Background
Dinsman (Artikel 381, 24/5)
PERLU NASIONALISME DILUNTURKAN?

Nasionalisme ialah semangat kebangsaan. Ia berhubungan dengan bangsa. Yakni semangat cinta kepada bangsa sendiri. Manakala patriotisme pula ialah semangat cintakan tanahair, iaitu berhubungan dengan tanahair (negara).

Dalam pelajaran sejarah di sekolah kita belajar mengenai sejarah kebangkitan semangat nasionalisme (atau semangat kebangsaan), yang kita anggap sebagai bermulanya perjuangan kita menuntut kemerdekaan negara kita daripada cengkaman penjajah.

Jadinya terdapat nilai yang kita sanjung tinggi dan kita muliakan di dalam istilah nasionalisme atau semangat kebangsaan itu. Sering juga kita menghubungkan istilah nasionalisme dengan istilah jatidiri. Seseorang yang tidak mempunyai semangat nasionalisme biasanya dia juga tidak mempunyai jatidiri; atau sebaliknya seseorang yang tidak mempunyai jatidiri itu dikatakan dia juga tidak mempunyai semangat nasionalisme.

Demikianlah nasionalisme atau semangat kebangsaan itu sudah tertanam di dalam jiwa dan minda kita sebagai sesuatu yang bernilai mulia dan disanjung tinggi. Maka tidak hairanlah apabila dikatakan bahawa kebanyakan orang Melayu yang masih percaya atau menyokong Umno adalah disebabkan oleh semangat nasionalisme dan percayakan bahawa jatidiri mereka adalah berhubungkait dengan nasionalisme itu; yang tanpanya mereka akan kehilangan nilai yang mulia dan disanjung tinggi.

Itulah juga sebabnya maka kebanyakan golongan penulis, sasterawan, budayawan dan cendekiawan kita masih berpihak kepada Umno-BN dan tidak menyokong Pakatan Rakyat (PR). Inilah rumusan beberapa orang ahli Gatera (Gerakan Intelektual Rakyat) secara tidak rasmi sewaktu kami bercakap-cakap di malam ceramah ‘Gerakan Intelektual Rakyat’ di Sungai Merab Luar, Sepang, 3 Mei lalu. Antara yang menimbulkan pandangan ini ialah Prof Shaharir Mohd Zain.

Memang, apabila difikirkan dan direnungkan pandangan tersebut, ternyata ada kebenarannya. Itulah yang menyebabkan ramai kawan-kawan kita ‘di sebelah sana’ itu masih kukuh dengan pegangan dan pendirian mereka.

Kita bertanya apakah mereka tidak nampak kejahatan dan kezaliman para penguasa Umno-BN, sepertimana yang kita nampak. Yang sebenarnya bukan mereka tidak nampak. Yang sebenarnya mereka ada faktor lain yang lebih penting, iaitulah faktor nasionalisme dan jatidiri, yang dihubungkan pula dengan ‘ketuanan Melayu’. Faham yang membentuk sikap ini begitu kuat di kalangan mereka, hingga kejahatan dan kezaliman para penguasa Umno itupun menjadi kecil pada pandangan mereka.

Memang nasionalisme dan faham atau semangat kebangsaan itu sudah kuat tertanam dalam jiwa dan minda orang Melayu. Saya sendiri pun pernah mengalaminya, hingga pernah saya menganggap Tok Guru Nik Aziz tidak faham makna nasionalisme/kebangsaan apabila beliau berkata Umno menolak Islam apabila Umno berpegang dengan faham nasionalisme/ kebangsaan. (Rujuk artikel “Nik Aziz tak faham makna ‘kebangsaan’?” dalam buku Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan, hal.93-96).

Apabila Prof Shaharir dan kawan-kawan seolah-olah membuat rumusan seperti disebut di atas, saya pun teringat kepada hujah TG Nik Aziz yang menolak faham kebangsaan/ nasionalisme itu. Dan setahu saya hanya TG Nik Aziz sahaja yang pernah bercakap dan berhujah begitu. Dan dia mengulangi hujah tersebut berkali-kali, hingga dia pernah juga mengatakan Umno sebagai ajaran sesat (bagi memahamkan orang akan maksudnya itu).

Sekarang siapakah yang mampu berhujah kepada orang Melayu yang masih kuat berpegang kepada faham kebangsaan/nasionalisme (juga faham jatidiri dan ketuanan Melayu) hingga tidak nampak kejahatan dan kezaliman para penguasa Umno itu, termasuk kebanyakan golongan penulis, sasterawan, budayawan dan cendekiawan kita ‘di sebelah sana’ itu? Atau apakah kita masih bergantung harap pada Tok Guru Nik Aziz juga untuk melakukannya?

Saya timbulkan soalan ini bukannya kerana apa, kerana memikirkan bahawa perkara ini adalah suatu perkara yang besar, berat dan rumit untuk dilakukan. Anda fikirkanlah! Seperti saya sebut tadi, perkara nasionalisme dan faham kebangsaan ini telah tertanam kuat di dalam jiwa dan minda orang Melayu sebagai sesuatu yang bernilai mulia dan di sanjung tinggi. Tiba-tiba kita hendak minta supaya perkara ini dikesampingkan, dengan hujah bahawa ia tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Bukankah selama ini kita beranggapan bahawa Islam dan faham kebangsaan (nasionalisme) itu tidak bercanggah, dan boleh wujud bergandingan dalam diri seseorang? Apa salahnya seorang Islam mempunyai semangat cintakan bangsanya?

Memang rumit untuk menghujahkan hal tersebut. Seseorang harus terlebih dahulu dapat menghayati dan mencintai Islam lebih daripada segalanya, maka barulah dia boleh berhujah seperti yang dihujahkan TG Nik Aziz itu.

Tidak hairanlah, sekian lama kita mendengar TG Nik Aziz berhujah supaya orang Melayu meninggalkan nasionalisme/kebangsaan dan mengambil Islam sepenuhnya sebagai addeen atau cara hidup yang sempurna; tetapi kita tidak pernah mendengar tokoh pimpinan lain berhujah demikian.

