dan keagungan kuasa, walaupun atas nama Islam).

(Ada yang sudah terlupa pada amanah itu. Masya Allah!)

Memanglah tidak sama. Yang di sana itu cerita ketua-ketua negara belaka, manakala yang di sini hanya sekadar pemimpin di pelbagai peringkat sahaja. Tetapi ciri-ciri persamaan itu tak dapat dinafikan. Bahkan apabila dibandingkan dengan ciri-ciri kepemimpinan Umno-BN pun nampaknya macam tak ada beza. Ha, inilah yang paling bahayanya. (Itu sebabnya hari itu saya berhujah PAS jangan ganti Umno!) Bahaya!

Seperti saya berhujah dalam ucapan ringkas di Konvensyen Pakatan Rakyat baru-baru ini: “Tuan-tuan puan-puan semua asyik dan sibuk dengan politik, mungkin tuan-tuan tidak sedar perkara ini.”

Ya, jangan pandang ringan hakikat ini. Betul, dan serius! Di sinilah perlunya peranan penulis yang berprinsip ‘berkata benar’ itu. Kerana orang politik, apatah lagi yang sedang menikmati kuasa (baik dalam skala kecil mahupun skala besar) sangat mudah melupakan amanah agama yang mereka tanggung itu, kerana terlalu asyik dan “diasyikkan” oleh “mainan politik”.

Apakah ini satu penyakit baru di dalam PAS yang hanya timbul selepas kemenangan 2008? Saya tak pasti. (Tentu Subky Latif lebih arif). Tetapi saya perhatikan ia sangat menjadi selepas PRU 2008. Ataupun apakah ini disebabkan kita kehilangan kewibawaan seorang pemimpin besar yang bernama Fadzil Noor? Kalaulah beliau masih ada (Allah merahmati rohnya) tentunya hal “huru-hara” ini tidak berlaku.

Dengan berkata demikian saya tidak bermaksud yang Haji Hadi kurang kewibawaannya sebagai Presiden PAS. Sama sekali tidak demikian maksudnya. Hanya kita harus mengakui bahawa setiap orang itu ada keistimewaannya masing-masing. Ustaz Fadzil dengan keistimewaannnya, Ustaz Hadi dengan keistimewaannya dan Tok Guru Nik Aziz juga dengan keistimewaannya.

(PAS pernah memiliki tiga kombinasi ini serentak dan mereka kelihatannya sangat serasi. Sesuatu yang sangat sukar untuk terjadi di dunia – tiga pemimpin yang sama hebatnya tetapi boleh berkongsi kuasa memimpin sebuah parti serentak. Jangan kita lupakan keistimewaan itu! Mungkin itu antara kekuatan Ustaz Fadzil, kerana dia mempunyai Ustaz Hadi sebagai Timbalannya.)

Dan sekarang adalah era PAS tanpa Ustaz Fadzil. Memang sedikit bergelora dan huru-hara. Kita semua tahu dan kita harap musim itu telah berlalu. Saya perhatikan ramai orang berasa lega semula apabila PAS mendapat Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presidennya.

Tetapi, dalam pada kita berasa lega itu, soal integriti (atau ‘ihsan’) pemimpin yang ditimbulkan Mat Sabu dalam sesi dialog santai itu pun tidak harus kita abaikan. Apatah lagi dengan bertiupnya angin utara yang khabarnya ada yang sedang selesa bernostalgia dengan ‘personal glory’, tanpa menyedari perahu yang ditumpanginya itu kepunyaan siapa dan sedang membawanya ke jurang mana!

Soal bahayanya kuasa yang diamanahkan kepada pemimpin ini kalau tidak ada yang mahu menegurnya, adalah suatu musibah yang perlu segera disedari. Jangan kita abaikan faktor ini yang sentiasa wujud dalam sejarah, bahkan dalam al-Quran dan Sunnah. Rasulullah saw sendiri pun ditegur dan menerima baik teguran ke atasnya.

Saiyidina Umar yang gedebe itu pun masih sempat tunduk mendengar teguran daripada rakyat biasa. Jadi, faktor ini sangat penting. Jangan hanya kerana sedikit ‘personal glory’ yang ditawarkan maka kita sudah membuka kitab mencari rasional kepemimpinan. Inilah yang berlaku di Timur Tengah. Bacalah buku Robert Fisk (kalau tak mahu baca buku Dinsman ‘Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya’ itu).

Categories: Share

Leave a Reply