Memang tidak mudah untuk menolak sesuatu yang sekian lama tertanam di jiwa dan minda sebagai bernilai mulia dan disanjung tinggi dalam masyarakat. Tetapi itulah yang diusahakan oleh TG Nik Aziz sekian lama. Mungkin tidak ramai orang menyedarinya.


Saya berharap para pimpinan PAS yang lainnya – ambillah perjuangan Tok Guru Nik Aziz ini, dan teruskanlah berjuang mengikut jejak langkahnya itu. Hujahkanlah supaya faham kebangsaan (nasionalisme) tidak lagi menjadi halangan kepada kita untuk meletakkan Islam di tempatnya yang tinggi dan mulia!
Dinsman (Artikel 380, 20/5)
MEMIKIRKAN PENGUNDURAN TOK GURU NIK AZIZ

Ada banyak perkara sekitar PRU13 yang menarik untuk ditulis.  Analisa keputusan PRU itu sendiri secara menyeluruh, misalnya. Atau menyorot sikap Anwar Ibrahim selaku pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mengiktiraf keputusan SPR. Atau mengenai penipuan di sekitar PRU, seperti dakwat kekal yang tidak kekal. Atau mengenai sikap sebagian orang Melayu yang masih mengundi BN. Atau kemelut pemilihan Menteri Besar Selangor dan sidang media Azmin Ali, dan sebagainya.

Namun semua itu berbanding cerita di negeri Kelantan, saya lebih tertarik dengan cerita di negeri Kelantan khasnya di sekitar keputusan Tok Guru Nik Aziz mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar. Saya sudah menulis mengenainya dalam keluaran lalu tetapi saya masih merasakan ada banyak lagi yang hendak ditulis.

Apapun, biarlah saya tidak menyentuh permasalahan Datuk Husam Musa yang tidak terlantik dalam kabinet baru kerajaan negeri itu. Biarlah permasalahan itu ditangani dengan sebijak-bijaknya oleh pihak mereka yang berkenaan. Kita percaya itu bukanlah masalah besar sangat. Dan kita berharap bakat dan kebolehan istimewa Datuk Husam tetap akan dimanfaatkan untuk pembangunan kerajaan Islam Kelantan seterusnya.

Sehingga ini Tok Guru Nik Aziz hanya mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar; dan dia menyatakan akan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri juga, kerana jawatan itu selayaknya dipegang oleh Menteri Besar. Tetapi Presiden PAS sendiri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah berjumpa dengannya dan meminta beliau kekal memegang jawatan Pesuruhjaya itu, walau apapun alasannya untuk melepaskannya.

Manakala jawatan sebagai Mursyidul ‘Am PAS pula akan terus dipegangnya lagi buat masa ini. Dan itulah harapan kita. Janganlah TG Nik Aziz melepaskan jawatan Mursyidul ‘Am itu. Jawatan Mursyidul ‘Am itu penting. Sebelum ini pun, beberapa tahun lalu, saya pernah mencadangkan melalui sebuah tulisan agar TG Nik Aziz melepaskan jawatan Menteri Besar, supaya dia dapat menumpukan perhatian kepada parti, selaku Mursyidul ‘Am.

Kebijaksanaan kepemimpinannya cukuplah sudah dicurahkannya kepada negeri Kelantan. Dua puluh tiga tahun. Curahkanlah pula kebijaksanaan itu kepada parti dan ahli-ahli parti di seluruh negara.

Kita pun faham masalah kesihatannya dan umurnya yang lanjut. Dengan perletakan jawatan Menteri Besar itu rasanya tidaklah terlalu membebankan lagi kalau Tok Guru sekadar meneruskan tugas sebagai Mursyidul ‘Am. Itu pun sekadar yang diizinkan oleh kesihatan dirinya sahajalah. Kita pun tidaklah hendak membebankannya.

Dan ini pun sekadar kita menyatakan harapan sahaja. Namun kalau Tok Guru sendiri merasakan apa yang telah disumbangkannya kepada parti selama berpuluh tahun itu sudah mencukupi dan sekarang dia ingin menikmati sedikit lagi sisa hidupnya bersama dengan keluarganya, kita pun akur dan tidak akan mendesak. Ya sememangnya kita mengakui jasa dan sumbangannya selama ini pun sudah cukup besar.

Sekarang terpulanglah kepada dirinya. Sebenarnya kewujudan dirinya sebagai seorang Tok Guru Nik Aziz itu sahaja pun sudah mencukupi untuk melanjutkan impaknya kepada umat hari ini. Dirinya sudah mencapai ke peringkat sebuah institusi tersendiri. Dan sebagai seorang Tok Guru kita percaya dia sama sekali tidak akan menghentikan aktivitinya mengajar, memberi tazkirah dan berceramah; yang sudah menjadi sebati dengan dirinya itu.

Sebagai seorang Tok Guru dan pendakwah – itulah tugas dan peranan sejatinya Nik Aziz bin Nik Mat. Dia melaksanakan tugas dan peranan ini lama sebelum menjadi Menteri Besar, dan tugas/peranan ini diteruskananya dengan tidak dikurangkannya sedikit pun sewaktu menjadi Menteri Besar, dan tentunya tugas dan peranan ini akan diteruskannya walaupun setelah dia berundur daripada jawatan Menteri Besar.

Bercakap khusus mengenai jawatan Mursyidul ‘Am ini, seperti yang dilaporkan akhbar, TG Nik Aziz mengatakan ia suatu tugas dan tanggungjawab yang lebih berat, iaitu untuk melaksanakan pentadbiran Islam menguikut cara Nabi saw. Apakah yang dimaksudkannya? Mungkinkah ada pembaharuan-pembaharuan yang akan dilakukannya ke atas perjalanan parti PAS sebagai suatu organisasi dakwah dan politik?

Ini tentulah sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan perkembangannya. Mengenali peribadi dan perwatakan TG Nik Aziz, kita tidak berfikir pengundurannya dari kerusi Menteri Besar itu bererti dia akan mengundurkan diri sepenuhnya daripada arus perkembangan sosio-politik umat hari ini. Sebaliknya kita tetap menunggu sesuatu yang kita jangka penting dan menarik akan dilakukannya.

Sementara itu bekas-bekas yang telah ditinggalkannya kepada masyarakat, selaku seorang Tok Guru, semenjak dia mula mengajar hingga ke hari ini, sedemikian banyaknya di sana sini di merata tempat berserakan tidak terkumpul. Usaha untuk mengumpul pengajaran dan pemikirannya yang tercurah selama ini, pun akan mengambil masa yang lama dan tenaga yang banyak.

Maka kita menyambut baik pengumuman Datuk Ahmad Yaakob selaku Menteri Besar (baru) mengenai penubuhan sebuah Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz itu. Sedemikian cepatnya pengumuman itu dibuat! Barangkali Ahmad Yaakob pun sudah lama memikirkan keperluan ini, maka sebaik sahaja menjadi Menteri Besar beliau pun segera menubuhkan institut tersebut.

Memang saya sangat bersetuju dan mengakui keperluan sebuah Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz ini. Yang agak mengejutkan saya ialah sedemikian cepatnya Ahmad Yaakob bertindak menubuhkannya. Tentunya beliau mempunyai agenda tertentu yang sudah lama difikirkannya. Apakah agendanya itu? Ini pun juga membuatkan kita tertunggu-tunggu untuk menyaksikan ‘pembaharuan’ yang akan diperkenalkan oleh Menteri Besar baru ini.


Maka sudah ada dua perkara menarik yang boleh kita tunggu dari Kelantan sekarang. Ditambah satu lagi daripada Husam Musa, jadi tiga! Sama-samalah kita perhatikan. (Dan saya juga menunggu ‘pembaharuan’ yang akan dibawa oleh seorang exco barunya – Mumtaz Md Nawi). 
Dinsman (Artikel 379, 13/5)
KELANTAN SELEPAS TOK GURU NIK AZIZ


Ini sesuatu yang tidak dijangka. Mungkin Datuk Ahmad Yaakob dan kawan-kawannya dalam saf Exco lama sudah diberitahu oleh Tok Guru Nik Aziz akan hasratnya hendak berundur itu. Tetapi bagi kita orang awam yang mengikuti berita melalui media massa, kita membaca berita Tok Guru Nik Aziz mengulangi kenyataannya akan terus berkhidmat hingga ke akhir hayat, atau selagi dikehendaki oleh parti dan hanya akan berundur apabila dinasihati parti supaya berbuat demikian.

Tiba-tiba setelah menang PRU13 kita mendapat berita Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar sebelum ini, mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar Kelantan. Tiada lagi Tok Guru Nik Aziz. Memang itu berita yang mengejutkan, walaupun proses pertukaran itu berlaku begitu bersahaja dan tanpa apa-apa peristiwa atau kejadian yang luar biasa.

Kita sudah lama maklum akan keadaan Tok Guru yang sudah lanjut usia, dan keadaan fizikalnya pun sudah agak uzur, dan kesihatannya pun sering terganggu. Tetapi dari segi lain, kemampuan minda dan ideanya masih kelihatan segar dan up-to-date, sentiasa selari dengan perkembangan masa.

Terakhir misalnya, beberapa minggu sebelum Parlimen dibubarkan, Tok Guru meminta saya menghasilkan sebuah teater kisah Abul ‘As menantu Rasulullah saw, dengan melibatkan ‘artis-artis hijrah’ sebagai pelakon. Teater itu pun (Pengisytiharan Abul ‘As) dipentaskan di hotel Grand Riverview Kota Bharu, pada 15 Mac.

Pementasan teater itu menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah perkembangan seni-budaya, khasnya teater Islam di negara ini. Buat pertama kalinya PAS dan Kerajaan PAS Kelantan (melalui TG Nik Aziz) secara rasmi membenarkan perempuan berlakon bersama lelaki di atas pentas, di hadapan khalayak umum lelaki dan perempuan. Sebelum itu tidak dibenarkan. Maka itu adalah suatu pemikiran baru dari TG Nik Aziz, yang membuka ruang yang luas untuk kegiatan seni teater dalam masyarakat Islam.

Dan beberapa hari selepas itu saya menerima telefon daripada Pusat Kajian Strategik Kelantan meminta beberapa tarikh yang dapat saya luangkan untuk ke Kota Bharu, kerana TG Nik Aziz meminta supaya diadakan majlis bicara buku mengenai buku terbaru saya Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaaan. (Beliau melancarkan buku ini pada malam pementasan teater Abul ‘As itu). Rancangan bicara buku itu walau bagaimanapun tak sempat diadakan kerana Perdana Menteri Najib membubarkan Parlimen pada 3 April.

Jadi, pengunduran TG Nik Aziz secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang tidak dijangka. Walaupun kita tahu dia sudah lama menjadi Menteri Besar (hampir 23 tahun) dan pada bila-bila masa sahaja dia mungkin akan mengundurkan diri (kerana sebab-sebab yang munasabah), namun berita pengundurannya itu tetap memberi kejutan. Sebab apa? Sebab kita masih memerlukan sumbangan idea dan pemikirannya yang sentiasa segar, berani, mengikuti peredaran zaman, dan dibuat berdasarkan ilmu Islamnya yang luas dan mendalam.

Sekarang TG Nik Aziz sudah tiada lagi di Kelantan sebagai Menteri Besar. Kelantan sekarang sudah tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum 5513 (5 Mei 2013). Kita tidak tahu sebenarnya apakah Kelantan akan terus kekal sepertimana ia di bawah pentadbiran TG Nik Aziz, atau akan menjadi lebih baik, atau bagaimana. Namun kita tetap merasakan Kelantan selepas ini akan tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum 5513.

Bukan kita mengatakan Ahmad Yaakob tidak layak menjadi Menteri Besar Kelantan. Bukan. Ahmad Yaakob memang layak, dan dia mungkin membawa Kelantan menjadi lebih baik lagi selepas ini. Kita mengatakan Kelantan selepas ini tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum ini hanyalah semata-mata kerana kuatnya imej TG Nik Aziz yang telah melekat dalam kepala dan hati kita selama ini.

Ingat Kelantan sahaja kita terus terbayangkan sosok tubuh TG Nik Aziz. Dan sekarang apabila ingat Kelantan, bayangan sosok tubuh kecil yang berwibawa sebagai Tok Guru itu (atau sebagai orang tua tempat kita boleh mengadu, walaupun kita tidak mengadu pun) sudah tiada lagi sebagai Mentri Besar Kelantan. Itu saja. Tapi sungguhpun begitu, ia sangat mengesankan, buat masa ini.

Kita terasa kehilangan. Walaupun kita tahu dia ada, di rumahnya di Pulau Melaka, tapi kita tetap merasakan kehilangannya sebagai sosok pemimpin yang lembut dan mesra di tengah-tengah permasalahan masyarakat.

Saya, dan bersama kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi), mempunyai beberapa rancangan yang dicadangkan akan dibuat melibatkan TG Nik Aziz. Antaranya ialah seminar serantau mengenai model pentadbiran negara Islam dengan tumpuan kepada Kelantan, yang dicadangkan dibuat Julai ini, melibatkan wakil-wakil dari Indonesia, Selatan Thailand, Kemboja, Filipina dan Brunei. Ia belum dimaklumkan kepada kerajaan negeri Kelantan. Cadangnya akan dimaklumkan pertengahan bulan ini.

Satu lagi rancangan ialah pembukuan tafsir seluruh al-Quran oleh TG Nik Aziz. Telah lama TG Nik Aziz selesai mensyarahkan tafsir seluruh al-Quran 30 juzuk itu, tetapi ia belum dibukukan. Ia tersimpan dalam tape dan CD, tetapi tidak terkumpul. (Perlu diusahakan pengumpulannya juga). Yang telah dibukukan hanya Tafsir Surah Yunus, Surah Taubah dan beberapa lagi.

Kami merasakan tafsir yang lengkap ini perlu dibukukan kerana belum ada pendekatan tafsir seperti yang disyarahkan oleh TG Nik Aziz. Ia berbeza daripada tafsir-tafsir oleh Ibnu Kathir, Qurtubi, Maraghi, Syed Qutub dan Hamka. Ia akan berada sebaris dengan tafsir-tafsir besar al-Quran yang sedia ada itu. TG Nik telahpun selesai menyiapkannya. Tinggal kita mengusahakan pembukuannya sahaja. Alangkah ruginya kalau ini tidak dapat dilakukan.

Satu lagi rancangan kami yang penting bersabit dengan TG Nik Aziz ialah menghasilkan sebuah filem atau video dokumentari mengenai kehidupannya, untuk disebarkan ke peringkat antarabangsa.

Sewaktu pementasan Pengisytiharan Abul ‘As di Kota Bharu pada 15 Mac dikatakan bahawa pementasan itu ialah suatu pra-tonton (preview). Ertinya belum lagi pementasannya yang sebenar kepada orang ramai. Pementasan untuk orang ramai akan dibuat kemudian. Oleh kerana ia adalah program inisiatif TG Nik Aziz sendiri (Setiausaha Politiknya Wan Nik menjadi penerbitnya), kita tak tahulah sekarang bagaimana pula kedudukannya. Kita tunggu sahajalah berita daripada mereka.

Demikian itulah antara yang kami rancang, berkaitan dengan TG Nik Aziz. Sekarang tidak pasti samada rancangan-rancangan itu boleh diteruskan atau tidak. Tidak pasti samada kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob berminat dengan cadangan-cadangan itu.


Namun walau apapun, minat saya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan masih tetap sama, kerana saya menganggapnya sebagai model pentadbiran negara Islam yang ada pada hari ini. Dan saya juga menganggapnya sebagai model pentadbiran yang terbaik di dunia pada hari ini, dengan beberapa kelemahannya, yang perlu diatasi oleh pimpinan baru.

Dinsman (Artikel 377, 3/5)
Ceramah umum Gerakan Intelektual Rakyat, 3 Mei

Kata Prof Shaharir, sekarang sudah ada kira-kira 100 orang menyertai Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera), termasuk daripada Universiti Utara Malaysia (UUM); sedangkan pada 23 April ahlinya seramai 38 orang sahaja. Ini suatu perkembangan yang sangat menggalakkan.

Setelah mengadakan sidang akhbar pertamanya pada 23 April, Gatera telah mengeluarkan beberapa kenyataan melalui Youtube, termasuk bacaan puisi. Ada ahlinya yang berceramah di pentas politik sempena kempen PRU. Prof Shaharir sendiri pun berceramah di Putrajaya, bersama Tok Guru Nik Aziz. Saya, Kassim dan Nasser pergi hingga ke Tangkak dan Tanjung Agas, Johor (atas jemputan Yap Hwa daripada LLG Cultural Development).

Berita mengenai penubuhan Gatera ini pun rupa-rupanya menarik perhatian umum juga. Ketika saya ceritakan hal ini dan sebutkan nama-nama yang menyertainya, ada orang jadi begitu teruja kerana tidak menduga. “Oh, dia sudah berubah?” katanya.

Ya, Muhammad Taib lagikan sudah berubah, artis-artis seperti Aishah dan Abby Abadi pun sudah berubah, inikan pula intelektual kita! Tetapi macamana dengan yang ramai-ramai lagi, yang katanya ada 1,600 atau 1,700 orang dalam Majlis Profesor Negara tu?

Ada yang menjangka mereka itu sedikit demi sedikit akan menyertai Gatera juga. “Cuma masalahnya bila? Kita tak mahu mereka menyertai Gatera selepas PR menang dalam PRU-13. Itu sudah tak ada makna,” kata seorang.

“Tak mengapalah, kerana Gatera bukan ditubuhkan untuk PRU ini saja, ‘kan! Selepas PRU pun Gatera akan terus bergerak, ‘kan?” sambut seseorang di dalam bual-bual santai kami.

“Nampaknya kalau PR menang nanti, kita kenalah buat tapisan sesiapa yang nak menyertai Gatera selepas itu,” sambut seorang kawan lagi.

Demikianlah sembang-sembang santai itu. Dan sambil-sambil itu dirancangkan juga satu program menjelang PRU-13. Suatu ceramah umum khas ahli-ahli Gatera akan diadakan di padang awam, Sungai Merab Luar, Sepang (dekat sempadan Putrajaya), pada 3 Mei, mulai 9 malam.

Buat pertama kalinya para intelektual dalam Gatera akan berkumpul dalam suatu program terbuka, bagi menyatakan sikap, pandangan dan pemikiran mengenai situasi politik semasa, sesuai dengan kenyataan medianya sebelum ini, bahawa “Kumpulan ini bertekad untuk menyedarkan rakyat supaya memilih pemimpin politik yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.”

Antara nama-nama yang sudah disahkan akan tampil di pentas ceramah itu ialah Prof Shaharir Mohd Zain, Prof Emeritus Ahmat Adam, Prof Nazari Ismail, Dr Maszlee Malik, Dr Aida Idris dan Ir Hj Mohd Asari Daud.

Mengikut Prof Shaharir, ada beberapa orang lagi yang akan mengambil bahagian pada malam yang dinamakan Malam “Gerakan Intelektual Rakyat” ini. Program ini dibuat bersama dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi), yang meneruskan siri “Jelajah Budaya Selangor”nya, dengan kerjasama aktivis PAS tempatan.

Calon-calon yang bertanding bagi kawasan Sepang dan Dengkil, Mohamed Hanipa Maidin dan Borhan Aman Shah, juga akan hadir dalam program ini. Begitu juga calon bagi Putrajaya, Datuk Husam Musa, diharap akan dapat bersama, kerana ramai juga penduduk sekitar Sg Merab Luar yang bekerja dan mengundi di Putrajaya.

Saya melihat pentingnya program ini bukanlah sekadar suatu program kempen pilihanraya. Tidak. Pentingnya program Malam Gerakan Intelektual Rakyat ini ialah kerana pernyataan penglibatan para intelektual yang menggelarkan diri mereka sebagai “Intelektual Rakyat” itu di dalam suatu agenda rakyat. Pilihanraya umum adalah suatu agenda rakyat yang sangat penting.

Ini hanya permulaan. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) melihat program permulaan Gatera ini sangat bermakna, maka ia bekerjasama bagi menjayakannya, dengan harapan akan dapat terus bekerjasama lagi dalam program-program yang akan datang. Paksi sangat berharap bahawa Gatera dapat menghidupkan semula peranan yang perlu dimainkan oleh para intelektual kita, bagi mengisi satu kekosongan atau kelompongan yang terdapat dalam masyarakat kita sekarang.

Seperti kata kenyataan media Gatera itu: “Kami melihat persekitaran politik Malaysia kini berada pada tahap yang parah… Sebahagian daripada para pemimpin, ilmuwan dan ulama ternyata tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni masyarakat ini.”

Sememangnya, seperti yang saya katakan dalam keluaran lalu juga, “Semoga apa yang selalu saya sebut bahawa golongan intelektual kita sudah lama meletak jawatan atau enggan berperanan kepada masyarakat itu, akan berakhir. Dan akan bermulalah era baru – era intelektual rakyat, atau intelektual yang peduli kepada masalah rakyat.”

Demikianlah pentingnya Malam Gerakan Intelektual Rakyat pada 3 Mei ini. Marilah kita beramai-ramai menghadirinya, bagi menyaksikan bermulanya suatu era baru gerakan golongan intelektual kita, mendahului perubahan pimpinan politik negara yang dijangkakan melalui pengundian pada 5 Mei 2013. Insya Allah! 

Dinsman (Artikel 376, 29/4)
Tertubuhnya Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera)

Hari Rabu malam, 17 April, telah berlangsung satu pertemuan beberapa orang ilmuwan dan ahli akademik dari universiti serta beberapa orang sasterawan, penulis dan aktivis sosio-budaya, di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Kebanyakan yang hadir itu dijemput oleh Prof Dr Shaharir Mohd Zain, seorang ilmuwan yang sangat disegani, kini berkhidmat di Universiti Malaya.

Tidak ramai. Sekitar 20 orang begitu. Ada yang biasa dan ada yang baru. Prof Shaharir, Prof Emeritus Abdullah Hassan, Dr Alinor, Dr Tajul Ariffin, Hasni Abas, Kassim Muhamad, Kamaruzaman Mohamad, Faisal Aziz – ini nama-nama yang pernah aktif dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dulu. (Faisal Aziz kini dalam AJK Abim).

Syed Ibrahim, nama yang dikenali sebagai Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Dr Maszlee Malik, dikenali kerana penglibatannya sebagai moderator dalam forum-forum politik anjuran Karangkraf. Manaka Dr Zaid Ahmad (sarjana ketamadunan) dan Mohd Tarmizi Hasrah (sarjana linguistik) pernah terlibat dalam aktiviti anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Mohd Nasser Mohamad pula memang bendahari Paksi.

Prof Muhammad Hj Salleh, seorang Sasterawan Negara. Ini barangkali orang baru dalam gerakan perubahan (reformasi). Begitu juga Prof Wan Ramli (Presiden Akademi Sains Malaysia – Asasi), Prof Mohd Nazari Ismail (sarjana pentadbiran perniagaan antarabangsa), dan Prof Mokhtar Abdullah (sarjana statistik). Atau mereka memang pernah terlibat sebelum ini. Hanya saya yang tak tahu?

Sasterawan Negara A Samad Said tidak dapat hadir pada pertemuan pertama itu, kerana komitmennya dengan Bersih. Begitu juga Cikgu Azmi Hamid, Presiden Teras, yang sibuk dengan pelbagai programnya. Seorang lagi Sasterawan Negara ialah Prof Emeritus Shahnon Ahmad, kerana masalah kesihatan. Namun mereka bersetuju untuk bersama mendokong perjuangan dan tujuan penubuhan Gatera.

Turut dihubungi beberapa orang lagi Sasterawan Negara yang tidak mengalami masalah kesihatan. Ada yang langsung tidak memberi respons. (Tidak pasti samada dia menerima jemputan atau tidak). Seorang mengatakan dia tidak mahu berpihak, manakala seorang lagi mengatakan “biarlah saya dengan cara saya” dan “saya percaya kepada kunfayakun”. (Tak tahulah apa maksudnya, kerana saya pun percaya juga kepada kunfayakun. Dan itu memang kepercayaan orang Islam, ‘kan!).

Tidak mengapalah. Kita pun bukannya hendak memujuk atau mempengaruhi mereka. Kita sekadar bertanya untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka. Itu sahaja. Maka kita sangatlah mengalu-alukan kehadiran Muhamad Hj Salleh ke dalam gerakan atau kumpulan baru ini.

Tidak lama. Seminggu selepas itu, dalam suasana hangat kempen PRU13, pada Selasa 23 April, Gatera pun menyatakan kehadirannya kepada masyarakat umum, melalui sebuah sidang akhbar yang diadakannya di hotel di Jalan Raja Laut itu. Prof Shaharir bertindak sebagai Ketua kumpulan ini – kumpulan intelektual rakyat.

Mari kita perhatikan isi kandungan kenyataan akhbar yang diedarkannya pada sidang akhbar tersebut:

“Gerakan Intelektual Rakyat ditubuhkan pada hari Rabu, 17 April 2013, pukul 10.45 malam di Kuala Lumpur, oleh sekumpulan ilmuwan, sarjana, ulama, sasterawan, budayawan dan penggiat masyarakat. Ringkasnya gerakan ini dipanggil GATERA, yang bermakna sudut pandangan. Kumpulan ini bertekad untuk menyedarkan rakyat supaya memilih pemimpin politik yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.

“Kami melihat persekitaran politik Malaysia kini berada pada tahap yang parah, lebih-lebih lagi pada hari-hari menuju Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 ini. Sebahagian daripada para pemimpin, ilmuwan dan ulama ternyata tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni masyarakat ini.

“Demi meraih kuasa dan mengekalkan kuasa, mereka menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian, keganasan dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan, kesumbangan, kesamsengan, dengan tidak menghiraukan batasan agama dan budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat bertamadun.

“GATERA bertekad tampil ke medan masyarakat untuk mengemukakan segala kebobrokan di atas dan menolak mereka dan amalan yang menghalalkan budaya ini.”

Gerakan Intelektual Rakyat. Sangat menarik namanya. “Intelektual Rakyat” itu – barangkali ini pertama kali ‘intelektual’ diberi katasifat atau adjektif ‘rakyat’. Biasanya ‘intelektual’ itu cenderung sifatnya kepada elitis atau orang-orang istimewa yang terpelajar. Mereka bukannya golongan rakyat biasa. Mereka orang-orang istimewa yang duduknya di ‘menara gading’.

Tetapi dengan lahirnya istilah ‘intelektual rakyat’ ini, yang dicipta sendiri oleh mereka, nampaknya golongan istimewa terpelajar atau ilmuwan ini sudahpun mengambil sikap yang baru, yang berbeza – yakni ingin turun kepada rakyat, atau turun untuk bersama dengan rakyat, atau bersikap peduli rakyat, atau ‘merakyat’.

Alhamdulillah, syukur, dan tahniah Prof Shaharir! Semoga apa yang selalu saya sebut bahawa golongan intelektual kita sudah lama meletak jawatan atau enggan berperanan kepada masyarakat itu, akan berakhir. Dan akan bermulalah era baru – era intelektual rakyat, atau intelektual yang peduli kepada masalah rakyat.

Ada 17 lagi nama yang disenaraikan dalam kenyataan akhbar itu, menjadikan semuanya 38 orang. Mereka termasuklah Prof Emeritus Ahmat Adam, Dr Aida Idris, Ainon Muhamad (usahawan buku), dan Nur Hanim Kamaruddin (pelukis dan kurator).

Dan beberapa orang baru lagi yang hadir dan ikut serta pada pagi sidang akhbar itu. Nampaknya gerakan ini akan segera berkembang. Insya Allah!


Dinsman (Artikel 374, 19/4)
Mengangkat Kelantan dalam sidang serantau


Beberapa orang kawan mengajak bantu mereka berkempen untuk PRU-13 yang sekarang ini sedang rancak di mana-mana. Bukan selepas Parlimen dibubarkan 3 April itu tetapi lebih awal lagi daripada itu. Berceramah, berforum, berpuisi dan sebagainya. Ada yang saya terima dan ada yang tak dapat diterima kerana sebab-sebab tertentu.

Walau bagaimanapun kepada mereka kebanyakannya saya nyatakan bahawa tidak ada kempen yang lebih berkesan boleh saya lakukan melainkan melalui buku yang sengaja saya terbitkan sempena PRU ini, iaitu Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan.

Dulu sempena PRU-12 saya terbitkan buku 100 Fakta Kelantan Mengubah Malaysia. Alhamdulillah, bukan sahaja ia banyak digunakan dalam kempen tersebut tetapi saya menerima maklum balas daripada beberapa orang yang menceritakan keberkesanan buku itu hingga dapat mengubah sikap dan pendirian beberapa golongan pengundi.

Buku Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan ini pun alhamdulillah, telah banyak disambut melalui majlis-majlis pelancaran dan bicara buku. Dalam siri membincangkan kandungan dan mesej buku ini dengan kawan-kawan, timbul pula idea untuk mengangkat apa yang saya sifatkan sebagai “produk bermutu yang telah dihasilkan oleh kepimpinan Tok Guru Nik Aziz”, iaitu Kelantan sebagai model pentadbiran negara Islam itu – untuk dilihat kualitinya di peringkat antarabangsa.

Idea ini telah banyak kali timbul dalam perbincangan dengan kawan-kawan. Puncanya? Kebanyakan mereka terkejut apabila dikatakan bahawa Kelantan adalah model terbaik pentadbiran negara Islam, dan ia juga adalah pentadbiran negara yang terbaik di dunia pada hari ini. Betulkah? Mereka bertanya. Kau ni serius ke?

Kalau bukan Kelantan, negara mana lagi dalam dunia sekarang yang pentadbirannya boleh kita terima sebagai model pentadbiran Islam terbaik pada hari ini? Tanya saya, menyebabkan mereka terdiam sambil memikirkan jawapannya, dan akhirnya mengakui tidak ada.

Kebanyakan mereka juga mengakui tidak menyedari wujudnya banyak perkara mengenai pentadbiran Islam di Kelantan seperti yang dipaparkan dalam buku Kelantan 22 Tahun itu. Dan mereka pun kehairanan mengapa selama ini mereka tidak menyedarinya.

“Kerana kita tidak mahu mengambil tahu,” kata saya. “Tok Guru Nik Aziz telah bersusah payah membina sebuah pentadbiran Islam, melaksanakan setiap yang diperintah oleh Allah dan Rasul-Nya dalam pentadbiran negeri; sedangkan kita nak mengambil tahunya saja pun kita malas. Itulah sebabnya.”

Padahal ‘Model Islam Mentadbir’ di Kelantan itu adalah suatu model pentadbiran yang bertaraf dunia – hujah saya lagi. Seperti saya tegaskan dalam buku itu (hal.91): “Dunia hari ini sedang mencari-cari sesuatu yang dapat menyelamatkan tamadun manusia, yang kini sedang menuju kehancuran. Dan ‘Model Islam Mentadbir’ yang telah dibangunkan oleh pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan itu adalah suatu Formula yang dapat digunakan untuk menyelamatkan tamadun manusia hari ini.”

Dan demikianlah, menyedari bahawa Kelantan yang ada sekarang itu adalah suatu produk Islam kontemporari yang sangat berkualiti, saya cuba menimbulkan kesedaran ini pada setiap kesempatan yang ada. Tak kiralah di mana pun dan dalam majlis apa pun, sehingga kawan saya Kassim selalu menyindir – ‘Dinsman dengan Tok Guru Nik Aziznya,’ katanya.

Memang ya, betul, saya seperti obsess dengan perkara ini. Mengapalah ulama, cendekiawan dan para ilmuwan Islam di negara ini tidak menyedari akan suatu hakikat yang wujud nyata di depan mata ini! Kita lebih mudah terpesona dengan sesuatu yang diketahui secara tidak jelas, yang wujudnya jauh di Turkey atau di Iran sana; sedangkan yang di depan mata kita ini adalah jauh lebih baik!

Sekarang ini musim berkempen pilihanraya. Bagi saya inilah bahan kempen yang terbaik untuk PAS. Maka seperti biasa, dalam satu pertemuan dengan seorang sahabat pada suatu pagi Ahad 14 April lalu, saya timbulkan lagi perkara ini. Sahabat ini seorang tokoh yang aktif bergerak dengan beberapa badan NGO peringkat serantau dan antarabangsa. Dengan mudah sahaja dia bersetuju. Ya, mari kita angkat perkara ini ke dalam suatu persidangan serantau.

Persidangan serantau ini akan melibatkan tokoh-tokoh akademik dan penulis yang berpengetahuan luas dalam bidang berkenaan dari negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja dan Brunei, disamping Malaysia. Buat masa ini persidangan itu dirujuk sebagai “Persidangan Model Kerajaan Islam Dulu dan Kini”.

Persidangan ini tidak sahaja akan menumpukan perbincangannya mengenai pentadbiran negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, tetapi akan melihat juga ciri-ciri pentadbiran di negeri-negeri Islam zaman lampau seperti Acheh di kurun ke-16, Kesultanan Melaka, negara Islam Patani, Campa dan sebagainya.

Mungkin terlalu awal untuk saya hebahkan lebih lanjut mengenai persidangan yang dicadangkan akan dibuat di Kuala Lumpur pada minggu pertama Julai 2013 ini. Tetapi saya begitu teruja dengan prospek persidangan ini, kerana mengharapkan ia akan menimbulkan kesedaran yang lebih luas terhadap pentingnya “negeri Islam Kelantan” itu, untuk dilihat sebagai model sebuah pentadbiran yang patut dicontohi oleh umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.

Mahu saya kalau boleh tentulah sebuah persidangan antarabangsa yang melibatkan wakil-wakil daripada Amerika, London, Jepun, Iran dan sebagainya. Tetapi sedar juga bahawa perkara ini masih di peringkat awal, dan tokoh-tokoh ilmuan di negara kita sendiri pun hanya beberapa kerat sahaja yang menyedarinya. Maka eloklah ia dimulakan di peringkat rantau kita ini dahulu

Inisiatif ini pun dibuat, setakat ini, tanpa pengetahuan pihak kerajaan negeri Kelantan. Tetapi memang mereka akan dimaklumkan. Apa pun, cukuplah dulu maklumat untuk setakat ini. Sekarang musim orang berkempen untuk pilihanraya. Seorang AJK Paksi dikatakan turut bertanding. Tetapi sewaktu saya menulis ini namanya belum diumumkan lagi.


Kuliah di Surau Jenaris Kajang malam 6 April lalu ialah yang keenam dalam siri Kuliah Ilmu Jelajah Budaya Selangor (JBS) yang disampaikan oleh Prof Shaharir Md Zain, berjudul “Bagaimana al-Quran kini menjadi sumber ilmu”. Kuliah yang disampaikan selepas solat maghrib itu dihadiri oleh kira-kira 250 orang. Monograf yang disediakan sebanyak 200 naskah terpaksa difotostat tambah.

Saya mengikuti hampir semua kuliah dalam siri itu, bermula di Klang, diikuti di Rawang, Tg Karang, Kuala Kubu Baru dan Sg Besar. Hanya yang di Sg Besar saya tak hadir. Manakala JBS6 di USJ1 Subang Jaya pada 3 April memang tidak diadakan Kuliah Ilmu. (Mungkin akan diadakan kemudian).

Ada satu perkara disebut oleh Prof Shaharir dalam kuliahnya di Surau Jenaris itu, yang sangat menarik perhatian saya. Ia tidak pernah disebut sebelumnya. Kalau disebut di Sg Besar itu saya tak tahu. Namun apa pun bagi saya itulah pertama kali saya mendengarnya. Shaharir mengatakan bahawa pada pendapatnya sesebuah negara itu dianggap sebagai negara maju bukan kerana pendapatannya tinggi, tetapi kerana masyarakatnya mampu melahirkan ilmu-ilmu baru.

Kuliah Shaharir yang dibawa bersama dalam setiap siri Jelajah Budaya Selangor (JBS) anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) itu ialah mengenai ilmu, khasnya ilmu di kalangan orang Islam. Sebagai seorang sarjana Shaharir terlebih dahulu menjelaskan makna ilmu dan perbezaannya dengan makna ‘sains’ yang dipelopori oleh masyarakat Barat, dan kebenaran di dalam kedua-duanya serta perbezaan makna kebenaran di antara kedua-duanya.

Pentingnya kuliah Shaharir ini kerana ia membawa penjelasan terhadap suatu perkara yang selama ini tidak disedari oleh umat Islam di zaman moden ini, iaitu kecenderongan di kalangan ramai ilmuwan Islam mencari dalil-dalil daripada ayat-ayat al-Quran untuk membenarkan penemuan-penemuan oleh ahli-ahli sains Barat, yang kebanyakan mereka (saintis Barat itu) tidak percaya kepada Tuhan.

Shaharir yang banyak menghasilkan buku-buku sains, matematik dan kepemimpinan itu menjelaskan bahawa penemuan di bidang sains bukanlah sesuatu yang pasti benarnya; sedangkan kebenaran yang terkandung di dalam ayat-ayat al-Quran itu adalah kebenaran yang pasti, kerana ia wahyu daripada Allah SWT. Maka kenapa kita menggunakan ayat al-Quran untuk membenarkan sesuatu yang belum pasti kebenarannya?

Dan soalan yang lebih penting lagi: Kenapa kita menggunakan kebenaran al-Quran yang mulia dan suci itu untuk menyokong penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh para saintis barat yang tidak percaya kepada Islam?

“Sepatutnya kita menggunakan ayat-ayat al-Quran ini untuk mengkritik penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh saintis bukan Islam itu dan dalam masa sama kita juga hendaklah mengemukakan penemuan atau penyelesaian kita berdasarkan ilmu-ilmu dari al-Quran,” kata Shaharir.

Dan Shaharir bukanlah sekadar bercakap. Dia telahpun membuktikan dan mempraktikkan cakap-cakapnya itu.

Malam 6 April di Surau Jenaris Kajang itu saya dapati Shaharir agak berbeza daripada sebelumnya. Dia bukan sahaja mengkritik dan mempersoalkan sikap ilmuawan-ilmuwan Islam yang selama ini menggunakan ilmu-ilmu al-Quran secara salah, dan menunjukkan jalan betul yang sepatutnya diambil; malah dia juga menyeru agar ilmuwan-ilmuwan Islam mengambil langkah untuk berada di hadapan.

Bukan mentafsir ayat-ayat al-Quran bagi menyokong dan membenarkan penemuan-penemuan yang dibuat oleh saintis Barat, tetapi menggali ilmu-ilmu yang masih rahsia di sebalik ayat-ayat al-Quran itu bagi membuat penemuan-penemuan baru, mendahului para saintis bukan Islam di seluruh dunia.

Dalam konteks itulah Shaharir mengatakan bahawa kita tidak akan mencapai masyarakat maju selagi kita bersikap sekadar membenarkan penemuan-penamuan ilmu yang dibuat oleh orang lain (bukan Islam). Kita hanya akan mencapai tahap masyarakat maju sekiranya kita mampu untuk melahirkan penemuan-penemuan baru kita sendiri, ataupun melahirkan ilmu-ilmu baru.

Shaharir juga menjelaskan bahawa makna kemajuan dan tahap negara maju itu pun, mengikut al-Quran berbeza dengan yang difahami oleh kebanyakan orang sekarang. Bukan pendapatan tinggi yang menentukan sesebuah negara dan masyarakat itu telah mencapai taraf maju atau tidak. Bagi beliau sendiri, kriteria yang menentukan sesuatu masyarakat itu maju ialah kemampuan masyarakat itu untuk melahirkan ilmu-ilmu baru.

Sebelum itu beliau telah menjelaskan makna dan perbezaan makna ilmu di dalam Islam dan di dalam tamadun Barat. Di dalam Islam, kata Shaharir, ilmu itu mendekatkan manusia kepada Tuhan. Maka masyarakat yang maju itu ialah masyarakat yang mampu melahirkan ilmu-ilmu baru, yang boleh mendekatkan manusia kepada Tuhan (Allah)

Memang Shaharir menyampaikan kuliahnya itu berdasarkan teks yang telah disediakannya, yang diterbitkan oleh Paksi dalam bentuk monograf, dan disebarkan kepada khalayak pada setiap sesi kuliahnya. Namun sebagai seorang sarjana yang kreatif Shaharir tidaklah bergantung sepenuhnya kepada teks yang disediakan lebih awal itu. Teks itu hanya panduan sahaja kepadanya, dan supaya menjadi rujukan kepada khalayaknya.

Barangkali khalayak di Surau Jenaris itu pun agak berbeza juga daripada khalayak-khalayak sebelum ini. Terdapat ramai golongan ilmuwan juga di kalangan khalayak surau itu. Itulah agaknya yang mendorong Shaharir untuk mewarnai kuliahnya seperti yang saya jelaskan di atas itu.

Apa pun, malam itu saya melihat Shaharir telah menanam suatu benih yang saya percaya akan tumbuh dan membesar untuk memberi manfaat kepada umat Islam hari ini. Shaharir juga telah membuka suatu medan baru untuk kita. Apakah itu dilakukannya sempena dengan menjelangnya PRU13? Wallahu-ak’lam!